~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Friday 23 November 2012

E-Novel ~Bunga Terakhir (BAB 9)



                                                                           BAB 9
ADAM pandang luar pejabatnya. Dia pandang awan yang pelbagai bentuk. Awan itulah pengubat kenangannya bersama Dahlia. Mereka berdua memang suka tengok awan. Awan itulah juga pengubat rindunya pada keluarganya. Dulu pernah mama Adam cakap masa dia kecik, kalau dia lulus periksa mama dia akan bawa dia pegang awan. Adam senyum sendiri teringat betapa naifnya dia ketika itu. Ada rasa rindu yang terucap dalam hati Adam apabila teringatkan ibu dan ayahnya. Sihat kah mereka, bagaimana mereka. Tapi, apa yang dia boleh lakukan bila mereka sendiri tidak mahu menerimanya lagi. 

Meskipun begitu, Adam tidak akan berputus asa, dia akan sentiasa istiqamah untuk mendekati kedua orang tuanya itu. Mereka yang melahir dan membesarkannya, mana mungkin Adam tega melupakan mereka. Adam faham mereka mungkin kecewa tapi Adam tahu, kecewanya mereka itu tidak lama. Dia berharap suatu hari keluarga yang sangat disayanginya itu akan menerimanya lagi. Sudah lama dia tidak menyebut perkataan mama dan daddy yang dirinduinya. Apabila teringat perkataan itu, Adam toleh ke mejanya, dia pandang gambar Aiman. Teringat pada anaknya yang satu itu, dia terus merasa rindu padanya kerana sudah sebulan tidak ketemu.

‘Mesti Aiman ada kat Taska waktu-waktu macam ni’ gumam Adam sendiri sambil senyum sendiri melihat anaknya yang comel itu. Gambar itu Adam ambil semasa majlis harihajadi Aiman ketika umurnya genap 3 tahun. Sebak pula rasanya memandang wajah itu.

Tergerak-gerak pula kakinya untuk melangkah melihat Aiman di Taska. Tapi dia ada temujanji dengan seorang klien dari Sarawak. Penting pula tu. Adam berharap-harap supaya orang yang mahu berjumpanya itu tidak jadi datang.

Tiba-tiba telefon pejabatnya berbunyi. Segera Adam angkat.

“Helo Encik Adam. Encik Qayyum call, dia minta supaya postpone esok temujanji tu, katanya flight dari Sarawak tu delay, petang ni baru bertolak. So, Is it okey kalau kita tukar temujanji tu esok jam 9 pagi?” tanya Mei Lan;setiausahanya untuk memastikan.
Berbunga-bunga hati Adam, seolah-olah apa yang dimahukannya itu dimakbulkan.

Okey, proceed. Thanks Mei Lan.”

Usai meletak telefon, Adam terus keluar dari biliknya. Mei Lan memerhati. Adam memberi isyarat dia mahu keluar. Sampai di parkir, teruja sungguh hatinya. Adam masuk kereta dan sempat melihat gambar Aiman.
“Papa datang. Here we go!”

Adam sampai ke kawasan Taska di mana Aiman bersekolah. Dia keluar dari kereta dan perlahan-lahan mendekati pagar Taska sambil memerhati ke kiri dan ke kanan umpama seorang penculik kanak-kanak masa kini. Memandangkan dari arah itu Adam tidak dapat melihat dengan jelas, Adam masuk ke dalam pagar dan melihat Aiman dengan lebih dekat.
Nyata, Aiman masih bersekolah di sana. Di sebalik cermin pun jadilah, katanya dalam hati. Tidak jauh dari situ, seorang dari petugas Taska berkenaan melihat seorang lelaki dalam keadaan yang mencurigakan. Petugas itu mendekatinya.

“Encik buat apa dekat sini?” Petugas itu bertanya.
Berderau telinga Adam. Adam menoleh, dia terlihat salah seorang petugas Taska yang dikenalnya.
“Cik Tasha, maaf, saya nak tengok anak saya.” Adam menjawab, sengaja senyum kelat minta simpati buat muka seposen.
“Encik Adam, bukan nanti dekat rumah encik boleh tengok anak encik tu?” tanya Cik Tasha pelik.
“Err.. err.. saya sengaja tengok macamana dia belajar, selesakah dia, pandai tak dia berkawan...” jawab Adam gagap, tiada siapa patut tahu keluarganya bermasalah dan tinggal berasingan.
“Janganlah encik risau, Aiman tu seorang murid yang baik dan cepat belajar.” Cik Tasha memuji anaknya.
“Alhamdulillah.”
“Nak jumpa Aiman tak?” tanya Cik Tasha.
Dengan wajah yang gembira, tentu saja Adam mengangguk. Ades! Buat malu kaum saja. Cik Tasha masuk dan membawa Aiman keluar. Nampak saja ayahnya, Aiman langsung berlari dan memeluknya. Cik Tasha memerhati.
“Papa!!!” teriak Aiman segera memeluk ayahnya erat.
“Aiman anak papa! Mesti nakal dekat sekolah kan?” Adam memeluk erat anak kecilnya itu. Tanpa sedar berguguran air jernih dari kelopak matanya.
“Aiman nak tinggal dengan papa. Tapi mama dan nenek tak bagi,” pinta Aiman.
Adam memandang Aiman dalam-dalam. Kemudian menjeling ke arah Cik Tasha yang mungkin sudah mengetahui apa yang terjadi.
“Aiman tetap anak papa. Aiman kena jaga mak.” Adam memberitahu anaknya.
Anak sekecil 5 tahun itu entah mengerti atau tidak apa yang dikatakannya. Namun Adam tahu, Aiman seorang anak yang cepat memahami keadaan. Cik Tasha mendekati mereka.
“Maaf Encik Adam. Saya kena bawa Aiman masuk kelas.”
“Terima Kasih Cik Tasha.”
Aiman masih lagi memeluk ayahnya erat seolah tidak mahu melepaskannya, “Aiman kena belajar rajin-rajin, dengar cakap cikgu, dengar cakap mak. Papa balik dulu...”

“Tapi papa mesti datang sini lagi tau..”
Adam mengangguk.
Aiman memerhati wajah ayahnya. Kemudian senyum. Cik Tasha memegang tangan Aiman memabawanya masuk. Adam memerhati anaknya dibawa masuk. Adam tengok anaknya dari jauh dan kemudiannya masuk ke dalam kereta. Dia langsung diam sambil mengingati detik-detik indah dia bersama anaknya itu, dia masih ingat kali pertama dia mengambil Aiman di rumah kebajikan beberapa tahun dulu, ketika itu Aiman baru berumur setahun. Semasa itu, Aiman hanya diam seolah mengerti memandang dirinya dalam dan kemudian mendekatinya perlahan-lahan. Kedatangan Aiman ke dalam keluarganya membawa bahagia yang bukan sedikit. Tanpa sedar, air mata lelaki itu tumpah jua. Ada juga rasa sesal dengan apa yang telah berlaku.

‘Apa mungkin aku perlu ikut cadangan Dahlia? Tapi itu cadangan gila! Aku tak boleh...’ gumam Adam teringat kata-kata Dahlia di mahkamah tempoh hari.

Adam hidupkan enjin kereta dan tekan radio untuk menghilangkan rasa sebak. Lagu Anuar Zain berjudul ‘Pernahkah’ berkumandang di radio..
Pernahkah engkau berfikir
Apa yang kulakukan itu cinta..
Pernahkah engkau sedari,
Setiap pun cara, itu cinta..
Pernahkah engkau mengerti yang kuinginkan,
Berdua denganmu
Walaupun hanya sedetik
Memandang wajahmu
Itu cukup bagiku     
Hanya kau yang ku mahu..
Ku takkan hidup tanpa dirimu..
Hidup tiada ertinya
Bila aku tak bisa
Memiliki dirimu..

ADAM sampai ke pejabat sekitar jam 12 tengahari. Dia lihat Wani ada di pejabatnya, sudah dua hari mereka tidak bertegur sapa sejak kes khalwat mereka dibicarakan di mahkamah. Adam jeling Wani yang sibuk menaip sesuatu di komputer ribanya, kemudian dia masuk ke dalam biliknya. Adam duduk, dia tiada mood mahu lakukan apa-apa. Dia masih ingatkan wajah Aiman tadi dan juga cadangan Dahlia tempoh hari. Fikirannya kusut.

Tok! Tok! Tok!

“Masuk!” arah Adam.

“Adam, ada a few thing kita kena settlekan. Awak tolong sign dekat sini ya?” Wani masuk ke dalam dan bersikap profesional.
Adam ambil fail dari tangan Wani dan kemudian menurunkan tandatangannya untuk beberapa dokumen.
“Okay, thanks.” Wani ambil fail dan terus beredar.

“Wani, please have a seat. Ada benda nak bincang...” Adam memberi arahan dan membuatkan langkah Wani terhenti.
Wani berpaling dan kemudian duduk berhadapan dengan Adam.
 “Ya Adam, ada apa-apa nak cakap?” tanya Wani serius.
“Awak rasa kalau kita kahwin awak setuju tak?” tanya Adam tiba-tiba, dia pandang wajah Wani dalam-dalam, apa mungkin benar apa yang dilakukannya itu, dia sendiri tidak tahu dan tidak mengerti.
Wani diam. Angguk tak, cakap pun tak.
“Awak setuju tak?” tanya Adam lagi mahukan jawapan.
Seminit suasana diam. Adam pula rasa serba salah.

Kring! Kring!
Tiba-tiba telefon  Adam berbunyi mengejutkan suasana sepi itu.
“Helo, ya Cik Tasha.”
“Encik Adam, Aiman anak encik hilang!” suara Cik Tasha kedengaran cemas.
“Apa? Apa yang  berlaku?! Saya ke sana sekarang!” kedengaran suara Adam panik.

“Adam? What’s wrong?” tanya Wani.
“Aiman! Aiman hilang lepas balik sekolah tadi....” Adam cemas.
“Okay, okay, kita ke Taska sama-sama.. I drive.” Wani pantas menghulurkan bantuan, dia ambil kunci kereta dari tangan Adam, dia tahu kalau Adam panik, Adam tak dapat buat apa-apa, Wani takut Adam bawa kereta tak tentu hala.
“Okay.” Adam setuju. Mereka terus keluar dari pejabat dan ke parkir.

Tidak sampai 20 minit, Wani dan Adam sampai ke Taska tempat Aiman belajar. Kelihatan Cik Tasha yang dalam kebimbangan. Adam terus keluar daripada keretanya.
“Encik Adam, maafkan kami.” Cik Tasha meminta maaf.
“Apa yang dah berlaku? Awak dah maklumkan isteri saya?” tanya Adam pula.
“Ya, mereka baru saja pergi ke balai polis.” Cik Tasha memaklumkan.
“Adam, kita kena ke balai. Manalah tahu mereka dah jumpa Aiman. Jom!” Wani pantas menarik tangan Adam masuk ke dalam kereta, dia tahu Adam tengah kalut masa tu, dia tiada pilihan lain selain tarik tangan Adam.

SAMPAI saja di  balai polis. Dahlia sudah berada di situ. Segera Adam berjumpa dengan inspektor yang bertugas. Wani pula menemui Dahlia.
“Inspektor, bagaimana? Ada apa-apa maklumat terkini mengenai kehilangan anak saya?” tanya Adam bersungguh.
“Awak ni ayah kepada Aiman yang hilang ni?” tanya inspektor itu.
“Ya saya,” jawab Adam yang masih dalam keadaan panik.
“Maaf Encik, kami masih mencari anak encik,” jawab Inspektor terbabit.
Mendengar jawapan inspektor itu, Adam kecewa. Dia terus ke tempat Dahlia.

“Apa dah jadi ni Dahlia? Awak ada marah dia ke dekat rumah tadi?” tanya Adam pada Dahlia tiba-tiba.
Belum sempat Dahlia mempertahankan diri, Wani menyampuk; “Adam, jangan macam ni. Benda dah berlaku, jangan salahkan sesiapa.” Wani menyampuk.
“Kalau tak ada apa-apa, Aiman takkan hilang!” marah Adam lagi.
“Abang jumpa Aiman tadi kan? Ni mesti abang ada cakap apa-apa dekat dia tadi.. tu pasal dia lari..” Dahlia tak mahu kalah. Wani pegang tangan Dahlia menyabarkannya.
“Jangan tuduh abang ya!” Adam kurang sabar.

“Encik, Puan, kalau nak bergaduh bukan di sini tempatnya ya. Buat masa ini biarlah kamu semua balik ke rumah dulu, kalau ada apa-apa perkembangan kami akan hubungi secepat mungkin.” Inspektor itu menegur mereka.

“Adam, sudahlah..” Wani menenang lagi, dia tahu Adam masih marah.
“Dahlia, lepas ni biar Aiman tinggal dengan abang saja ya, abang boleh jaga dia, percayalah.” Adam memujuk.
“Tak, Aiman akan tinggal dengan Dahlia. Ingat apa yang Dahlia cakap dekat mahkamah hari tu.” Dahlia tegas tidak mahu Aiman tinggal bersama Adam.
“Tapi....” Adam masih berusaha memujuk sambil memandang Wani.
“Janganlah difikirkan dulu hal tu. Yang penting kita kena cari Aiman.” Wani cuba untuk tidak memanjangkan perbalahan suami isteri itu.

“Kalau macam tu, Dahlia dengan Pak Mat, Adam dengan Wani, kita cari Aiman sampai dapat.” Dahlia mencadang.
“Okay.” Wani setuju.
Adam tiada pilihan.

Mereka menaiki kereta masing-masing dan mencari Aiman. Adam dan Wani mencari di kawasan berdekatan Taska dan di beberapa taman permainan. Sementara itu, Dahlia dan Pak Mat;pemandu ibunya mencari di lokasi lain.

“Dah 4 jam dia hilang, ke manalah Aiman ni. Ya ALLAH..” Adam makin bimbang, dia takut anaknya itu kenapa-kenapa.
“Insya ALLAH Aiman tak apa-apa. Adam kena yakin, doa banyak-banyak, tawakkal. Insya ALLAH kita akan jumpa dia...” Wani menenang, sebenarnya dia juga cukup bimbang, semalam masa tengok berita ada beberapa kes kehilangan kanak-kanak dilaporkan. Pagi tadi saja dia dapat pesanan ringkas (sms) daripada An-Nur memberitahu ada kanak-kanak yang hilang, tapi mana mungkin dia menunjukkan kebimbangan itu pada Adam pula.
“Kita kena cari lagi kat kawasan tadi. Budak kecik macam tu tak jauh rasanya dia pergi.” Adam berkata sambil meninjau sekeliling.

Sementara itu, Wani jawab panggilan telefon daripada Dahlia.
“Ya Dahlia, macamana?” tanya Wani.
“Tak jumpa, Dahlia dah tanya dekat orang-orang dekat taman ni, ada juga tempat-tempat lain...” jawab Dahlia yang masih risau, dia sendiri umpama orang sasau, nampak saja orang terus tanya ada nampak anaknya ataupun tidak.
“Tak apa Dahlia, kita tawakkal, kita cari lagi..” Wani menenangkan Dahlia kemudian menutup telefon bimbitnya.

“Macamana? Jumpa?” tanya Adam ingin tahu.
Wani geleng kepala hampa. Adam turut hampa.
Wani meneruskan pemanduan. Mereka berdua berusaha mencari Aiman di merata tempat. Tapi masih tidak ketemu. Jam sudah hampir lewat petang. Adam semakin risau, ke mana pula Aiman pergi. Dahlia juga dihubungi berkali-kali tetapi mereka juga belum menemuinya. Takut rasanya Adam kalau-kalau Aiman menjadi mangsa culik, sindiket atau apa saja. Kalau terjadi begitu, dia takkan dapat memaafkan dirinya seumur hidup ini.

“Apakata kita rehat dulu. Tadi Dahlia ada call, katanya pihak polis masih mencari.” Wani mencadang.
“Itu anak saya! Bukan anak patung! Kita kena cari dia sampai dapat! Jangan harapkan polis saja! Kita pun kena cari juga!” marah Adam tiba-tiba.
“Adam, tenang. Sabar, tuhan sentiasa bersama orang yang sabar. Wani pun harap kita jumpa Aiman cepat. Wani takde maksud tak nak cari Aiman.. Aiman tu dah macam anak Wani sendiri...”
“Maaf  ya Wani. Aku tak berniat nak cakap kasar camtu. Aku cuma bimbangkan anak aku tu.” Adam meminta maaf.
“Takpe, aku faham. Banyakkan istigfar Adam, Insya ALLAH...tuhan sedang menguji kita, yakinlah Aiman takkan apa-apa.”

Tiba-tiba, Wani terfikir sesuatu. Segera Wani buat pusingan U dan ke sebuah tempat.
“Kita nak ke mana?” tanya Adam.
“Ini usaha terakhir, Wani harap dia ada di sana.”
Adam buntu, dia tak dapat fikir apa-apa, dia risau dengan keadaan anaknya itu, pelbagai kemungkinan bermain dalam kepalanya. Mungkin ke budak sekecil itu lari dari rumah akibat masalah rumah tangganya yang belum selesai itu. Mungkinkah dia merajuk? Banyak saja yang berlegar di fikiran Adam, dan jauh di sudut hatinya dia amat-amat bimbang.

“Adam, Alhamdulillah... Aiman, Aiman!!” teriak Wani tiba-tiba sambil tunjuk ke satu tempat.
“Mana, mana?!” tanya Adam yang tidak sedar mereka sudah berada di depan rumahnya.
“Tengok dalam tu...”
“Astagafirullahalazim...”
Adam terkejut, terus dia keluar dari kereta. Dia nampak Aiman tidur di kerusi luar rumahnya. Adam agak mesti Aiman masuk melalui pagar kecil rumahnya. Sampai saja di sana, Adam peluk Aiman erat.

“Ya ALLAH.. Aiman, Aiman, kenapa tidur dekat sini? Sejuk ni... bangun nak, bangun..”
Aiman sedar dan melihat ayahnya. “Papa.. papa dah pulang...”
“Aiman, lain kali jangan buat macam ni, seharian papa cari Aiman tau. Mama risau, nenek risau, kalau nak pergi mana-mana bagi tahu dulu cikgu! Kalau Aiman hilang macamana, semua orang risau, lain kali jangan buat macam ni lagi,” marah Adam pada Aiman.
Aiman tiada reaksi, dia memeluk ayahnya itu, dia tiba-tiba menangis. Pautannya kuat, mahu tidak mahu, memang Adam terlalu risaukan anaknya itu, Aiman menangis dimarahi begitu.

Wani menuju ke tempat mereka. Ada sebak apabila melihat ayah dan anak yang berpelukan itu.

“Sudah, sudah jangan nangis, papa sayang kamu. Wani, call Dahlia, bagitau dia Aiman ada dekat sini.”
“Okay.” Wani faham dan terus menghubungi Dahlia.

10 minit kemudian Dahlia datang ke situ bersama Pak Mat.
“Aiman, mari balik,” panggil Dahlia.
“Mama, Aiman nak tinggal dengan papa..” tanya Aiman yang masih lagi erat dalam pelukan Adam.
“Aiman...”
“Takpelah Dahlia. Biar dia dengan abang. Esok cuti, nanti isnin abang hantar balik ke rumah mak.” Adam cuba diplomasi.
Dahlia mengalah. Dia angguk.

“Adam, bawa Aiman masuk dulu, tukar baju dia, nanti demam...” arah Dahlia tiba-tiba.
Adam bawa Aiman masuk.

Dahlia pandang Wani.
Wani pandang kereta mahu balik office. Baru dia teringat yang dia bawa kereta Adam. Macamana dia nak balik office. Adoi!
“Wani, kereta awak still kat office kan. Naiklah, ada benda nak cakap dengan awak.” Dahlia menjemput.
Wani rasa serba salah. Apa pula agenda Dahlia kali ni. Tapi, dia turutkan saja permintaan Dahlia. Kemudiannya mereka beredar dari situ...

Sementara itu, Adam masuk rumah dan segera mandikan Aiman. Kemudian dia tukar pakaian anaknya itu. Nasib baiklah ada beberapa helai lagi baju Aiman di sana. Malam itu Adam masak, kasihan juga dia melihat Aiman yang mungkin kelaparan seharian. Usai menidurkan Aiman di sebelahnya, Adam bermuhasabah. Dia merenung dalam-dalam dirinya, dia melihat Aiman yang lena tidur disisinya. Kalau sebulan lalu, semua itu diuruskan isterinya, kini tidak lagi. Aiman memerlukan seorang ibu dan juga seorang ayah, dia masih lagi naif untuk mengerti mengenai perpisahan. Adakah perlu dia terima saja cadangan Dahlia untuk berkahwin dengan Wani dan dengan itu mereka bertiga akan hidup bahagia. Tapi, bagaimana pula dengan Wani. Takkan nikah gantung macam tu saja? Itu sama saja seperti mengabaikan tanggungjawab dalam sebuah perkahwinan dan mempersendakan kesucian jodoh dan perkahwinan yang ditentukan tuhan.

Usai-usai berfikir, Adam juga tertidur sama di sisi Aiman...

Bersambung...

No comments: