~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Friday, 18 October 2013

E-Novel 'KELIP KELIP' (Bab 4)




BAB 4

KELIP KELIP

AISHA bersiap awal pagi itu untuk balik ke Kuala Lumpur. Dipandangnya laut dari pulau itu, dia melihat papan tanda Pulau Pangkor, jauh Akram membawanya hingga sampai ke situ untuk meraikan ulangtahun perkahwinan pertama mereka. Ini kali pertama Aisha ke sana, tapi kunjungan kali pertama itu bukanlah seindah yang dibayangkannya. Perjalanan yang mana dia menutup mata dan tertidur, perjalanan yang sepatutnya dia hargai masa-masanya. Perjalanan terakhirnya bersama insan yang sangat-sangat disayanginya. Aisha sebak, kemudian Aisha memandang Puan Zulaikha disisinya.

“Puan. Gerakan mencari suami saya yang Puan beritahu semalam tu sudah menemukan apa-apa hasil?” tanya Aisha.

Puan Zulaikha tersentak dengan soalan Aisha tapi bertenang, “Maaf Aisha, mereka belum maklumkan apa-apa penemuan. Pihak mereka sudah sedaya upaya mencari. Redha ya Aisha.” Puan Zulaikha menenangkannya.

Puan Zulaikha rasa bersalah menipu Aisha. Tapi jika itu caranya untuk menenangkan hati Aisha, Puan Zulaikha rasakan itu langkah yang sangat betul.

“Aisha. Kalau tak keberatan, kami boleh temankan balik ke Kuala Lumpur.” Puan Zulaikha memaklumkan

“Tak payahlah Puan. Saya sudah banyak menyusahkan keluarga Puan.” Aisha enggan.

“Usah cakap macam tu Aisha. Kami hanya membantu sekadar termampu.” Puan Zulaikha membalas.

Darwish berjalan menuju ke arah mereka. Semalam Darwish ingin memberitahu hal sebenar pada Aisha, namun ibunya tiba-tiba menarik tangannya pula, makanya dia tidak berkesempatan memberitahu apa-apa pada Aisha perihal suaminya.

“Darwish, kita bersiap. Kita juga akan balik ke Kuala Lumpur.” Puan Zulaikha memberi arahan.

Darwish sebenarnya memang tahu, ibunya itu mahu balik juga bersama Aisha.

“Darwish dah siap dah ma.” Darwish senyum memandang ibunya.

“Kalau macam tu. Cepatlah kita naik bot. Awal gerak, awak sampai.” Puan Zulaikha mencadangkan.

Puan Zulaikha berpimpin tangan bersama Aisha menaiki bot di depan mereka. Dua orang staf pulau itu mengiringi.

“Puan, moga datang ke sini lagi jika lapang.” Seorang staf bersuara.

“Syakila, Majid. Sepanjang ketiadaan saya. Sila jaga chalet ni dengan baik, apa-apa maklumkan saya. Jaga semua staf dan jaga hati pelanggan juga.” Puan Zulaikha berpesan.

“Baik Puan Zulaikha.”

“Mama, tak perlulah protokal sangat.” Darwish mencelah.

“Darwish, kita datang pulau ni sekali sekala saja. Selebihnya sibuk memanjang. Chalet yang diusahakan di sini amanah arwah mak cik kamu. Dia sayangkan tempat ni, sepertimana dia sayangkan kita, kita kena sayangkan juga tempat ni.” Puan Zulaikha mula memberi ceramah percuma pada Darwish.

Darwish herot mulut, “Iyalah mama. Pak Talib, jalanlah cepat. Takkan nak tunggu mama habis cakap baru nak jalan. Syakila, Majid, kami gerak dulu. Assalamualaikum.” Darwish meminta diri.

“Waalaikumsalam Tuan, Puan.” Syakila dan Majid menjawab salam serentak.

Aisha hanya mendengar perbualan mereka dan sedikit kagum, rupa-rupanya orang yang membantunya itu adalah pemilik sebuah chalet di pulau itu. Diingatnya orang biasa di pulau itu. Dia mula rasa segan.

“Aisha, kamu okey?” tanya Puan Zulaikha.

“Saya okey Puan,” pantas Aisha menjawab walaupun gugup.

Darwish hanya memandang sekali pada Aisha dan kemudian memandang ke tempat lain. Perjalanan bot itu menuju ke jeti Lumut, Perak mengambil masa setengah jam cuma. Darwish memandang tempat dia melihat Aisha dan suaminya buat kali pertama, kalaulah dia tidak melihat kejadian semalam itu, pasti Aisha sudah menjadi makanan ikan-ikan besar di laut itu. Bila mengingatkan betapa pedihnya Aisha merintih mengingati suaminya, Darwish memandang ibunya, Puan Zulaikha angguk tanda faham.

                                        *********************
Sampai saja di Kuala Lumpur, Puan Zulaikha meminta diri terlebih dahulu, dia diambil oleh pemanduanya untuk satu urusan penting. Hanya tinggal Darwish dan Aisha saja berdua. Darwish dikehendaki menghantar Aisha balik ke rumah keluarganya. Di dalam kereta, mereka berdua hanya diam. Aisha tidak tahu mahu berkata apa-apa, sebenarnya dia amat takut, pasti dia akan dimaki hamun oleh keluarga suaminya dan akan dihalau keluar apabila mengetahui berita kematian Akram. Pasti mungkin dirinya akan disumbatkan ke penjara dan segala macam lagi. Bermacam-macam perkara yang dirisaukan oleh Aisha. Tapi dia perlu sabarkan dirinya, dia juga kehilangan orang yang dicintainya. Adalah lebih baik memberitahu kebenaran yang sememangnya pahit bak hempedu itu. Aisha memandang jauh, teringatkan Akram sekali lagi.

 Selepas ini Aisha merancang untuk balik semula ke rumah keluarganya di Kuantan. Bandaraya Kuala Lumpur itu sudah tidak memberi apa-apa makna lagi kepadanya. Kalaulah dia boleh meminta masa diputarkan kembali, pasti dia akan menolak kehadiran Akram dalam hidupnya, kehidupan sengsaranya di rumah mertua dan kehilangan Akram. Namun semua itu asam garam kehidupan dan takdir daripada Allah swt. Aisha redha.

“Aisha. Alamatnya di mana ya? Saya boleh setkan GPS ni supaya kita cepat sampai.” Darwish bertanya.

“Setkan saja ke Bukit Antarabangsa, nanti sampai di sana saya akan beritahu ke mana kita nak pergi.” Aisha memberitahu.

Usai menetapkan hala tuju, Darwish meneruskan pemanduannya. Perjalanan ke sana mengambil masa hampir setengah jam.

“Mana satu rumah keluarga awak?” tanya Darwish.

“Di depan lagi belok kiri. Nombor 39.” Aisha memberitahu.

Hati Aisha tak keruan. Mampukah dia mengumpul kekuatan, mampukah dia memberitahu segala-galanya. Aisha cuba bertenang dan bertenang. Rumah yang dituju kian dekat. Aisha melihat ada ramai orang berada di sana. Peliknya seakan ada satu majlis. Darwish mencari parkir, Aisha mengenakan selendang yang diberikan Puan Zulaikha kepadanya. Kemudiannya dia dan Darwish berjalan kaki menuju ke rumah tersebut. Perasaan Aisha berdebar-debar.

Kelihatan pintu gerbang dibina, dua orang gadis berada di sana.

“Encik, Puan. Anda ada kad jemputan? Ini majlis persandingan Encik Akram Rahim dan Puan Syura Rashid,” salah seorang gadis itu memberitahu.

Aisha tersentak. Dia kemudian melihat kain rentang di sebelahnya, dia melihat Akram dan seorang wanita dalam pakaian pengantin. Bunyi muzik yang sangat kuat di dalam menggambarkan suasananya. Darwish tahu, Aisha sudah tahu sesuatu. Kemudiannya Aisha mahu masuk ke dalam.

“Maaf cik, tak ada kad jemputan tak boleh masuk. Ini majlis tertutup.” Gadis yang seorang menghalang.

“Tapi saya...”

 Darwish segera menarik tangan Aisha.

“Lepaskan saya! Apa hak awak pegang saya!” marah Aisha.

“Aisha. Awak perlu tahu sesuatu Aisha.” Darwish berbisik kepadanya. Aisha masih bingung.
“Benarkan kami masuk! Mereka dah bunuh anak kami!”
"Keluarga pembunuh! Pulangkan anak kami!"
 Aisha menoleh, seakan terdengar dia suara ayah dan ibunya. Dari kejauhan  dia melihat ayah dan ibunya yang berada di luar pagar pintu masuk rumah mertuanya sedang dihalang oleh beberapa orang pengawal. Umpama anjing kurap mereka ditolak-tolak. Aisha sudah tidak dapat bersabar. Segera dia bergerak ke sana, namun Darwish dengan cepat menarik tangan Aisha sekali lagi.
“Lepaskan saya! Itu mak dan ayah saya!” marah Aisha cuba melepaskan tangan Darwish.
Namun Darwish tidak mengendahkan, dengan cepat dia membawa Aisha masuk ke dalam kerata.

“Aisha, awak jangan jadi bodoh Aisha. Lepas dengar cakap perempuan tu tadi. Awak rasa apa sebenarnya terjadi pada awak? Awak tak dengar apa yang mak ayah awak cakap?”  Darwish cuba menyedarkan Aisha.

Aisha pandang Darwish, “Apa maksud awak? Apa yang awak tahu Darwish?!” tanya Aisha kasar.

“Saya sepatutnya cerita dekat awak lebih awal lagi. Saya nampak awak dan suami awak dalam bot. Saya teropong daripada jauh, lepas tu saya nampak bot kamu karam, tak lama kemudian sebuah bot datang dan selamatkan suami awak. Sebab tu saya datang selamatkan awak. Aisha, suami awak mungkin cuba nak bunuh awak.” Darwish berterus terang.

“Awak jangan cuba buat fitnah! Akram orang baik.” Aisha bertegas.
Darwish geleng kepala, “Awak mungkin tak sedar apa yang berlaku. Dekat pulau tu kami sengaja tak pasang tv untuk awak tengok, tak pasang radio untuk awak dengar dan tak bagi surat khabar untuk awak tahu semua benda. Awak cuba baca surat khabar ni.”  Darwish cuba menerangkan keadaan sebenar.
Aisha melihat headline surat khabar itu, ‘Isteri hilang dilaut, suami dedah isteri kedua.’ Dia melihat ada namanya dan gambarnya juga berada di situ yang dilaporkan hilang di laut dan dipercayai meninggal dunia akibat lemas kerana tidak tahu berenang. Dia juga melihat Akram dengan penuh bahagia memeluk seorang perempuan yang sangat cantik bersama seorang kanak-kanak comel, ditulis juga di sana perempuan itu adalah isteri keduanya yang dinikahi 2 bulan selepas perkahwinan pertama dan terpaksa dirahsiakan. Hati Aisha hancur, dia tidak sangka rupa-rupanya apa yang berlaku itu sebenarnya telah dirancang dan apa yang lebih memilukan, selama ini dia sebenarnya diduakan oleh Akram!

“Awak masih berkeras masuk dalam majlis tu selepas apa yang suami awak buat? Awak rasa apa yang akan mereka buat? Awak ingat mereka akan benarkan awak masuk begitu sahaja?” Darwish bertanya.
“Bawa saya ke tempat lain, saya nak pergi dari sini. Cepat!” arah Aisha.
Darwish menghidupkan enjin keretanya, Darwish melintasi rumah agam keluarga mertuanya. Aisha melihat ibu dan ayahnya yang ditolak-tolak ke jalan raya. Runtun hatinya melihat keadaan itu. Kini dia sedar, dia langsung tidak bermakna dalam hidup Akram. Aisha diam, Darwish diam. Darwish memandu ke sebuah tempat. Sampai saja di tempat itu, Aisha turun.

“Warrghhh!!!” Aisha berteriak kuat!
Sekuat-kuat hatinya!
Sekuat-kuat yang dia boleh!
 
Air matanya mengalir di pipi! Kemudiannya dia ambil cincin di jari manisnya dan buang ke tebing bukit. Cincin itu sudah tidak bermakna lagi. Hanya yang ada dalam hatinya adalah dendam, dendam yang membara-bara!
Dia mahu keluarga itu menerima apa yang sepatutnya.
Aisha tidak mahu menjadi orang lemah lagi!
Aisha sudah puas bersabar!





Bersambung.... 


p/s -- Maaf lambat update hari ni. Terima Kasih singgah baca. Terima Kasih pada mereka yang banyak menegur bagi memperbaiki dan memperkemaskan jalan ceritanya. Maaf atas segala kekurangan. Senyum selalu. Agak-agak korang siapa sesuai pegang watak Darwish? Eh! ^__^  

2 comments:

nurul nuqman said...

ayim,daiwish hero right?

Fatrim Syah said...

The second hero. :)