~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Monday 28 January 2013

E-Novel ~ Bunga Terakhir (BAB 30) AKHIR



          
                                                                    BAB 30
                                                      2 BULAN KEMUDIAN...
“SAYA minta maaf. Buah pinggang kamu berdua tidak sesuai. Kita mesti cepat, keadaan Wani makin merisaukan.” Doktor memandang Amar dan Adam.
“Takde cara lain ke selain penderma buah pinggang yang sesuai doktor?” tanya Amar bimbang.
“Kalau ada cara lain, saya sanggup bayar semua kos rawatannya doktor,” sampuk Adam yang kelihatannya nekad mahukan Wani sembuh.
“Maaf, takde cara lain. Amar, ahli keluarga kamu adalah orang terdekat Wani. Minta bantuan mereka, ini berkaitan nyawa kakak kamu.” Doktor menyarankan.

Amar mati kata, sudah hampir semua ahli keluarganya membuat ujian, tapi tiada yang sesuai. Tapi, ada seorang lagi yang belum berbuat demikian, iaitu ayahnya, Amar hairan, ayahnya itu keras hati untuk menghulurkan bantuan pada kakaknya.

“Kalau kita tunggu lagi. Nyawa kakak saya akan terancam. Buatlah sesuatu doktor... tolong kakak saya ya doktor...” Amar merayu.
“Amar, sabarlah. Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar.” Adam menenangkannya, dia tahu adik iparnya itu terlalu sayangkan Wani.
“Tuan doktor, kalau takde apa-apa lagi. Kami keluar dulu ya?” Adam meminta diri. 

Adam dan Amar keluar dari ruangan doktor tersebut. Kemudiannya mereka terserempak dengan seseorang di sana.

“Ayah, apa ayah buat dekat sini?” tanya Amar melihat ayahnya di luar pejabat doktor tersebut dengan rasa terkejut.
“Ayah buat ujian untuk dermakan buah pinggang kakak kamu.” Encik Razak memberitahu anaknya.
“Assalamualaikum ayah, saya Adam, suami Wani.” Adam memperkenalkan diri.
“Waalaikumsalam. Kamu Adam ya.” Encik Razak memandang menantunya dengan sedikit senyuman mesra.

Amar sedikit pelik, tidak pula ayahnya terkejut apabila Adam mengenalkan diri sebagai suami kakaknya. 

“Amar, ayah nak lihat kakak kamu,” pinta Encik Razak pada anaknya.
“Baik ayah.” Amar faham, mereka bertiga menuju ke wad Wani. Amar masih tertanya-tanya. Mungkinkah ada sesuatu yang dia tidak tahu, Amar pelik.. ayahnya itu tidak bersetuju menjadi wali semasa kakaknya berkahwin malah melarang keras dirinya mewalikan kakaknya itu.
‘Jangan-jangan kakak bukan...’ desis hati Amar sendiri.

“Amar, apa yang termenung tu. Jomlah masuk..” Encik Razak memanggil anaknya.
“Ya, ya ayah..” Amar segera terkocoh-kocoh menuju ke arah ayahnya.

Sampai saja di wad Wani. Mereka bertiga melihat Wani yang terbaring koma. Wani nampak sedikit kurus, tapi wajahnya tenang sekali. 

“Kakak, ayah datang ni...” Amar berbisik di telinga kakaknya.
Encik Razak merenung anak perempuannya yang terbaring dengan bantuan mesin oksigen. Keadaan jeda. 

‘Wani, maafkan ayah nak... bukan ayah kejam pada kamu, cuma Wani bukan anak ayah.. sebab tu ayah selalu marahkan kamu...’ Encik Razak bercakap dalam hati, menyimpan rahsia yang selama ini terpendam, air matanya sedikit menitis.

“Amar, kita keluar dulu.” Adam menarik Amar keluar apabila mulai sedar ayah mentuanya itu seakan emosi.
“Tapi ayah saya...”
“Jom, ayah tak apa-apa,” pantas tangan Adam membawa Amar keluar perlahan-lahan. 

Adam faham, siapa yang tak sayangkan anak. Hati ayah mana yang sanggup membiarkan anaknya terlantar begitu di hospital. Semasa menunggu di luar, Adam sempat teringat dia menyebut perkataan ‘ayah’, perkataan keramat itu sudah terlalu lama dia tak sebutkan. Apalah khabarnya ayah kandungnya itu sekarang, baik ke dia, sihat ke dia. Adam berdoa moga ayahnya baik-baik sahaja.. sungguh, meski lama tidak ketemu, Adam masih menyayangi mereka apa adanya.

**********************

“Assalamualaikum, Dahlia.. Dahlia..” ibu Dahlia memberi salam di luar rumah.
“Aiman, buka pintu tu, tu suara nenek tu..” Dahlia menyuruh Aiman membuka pintu.
Segera Aiman berlari ke pintu utama dan membuka pintu.
“Nenek!” Aiman segera menyalam tangan neneknya.
“Mana mama kamu?” tanya Puan Sofia.
“Ada kat dapur nek,” jawab Aiman.

Puan Sofia masuk ke dalam dan terus menuju ke dapur. Dia nyata terkejut melihat keadaan anaknya yang makin kurus di atas kerusi roda.

“Dahlia, patutnya sekarang ni kamu sedang terima rawatan. Tengok keadaan kamu ni. Ya Allah nak, sampai bila kamu nak berahsia dengan Adam?” tanya Puan Sofia pada anaknya.
“Mama, Dahlia tak nak membebankan abang Adam. Lagipun sekarang ni Wani masih koma di hospital, tak naklah menyusahkan abang Adam. Dia dah cukup risau dah. Anak ni yang lebih penting, rawatan tu ada kesan pada kandungan, bukan Dahlia tak tahu..” Dahlia masih tetap dengan pendiriannya.
“Dahlia, nyawa kamu pun sama penting nak. Mak tak nak kehilangan kamu.” Puan Sofia memandang anaknya dalam.
“Mama, kalau ini akhirnya hidup Dahlia. Dahlia puas mak, Dahlia ada zuriat untuk abang Adam besarkan...”
“Dahlia, kamu yakin ke Adam akan terima semua ni bila dia tahu apa bakal terjadi? Masa kamu nak bercerai dulu pun Adam hari-hari datang rumah berhujan berpanas. Kamu fikir Adam sanggup kehilangan kamu. Kamu fikir semudah tu? Dahlia terimalah rawatan tu, sekali je nak, sekali je... beri peluang pada diri Dahlia tu.. Dahlia boleh sembuh nak...” pujuk Puan Sofia.
“Bolehkah Dahlia sembuh? Bolehkah Dahlia kembali macam dulu? Betul boleh?” tanya Dahlia memandang ibunya.

Nyata ibunya tidak punya sebarang  jawapan. Dia sendiri tak tahu kalau-kalau penyakit barah otak yang dideritai Dahlia itu bakal sembuh. Sungguh, Puan Sofia terdiam. Dia duduk di atas kerusi pasrah, air matanya mengalir perlahan.

“Apalah dosa kamu Dahlia sampai kamu dapat penyakit macam ni. Kalaulah kamu dapat rawatan awal...” perlahan suara Puan Sofia.
“Mama, ini semua takdir ma. Jangan salahkan sesiapa, tuhan ciptakan suatu musibah tu ada hikmah. Mama jangan sedih ya, Dahlia baik-baik saja, Dahlia bersyukur ma.. Dahlia dah cukup bahagia...” Dahlia mendekati ibunya, mereka berpelukan.
“Kamu memang anak yang baik Dahlia..” Puan Sofia mengusap tangan anaknya lembut.
“Mama, janji dengan Dahlia ya ma. Mama mesti bantu abang Adam dan Wani untuk bersatu ya ma. Mama boleh tolong Dahlia kan? Mama mesti bantu abang Adam ya ma, demi Aiman dan anak dalam kandungan Dahlia ni ya ma... Dahlia nak mereka masih dapat kasih sayang. Mama janji ya ma? Tolong Dahlia ya ma...” Dahlia memandang ibunya dalam.
“Insya ALLAH nak... Insya ALLAH...” air mata Puan Sofia tak dapat ditahan-tahan.

Sungguh! Ada rasa bersalah yang menggunung dalam diri Puan Sofia, dulu dia yang beriya-iya mahukan cucu, sekarang bila Dahlia berkeras mahu terus mengandung tanpa menerima apa-apa rawatan, rasa bersalah itu menggigit-gigit hatinya. Andainya dia dapat merubah masa lalu, pasti Puan Sofia tidak memaksa anak dan menantunya itu, tapi apakan daya.. nasi sudah menjadi bubur.

KEESOKAN harinya Dahlia ke hospital ditemani pemandu ibunya; Pak Mat. Adam mengetahui Dahlia ke hospital hari itu, Dahlia memberitahu dia ada temujanji bersama doktor.
“Puan Dahlia, kita nak ke mana?” tanya Pak Mat.
“Pak Mat bawa saya ke tingkat tiga, wad first class.” Dahlia memberitahu.
“Baik Puan.” Pak Mat faham dan menolak masuk kerusi roda Dahlia ke dalam lif. Nasib baiklah masa itu tidak berapa ramai orang.

Ting!
Pintu lif terbuka, Pak Mat menolak kerusi roda Dahlia keluar dari lif.

“Pak Mat tunggu di luar saja nanti ya.” Dahlia memberi arahan.
“Baik Puan.”
Pak Mat faham dan menolak kerusi roda Dahlia sehingga ke wad di mana Wani ditempatkan. Kemudiannya Pak Mat membuka pintu untuk memudahkan Dahlia masuk ke dalam. 

Selepas masuk, Dahlia mendekati Wani, bunyi mesin oksigen menemani mereka kala itu.
“Assalamualaikum Wani. Dahlia datang ni...” Dahlia girang bercakap di sebelah Wani.
“Baby Dahlia dah makin besar Wani, Wani nak rasa dia tendang tak?” Dahlia memandang Wani dan kemudian mendekatkan perutnya ke tangan kanan Wani.
“Dia menendang kan? Baby ni nakal sikit, nanti Wani ajar dia ya.. ajar dia belajar, ajar dia berdikari, ajar dia makan... mesti dia comel nanti. Wani dah scan hari tu, kata doktor baby girl.. mesti dia cantik macam Wani...” Dahlia senyum menceritakan semua itu di depan Wani.

Beberapa minit kemudian...

Tangan kanan Wani digenggam Dahlia erat, “Wani, ini mungkin kali terakhir Dahlia bersua muka dengan Wani. Wani jangan risau, buah pinggang Dahlia sesuai untuk didermakan pada Wani, Dahlia dah buat ujian. Wani mesti sembuh. Wani... Dahlia harap Wani tunaikan janji Dahlia ya. Dahlia doakan semuanya baik-baik saja... bahagiakan mereka semua ya Wani, Dahlia harap pada Wani seorang... Dahlia percaya Wani boleh bagi kasih sayang buat orang-orang yang Dahlia sayang, Wani janji ya...” tangan kanan Wani masih digenggam erat Dahlia. Pandangan Dahlia kabur tiba-tiba... kemudian Dahlia letakkan kepalanya di sebelah Wani sambil menguntum senyuman.. mata Dahlia tutup perlahan-lahan...

Pak Mat yang berada di luar risau dan melihat jam tangannya. Sudah hampir setengah jam Dahlia di dalam, patut ke dia masuk sebab Puan Sofia sudah memberi amaran supaya sentiasa berada disisi anaknya itu setiap masa. Kerana bimbang, Pak Mat terus memusing tombol pintu dan masuk.

"Puan Dahlia!"

bersambung di novel... Insya ALLAH.

#Terima kasih pada semua yang mengikuti perjalanan e-novel MAAF KU MENCINTAIMU. Tak tahu nak cakap apa, terima kasih, terima kasih, terima kasih. Insya ALLAH sedang menyiapkan manuskrip. Doakan semuanya baik-baik saja. Terima kasih semua. Maaf andai anda kurang berpuas hati atau seumpama dengannya. Insya ALLAH akan diperbaiki. Moga kita bertemu lagi untuk sisi cerita yang lain pula. ^__^

Sunday 27 January 2013

E-Novel ~Bunga Terakhir (BAB 29)


                                    
                               
                                                                            BAB 29
DAHLIA ke hospital untuk melawat Wani. Semasa dia masuk ke dalam wad Wani tiada sesiapa di sana. Adam memaklumkan dia mungkin terserempak dengan adik lelaki Wani iaitu Amar tapi mungkin adik lelaki Wani ketika itu balik ke rumah. Dahlia mengambil tempat duduk dan memandang Wani.
Tangan kanan Wani digenggam erat.
“Wani, walau apapun caranya, Wani sedarlah cepat ya Wani. Kamu saja harapan Dahlia sekarang ni untuk jaga abang Adam, Aiman dan anak yang Dahlia kandungkan ni. Kamu saja yang Dahlia percaya.. Dahlia harap kamu cepat sedar ya..” Dahlia memandang Wani yang bernafas melalui oksigen.
Lama Dahlia di situ, sekadar meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Belum ada sesiapa yang dia beritahu mengenai penyakit yang dihidapinya itu kecuali ibunya. Pada Wani yang koma itu dia bercerita sekurang-kurangnya untuk meringankan beban. Dahlia juga bercerita dia enggan menerima rawatan kerana tahu ia akan menjejaskan kandungannya. Sungguh, di depan Adam, Dahlia cuba untuk nampak sesihat atau senormal mungkin meskipun seluruh badannya sangat sakit. Benar, kakinya mulai sakit dan mungkin sehari dua lagi dia tidak akan dapat berjalan. 

“Wani, andai kata Dahlia tak sempat bertemu kamu. Tunaikanlah hajat Dahlia ya, Wani jagalah abang Adam baik-baik. Wani jaga amanah Dahlia baik-baik, Dahlia takkan sesal sedikitpun meninggalkan orang-orang yang tersayang pada Wani...” air mata Dahlia tidak dapat ditahan-tahan, setengah jam kemudian Dahlia keluar dari wad itu menuju ke bilik doktor untuk menghadiri sesi temujanjinya.

Ting!
Pintu lif terbuka di tingkat dua, seorang wanita bersama seorang lelaki pertengahan umur masuk ke dalamnya, wanita itu menolak kerusi roda lelaki itu, tiba-tiba kerusi roda itu tersangkut. Segera Dahlia menghulurkan bantuan. Wanita itu senyum tanda terima kasih. Tiba-tiba Dahlia seakan teringat-ingat wajah wanita dan lelaki itu kerana dia seperti biasa memandang mereka.

‘Mak dan ayah abang Adam...’ desis hati kecilnya.
“Aunty nak ke mana ni?” tanya Dahlia tanpa mengenalkan dirinya.
“Aunty nak bawa uncle kamu ni jalan-jalan ke taman. Minggu lepas dia kena strok, nasib baiklah tak apa-apa,” jawab Aunty Mary Ann Yong mesra sambil melemparkan senyuman.
“Mana anak aunty?” sengaja Dahlia bertanya demikian meskipun dia tahu Adam adalah anak tunggal keluarga itu.
“Anak aunty dah tak pedulikan aunty dan uncle lagi.. aunty tak nak sebut pasal dia lagi...” nampak raut wajah kecewanya.
Saat itu, Dahlia mati kata. Perlukah dia berterus terang yang dia adalah isteri pada Adam, Dahlia pandang aunty dan uncle tersebut. Keduanya nampak mesra dan baik. Tapi dia sendiri tak faham, kenapa mereka tidak mahu menerima Adam kembali. Sudah beberapa kali mereka cuba datang ke rumah tapi semuanya asyik terhalang.

Ting!
Pintu lif terbuka, Dahlia melihat aunty itu berlalu keluar menolak kerusi roda ayah Adam.
‘Aku dah tak punya banyak masa, kalau ini boleh aku lakukan untuk mereka, aku kena buat sekarang’ kata Dahlia dalam hati.

Kemudian dia menekan butang open sebelum pintu lif itu tertutup rapat dan menuju ke arah aunty tersebut. Dahlia sudah tidak peduli apa yang bakal berlaku. Segera kakinya melangkah.

“Hai aunty...” sapa Dahlia sebaik saja dia melihat ibu dan ayah Adam sudah duduk di satu tempat.
“Kamu. Berehat juga ya. Duduklah.. aunty biarkan uncle tengok pemandangan bukit tu, biar dia tenang sikit. Nama amoi siapa?” tanya ibu Adam.
“Saya Dahlia.”
“Panggil saja aunty Mary.”
Mereka berdua berkenalan.
“Aunty, kalau saya cakap sikit aunty jangan marah ya,” pinta Dahlia tiba-tiba.
“Kenapa pula aunty nak marah kamu.” Ibu Adam memandangnya pelik.
“Aunty, sebenarnya saya ni isteri anak aunty dan saya tengah mengandungkan cucu aunty.” Dahlia berterus terang.
“Jadi, kamulah yang ambil anak aunty ya! Beraninya kamu! Kamu yang hasut dia supaya tinggalkan kami! Kamu tak kesian ke sama aunty dan uncle!” marah ibu Adam.
“Mama..” Dahlia cuba pegang tangan ibu Adam perlahan dan memangginya mama.
“Saya bukan mama kamu!” tangan Dahlia ditepis.
“Mama, saya tak pernah memisahkan kasih sayang mama dan abang Adam. Adam yang mahu memeluk agama saya. Tapi mama kena faham yang dia bukannya tinggalkan mama, dia masih sayangkan mama dan papa walaupun agamanya berubah...” Dahlia cuba menenangkan keadaan.
“Apapun alasannya dia memeluk agama kamu tanpa bagitau apa-apa. Tahu-tahu saja dia sudah memeluk Islam dan tiba-tiba pula berkahwin dengan kamu. Apa itu bukan mengabaikan ibu dan ayahnya sendiri…”
“Mama…”
Dahlia cuba bercakap tapi tiba-tiba dia merasa pandangannya gelap…
“Dahlia, are you okey. Dahlia?” ibu Adam cuba membangunkan Dahlia yang tiba-tiba pengsan!
Nasib baiklah kebetulan ada jururawat lain yang sedang membawa pesakit bersiar-siar, ibu Adam meminta bantuan mereka.
“Tolong, tolong nurse, tolong..”
Segera jururawat yang memandang membantu. Dahlia dibawa masuk ke dalam.

******************
Selepas 2 jam....
Dahlia membuka matanya perlahan-lahan. Dia nampak seorang doktor dan seorang jururawat berada di sisinya.
“Kamu kena berehat di hospital Puan Dahlia. Keadaan kamu mungkin akan lebih teruk lagi jika tidak dirawat.” Doktor tersebut memberitahu.
“Tuan doktor, biarlah saya balik ke rumah ya. Ini saja peluang terakhir saya bersama keluarga saya. Tolong ya tuan doktor,” rayu Dahlia.
“Puan Dahlia, ini untuk kesihatan kamu juga. Simptom penyakit kamu mulai kelihatan dan mulai merebak. Terimalah rawatan kami Puan..”
“Jangan cuba halang saya! Bukan kamu yang tentukan hidup mati saya!” marah Dahlia tiba-tiba.

Suara tinggi Dahlia menyebabka doktor dan jururawat yang berada di depannya tergamam. Doktor itu tidak berani berkata apa-apa lagi tentang rawatan.

“Saya minta Puan hati-hati dan jaga diri Puan. Suami Puan dalam perjalanan ke sini.”
Dahlia terkejut.
“Tuan doktor jangan beritahu apa-apa pada suami saya ya. Saya tak mahu dia tahu. Biarkan saja..”
“Tapi..”
“Tuan doktor, ini untuk kebaikan saya juga… tahulah saya menjawab dengan dia nanti. Tolong saya,’ lembut suara Dahlia tiba-tiba.

Doktor itu terpaksa mengalah, apatah lagi keluarga Dahlia itu amat-amat dikenalinya. Kemudiannya doktor dan jururawat itu keluar dari ruangannya.

Dahlia teringat tentang ibu dan ayah Adam tadi.
‘Mungkin aku bukan orangnya yang menyatukan abang Adam dan keluarganya..’ Dahlia pasrah.

Pintu tiba-tiba dibuka seseorang.
“Assalamualaikum, kenapa ni Dahlia? Apa jadi ni?” tanya Adam bertalu-talu.
“Waalaikumsalam. Tak, Dahlia tak apa-apa, cuma ada pening sikit dan kaki Dahlia bengkak. Doktor sarankan supaya Dahlia pakai kerusi roda.” Dahlia cuba menutup apa yang berlaku dan memang benar kakinya sedang membengkak.
“Tak apalah, nanti abang ambil kerusi roda dulu dan kita terus balik untuk berehat di rumah.” Adam senyum memandang Dahlia.

Lega Dahlia apabila Adam tidak banyak bertanya. Lagipula mungkin suaminya itu sudah berjumpa dengan doktor yang merawatnya. Dahlia pandang Adam yang berlalu keluar untuk mengambil kerusi roda. Kemudiannya Dahlia cuba bangun, dia tersentak kerana kakinya benar-benar tidak dapat bergerak. Langsung tidak! Dahlia pasrah, dia tahu simptom penyakit itu sedang merebak ke kakinya. 

‘Ya ALLAH, kau kuatkanlah hatiku menerima semua dugaanmu Ya ALLAH. Satu pintaku Ya ALLAH, kau selamatkanlah anak yang kukandung ini Ya ALLAH. Biarlah dia melihat dunia ini…’ Dahlia berdoa dalam hati.

Air matanya menitis, ini saja perkara terakhir yang boleh dia lakukan, iaitu memberikan Adam seorang anak yang mereka harap-harapkan… Sekarang yang dia bimbangkan juga keadaan Wani, apa mungkin Wani akan selamat? Apa mungkin Wani boleh menggantikan tempatnya.. Dahlia tak tahu, dia cuma berharap, dia harap Wani tabah dan mampu menjaga orang-orang kesayangannya.. kerana dia sudah tidak boleh bersama mereka lagi.. air mata Dahlia mengalir perlahan tapi penuh harapan…

bersambung...

Tuesday 22 January 2013

E-Novel ~Bunga Terakhir (BAB 28)




                                                                        BAB 28
“Abang nak ke mana tergesa-gesa ni? Kalau ya pun breakfastlah dulu elok-elok,” tegur Mira pada abangnya yang minum tergesa-gesa sambil makan sandwich lalu ke pintu depan memakai kasut.
“Abang nak melawat kak Juwita kamu kat hospital. Hari ni ada sesi rawatan pertama dia cuba berjalan, abang dah janji temankan dia,” jawab Bazli sambil melempar senyuman.
“Abang ni. Ingatkan tadi ada flight ke tergesa-gesa ni. Sampai bila abang nak jaga kak Juwita tu pula? Sedar-sedarlah bang...”
“Mungkin sampai Kak Juwita kamu cintakan abang kot. Okey, abang pergi dulu, dah lambat ni, assalamualaikum...” Bazli segera meminta diri.
“Abang! Waalaikumsalam..” Mira menjawab salam dan mendengus marah. Sakit hatinya bila abangnya itu masih mengharap pada bekas kakak iparnya itu. Kadang-kadang ada juga rasa kesian dan simpati pada abangnya yang nampak macam terhegeh-hegeh pula pada janda sendiri. Mahu juga dia membuka mulut pada ibu dan ayahnya tentang hal sebenar, tapi kasihan pula pada abang sendiri. Namun, sampai bila pula dia perlu menanggung rasa bersalah dan rasa berdosa. Ah! Mira tak mahu fikir. Kemudiannya dia segera ke meja makan.

“Selamat pagi Mira, tak ada kuliah ke hari ni? Mana abang kamu, tadi mama nampak dia dah siap-siap, dah keluar ke?” tanya mamanya yang tiba-tiba datang ke meja makan.
“Terkejut Mira, mama ni.. Abang ke hospital tergesa-gesa tadi, katanya Kak Juwita ada sesi rawatan pertama berjalan..” Mira memberitahu.
“Alhamdulillah. Kamu takde kuliah ke pagi ni, nanti ikut mama melawat kakak kamu tu. Seingat mama, kamu tak melawat kakak kamu tu lagi sejak kali pertama dulu.”
“Ha?”
“Kenapa? Apa yang terkejutnya ni?”
“Eh! Takde lah ma, Mira okey je.” Mira senyum palsu dan kemudian mengherot mulut. Rasa terpaksa pun ada.

Kalaulah Mira bagitahu sekarang pasal abangnya dan bekas kakak iparnya boleh agaknya. Lagipun mamanya tu sporting sikit. Mungkin mama tak marah agaknya, telah Mira. Tapi, bila memikirkan abangnya, mulut Mira tertutup. Mira nampak abangnya mulai berubah kebelakangan ni, makin berubah dan nampak bahagia. Kalau nanti keadaan jadi seperti abangnya bercerai dulu, kasihan pula pada abangnya yang seorang tu. Nak bagitau ke tak, nak bagitau ke tak ni.. telah Mira dalam dua, dalam tiga dan dalam empat.. pusing!

“Mira, apa termenung tu? Tak baik termenung depan rezeki tu, termenung teman lelaki lah tu,” tegur mamanya.
“Ish mama ni, ada-ada je. Mira ngah fikir lainlah. Ma, boleh tak Mira tak nak ikut mama ke hospital?” tanya Mira pula.
“Ish budak bertuah ni. Ambil beratlah sikit hal orang lain. Itu kakak ipar kamu tahu tak. Dah, takde alasan, lepas siap makan nanti kita pergi sesama.”
Mira diam, terpaksalah menurut arahan Naib Ketua Menteri itu. Kang kena potong elaun kang, susah dia.

************************

Bazli memerhatikan Juwita cuba berjalan sambil tangan kiri dan tangan kanan Juwita memegang palang di kiri kanannya dan cuba melangkah.
“Okey, cuba langkah.. pelan-pelan ya..” arah doktor.
“Abang, Juwita takutlah..” Juwita memandang Bazli dan kemudian hampir terjatuh, segera Bazli berlari dan memaut Juwita.
“Abang dah ada ni, jangan takut. Juwita cuba pelan-pelan melangkah.. abang kira satu dua, Juwita cuba melangkah.. Juwita nak berjalan balik kan?” Bazli mendorong Juwita.
“Juwita cuba...”

Juwita melangkahkan kakinya, langkah satu berhasil, langkah dua, dia hampir terjatuh lagi, nasib baik dipaut Bazli.
“Boleh, Juwita boleh.. cuba lagi..” dorong Bazli.
“Juwita takut..”
“Abang ada ni, jangan takut.. cuba langkah..”
Juwita cuba sekali lagi dan terjatuh lagi.

“Encik Bazli, cukuplah untuk sesi rawatan hari ni. Jangan dipaksa. Esok kita cuba lagi. Saya keluar dulu ya.”
Doktor yang merawat Juwita meminta diri. Bazli membantu Juwita duduk di kerusi rodanya.
“Juwita takut sangat ni.. esok kita cuba lagi ya?” Bazli memberi perangsang.
“Esok abang takde flight ke?” tanya Juwita.
“Abang lupa pula. Tapi takpe, ada pembantu di sini. Mereka boleh tolong.”
“Tapi, kalau abang takde, Juwita tak naklah..”
“Juwita, tak boleh macam tu, nak cepat baik kan.”
“Ermm..”
“Okey, okey, jom, abang bawa Juwita ke taman. Hirup udara segar dulu pagi ni, baru minda tu cerdas...”
Juwita mengangguk. Kerusi rodanya ditolak Bazli keluar dan kemudian mereka masuk ke dalam lif.
“Bila Juwita boleh keluar hospital bang? Tak sabar nak balik rumah kita,” tanya Juwita tiba-tiba.

Bazli tersentak. Rumah kita? Maksudnya Juwita mahu balik ke apartment mereka. Sekejap Bazli berangan membayangkan betapa bahagianya hidup dia dan Juwita di sana. Tapi, rumah itu jugalah yang menjadi saksi penceraian mereka.

“Abang, kenapa ni?” tanya Juwita.
“Takdelah.”
“Abang, macamana Juwita boleh kemalangan ya? Abang masa tu dekat mana? Ada flight ke?” tanya Juwita ingin tahu.

Bazli tersentak sekali lagi. Bazli cuba cari jalan lain untuk beritahu Juwita, tak apapun berbohong untuk kebaikan, desis hatinya.
“Juwita masa tu nak hantar pakaian seorang artis popular ni. Nak cepat.. tu yang kemalangan tu.”
“Agak-agak mesti Juwita buat pakaian muslimah untuk artis tu kan bang?” tanya Juwita lagi.

Bazli pelik, memang dia agak pelik dengan Juwita. Sejak sedar dari koma hari itu. Juwita sudah lebih ke arah keagamaan, dia juga suka mendengar ayat-ayat suci Al-Quran dan kadang-kadang meminta Bazli sendiri menjadi imamnya ketika solat. Dan paling mengejutkan, Juwita mengenakan tudung. Hal itu memang mengejutkan ibu dan ayah Juwita sendiri yang mana mereka kenal anak mereka itu sangat daring. Malah, apabila dia dilawat oleh orang yang bukan mahram, segera Juwita mengenakan tudung. Perubahan positif itu Bazli anggap anugerah tuhan.

“Abang? Kenapa diam ni? Abang tak jawab soalan Juwita lagi,” tanya Juwita.
“Owh, pasal baju tu. Juwita buatkan baju untuk Shaza artis popular yang Juwita nampak dekat newspaper semalam..” beritahu Bazli.
“Ha? Juwita buatkan baju untuk artis tak cukup kain tu? Bukan berdosa ke? Tak naklah Juwita buat baju untuk artis macam tu, tak hingin..” Juwita pelik dan tak ingat.
“Sudahlah Juwita, jangan difikirkan sangat.”

Ting!
Pintu lif terbuka di tingkat tiga. Bazli nampak Amar. Amar tersentak kejap melihat Bazli bersama seorang wanita di kerusi roda.
“Hai,” sapa Bazli.
“Hai,” sapa Amar.
“Kenalkan, ini Juwita isteri saya. Juwita, ini Amar, pilot tempat kerja abang.” Bazli mengenalkan dirinya dan Juwita.
“Owh, isteri. Ingatkan adik tadi..” Amar memandang mereka, cantik juga isteri Bazli ala-ala model. Dalam pada masa sama, hati Amar tenang.. tenang akan sesuatu..
“Macamana dengan kakak kamu? Dah sedar dia?” tanya Bazli lagi.
“Belum lagi. Insya ALLAH, petang nanti. Terima kasih ya pasal semalam. Saya emo sikit.”
“Owh, takpe, saya faham.” Bazli senyum memandangnya.
“Kenapa dengan kakak dia bang?” tanya Juwita.
“Kakak saya kena tikam peragut.” Amar menjawab soalan itu sebelum Bazli sempat menerangkan.
“Masya ALLAH. Moga tuhan selamatkan dia.” Juwita nyata terkejut.
“Insya ALLAH.”
“Kamu nak ke mana ni? Ada duty ke pagi ni?” tanya Bazli.
“Tak, nak ke bawah beli breakfast. Saya amik cuti seminggu ni.” Amar memberitahu.

Ting!
Lif terbuka di tingkat dua. Amar keluar.
“Saya keluar dulu, jumpa lagi, assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam...” jawab Bazli dan Juwita serentak.
Lif tertutup dan kemudian membawa mereka ke tingkat satu. Apabila lif terbuka, Bazli menolak kerusi roda Juwita keluar dan membawanya ke satu taman yang terdapat di hospital tersebut.

“Abang, seronok kan kalau ada baby macam tu.” Juwita senyum memandang seorang wanita menyusukan anak di depannya.
“Juwita nak ada baby ke?” tanya Bazli.
“Mestilah. Kan anak tu pemberian tuhan dan penyeri keluarga.”
Bazli senyum memandang Juwita yang suka melihat wanita tersebut dan anaknya.
“Abang, terima kasih ya bersama Juwita di saat susah dan senang. Juwita tak tahu nak cakap apa. Juwita sayangkan abang... Kalau takde abang, mungkin Juwita takkan macam ni kot...” Juwita memandang Bazli.
“Ini sudah tanggungjawab abang. Susah senang kita tanggung berdua. Terima kasih kerana sayangkan abang..”
“Abang, macamana kita bercinta? Abang tak bagitau lagi.”
“Abang sebenarnya dah lama jatuh cinta dengan Juwita. Cuma Juwita saja yang tak tahu, sejak dari kecik lagi. Dulu masa kita kecik, keluarga kita tinggal satu rumah sewa bersama tau.. sebab tu keluarga kita rapat, dulu keluarga kita bukan orang senang..” Bazli brcerita.
“Oh, macam tu. Abang ni nakallah, kecik-kecik lagi dah ada rasa.. ish!” herot Juwita.
“Ala, takpe kan.. sekarang ni kita dah jadi suami isteri pun.” Bazli senyum dan membelai tangan Juwita.

Kemudian Juwita mengambil tangan Bazli dan meletakkannya di wajahnya sambil menguntum senyuman. Bazli senyum sendiri.

Abang!!
Bazli terkejut dan menoleh ke kanan. Dia nampak Mira di situ. Juwita juga memandang ke arah yang sama.
“Eh, itu Mira adik abang kan? Hai Mira..” sapa Juwita.
“Hai kakak..” Mira menyapanya kembali dengan senyuman yang cukup dibuat-buat.
Kemudiannya dia buat tanda isyarat kepada abangnya untuk mengikutnya ke satu tempat.
“Juwita dekat sini dulu ya. Abang nak jumpa adik abang tu kejap. Adalah halnya tu. Tunggu abang ya...”
Juwita mengangguk dan melempar senyuman.

“Mira datang dengan siapa?” tanya abangnya.
“Dengan mak. Apa yang abang buat dengan Kak Juwita tadi? Abang sedar tak yang abang dan Kak Juwita tu dah bercerai? Abang, ini bukan kisah dongeng atau drama swasta bang. Ini realiti bang, wake up bang. Wake up! Sudah-sudahlah bang, cukuplah hidup dalam alam khayalan abang tu. Abang ingat, kak Juwita tu akan terima abang lepas dia dapat ingatan dia balik.. jangan nak mengharap sangatlah bang.. takut abang pula yang kecewa nanti...” Mira bercakap memandang abangnya.
“Mira, boleh tak bagi abang peluang. Abang ni tak layak ke nak bahagia macam orang lain. Abang sayangkan kak Juwita kamu tu dan kak Juwita pun sayangkan abang. Biarlah macam ni sampai bila-bila pun. Lagipun pasal ingatan kak Juwita tu kamu tu, kata doktor lama sikit nak dia ingat balik.”

Pap!
Mira menampar kuat pipi kanan abangnya.
“Mira! Apa ni! Kamu jangan kurang hajar dengan abang ya?!” marah Bazli.
“Abang boleh tak sedar diri. Abang tahu tak apa yang abang buat ni berdosa besar. Abang tu bukan mahram kak Juwita lagi. Abang mungkin boleh tutup mata semua orang, boleh tipu mak, abah, boleh tipu kak Juwita, tapi abang kena ingat, abang kena ingat yang di atas. Tuhan. Tuhan sentiasa tengok apa kita buat. Abang sedarlah bang, Mira lempang abang tu supaya abang sedar, supaya abang tak tersasar. Jangan terlalu mengikut hawa nafsu!”

Bazli terdiam.

“Kalau macam nilah kan. Mira takkan bersabar lagi. Hari ni juga Mira akan bagitau mama dan papa pasal hal yang sebenar! Mira dah cukup sabar selama ni bang. Tahap kesabaran Mira ni ada batasnya! Mira dikira menanggung dosa bersama abang! Mira sayangkan abang tu, abang tak ingat apa yang berlaku dekat mahkamah tu? Cukup-cukuplah tu bang! Masih ramai perempuan baik-baik di luar sana, buka mata abang dan kembalilah ke jalan yang benar bang...”
“Mira please Mira, please. Abang minta tolong sangat.. abang tahu abang salah. Abang tahu abang ni berdosa. Tapi please Mira, berilah abang hak untuk bahagia macam orang lain, abang nak rasa sempurna macam orang lain Mira. Mira, tolong abang ya Mira.. Mira kesiankan abang kan..” Bazli pandang Mira yang sudah bergenang air mata dengan sepenuh harapan, Bazli pegang tangan adik perempuannya itu erat.
“Sudahlah bang. Mira nak balik dulu, rasanya kalau nak cakap dengan abang ni. Sampai esok pagi pun tak habis, ingat pesan Mira ni. Jaga batas abang, abang ingat janji abang, abang kena bagitau mak dan ayah hal ni.. kalau abang tak cakap, mungkin Mira takkan teragak-agak untuk cakap dan hentikan semua ni. Mama ada dekat cafe, bagitau dengan mak, Mira ada hal, Mira naik teksi, assalamualaikum..” Mira berlalu dan melangkah dengan cepat meninggalkan Bazli.
“Waalaikumsalam..” perlahan Bazli jawab salam itu dan pandang Mira berlalu, masih terasa getaran tangan Mira melempangnya tadi.

Sungguh! Tamparan itu memberi makna yang cukup besar pada Bazli. Perlahan Bazli melangkah, dia tahu, dia terlalu berharap. Sampai di tempat Juwita, Juwita pelik melihat Mira tiada bersama.

“Mana Mira bang?” tanya Juwita.
“Oh, dia ada hal. Dia kirim salam.”
“Waalaikumsalam..” jawab Juwita.

‘Ya ALLAH, andai dia bukan jodohku lagi. Kau tutupkan rasa cinta ini padanya.. Andai dia masih jodohku, kau permudahkanlah segala-galanya...’ doa Bazli di dalam hatinya sambil memandang Juwita.

Kemudiannya Bazli cuba melangkah meninggalkan Juwita. Tiba-tiba Juwita memaut tangan Bazli erat. Bazli tersentak.

“Tuhan tu maha pengasih dan penyayang kan bang. Tuhan kurniakan rasa cinta pada kita, kemudian dua insan itu bersatu dan selepas itu Tuhan titipkan anugerah pada kita... Tuhan sudah cukup baik berikan kita cinta. Kerana Tuhan tu maha pengasih, dia titipkan kita lagi dengan anugerah... Anugerah yang paling bermakna dalam hidup kita. Abang, kalau kita ada anugerah tu, pasti hidup kita bahagia kan bang...”

Juwita memandang wanita yang menyusui anak di depannya sambil bercakap. Bazli berhenti melangkah.. dia tak tahu, dia tak tahu apa dia harus lakukan. Apa mungkin dia tutup saja rasa hatinya pada Juwita, apa mungkin semua ini perlu diteruskan lagi.. Bazli tak tahu.. fikirannya kosong, tapi sesekali melangkah meninggalkan Juwita di situ tak mungkin lagi!

bersambung.....