~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Friday 1 July 2011

Prolog Novel Online : 'KARMA'

Daun-daun bunga kemboja berguguran umpama air mata yang mengalir, hujan yang turun renyai-renyai membasahi bumi bagaikan mengerti apa yang berlaku. Suasana tanah perkuburan Kampung Tirwalis hening dengan esakan dua beradik. Gugurnya air mata tanda kesedihan hati yang sedang mencengkam, tanda mengasihi mereka yang disayangi sudah pergi. Kehilangan, kedukaan, kesedihan, kematian adalah perkara lumrah yang berlaku dalam kehidupan manusia, ia bukanlah satu perkara asing. Qada’ dan qadar yang menjadi paksi adalah suatu jalan untuk memberi pengajaran kepada manusia agar sentiasa mengingati sang Pencipta. Namun, untuk menerima takdir dan ketentuan sebegitu cepat bukanlah satu perkara yang mampu diterima dengan redha walaupun dalam keterpaksaan. Manusia, insan yang lemah dari segi pengawalan emosi, kerana manusia dikurniakan akal fikiran, maka manusia berfikir banyak perkara, terutama tentang takdir. Takdir yang ditetapkan mempunyai hikmah yang perlu diterima semua. Inilah yang digelar suratan takdir. Dua beradik itu memandang pusara yang masih berbau harum taburan campuran pelbagai jenis bunga, seakan tidak percaya, mereka akan memandang tanah merah secepat itu.
Walaupun orang lain sudah beransur pergi meninggalkan kawasan perkuburan, dua beradik itu tetap di situ entah sehingga bila, menangisi pemergian adik tersayang yang tidak mungkin kembali lagi. Pemergian yang tidak diredhai itu berlaku akibat kemalangan yang tidak diketahui siapa yang mengakibatkannya. Seolah baru semalam, segar diingatan dua beradik itu adik tersayang mereka bernama Melati itu tersenyum riang melihat dua abangnya bergurau senda sehinggalah tragedi malang menimpa adiknya itu. Tiada lagi tawa, tiada lagi senda, tiada lagi senyum adik kesayangan mereka itu, tidak! Sungguh tidak akan ada lagi, sampai bila-bila! Usia mereka ketika itu masih lagi mentah untuk memahami apa yang berlaku, hanya si ibu yang mengetahui segalanya. Melihat dua anaknya masih di tanah perkuburan si ibu membiarkan mereka melayan perasaan.
Usai sebelum kemalangan, si ibu membawa si adik kecil ke kedai. Si ibu yang ditakuti tiga beradik itu terdiam bila si ibu memanggil nama adik mereka. Melati melihat dua abangnya dengan perasaan yang menggelisahkan, si ibu makin keras memanggil.
“Melati...Melati...Melati!” Suara si ibu makin mengeras.
“Along!! mana adik kau hah!” Getar suara si ibu menggetar hatinya dari jauh.
Lantas si abang memandang adik bongsunya dan berkata.
“Melati, pergilah..mak panggil..” Si abang sulung menyuruh.
Berkaca-kaca mati si adik memandang abang-abangnya. Dengan langkah yang takut-takut si adik berjalan menuju ke arah ibunya sambil memandang ke belakang beberapa kali seolah merisaukan sesuatu. Si abang ngah dan abang sulung hanya berpandangan, kelakuan adik bongsu mereka itu berlainan sekali dari selalunya. Dengan tidak semena-mena secara tiba-tiba Melati berlari dan memeluk dua abangnya itu seerat yang boleh dan tersenyum. Anak patungnya terjatuh, abang ngah mengambil dan memberikan kepada adiknya, anak patung itu adalah peneman setia Melati. Dua abang itu tidak berapa mengerti namun mereka membalas pelukan itu, mungkin Melati hanya mahu bermanja. Kemudiannya Melati berlari menuju ke arah ibunya dan hilang sedikit demi sedikit dari pandangan.
Semantara itu seorang lelaki sedang memandu keretanya tidak berapa jauh dari kawasan itu sambil bercakap di dalam telefon. Dia melalui jalan raya yang lengang itu, oleh kerana tidak berapa banyak kereta yang lalu, dia melajukan pemanduan supaya cepat sampai ke destinasi tujuan. Mesyuarat yang berlangsung secara mendadak itu memaksanya untuk pergi ke Perak memandu sendirian.
“Anis, nanti tolong kepilkan dokumen yang saya nak tu ya, saya on the way ke KL ni, nanti saya sampai, saya ada meeting dekat Hotel Hilton dengan Dato’ Hashim. Satu lagi, tolong inform Malik, saya nak laporan financial petang nanti, boleh?” Lelaki itu memberi arahan.
“Faham Dato’,” Setiausaha lelaki itu menjawab.
Kemudiannya dia mematikan telefon.
“Kalau tak kerana driver aku cuti, taklah aku sibuk macam ni, bayar gaji pun tak guna!” Lelaki itu marah.
Baru sahaja dia meletakkan telefon bimbitnya di bangku sebelah tiba-tiba telefonnya berbunyi lagi. Lelaki itu dengan malasnya mengambil telefon bimbit yang diletakkan di sebelahnya itu dan menjawabnya.
“Ya helo, Dato’ Mirdad here,” Lelaki itu mengangkat.
“Ayah, Along nak hadiah harijadi...petang nanti mummy ada buat majlis, papa datang ya?” Si anak manja lelaki itu memberitahu.
Si ayah tiba-tiba teringat meetingnya petang nanti bersama pelabur dari Brunei, peluang keemasan yang tidak mungkin dilepaskannya. Bukan senang bertemu janji dengan Dato’ Sheikh itu, dia sudah mencuba beberapa kali untuk mengadakan perjumpaan, kali itu sahaja dia bersetuju hadir, itupun setelah diyakinkannya bahawa pertemuan itu menjanjikan sesuatu antara syarikat mereka. Kepentingan syarikat perlu diutamakan dan pastilah dia tidak berada di majlis harijadi anaknya itu. Namun, dalam pada masa yang sama dia amat menyayangi satu-satunya anak kurnian tuhan itu. Penyeri hidup dan penyambung delegasi Delima Holdings. Dia kemudiannya menyambung kembali perbualan dengan anaknya.
“Along, nanti papa belikan hadiah istimewa untuk Along ya?” Ayahnya memujuk.
Si anak yang faham dengan jawapan ayahnya berasa hampa, namun dia tidak mahu memaksa, dia faham kedudukan dan kesibukan ayahnya. Dia sudah dididik sebegitu sejak kecil. Kemudian si anak menjawab.
“Terima Kasih ayah..” Along mengucapkan Terima Kasih dan pasrah.
“Sama-sama Along..” Ayahnya berkata.
Semantara itu Melati dan ibunya sedang berjalan menuju ke suatu tempat. Si ibu yang garang itu memimpin tangan anaknya, umpama mengheretnya dengan paksaan kerana berjalan terlalu lambat. Dia sengaja membawa anak kecilnya itu untuk meminta simpati berhutang di kedai Ah Chong. Semasa ibunya memimpin tangannya, tiba-tiba anak patung kesayangannya jatuh. Melati amat takut untuk memberitahu ibunya, dia melihat dari kejauhan anak patungnya itu, air matanya berjuraian, sebuah kereta yang lalu sudah melanggar anak patungnya itu. Semakin berderai air matanya, dengan berani dia melepaskan tangan dari pegangan ibunya dan berlari mendapatkan anak patungnya.
“Melati!” Si ibu marah.
Dengan hati yang walang, Melati menuju ke arah anak patungnya. Dia berasa amat gembira melihat anak patungnya itu, si ibu yang marah meneruskan perjalanan. Dengan tidak semena-mena sebuah kereta yang laju dari arah belakang tiba dan melanggar Melati.
“Pap!”
Dengan panik, lelaki itu memberhentikan keretanya. Dia cemas melihat seorang kanak-kanak perempuan berlumuran darah terpelanting di tepi jalan, pelbagai perkara menerpa di fikirannya. Dia melihat ke kiri dan kanan. Ibu Melati yang terdengar sesuatu menoleh lalu meluru ke arah kanak-kanak perempuan tersebut.
“Melati!!!” Perempuan itu berteriak.
Perempuan itu menangis melihat anak perempuannya yang kaku tidak bernyawa itu. Darah merah kelihatan di sana sini. Lelaki itu kelihatan sangat menyesal dengan apa yang dilakukannya, telefon bimbitnya pula asyik berbunyi, dia kaget untuk mengangkatnya. Kemudiannya perempuan itu berteriak ke arah lelaki itu.
“Kau pembunuh! Pembunuh!” Perempuan itu berteriak.
Lelaki itu kemudiannya dengan panik meminta maaf atas apa yang terjadi. Kemudiannya dia menulis cek dan memberikan kepada perempuan itu, mungkin dia dapat menyelesaikan semuanya. Perempuan yang tamak itu mengambilnya kerana tiada pilihan, apatah lagi melihat angkanya yang banyak. Nyawa Melati menjadi pertaruhan. Kemudiannya lelaki itu meninggalkan kawasan tersebut dan memandu laju meninggalkan kawasan itu. Hatinya senang, perkara itu selesai dengan mudah, namun dia tetap percaya karma akan selalu hadir, lantas bila dia melihat anak perempuan itu mati di hadapannya dia teringat Along anak nya, hatinya walang namun dia tetap meneruskan pemanduan meninggalkan kawasan hitam itu.
Si ibu melihat cek yang diberikan, cek itu memberi seribu erti padanya. Pelbagai perkara menujah-nujah di fikirannya, dia tersenyum. Kemudiannya dia berpura-pura sedih melihat anaknya Melati, dia mengangkat mayat Melati dan membawanya ke pulang ke rumah. Anak patungnya jatuh di situ. Hujan renyai-renyai turun membasahi bumi. Dari jauh, dua anak lelaki itu mendekati ibunya, mereka berdua amat terkejut dengan apa yang mereka saksikan. Melati dipenuhi dengan darah, barulah mereka tahu pelukan dan kasih yang baru mereka terima tadi merupakan pelukan terakhir dan tanda Melati akan pergi selama-lamanya...
“Adik!!!!” Salah seorang kanak-kanak itu berteriak dan mendekati adiknya.
“Ibu, apa dah jadi ni bu? Ibu...” Anaknya yang seorang bertanya.
“Ibu...ibu tak tahu..” Si ibu putus kata.
Si ibu kemudiannya berdiam dan seolah tidak tahu apa-apa dan menangis teresak-esak meratap kematian anaknya. Si anak kemudiannya diarahkan ibunya memanggil orang kampung. Semasa dalam perjalanan dia melihat anak patung Melati di tengah jalan raya berlumuran darah, dia kini faham apa yang berlaku, dia pasti ibunya yang jahat itu pasti tahu apa yang berlaku. Sampai ke rumah dia membawa abangnya ke satu tempat dan memberitahu apa yang dilihatnya, dia juga membawa anak patung adiknya yang berdarah itu.
Sehari kemudian, Melati selamat dikebumikan, Ibu kanak-kanak itu masih belum mahu berbicara, seolah dia berada di dunianya sendiri. Tiada kenduri yang diadakan, hanya tangisan dua anak lelaki di situ.
“Abang, rasanya mak tahu siapa yang langgar adik,” Salah seorang kanak-kanak itu berkata.
“Kita jangan ganggu mak dulu, nanti abang tanya,” Si abang menjawab sayu.
“Abang, kita kena balas apa yang jadi ni bang?” Si adik berkata.
“Adik, tak baik macam tu,” Si abang mengusap kepala adiknya.
“Abang, nanti tanya mak ya,” Si adik berkata.
Si abang mengangguk faham.
Seminggu kemudian si ibu masih lagi berkelakuan seperti hari di mana Melati dilanggar lari. Kesedihan dan kesakitan itu dilihat oleh dua beradik itu saban hari, hasilnya ia membibitkan dendam yang membara-bara. Namun, seminggu kemudian ibunya berubah sikap, dia berlagak seperti biasa. Usai seminggu tiada kedengaran suara ibunya, namun hari itu kedengaran suara ibunya memanggil-manggil keras.
“Along! Angah! Mari sini! Apa yang bersepah-sepah ni! Apa kau ingat aku ni orang gaji!” Si ibu membentak.
Dengan tidak semena-mena si ibu mengambil rotan dan memukul kedua anaknya itu, mereka yang ketakutan itu tidak mampu ke mana-mana melainkan menerima sahaja dengan tangisan. Kemudiannya si ibu masuk ke bilik dan menghiasi dirinya. Si abang dan si adik berjalan ke luar, si adik mengesat air matanya.
“Mak tu memang jahat kan bang? Dia bunuh adik,” Si adik berkata.
“Adik, tak baik cakap macam tu, dia mak kita,” Si abang menenangkan si adik.
Kemudiannya si abang memeluk satu-satunya adik lelakinya itu. Mereka sebenarnya berada di luar tingkap ibunya. Mereka terdengar sesuatu.
“Kau memang bertuah Melati, gara-gara kau kena langgar aku kaya! Aku kaya!” Si ibu gembira.
Si abang dan si adik tersentak dengan apa yang mereka dengari. Kemudiannya si abang menjenguk ke dalam dan melihat ibunya sedang memegang sekeping kertas. Si abang tahu kertas itu adalah sekeping cek sebab dia pernah terlihat benda tersebut. Kini tahulah mereka adik mereka dijadikan umpan untuk mendapat duit. Mereka berasa amat marah, tiada apa lagi di dalam hati mereka selain kebencian dan dendam.
Usai malam bulan mengambang itu si adik menolak ibunya jatuh ke dalam perigi semasa ibunya mandi. Bukan main gembira lagi dia melihatnya, si abang yang melihat perkara tersebut seolah tidak percaya adik kecilnya itu mampu melakukan sedemikian. Dia memeluk adiknya itu dengan pelbagai perasaan, tangisan, senyuman, semuanya menjadi satu malam itu. Lolongan anjing malam itu seakan kuat dan menyeramkan.
“Abang, orang jahat dah mati..” Si adik berkata.
Si abang hanya berdiam diri, masih seakan tidak percaya hutang darah itu dibayar darah. Puas hatinya.
Usai upacara pengkebumian ibu mereka, si abang menyelongkar bilik ibunya untuk mencari sesuatu. Mencari sekeping kertas yang disimpan ibu mereka, dia pasti ibunya belum sempat menunaikan lagi cek tersebut. Kemudiannya si adik masuk.
“Abang cari ni?” Si adik bertanya.
Si abang memandang adiknya dan sekali lagi dia terkejut dengan apa yang dilakukannya.
“Bila adik ambik?” Si abang bertanya.
Si adik hanya tersenyum dan memberikannya kepada si abang.
“Ini pasti orang yang langgar adik bagi kat mak,” Si abang berkata.
“Betul ke bang? Kita bawalah pergi balai polis, mungkin boleh jumpa pembunuh adik,” Si adik memberi cadangan.
“Jangan!” Si abang menegah.
“Kalau kita hantar dekat balai, kita takkan dapat duit ni dik. Kalau kita ada duit, kita boleh buat macam-macam. Adik, abang janji, suatu hari nanti kita akan jumpa juga siapa pembunuh adik!!” Si abang bertekad.
Si adik mengangguk setuju, si abang tersenyum memikirkan duit yang bakal mereka perolehi. Satu kesilapan si pemberi cek apabila tertera nama syarikat di cek tersebut. Si abang mengatur satu rancangan, dia perlu mencari siapa pemilik syarikat tersebut, atau mungkin kakitangannya. Dia bertekad untuk berpindah ke Kuala Lumpur dan membawa adiknya bersama meninggalkan kampung yang meninggalkan banyak memori pahit itu, memori yang tidak akan terpadam buat selamanya...
8 tahun berlalu, si abang telah berjaya masuk ke universiti semantara si adik masih lagi bersekolah. Si abang dan si adik tidak lupa rancangan sebenar mereka berada di Kuala Lumpur itu. Si abang mengatur strategi untuk masuk ke dalam syarikat yang menjadi titik kepada permulaan penderitaan mereka. Dia tidak lama di situ, sekadar mengumpul maklumat dan apa yang perlu. Setelah mendapat maklumat, dia mengatur pelbagai rancangan balas.
Setelah beberapa tahun si adik pula berjaya memasuki universiti namun atas dua tujuan, di sana dia menjalani kehidupan biasa seperti orang lain. Si abang pula masih bekerja di syarikat tersebut mengumpul sedikit demi sedikit maklumat dan kemudiannya memberitahu secara terperinci maklumat yang ada kepada adiknya. Dan akhirnya si abang menemui apa yang dicari-carinya selama ini. Dia kini mengetahui rancangannya seterusnya perlu dilancarkan, langkah seterusnya adalah keluar dari syarikat tersebut selepas mendapat maklumat. Sedikit demi sedikit rancangan mereka berhasil, permulaan yang baik untuk sebuah permainan nyawa. Namun, setiap permainan ada syarat untuk dipatuhi. Si abang bertegas dengan si adik, pengakhiran kepada permainan ini adalah sebuah kematian yang berbalas...

bersambung....