~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Saturday, 1 February 2014

NOVEL GAUN CIK BOS TUXEDO MR SECRETARY (BAB 10)


BAB 10

“Sari Berita Utama, mayat dua orang lelaki ditemui berhampiran hutan di Bidor Perak. Identiti dua mangsa itu tidak dapat dikenal pasti akibat rosak teruk kerana dipercayai dibaham binatang buas. Sehubungan itu, kepada keluarga yang kehilangan ahli keluarga atau mengenali mangsa diminta dapat memberikan kerjasama kepada pihak polis dengan menghubungi nombor yang tertera di kaca televisyen anda.”
“Ni mesti malaun dua ekor ni. Kau orang berdua pergi bunuh orang tapi kau orang pula terbunuh. Memang tak guna!” marah seorang lelaki yang menonton berita di kaca televisyen di depannya.
Segera dimatikannya televisyen, geram barangkali.
“Ada kemungkinan dia tu masih hidup, kalau tidak mesti pihak polis dah  jumpa. Tak mungkin yang kena baham tu dia, sebab ada dua orang. Dan mereka tu pun dah hilang seminggu, confirm bukan dia, dia masih bebas!” tebak lelaki tersebut kerana dia sudah puas menghubungi orang yang dipertanggungjawabkan untuk membunuh itu.
Pantas dicapainya telefon bimbit yang masih bercas kerana kehabisan bateri tadi dan dihubunginya seseorang. Dia perlu cepat menghubungi orang tersebut bagi menyiasat sesuatu, tempoh seminggu itu adalah tempoh yang sangat panjang. Mungkin juga orang tersebut terselamat dan sedang mencarinya. Pelbagai kemungkinan juga bermain-main di kepalanya.
Apabila sudah menghubungi orang tersebut, sejumlah wang juga perlu melayang bagi melunaskan kerja tersebut. Sekarang, bukan semuanya free, masuk tandas pun mesti bayar.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi sekali lagi.
“Helo?”
“Boss, yang mati tu memang Ali dengan Zam, dahsyatnya boss..” salah seorang orang suruhannya memberitahu.
Pantas lelaki itu mematikan telefon bimbitnya. Dia tidak mahu mendengar alasan. Apa yang dia mahu dengar adalah berita yang baik-baik sahaja. Perkataaan gagal tidak pernah ada dalam kamus hidupnya. Apapun, panggilan telefon itu memang melegakannya kerana dia tidak perlu berteka teki, memang dia perlu mengupah seseorang bagi menjejaki di mana orang yang dibunuhnya berada. Dan, dia mesti cepat! Sebelum orang itu melakukan sesuatu. Pelbagai anggapan tergambar dalam kotak fikirannya.
Kring! Kring!
Telefon rumah pula berbunyi. Lelaki itu tidak senang.
“Helo. Saya dah kata cari dia cepat!” marah lelaki itu sebaik mengangkat telefon.
“Ayah ni.”
“Ayah, kenapa ayah call? Ingatkan orang saya tadi.”
“Saja tanya khabar. Macamana dengan kamu sekarang?”
“Saya okey ayah, janganlah risau. Ayah tu yang kena jaga kesihatan.”
“Okey. Ayah letak telefon dulu. Bye.”
Bye ayah, jangan lupa makan ubat tu. Hujung minggu nanti saya balik.”
Lelaki itu meletakkan gagang telefon, hatinya masih marah. Semua itu perlu diselesaikan cepat, dia tidak mahu ada gangguan selepas ini.
************
ADAM berada di rumah sewanya, lega hatinya sedikit mendapat pekerjaan yang mampu menampung hidupnya dan Danish. Dilihatnya Danish yang sedang menonton kartun kegemarannya di kaca televisyen, elok dia duduk di sebuah sofa yang kelihatan sedikit lusuh. Pelik, meskipun Danish bukan sesiapa dan tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengannya tetapi dia terasa amat dekat dengan kanak-kanak lelaki tersebut. Mungkin juga kerana dia sudah berada dengan Adam terlalu lama. Pernah Adam terfikir untuk melaporkan Danish kepada pihak polis tapi dia sentiasa terfikir, benarkah tindakan yang diambilnya. Apa akan terjadi pada Danish nanti? Dan sebenarnya hati kecilnya mula berkata-kata bahawa dia sudah mula menyayangi Danish seperti anaknya sendiri, melalui Danish dia belajar mengenal erti hidup dan mengenal erti tanggungjawab.
“Papa, Danish lapar.”
Suara Danish membubarkan lamunannnya. Hujung minggu begitu, Adam selalunya akan memasak untuk mereka berdua, tidaklah expert mana, tapi bolehlah. Kalau takat Masterchef Malaysia tu memang dia tak layak masuk.
“Danish lapar ya. Nanti papa masakkan Danish, Danish nak makan apa?” tanya Adam mesra dan memeluk Danish.
“Danish nak makan ayam goreng,” pantas budak lelaki itu menyuarakan hasaratnya.
“Ayam goreng ya?” sekejap Adam berfikir, bukannya apa, ayam goreng itu sudah terlalu mewah bagi mereka. Bukanlah terlalu miskin, tetapi Adam lebih suka berjimat.
‘Kalau beli dekat mamak 2 ringgit seketul, kalau beli ayam dan goreng sendiri mesti banyak lagi nak guna duit,’ gumam Adam, memang dia pantas memikirkan mana satu yang dia hendak beli, dia pun baru bekerja, gaji pun belum dapat, gaji dari menyanyi di restoran mewah itu pula tinggal separuh kerana membeli baju dan seluar bekerja.
“Danish tukar baju, kita makan kedai uncle mamak. Jom! Nak tengok boleh tengok bola sekali.” Adam senyum memandang anaknya.
“Yeay! Yeay!” sorak Danish sangat gembira.
“Kalau lambat papa tinggalkan ya,” sengaja Adam mengacah anaknya itu.
“Ala..” rajuk Danish.
“Cepatlah, pandai mandi sendiri kan?” Adam memandangnya.
“Papa tak mandi sekali ke? Papa belum mandi kan?” bijak betul Danish cuba memancing ayahnya yang satu itu untuk memandikannya.
“Papa dah mandilah,” sengaja Adam tidak mengaku.
Segera Danish ke arah Adam dan mencium baunya, rambutnya juga dilihat.
“Papa tipu!” segera Danish menarik tangan Adam menuju ke bilik mandi.
“Ya, ya... papa nak mandilah ni..” Adam senyum sendiri.
“Budak lelaki mana boleh mandi berdua. Mesti mandi sendiri, Danish janganlah susahkan makcik, kalau pandai mandi sendiri, Danish mandi sendiri ya,” sengaja Adam berpesan demikian supaya Danish pandai berdikari.
Danish yang sedia faham mengambil sabun dan menyabun badannya, kemudian kepalanya. Selepas itu terus mengayung air. Adam ketawa sendiri. Budak 3 tahun itu memang faham apa yang dimaksudkan Adam, tapi cara pelaksanaannya masih belum teratur. Sabun hanya diletak pada dada sahaja dia terus simbah air, rambut pula belum semua basah.
“Bukan macam tu, sini papa ajar,” segera Adam menunjukkan cara-cara untuk Danish menyabun badannya.
“Kemudian, ambil gayung dan..”
Plash!
Danish menyimbah papanya.
“Main kasar ya!” jerkah Adam segera menutup bilik mandi.
Disimbahnya Danish dengan sebaldi air, masing-masing ketawa sendiri.
Usai mandi, Adam mengambil pakaian di almari dan memakaikannya pada Danish. Danish senyum-senyum manja dan memeluk papanya.
“Papa, mama Danish mana? Ada gambar mama tak?” tanya Danish ingin tahu.
Tersentak Adam. Dia tahu, suatu hari nanti kanak-kanak lelaki itu akan bertanya juga soalan tersebut. Tapi, dia tidak menjangka seawal itu. Apa yang dia mahu jawab, gambar siapa pula yang mahu ditunjukkan.
“Mama berada di syurga, gambarnya tak ada, sebab mama dalam ni..” Adam meletak tangan Danish di dadanya.
Danish seakan faham dan tidak bertanya lagi. Biasalah kanak-kanak, sekejap tanya, sekejap itu pula dia lupa.
‘Maafkan papa Danish, mungkin mama atau papa Danish yang sebenar ada di luar sana, Insya ALLAH kalau diizinkan tuhan Danish akan jumpa juga,’ gumam Adam sendiri.
“Papa, dah lambat ni, Danish dah lapar.” Danish berkata.
“Okey, okey.” Adam faham, segera dia menutup lampu dan mengunci pintu lalu membawa Danish menuju ke lif.
“Nak ke mana ni Danish?” tanya Nadia yang baru keluar dari lif, baru balik dari kuliah agaknya.
“Papa bawa Danish makan ayam goreng,” jawab Danish selamba, girang sungguh apabila menyebut perkataan ayam goreng itu.
“Owh, ya ke? Kak Nadia nak ikut boleh?” tanya Nadia memandang Danish dan menjeling ke arah Adam.
“Boleh-boleh,” segera Danish menjawab, diangguk kepalanya.
Adam terdiam, dia memang selalu blur kalau depan perempuan. Nadia memandangnya, lagilah dia tergamam. Adam, Adam.
“Danish pergilah. Kakak dah makan.” Nadia mengusap rambut Danish dan senyum kepada Adam.
“Kami pergi dulu ya Nadia.” Adam meminta diri.
Nadia mengangguk senyum. Danish melambainya, Nadia melambai kembali. Jauh di sudut hatinya lelaki duda itu memang kacak, kadang-kadang dia juga ragu samada Adam pernah berkahwin sebab dia biasa mengenali duda-duda yang tidak seperti Adam. Kadang-kadang, dia suka kalau lelaki itu buat tak tahu atau blur seketika, terasa comel dipandang.

VIDS PROMO NOVEL


P/S ---> Novel telah pun terbit. Boleh mendapatkannya dengan Kaki Novel atau kunjungi Kedai Buku MPH & Popular Bookstore serta kedai berdekatan anda untuk mendapatkannya. :)

 

4 comments:

sHiKiN RaHiM said...

best la novel gaun cik boss tuxedo mr secretary ~

sHiKiN RaHiM said...

:)

sHiKiN RaHiM said...

:)

Fatrim Syah said...

Mekasih awak singgah baca. Dapatkanlah novelnya di pasaran ya. ^_^