BAB 9
AWAL pagi itu Aril menghubungi Dato’ Mazil ayah Khalisah
mengenai hasratnya ingin memperisterikan Khalisah. Bagi Aril, semua itu harus
dipercepatkan, dia takut kalau-kalau hati Khalisah berubah. Dato’ Mazil
langsung saja bersetuju dengan hasrat Aril, baginya itu merupakan rahmat.
Lagipula keinginannnya tinggi agar anak tunggalnya itu berkahwin dengan lelaki
yang diharapkan seperti Aril sejak kematian isterinya beberapa tahun lalu. Arwah
isterinya juga berhasrat agar Aril
mengahwini Khalisah. Dalam erti kata lain, bolehlah syarikatnya dan syarikat
ayah Aril itu bergabung. Maklum, adiknya Dato’ Malik ayah Aril itu menjalankan
bisnes yang lebih kurang sama dengan syarikatnya. Sebenarnya, ada juga Dato’
Mazil menyarankan pada anak angkat ayahnya itu untuk bergabung tapi belum ada
alasan kukuh pula.
“Jadi, bila rombongan merisiknya nak datang?” tanya Dato’
Mazil.
“Mungkin bulan depan, jangan inform Khalisah ya uncle,
biar jadi kejutan,” pinta Aril.
“Okey. Itu pasti,” janji Dato’ Mazil.
Usai meletak telefon, Dato’ Mazil memanjatkan syukur.
“Papa, sarapan pa.. Mak Jah dah siap buat kopi papa ni..”
Khalisah memanggil ayahnya yang berada di tingkat atas.
“Ya, ya, kejap...”
Dato’ Mazil melangkah pantas menuju ke meja makan, di
sana Khalisah sudah menunggu ayahnya untuk bersarapan bersama. Khalisah
memandang ayahnya yang tersenyum sinis di meja makan.
“Papa senyum-senyum ni kenapa?” tanya Khalisah.
“Senyum kan sedekah, lagipun dah tua macam papa ni, lebih
baik banyak bersedekah,” jawab Dato’ Mazil.
“Iyalah pa. Tadi papa terima panggilan siapa? Lama
berbincang..” tanya Khalisah.
Pertanyaan Khalisah membuatkan Dato’ Mazil hampir
tersedak kuih pau ayam kegemaran yang sedang dimakannya, tetapi kemudian
ditenangkan diri agar tidak membuka rahsianya dengan Aril.
“Tak, tak ada apa-apa. Kawan papa dekat Johor, saja dia
tanya khabar, jemput majlis kahwin anaknya.” Dato’ Mazil memberi alasan.
Khalisah dapat menebak sesuatu, ada juga rasa ingin
tahunya. Tetapi dibiarkan saja rasa kesangsiannya itu, lagipun masih banyak
yang perlu difikirkannya di syarikat.
Usai bersarapan, Khalisah terus keluar. Kereta Skyline
miliknya dimasuki dan sedia untuk beredar. Meskipun bergelar boss di sebuah
syarikat besar, Khalisah tidak menggunakan khidmat pemandu, dia tidak mahu
digelar si malas yang duduk di kerusi belakang. Sambil memandu dan melihat
kesesakan lalu lintas di Bandaraya Kuala Lumpur dia menekan punat radio. Nasib
baiklah celoteh Usop Wilcha di Hot FM dalam segmen english education agak menghiburkan. Khalisah menunggu-nunggu juga
kalau-kalau ada lagu kegemarannya diputarkan juruhebah. Memasuki lebuhraya
Sprint, lagu kesukaan Khalisah dikumandangkan. Untuk menghilangkan tekanan
akibat kesesakan jalan raya, Khalisah turut menyanyi lagu-lagu yang
berkumandang, sekurang-kurangnya dapat menenangkan hati.
Setengah jam kemudian, Khalisah sampai ke syarikatnya. Apabila
sampai ke pejabatnya, dia melihat Adam juga telah sampai. Rafida juga datang
awal, Khalisah melihat mereka berborak, tapi kelihatan amat serius. Khalisah
kemudian masuk dan menegur mereka.
“Wah! Macam bincang hal penting nampak?” tegur Khalisah.
“Cik Lisa ni, saya sedang ajar Adam kerja-kerja dialah.”
Rafida menjawab.
“Selamat Pagi Cik Boss.” Adam menyapa tapi tidak dijawab
Khalisah.
“Adam, masuk kejap, ada saya nak bincang, bawa semua
dokumen yang Rafida bagi ya,” arah Khalisah, nampaknya tugas Adam akan bermula.
Adam masuk ke dalam bilik Khalisah. Wanita itu nampaknya
sangat serius.
“Macamana dengan penerangan Rafida tadi? Lengkap? Secara
ringkasnya, Syarikat Seria Holdings terlibat dalam bidang hartanah dan
projek-projek perumahan, segala projek-projek kita bermula dari sekecil-kecil
hingga sebesar-besar. Dalam perniagaan ini, semua peluang harus diambil, awak
faham-fahamlah persaingan pasaran sekarang.” Khalisah menerang lagi panjang
lebar.
“Saya faham Cik Boss. Rafida dah explain semuanya,” jawab Adam.
“Okey. Jam 11 nanti awak temankan saya ke tapak projek.”
Khalisah memberi arahan.
Adam memandang Khalisah. “Tapak projek? Untuk apa Cik
Boss?” tanya Adam.
“Kenapa tanya? Awak nak kerja dekat tapak projek tu ke?
Awak ikut sajalah, jangan banyak bunyi. Sekarang, ambil ni, saya nak awak photocopy semua dokumen ni buat 11 set
ya,” arah Khalisah.
‘Ish perempuan ni, nak cekik rasanya’ marah Adam dalam
hati.
“Uhuk, uhuk!” Khalisah terbatuk.
“Awak mengumpat saya ya?!” marah Khalisah.
“Ish, tak adalah, tak baik main tuduh-tuduh. Saya keluar
dulu, ada kerja.” Adam pantas meminta diri dan membawa dokumen di atas meja.
“A.. wak!” marah Khalisah.
Sebaik keluar dari pejabat Khalisah, Adam senyum sendiri.
“Baru kau tahu jampi serapah aku, itu baru batuk.” Adam
berkata seorang diri dan ketawa dalam hati.
Dilihatnya dokumen di tangannya. Fuh! Tebalnya sahaja
cukup satu jangkal tangannya.
‘Ni hadiah tadilah ni, nasib-nasib...’ gumam Adam dan
terus ke kawasan pencetak.
Harap-haraplah sempat dan harap-haraplah mesin photocopy di pejabat itu boleh
digunakan. Kalau tidak memang masak dia, masak kunyit, masak gulai pun sapu.
“Wahai mesin photostat, tolonglah bermurah hati dengan
aku, jangan buat masalah ya..” sempat pula Adam menyeru mesin photostat.
Punyalah penat, menunggu kertas keluar boleh tertidur.
Adam termagu-magu di sana, kluk, klak, kluk, klak, itu sajalah bunyi yang didengarnya.
Kadang nadanya perlahan, kadang nadanya laju, nasib baiklah setakat ini belum
ada yang sangkut, kalau tidak memang dia lanyak agaknya mesin itu. Beberapa
pekerja memandang Adam.
“Baru kerja dah kena dera?” tanya salah seorang staf yang
kebetulan lalu di tepinya.
“Nasib badan..” jawab Adam membalas dengan senyuman.
“Shh.. orang tak bersuami memang macam tu, mood ikut dia,
awak kerjalah hati-hati. Setakat ni dah lima orang setiausaha dia berhenti tau,”
staf itu memberitahu, nada suaranya diperlahankan.
“Iya? Sebelum ni secretary
lelaki ke perempuan?” tanya Adam berminat.
“Perempuan. Dia memang tak nak secretary lelaki. Awak bertuah tu, by the way saya Khalid.” Staf lelaki itu mengenalkan diri.
“Saya Adam.” Adam senyum dan berjabat tangan dengan
Khalid.
“Okey, saya nak sambung kerja saya. Nanti bising pula
boss tu.” Khalid meminta diri.
‘Tak mahu secretary
lelaki? Jadi? Kenapa dia ambil aku? Ke, sebab nak balas dendam pasal malam tu
ke?’ gumam Adam sendirian.
Dia mati kata. Biarlah apa orang nak kata dan biarlah
Khalisah cuba mencari salahnya. Selagi dia mampu bertahan di situ, selagi
itulah dia bekerja dan memberi khidmat. Bukan senang mahu mencari kerja di
dalam keadaan sekarang.
*********
“Awak ada lesen memandu?” tanya Khalisah yang berada di
depan keretanya, sebentar lagi mereka akan ke tapak projek.
Fuh! Terbeliak bijik mata Adam melihat kereta Skyline
berwarna merah itu, sangat berkilat, gamaknya kalau bergambar di sebelah kereta
itu, kereta itu lebih menonjol daripada manusia barangkali.
“Saya boleh memandu, tapi buat masa sekarang, saya hanya
ada lesen motor sahaja,” jawab Adam jujur.
“Kalau macam tu,
awak follow saya. Guna motor awak.”
Khalisah membuka pintu kereta dengan lagaknya.
Ceh! Adam baru berangan hendak merasa naik kereta mewah.
Tapi tidak apalah, tengok pun dah cukup. Ikutkan sajalah arahan Khalisah, dia
kan Cik Boss...
Adam segera menuju ke tempat motosikalnya. Nasib baiklah
sudah upgrade, kalau dulu-dulu punya,
sah-sah kereta itu tidak dapat dikejarnya.
“Laju juga minah ni drive,
alah, orang kaya kalau kena saman pun macam beli kasut dekat pasaraya.” Adam
berkata sendiri dan masih cuba untuk tidak kehilangan kereta Khalisah di depan.
Beberapa minit kemudian mereka akhirnya sampai ke tapak
projek. Jauh juga tapak projek itu, nasib baik Adam sudah mengisi minyaknya
penuh. Kalaulah dia singgah lagi di stesen minyak mana mungkin bossnya yang
seorang itu akan rajin menunggunya. Sumpah! Potong jari pun dia takkan tunggu.
Khalisah turun dari kereta dengan memakai sunglasses hitamnya. Sekali pandang
memang sangat bergaya. Ala-ala model sunglasses pula, sempat Adam memandang
kasut merah yang dipakai Khalisah. 5 inci tu!! Boleh ke jalan tempat-tempat
macam tu.
‘Ish perempuan ni, agak-agaklah, dia ingat pergi shopping kat mall ke,’ gumam Adam mengherot mulut.
“Awak tunggu apa lagi tu, pegang payung ni,” arah
Khalisah memberikannya payung berwarna merah jambu.
‘Jadi bodyguard
pulak? Payung merah jambu pula tu, pleaselah...’
“Dah, cepatlah. Panas ni,” marah Khalisah, segera Adam
mengambil payung di tangan Khalisah dan memayungkannya.
“Selamat Datang Cik Khalisah,” seorang lelaki separuh
umur terkocoh-kocoh datang menghampiri mereka.
“Adam, ni Encik Majid, pengurus tapak projek ni.”
Khalisah mengenalkan.
“Saya Adam.” Adam menjabat tangan lelaki tersebut, lelaki
tersebut senyum memandangnya.
Adam mengikut ke mana Khalisah berjalan bersama Encik
Majid. Khalisah melakukan pemantauan di sana kerana projek masih di peringkat
awal. Adam memandang kawasan yang baru berturap itu, kawasan itu nanti bakal memberi
manfaat kepada masyarakat di sekitarnya. Adam belajar untuk memerhati tetapi
belum pantas untuk memberi pendapat.
“Macamana projek kita setakat ni Encik Majid?” tanya
Khalisah.
“Setakat ini semuanya dalam keadaan baik Cik Khalisah.
Cuma keadaaan cuaca agak tidak
menghabiskan kerja mengikut jadual yang ditetapkan,” jelas Encik Majid.
“Tidak mengapa, proceed
saja.” Khalisah faham.
Setelah berada lebih kurang sejam berada di tapak projek,
Khalisah beredar. Adam masih memayungkannya. Semasa dalam perjalanan ke kereta,
Khalisah terpaksa melangkah
berhati-hati, batu-batu kecil di situ agak licin selepas hujan malam tadi,
kasut tinggi yang dipakai Khalisah memang tidak sesuai untuk dipakai di tapak
projek itu, memanglah mahal kasut itu, tapi kalau di batu-batu seperti itu ia
umpama berjalan kaki di atas kaca.
Tiba-tiba... “Ouch!” Khalisah hampir tergelincir.
Adam lantas memegang lengan Khalisah dan memaut badannya
untuk menyelamatkannya.
“Cik Boss tak apa-apa?” tanya Adam menunjukkan sikap
prihatinnya.
Sempat Adam terpandang mata Khalisah, baru dia perasaan,
mata wanita itu berwarna coklat ala artis seberang Luna Maya. Sunglasess yang dipakai Khalisah jatuh
ke bawah.
“Sudah, lepaskan saya!” tiba-tiba pula Khalisah marah
kepadanya.
“Okey, okey, saya pun tak hingin nak peganglah. Cik Boss
pun satu, kalau tahu nak ke site tu,
pakailah kasut lebih rendah sikit.” Adam menasihat tiba-tiba.
“Suka hati sayalah, saya nak pakai kasut 5 inci ke, 10
inci ke sekalipun, apa awak kisah?” marah Khalisah pula, apa tidaknya, dia
tidak suka orang menasihatinya.
‘Perempuan tak
kenang budi! Dah dua kali aku selamatkan kau,’ gumam Adam marah seorang diri.
‘Nak ambil kesempatan lah tu, dasar lelaki miang!’ marah
Khalisah dalam hati.
Adam mendiamkan diri, malas dia melayan orang yang sedang
marah, iyalah, api dengan api nanti marak membara pula.
Khalisah yang masih saja geram cuba berjalan menuju ke
keretanya, “Argh!” Khalisah menjerit.
Adam menggeleng kepala dan terus membantu Khalisah sampai
ke kereta.
“Ja.. jangan pegang saya!” marah Khalisah.
“Cik Boss jangan bodoh sombong boleh tak? Dah, drive hati-hati.” Adam pula mengarah.
Khalisah masuk ke dalam keretanya. Tiada sebarang
kata-kata keluar dari mulut Khalisah. Terima kasih pun tidak. Adam faham,
walaupun perempuan itu menyakitkan hati, tapi dia bukanlah jenis orang yang
berdendam.
Sepasang mata memerhatikan mereka, mengawasi gerak
langkah Adam dan Khalisah.
“Tak guna kau Adam. Kau nak sangat bermain ya,” marah
orang itu dari dalam kereta.
“Okey, jalan!” Orang itu memberi arahan.
Khalisah menghidupkan enjin kereta dan terus keluar dari
kawasan itu. Meskipun marah pada Adam, tapi dia tidak mahu mengikutkan perasaan
sangat. Harapnya malam nanti Mak Jah orang gajinya dapat mengurut kakinya yang
sakit tu. Kalau tidak alamatnya terpaksalah ke tempat urut ataupun klinik.
VIDS PROMO NOVEL
P/S ---> Novel telah pun terbit. Boleh mendapatkannya
dengan Kaki Novel atau kunjungi Kedai Buku MPH & Popular Bookstore serta
kedai berdekatan anda untuk mendapatkannya. :)
No comments:
Post a Comment