~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Monday, 21 October 2013

E-Novel 'KELIP KELIP' (Bab 7)



                                                                      BAB 7
 KELIP KELIP

“INDAH dah bersiap?” tanya Puan Zulaikha pada Indah usai bersarapan pagi itu.

Indah memandang ibunya, “Kita nak ke mana mama?” tanyanya, walaupun dia masih lagi kurang selesa memanggil Puan Zulaikha dengan panggilan tersebut.

“Hari ni kita ke sebuah tempat. Mama tahu, Indah pasti suka tempat tu nanti.” Puan Zulaikha senyum memandangnya.

Indah berteka teki sendiri, jika baik pada Puan Zulaikha, pasti baik pada dirinya juga. Usai mematikan televisyen, mereka bersiap untuk bertolak. Indah memakai selendang di kepalanya seperti biasa, sejak akhir-akhir ini Indah lebih biasa begitu.

“Pak Din, kita bertolak sekarang,” arah Puan Zulaikha pada pemandunya.

Puan Zulaikha pandang Indah yang masih berdiam diri, “Mama tahu semua ni terlalu cepat untuk Indah. Mama harap Indah dapat menyesuaikan diri Indah, jangan anggap semua ini beban Indah. Anggap semua ini pengorbanan buat diri Indah sendiri.” Puan Zulaikha berkata lembut dan memegang tangan Indah erat.

“Insya ALLAH mama. Indah faham. Jauh lagi ke tempatnya mama?” tanya Indah tidak sabar.

“Lagi setengah jam.”

Indah memandang dirinya di kaca cermin kereta itu, dia memandang biasan wajahnya, ‘Maafkan aku Aisha, bukan aku mahu membuangmu daripada hidupku, tapi setiap kali aku teringat namamu, aku akan teringatkan dia.. demi dia aku menukar nama itu dan nama itu dia yang pilih...’ Indah mengumam seorang diri cuba melupakan apa yang telah terjadi.

“Pak  Din, buka tv tu, rasa bosan pula.” arah Puan Zulaikha.

Segera Pak Din menekan punat tv di sebelah kirinya.

“Usahawan kosmetik terkemuka negara Puan Syura Ahmad pengasas kecantikan Pearl Jelita ada bersama kita, boleh Puan kongsikan rahsia Puan sehingga mencapai tahap sekarang Puan?” tanya pengacara bertugas itu.

“Alhamdulillah. Terima Kasih kerana menjemput saya ke studio hari ni terlebih dahulu...”

“Pak Din, tutup rancangannya,” arah Puan Zulaikha tiba-tiba.

Indah sempat memandang temubual bersama isteri Akram itu tadi, hatinya kembali teringat pada Akram. Puan Zulaikha diam, dia tahu apa perasaan Indah ketika itu.

Setengah jam kemudian mereka sampai ke sebuah tempat. Indah dan Puan Zulaikha turun dan memandang ke sebuah tempat. Indah memandang papan tanda di depannya.

“Indah, ini rumah anak yatim yang mama tubuhkan. Mari masuk,” pelawa Puan Zulaikha.

“Iya mama?” Indah seakan tidak percaya, dia melihat sekeliling. Perlahan-lahan Indah melangkah mengiringi Puan Zakiah masuk ke dalam rumah anak yatim tersebut.

“Assalamualaikum..” Puan Zulaikha memberi salam.

“Waalaikumsalam..” terkocoh-kocoh seorang wanita bertudung labuh menuju ke arah Puan Zulaikha.

Wanita itu senyum memandang mereka berdua, “Lama Puan tak datang. Masuk Puan,” pelawa wanita itu.

Puan Zulaikha memandang Indah, “Indah, ini Puan Shaliza penjaga rumah anak yatim ini. Puan Shaliza, ini anak saya Indah.” Puan Zulaikha memperkenalkan.

 Mereka berdua berjabat salam dan terus masuk ke dalam. Indah pandang semua anak yatim yang memerhatikan mereka. Ada 30 orang kesemuanya, kesemuanya comel-comel belaka pula.

“Mama Ikha lama tak datang,” salah seorang budak perempuan yang paling comel mendekati Puan Zulaikha.

Puan Zulaikha mengusap kepalanya, “Mama sibuk sayang. Nah, ini hadiah untuk kamu Zakiah.” Puan Zulaikha memberikan beg baru pada Zakiah, kemudian dia memberi beg baru kepada anak-anak yatim yang lain.

“Mama sudah lama buka rumah anak yatim ni?” tanya Indah ingin tahu.

Puan Zulaikha pandang anak yatim itu, “Sepuluh tahun lalu. Semua ini sebab Darwish. Mama ambil dia sebagai anak angkat mama sebab mama takut dia diapa-apakan ketika dia masih kecil Indah. Mama nampak sendiri ibu dan ayahnya mati ditembak depan mama. Sebab tu, jika mama tak nak Darwish jadi macam tu, mama terfikir nasib anak-anak yatim di luar sana. Macam mereka semua ni, mereka tak berayah tak beribu. Kita yang senang ni harus membantu mereka yang susah. Tak ada ruginya membantu sesama manusia,” jawab Puan Zulaikha panjang lebar.

Indah melihat seorang kanak-kanak lelaki lingkungan 6 tahun mengasingkan diri daripada kanak-kanak di situ. Indah mendekatinya.

“Adik kenapa?” tanya Indah lembut.

“Adik nak mama, nak papa..” kanak-kanak itu bersuara.

Indah faham, dia pandang kanak-kanak itu, “Adik, mama dan papa adik sekarang di syurga. Kalau adik sayang mereka, adik doa banyak-banyak untuk mereka ya. Mereka sayang adik. Kakak sayang adik juga.” Indah memujuk.

Kanak-kanak  lelaki itu pandang Indah, kemudian dia peluk Indah erat. Bila merasakan badan kanak-kanak itu yang lembut dan selesa, air matanya segera menitis.  Tapi Indah kuatkan hatinya. Kemudiannya dia lihat kanak-kanak lelaki itu sudah mahu makan dan minum.

Sementara itu Puan Zulaikha sibuk bercakap di telefon, Indah melayan karenah anak-anak yatim di situ bersama Puan Shaliza. 5 minit kemudian, Puan Zulaikha mendekati Indah.

“Indah, kita tak boleh lama, mama ada hal di pejabat.” Puan Zulaikha memberitahu.

Indah faham isyarat itu, “Mama, boleh tak kalau Indah dekat sini saja. Nanti Indah balik. Boleh ya ma?” pinta Indah.

Puan Zulaikha faham, Indah bukannya burung mahu dikurung-kurung, “Okey, nanti mama suruh Pak Din ambil kamu ya. Mama pergi dulu, Puan Shaliza, saya pergi dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam,” jawab Indah dan Puan Shaliza serentak.

Indah melihat Puan Zulaikha berlalu. Puan Shaliza memerhatikannya.

“Sebelum ni belajar di mana?” tanya Puan Shaliza membuka perbualan.

Pertanyaan Puan Shaliza itu membuatkan Indah serba salah mahu menjawab apa, “Saya sebenarnya baru habis kursus di sebuah kolej. Mungkin tak lama lagi belajar di luar negara,” jawab Indah.

“Oh begitu. Kamu ni macam nampak ada masalah saja. Jangan disimpan masalah tu dik, selalulah berdoa minta semuanya dipermudahkan ya.” Puan Shaliza memberi pendapat.

“Insya ALLAH.” Indah senyum.

Indah faham apa yang diperkatakan oleh Puan Shaliza itu ada benarnya. Indah diam.

“Saya dulu diambil mama kamu menjaga rumah anak yatim ini, segan mahu diceritakan. Saya dulu mangsa pukul suami sendiri. Nasib baik ada mama kamu membantu saya, jika tidak, entah apa jadi hidup saya sekarang.” Puan Shaliza membuka ceritanya.

“Mama memang macam tu,” puji Indah.

“Kalaulah semua manusia dalam dunia ni macam mama kamu, aman dunia ni. Tapi iya, Allah swt mencipta manusia dengan pelbagai perangai dan perasaan ada hikmahnya.”

Indah hanya mendengar dan mendengar. Puan Shaliza pula seakan tahu, Indah nampaknya seakan kurang mahu berbual-bual panjang.

Tepat jam 3 petang, Pak Din datang dan mengambil Indah untuk balik apartmentnya. Mulanya Indah mahu saja terus balik, tapi memandangkan ada barang yang mahu dibelinya, segera Indah meminta Pak Din ke kedai serbaneka 24 jam berdekatan.

“Saya tak lama Pak Din, nak beli barang sikit saja.” Indah memberitahu.

Indah masuk ke dalam kedai dan membeli beberapa keperluannya, semasa Indah keluar daripada kedai serbaneka 24 jam itu, Indah terlihat seorang lelaki dan seorang perempuan separuh umur sedang duduk di kaki lima di hadapannya, wajah mereka tunduk, kelihatan pula beberapa orang lalu lalang menghumban duit kepada mereka. Dengan perlahan, tangan kedua orang itu mengambilnya dan menyimpannya ke dalam poket mereka.

Indah tersentak! Makin diperhatikan, dia kenal sekali dengan mereka berdua. Itu ibu dan ayahnya!

 Indah sebak melihat mereka dalam keadaan lemah dan kotor. Kembali Indah teringat pada dirinya, pada keluarganya. Baru saja tadi dia melawat rumah anak yatim yang menempatkan mereka yang tak berayah dan tak beribu, tapi dia pula mengabaikan ibu dan ayahnya yang masih hidup. Indah sebak. Namun Indah telah terlanjur menerima syarat Puan Zulaikha, Indah sudah tidak boleh berpatah balik lagi, dia bukan seorang yang mungkir janji. Segera Indah masuk ke dalam kereta dan memandang Pak Din.

“Pak Din, boleh bantu saya? Saya minta sangat-sangat Pak Din. Lepas hantar saya, saya minta Pak Din ambilkan teksi untuk lelaki dan perempuan separuh umur di kaki lima tu dan saya minta hantarkan mereka balik ke Kuantan. Tolong Pak Din. Ini duitnya.” Indah meminta dan menyerahkan duit belanja untuk penghantaran tersebut.

Pak Din memandang ke arah orang yang dimaksudkan Indah, “Baik Cik Indah.” Pak Din faham.

Indah memandang mereka berdua buat kali terakhir, sebak dirasakannya menusuk di kalbu. Sungguh, dia sangat sayangkan orang tuanya itu. Dia rasakan dirinya bagai anak derhaka tidak membela mereka tempoh hari.

‘Mama dan ayah jangan risau, mama dan ayah baliklah. Aisha akan datang kembali mama, ayah. Aisha janji,’ tekad Indah dalam hati sambil memandang kedua orang tuanya masih saja di situ.  

Kereta Pak Din berlalu bersama Indah yang runtun hatinya. Tiba-tiba saja kemarahannya pada Akram meluap-luap hingga dia mahu saja berteriak semahu-mahunya!

bersambung...

p/s -- Terima Kasih atas bacaan anda. Maaf jika ada kekurangan ya. ^__^

4 comments:

Cik Myn Famieza said...

semakin menarik..dan semakin menarik...itu yg dpt diungkapkan...ciss ayat novel! hahaha...
btw, nak lagi... bab 8 pleasee!

Fatrim Syah said...

Terima Kasih Syarmin singgah komen ke sini.

Gulp! Hanya melakar sebuah kisah biasa-biasa.

Insya ALLAH, esok sambungan BAB 8 ada.

FATRIM SYAH.

nurul nuqman said...

makin menarik,tapi mana gmbar darwish?n darwish kurang menonjol dlm bab ni hehe :)

Fatrim Syah said...

Nanti gantikan Pak Din dengan Darwish. Iyalah, kalau Pak Din, nanti dia beritahu Puan Zulaikha majikan dia. Nanti diperbaiki lagi.

Thanks singgah komen. :)