~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Saturday, 19 October 2013

E-Novel 'KELIP KELIP' (Bab 5)


BAB 5
KELIP KELIP
AISHA memandang ke luar tingkap. Merenung nasib diri, mengingat peristiwa kejam yang baru berlaku dalam hidupnya. Sampai tegar Akram mahu membunuhnya hanya kerana ingin hidup bersama isteri keduanya. Baru sekarang Aisha faham hati nurani Akram, maksudnya selepas 2 bulan mereka berkahwin, itupun nikah biasa saja, Akram berkahwin lagi. Aisha sedar kekurangan yang ada pada dirinya, dia tidak setanding dengan isteri kedua Akram itu, Aisha melihat surat khabar yang masih berada di tangannya, wanita bernama Syura itu adalah pengasas kosmetik terkemuka negara. Jika dibandingkan dengan dirinya itu memang bagai langit dengan bumi, rambutnya yang panjang itu saja tidak tersisir rapi, wajahnya, pakaiannya semua gaya kampung. Aisha sedar, hidupnya dulu cuma di kampung, bekerja pula di Chalet yang ada di kampungnya. Bukan tidak pernah Aisha kepingin untuk berbaju cantik, Aisha memang kepingin untuk bergaya. Tapi keadaan, keadaan dirinya, tempat dirinya di rumah keluarga suaminya itu yang bagaikan orang gaji rumah itu tidak memungkinkan segalanya. Bila mengimbas kembali kehidupan setahun itu Aisha rasa dirinya benar-benar diperbodohkan oleh Akram! Aisha rasa dirinya tak guna, tak berpendirian, kerana cinta dia sanggup menahan semua itu.
Ting Tong! Ting Tong!
Bunyi loceng pintu membubarkan lamunan Aisha. Segera dia membuka pintu.
“Aisha...” segera Puan Zulaikha memeluk Aisha.
“Puan..” Aisha juga memeluknya erat sambil menangis.
“Maafkan saya Aisha. Saya tahu hal sebenar tapi tak beritahu kamu. Saya tak nak kamu kecewa. Saya nak kamu lihat sendiri apa yang sebenarnya terjadi.” Puan Zulaikha memberitahu.
Aisha faham, air matanya mengalir lagi deras, Puan Zulaikha membiarkannya menangis dan menangis.
Setengah jam kemudian...
“Sudahlah Aisha, usah dikenang apa yang berlaku. Aisha, saya datang ke sini mahu membantu kamu.” Puan Zulaikha meluahkan hasratnya.
“Bantu saya? Saya sudah banyak terhutang budi pada Puan dan Darwish. Usahlah Puan.” Aisha menolak.
Puan Zulaikha mendekati Aisha yang memandang ke luar tingkap, dia memegang tangan Aisha, “Aisha, 22 tahun lalu anak perempuan saya hilang. Namanya Indah, saya tak pernah beritahu sesiapa tentang hal ini. Saya nak kamu jadi Indah. Kamu setuju?” Puan Zulaikha berterus terang akan niatnya.
“Tapi untuk apa Puan?” tanya Aisha yang masih polos itu.
Puan Zulaikha memandangnya, “Aisha. Saya nak kamu menjadi sebahagian daripada keluarga saya. Lagi satu, bukan kamu seorang saja yang teraniaya dengan Tuan Rahim dan keluarganya itu. Biarlah saya berterus terang. Saya adalah bekas isteri Tuan Rahim yang ditinggalkannya demi harta arwah ayah saya. Aisha, sesungguhnya Tuhan tidak pernah menyuruh hambanya untuk menyimpan dendam. Tapi saya ingin apa yang keluarga saya punya dikembalikan pada saya. Itu hak saya.” Puan Zulaikha menerangkan segalanya.
Aisha tersentak dan terkejut dengan kebenaran yang dia tahu, baru dia sedar Puan Zulaikha juga dianiaya oleh suami sendiri, “Jadi, Darwish tu anak Tuan Rahim?” tanya Aisha ingin tahu, menebak yang Darwish adalah adik beradik tiri Akram.
Puan Zulaikha geleng kepala, “Darwish bukan anak kandung saya. Banyak perkara yang saya akan beritahu nanti. Sekarang ni saya hanya nak kamu bersetuju menjadi Indah. Jangan risau Aisha, tiada siapa akan bertanya hal ini. Tapi dengan syarat, kamu melupakan Aisha, kamu lupakan Aisha yang berada di depan mata saya ni. Lupakan tentang keluarga Aisha." Puan Zulaikha memberi syarat.
"Tapi Puan.." Aisha seakan sukar menerima syarat itu.
"Macam nilah, saya bagi Aisha seminggu untuk berfikir. Jika Aisha bersetuju, Aisha stay di tempat ini. Jika sebaliknya saya faham pilihan Aisha. Saya tidak memaksa. Tapi fikirlah semasak-masaknya.” Puan Zulaikha memandangnya dengan penuh harapan agar menerima tawaran tersebut.
“Saya akan fikirkan Puan. Terlalu banyak perkara yang mengecewakan saya di sini,” balas Aisha.
Puan Zulaikha hanya memandang, dia tahu apa yang dirasakan Aisha tika ini. Dia tahu kesakitan Aisha hampir sama dengan kesakitan dianiaya oleh satu-satunya suami sendiri! Puan Zulaikha memandang Aisha, dia mahu bantu gadis itu. Dia tidak mahu Aisha menjadi dirinya yang lemah dan mengalah suatu ketika dulu. Dia tahu gadis polos dan lurus itu boleh dibimbing dan sekaligus mengubat hatinya akibat kehilangan Indah. Dia tahu, sudah tiba masanya untuk dia mengambil kembali hak keluarganya!
“Aisha, saya pergi dulu. Assalamualaikum.” Puan Zulaikha meminta diri.
Aisha kemudiannya memeluk Puan Zulaikha sekali lagi, “Waalaikumsalam Puan. Terima Kasih untuk segalanya.”
“Aisha kena kuat. Kita jangan takut dengan cabaran hidup. Untuk melawan musuh kita kena gunakan akal yang Tuhan beri pada kita. Aisha bertenang dan berehatlah. Nanti ada apa-apa saya akan suruh Darwish jenguk kamu.” Puan Zulaikha berpesan dan kemudiannya keluar dari rumah tersebut.
                                       **************************
Sudah tiga hari sejak Puan Zulaikha datang ke apartment yang disediakan untuk Aisha itu. Aisha buntu. Aisha tidak tahu mahu berfikir apa-apa. Sesungguhnya apa yang dimahukan olehnya sekarang adalah bertemu empat mata dengan Akram. Dia mahu tahu kenapa Akram buat dirinya begitu, kenapa Akram sanggup membunuhnya!
Plash!
Aisha membaling gelas kaca di depannya. Air mata dipipinya yang mengalir itu dilap. Dia berdiri dan memandang cermin.
“Aisha, kau kena kuat. Kau jangan menangis lagi. Kau kena berdiri Aisha. Kau kena berdiri! Kau kena berdiri!” berkali-kali kata-kata itu Aisha laungkan semakin kuat dan semakin kuat.
Kini Aisha tahu apa jawapannya untuk tawaran Puan Zulaikha hari itu. Aisha senyum di balik matanya yang bengkak menangis. Ada titik harapan yang dia tidak akan persia-siakan!
                                   ************************
“Daniel, mari sini.. Daniel..” Akram mengambil Daniel yang sudah pandai berjalan. Akram memerhati Daniel yang berjalan di taman dalam rumahnya.
Sejak Daniel hadir ke rumah keluarga itu, hidup keluarga Akram sangat bahagia. Telatah Daniel menghiburkan seluruh ahli keluarga itu.
“Hik...” Daniel ketawa memandang semua dan berjalan laju menuju ke arah Akram.
“Kamu ni Akram, kenapalah kamu tak beritahu ayah dan mak pasal Syura dan anak kamu ni. Sampai bila kamu nak simpan mereka. Nasib baiklah perempuan tak guna tu dah mampus. Kalau tak, sampai ke sudahlah kamu nak berahsia ya?” tanya ibu Akram, Puan Suraya sambil menuang teh kepada semua.
Akram senyum memandang Daniel dan menciumnya, “Sudahlah mama. Usah dikenangkan lagi. Usah ditanya lagi kenapa saya sembunyikan hal pernikahan saya dan Syura. Mak pun tahu kan orang kita ni kalau kahwin lebih dari satu, hebohnya bukan main. Nanti jadi bahan jualan akhbar pula.” Akram menjawab.
“Akram, Syura isteri kamu yang sah. Kamu nak takut apa.” Ayah Akram, Tuan Rahim mencelah.
“Itulah pasal. Takut dengan si Aisha la tu. Kamu boleh saja ceraikan dia dan serahkan dia balik pada keluarganya. Dekat sini pun menyusahkan kita saja.” Puan Suraya dengan sombongnya berkata demikian.
Akram diam. Dia tahu keluarganya akan banyak bertanya perihal halnya dan Syura. Dia berkahwin dengan Syura pun kerana terlanjur, jika bukan kerana Syura memberitahu dirinya mengandungkan anaknya, Akram sendiri akan berfikir dua kali untuk mengahwini Syura ketika itu. Masa itu dia tidak punya banyak pilihan. Lagipula dia merasakan Aisha pada masa itu seakan tidak bermakna lagi.
“Assalamualaikum. Rupanya semua dekat sini, patut sunyi dalam rumah.” Syura memberi salam dan duduk di gazebo taman itu.
“Waalaikumsalam. Saja ambil angin.” Puan Suraya menjawab salam anak menantunya yang baru balik itu dengan gembira, malahan mereka berlaga pipi.
“Mama, ayah, Syura ada belikan hadiah untuk mama dan ayah.” Syura mengambil sesuatu daripada beg yang dibawanya.
Seutas jam tangan jenama Rolex dan set barang kemas jenama Habib dikeluarkan, “Jam tangan ni untuk ayah, set barang kemas ni untuk mama.” Syura menyerahkan barang-barang itu pada ayah dan ibu Akram.
“Terima Kasih. Cantiknya Syura. Ini koleksi terkini Habib kan?” Puan Suraya girang dan terus membuka set barang kemas tersebut dan menyentuhnya dengan senyuman yang lebar.
Tuan Rahim segera membuka kotak jam dan memakai jam berjenama itu, “Terima Kasih Syura. Macam tahu-tahu pula selera ayah. Beruntung kamu Akram dapat isteri macam ni. Ha, untuk Akram tak ada apa-apa ke?” tanya ayah Akram, Tuan Rahim bergurau.
“Untuk abang Akram yang disayangi, tentulah ada. Since Syura tahu abang Akram sukakan wallet, Syura belikan satu set, ada bell dan wallet sekali.” Syura memberikan kotak kepada Akram, wallet berjenama mahal itu memang kesukaan Akram.
“Syura, tak perlulah membazir macam ni. Kamu hadir dalam keluarga mama pun dah macam satu hadiah buat kami semua. Sekali ada Daniel pula tu. Bahagia rasanya.” Puan Suraya bersuara.
“Tak apalah mama. Sekali sekala. Lagipun perniagaan kosmetik Syura sekarang ni tengah baik. Ha, kalau mama nak melabur sekali dalam bisnes Syura pun boleh,” cepat saja Syura memasukkan jarumnya.
Puan Suraya girang, “Boleh, tentu boleh. Nanti mama datang pejabat kamu. Lagipun senang kerjasama dengan keluarga sendiri.” Puan Suraya menerima pelawaan dan memegang tangan Syura.
“Hik..” sekali lagi Daniel ketawa, semua orang senyum memandangnya.
Dari kejauhan, Aisha memandang kebahagiaan keluarga itu, masing-masing bergelak tawa sesama mereka. Dia rasa bagaikan mahu menghumban bom  ke rumah itu dan menghentikan tawa mesra yang mengigit sanubarinya tika itu. Selepas itu Aisha beredar mengambil teksi sebelum dia ternampak ayah dan ibunya yang baru datang ke rumah itu.
“Berhenti kejap.” Aisha mengarah pada pemandu teksi itu.
Aisha memandang ke belakang. Dia mahu turun dan berjumpa dengan ibu bapanya, dia buka pintu teksi itu, namun tiba-tiba langkahnya terhenti. Dia teringat pesanan Puan Zulaikha tempoh hari, jika dia mahu menjadi Indah, dia harus melupakan Aisha. Juga sekaligus melupakan keluarganya.
“Pak cik jalan sekarang.” Aisha memberi arahan.
Dari jauh Aisha hanya memandang ayah dan ibunya yang mungkin akan dihalau dan dimaki hamun lagi. Kasihan dia melihat mereka datang jauh-jauh begitu dan dilayan tak seumpamanya manusia. Ini menguatkan lagi hati Aisha untuk menerima saja tawaran Puan Zulaikha. Air mata Aisha menitis.

bersambung...

p/s -- Terima Kasih singgah baca karya saya. Jemput berikan pandangan anda jika sudi. Klik LIKE jika suka. Jangan lupa LIKE saya juga dalam Anugerah Novelis Newcomer tau. ^_^
 

2 comments:

nurul nuqman said...

ayim,satu teguran dri weeda, bunyi kaca pecah tu mcm lbh dekat dekat dgn bunyi gini tau

prang.. satu tu je komen,sory.setiap n3 nak komen haha :)

Fatrim Syah said...

Thanks Weeda, nanti Ayim betulkan. Hari tu dah terbaca tapi x ingat, ekeke. ^__^