~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Saturday, 9 November 2013

E-Novel 'KELIP KELIP' (Bab 10)


 BAB 10
KELIP KELIP
                                                 

AWAL Indah bangun pagi itu. Indah lihat tangannya yang luka. Nasib baiklah tidak terlalu teruk meskipun sakitnya masih terasa. Indah tidak mahu memikirkan perkara yang berlaku semalam itu. Dia mahu memikirkan dirinya yang bakal berangkat ke Korea tidak lama lagi. Indah mahu belajar banyak perkara. Peluang yang ada di depan mata itu perlu dimanfaatkan sebaiknya.

Indah berdiri dan memandang ke luar tingkap. Teringat peritiwa-peristiwa yang berlaku dalam hidupnya. Sedari kecil dia hidup sederhana di kampung bersama abangnya, Bront dan ibu bapanya. Bront berhijrah ke Bandar usai umurnya masuk 20 tahun dan sehingga kini tidak ada khabar berita.

Ada yang kata Bront sudah meninggal di Bandar malah ada yang mengatakan dia sudah ke luar negeri. Itulah antara sebab kenapa Indah sangat takut untuk ke Bandar walaupun ditawarkan untuk belajar dan kerana sebab itulah dia memilih bekerja di kampungnya sahaja.

Saat-saat sendiri seperti itu, Indah teringat abangnya yang satu itu, masih hidupkah dia, apa khabarnya dan sebagainya.

Teringat Indah akan kata-kata abangnya beberapa hari sebelum meninggalkan kampung.

“Abang mahu hidup keluarga kita lebih baik daripada sekarang. Abang mahu cuba nasib di Bandar sana. Abang amanahkan bapa dan ibu dengan kamu June. June janji, tunggu abang pulang…”

Masih terngiang-ngiang di telinga Indah kata-kata abangnya itu sehingga kini. Namun abangnya yang dinanti hampir 7 tahun itu tidak juga kunjung pulang. Sehingga tahun ke lapan semasa Indah bernikah dengan Akram, abangnya itu tidak ada khabar berita.

Sebak hati Indah apabila teringat kata-kata abangnya itu. Dia sudah memungkiri janjinya. Namun Indah tekad, dia akan berusaha sedaya upaya menjaga orang tunya itu. 

                             ********************

“Syura. Mulai kejadian semalam. Abang tak nak Syura bawa Danish keluar dekat public lagi. Abang tak nak apa-apa berlaku pada anak kita.” Akram bersuara semasa mereka bersarapan.

 Syura masih memikirkan beberapa kemungkinan. Ini bukan kejadian yang kebetulan, ada orang yang merancang semua ini dan dia tahu benar siapa orang tersebut!

“Syura, Syura, awak dengar tak apa abang cakap ni?” Akram mengejutkan lamunannya.

“Syura dengarlah. Abang janganlah membebel pula. Hish!” Syura rimas dan terus meninggalkan meja makan tersebut.

Akram hanya memandang Syura berlalu dan geleng kepala. Danish masih diusap-usap kepalanya oleh Akram. Sepintas, Akram tiba-tiba teringat  kepada Aisha. Perangai dan sikap Syura amat berbeza sekali dengan Aisha. Tapi dia telah membuat pilihan dan dia tidak boleh berpatah balik.

Sementara itu, Syura bagai cacing kepanasan di dalam biliknya memikirkan kemungkinan itu dan kemungkinan ini. Dia memang pantang ada orang menganggu gugat hidupnya!

“Kalau kau yang buat semua ni, aku takkan lepaskan kau!” marah Syura sendirian sambil mundar mandir di biliknya.

 Segera Syura mendail nombor seseorang untuk kepastian.

“Helo.”

“Ya Syura sayang, takde angin, takde ribut call aku. Ada apa ni?” tanya seseorang di telefon.

“Kau jangan cuba kacau keluarga aku Amir. Kau kenal siapa aku dan aku kenal siapa kau. Ingat, sarang tebuan jangan berani diusik.” Syura memberi amaran.

“Syura, kau baik cakap terus terang dengan aku. Aku tak sukalah belit-belit macam kau ni. Dahlah kau tu pun belit-belit.” Amir pangkas amaran Syura tanda dia kurang senang.

“Kau yang cuba culik anak aku semalam? Kau kan? Kau jangan nak menafikan pula ya. Memang kau!” marah Syura, tiba-tiba emosi.

“Jangan main serkap jarang Syura. Aku ada bukti yang aku sekarang ni berada di kampung. Pak cik aku meninggal.” Amir memberitahu.

Syura geleng kepala, “Apa budak Tadika sangatlah kau ni Amir bagi alasan macam tu, kau jangan bagai baling batu sembunyi tangan. Ingat Amir, aku takkan lepaskan kau!” marah Syura dan kemudian menutup telefon bimbitnya.

Kemudiannya Syura duduk di hadapan cermin. Berasa puas hati dapat meluahkan rasa geram dan amarahnya atas apa yang berlaku semalam.

Tiba-tiba…

Telefon bimbit Syura berdering lagi. Segera diangkatnya.

“Helo Amir, kau nak apa lagi?!” tengking Syura kuat.

“Hai Cik Syura.”

Syura terkejut, “Kau siapa?” tanya Syura dan melihat sekejap nombor yang tidak dikenalinya tertera di skrin telefonnya, dia main angkat saja tadi.

“Tak perlulah tanyakan aku siapa. Cik Syura harus ingat, buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas sebaliknya. Ingat Cik Syura, apa yang Cik Syura buat tak berperikemanusian!” tiba-tiba saja suara orang dalam panggilan itu kuat.

“Kau jangan cuba ugut aku, dalam hidup aku tiada siapa yang boleh ugut aku. Kau faham tak? Kalau kau berani kacau aku, aku tekad akan balas balik. Ingat tu! Aku tak takut!” Syura bersuara berani.

“Hahaha… Hahaha..”

Hanya ketawa yang kedengaran daripada panggilan tersebut.

“Helo, helo? Orang gila!” marah Syura dan mematikan panggilan telefon tersebut.

Banyak perkara yang Syura fikirkan, dengan siapa pula dia bermusuh. Memang tidak ada, tiba-tiba dia teringat pula akan Aisha.

“Ah! Tak mungkin, dia dah mampus dekat laut tu ha.” Syura menolak kemungkinan dan ke bilik air untuk membasahkan wajahnya akibat rasa kurang selesa akan keadaan tersebut.

                                  
                                     *******************


Darwish masuk ke dalam sebuah pusat beli belah untuk membelikan sesuatu buat Indah. Saja dia berbuat demikian mengenangkan Indah akan ke Korea lagi dua hari. Dia senyum sendiri tatkala melihat hadiah yang dibelinya.

“Harap-harap Indah suka,” desis hati kecilnya.

Darwish melihat ke kiri dan ke kanan. Tidak berapa ramai orang di pusat beli belah itu, almaklumlah hari itu bukan hari cuti. Darwish tarik nafas dan menuju ke parkir di tingkat bawah untuk cepat-cepat ke apartment Indah.

“Apa pasal pula lah kereta ni…”

Darwish terdengar seseorang merungut dan dia seakan kenal suara tersebut. Dia lihat ke kanan, sah! Memang dia.

“Assalamualaikum Cik Fira. Kenapa dengan kereta awak ni?” Darwish menyapa dengan memberi salam.

“Waalaikumsalam Encik Darwish. Terkejut saya. Kereta buat hal lah Encik Darwish.” Fira menjawab sambil memandang Darwish.

Darwish senyum, “Saya cuba tengokkan. Tapi tak janjilah boleh okey.” Darwish menawar diri memberi bantuan.

Fira angguk, “Tak apa Encik Darwish. Kalau tak okey nak buat macamana.”

Darwish cuba melihat beberapa wayar di bahagian enjin dan memperbetulkan apa yang patut. Kemudiannya dia cuba menghidupkan kereta tersebut.

“Maaf Cik Fira, kena masuk bengkel dah ni. Lama tak servis agaknya. Kalau tak keberatan, boleh saya hantarkan. Nanti saya callkan tow truck. Boleh?” tanya Darwish takut Fira enggan.

“Tak apalah Encik Darwish, macam menyusahkan pula. Yang susah tu saya, bukan Encik Darwish. Dekat sini banyak teksi. Its okey.” Fira memberi kata putus.

“Cik Fira nak ke mana? Kalau sama jalan, alang-alanglah,” tanya Darwish lagi.

“Encik Darwish, kalau saya cakap dekat mana pun Encik Darwish akan cakap lain kan. Baik, kali ni kalau Encik Darwish nak hantar saya, saya okey.” Fira memberi persetujuan.

“Kalau macam tu dari awal lagi kan bagus.” Darwish senyum.

“Saya jenis yang tak suka menyusahkan orang. Maaf. Saya memang macam tu. Cepatlah, nanti saya ambil masa Encik Darwish pula.”

Darwish membawa Fira menuju ke keretanya yang terletak di hujung. Kemudiannya Darwish keluar dari kawasan bangunan tersebut selepas menghubungi tow truck.

“Maaf sekali lagi Encik Darwish.” Fira meminta maaf.

“Tak apa Cik Fira. Awak dah tolong saya banyak dekat office. Setakat tolong macam ni sikit punya hal. Awak nak ke mana?” tanya Darwish sekali lagi meminta kepastian.

Fira senyum, “Encik Darwish, hari ni bukan hari cuti. Jadi, saya kena balik ke office,” jawab Fira geleng kepala.

“Oh, ya ke? Maaflah Cik Fira, ingatkan hari ahad. Rasa macam ahad.” Darwish cover malunya sendiri.

Fira senyum sendiri, kemudiannya dia pandang Darwish yang memandu di sebelahnya. Sudah 5 tahun dia menjadi setiausaha di syarikat yang dikendalikan oleh Darwish dan selama itu, Darwish tidak pernah membawa seorang pun perempuan atau memperkenalkan teman wanitanya jika ada sebarang majlis syarikat dan lainnya. Sepatutnya Fira memanggil Darwish boss, tapi kerana Darwish lebih selesa dipanggil Encik Darwish, maka, Fira sudah terbiasa.

“Fira tak ada buah hati ke?” pertanyaan Darwish menimbulkan rasa kurang selesa pada Fira.

“Erm, tak tahu nak cakap macamana. Encik Darwish, its personal thing. Tak ada dalam polisi kerja kan?” Fira bertanya kembali.

Darwish senyum, dia faham Fira memang agak skema sikit, “Maaf Cik Fira, saya tak bermaksud apa-apa.” Darwish meminta maaf.

“Ke, Encik Darwish nak cerita pasal buah hati Encik Darwish? Saya okey je.” Fira mengusik.

Merah padam wajah Darwish. Keadaan jeda.

‘Alahailah boss aku ni, kalau bab-bab macam ni dah agak dah ada lambat sikit.’ Fira mengumam seorang diri.

‘Nak bagitau ke tak ni, mungkin tak kot, buat malu je nanti, kena tunjuk yang aku ni okey dalam bab-bab macam ni,” desis hati kecil Darwish yang serius memandu.

Keadaan menyelamatkan Darwish kerana keretanya sudah masuk ke dalam kawasan parkir syarikat kendaliannya.

“Maaf atas pertanyaan saya tadi Encik Darwish jika kurang selesa dan Terima Kasih. Hadiah tu balutlah elok-elok lain kali Encik Darwish, biasanya orang perempuan suka tengok hadiahnya kemas,” sempat pula Fira memberikan tips sambil melihat hadiah yang dibeli Darwish di belakang kereta.

‘Alamak! Kantoi,’ gumam Darwish sendiri, dia hanya senyum.

“Terima Kasih Cik Fira. Saya pergi dulu. Terima Kasih atas nasihatnya. Assalamualaikum.” Darwish memberi salam.

“Waalaikumsalam.” Fira menjawab dan turun daripada kereta Darwish.

 Darwish memerhati Fira masuk dan hilang daripada pandangannya. Gadis bertudung itu memang tetap pendiriannya, sebab itulah Darwish selesa menjadikan setiausaha di syarikatnya. Kerana skemanya itu, pernah dia menghubungi Darwish seawal jam 3 pagi untuk mengemaskini data syarikat dan mendapatkan pengesahannya. Darwish senyum sendiri dan kemudian meneruskan pemanduan menuju ke pejabat ibunya untuk sama-sama melawat Indah di apartmentnya.  

                                ***********************

Indah rasa bosan. Teringin pula dia keluar. Usai menghubungi teksi, Indah turun ke bawah. Hari ini dia tidak mahu ke mana-mana, cuma mahu melihat Bandaraya Kuala Lumpur bagi menenangkan hatinya. Nasib baiklah Puan Zulaikha ada membekalkannya dengan sedikit duit jika ada keperluan, malah semua yang ada di apartment itu memang sudah disediakan oleh Puan Zulaikha.

“Cik nak ke mana?” tanya pak cik teksi di dalam kereta itu sebaik saja Indah masuk.

“Tak apa, pak cik jalan je. Nanti saya beritahu.” Indah menjawab sambil membetulkan selendang yang dipakainya. Seat belt juga dipakai kemas.

Hampir 15 minit, teksi itu masuk ke kawasan lebuhraya. Sampai di lampu isyarat, teksi yang dinaiki Indah berhenti. Indah pandang ke sebelah kirinya kerana dia memang duduk di kerusi belakang teksi tersebut.

Seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, dia melihat Akram benar-benar di sebelah teksi tersebut sedang memandang ke hadapan! Indah terdiam, dia memandang Akram, hatinya masih berdebar-debar.

‘Tuhan, perasaan apakah ini? Kenapa kau masih timbulkan rasa ini Tuhan. Hilangkanlah rasa ini…’ hati kecil Indah berbisik-bisik.

Rasa benci dan amarah yang membara-bara itu seakan mahu meletus ketika itu juga, nasib baiklah lampu isyarat bertukar hijau dan kereta Akram hilang daripada pandangan. Indah lega dan cuba beristigfar beberapa kali…

bersambung...

p/s -- Maaf atas kelewatan entry. Adapun Terima Kasih masih sudi singgah membaca sambungan SESUCI ANGIN SYURGA. Moga harinya ceria-ceria selalu. ^__^

4 comments:

Unknown said...

huh, suspen jerk..hahaha..n3 lagi..

Fatrim Syah said...

Terima Kasih singgah komen Weeda. Insya ALLAH esok sambungan BAB 11 jika takde aral. ^__^

AshiroAisyi said...

salam.. best karya. isi boleh tahan mantop. jemput try karya sini -> http://ashikakkoii.blogspot.com

Anonymous said...

Npa bab 11 sya tk jmpa???$ huhuhh..dh best dh citer dia..