~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Saturday, 3 November 2012

E-Novel ~ Bunga Terakhir (Bab 2)



 BAB 2

Beberapa bulan kemudian...
USAI balik dari lapangan terbang pagi itu selepas bertugas ke Jakarta 2 hari, Bazli berkira-kira mahu menjemput isterinya makan tengahari bersama. Sengaja dia tidak memberitahu kedatangannya ke butik Juwita. Mungkin dengan cara ini pengantin baru itu akan lebih mesra. Inai di jarinya masih merah lagi dan menjadi bahan jenaka rakan sekerja terutamanya pramugari dan pramugara yang mengenalinya. Bazli senyum sendiri, teringat akad nikah sebulan lalu, sampai 3 kali dia melafaz akad nikah kerana terlalu gementar, padahal di rumah sebelum itu dia sudah berlatih menyebut nama bakal isterinya berkali-kali. Hampir saja Tok Kadi nak berangkat ke acara nikah yang lain, nasib baiklah ugutan olok-olok Tok Kadi itu membuatkan lidah Bazli lancar menyebut nama penuh isterinya; Juwita binti Sallehudin.

Bazli memarkir kereta tidak jauh dari butik Juwita, dulu sebelum kahwin dia sering menjemput Juwita makan bersama. Berbunga-bunga hatinya apabila teringat isterinya yang satu itu. Selepas mematikan enjin kereta, Bazli membuka seat belt, sempat lagi mengemas rambutnya yang sedikit kusut sambil memandang cermin tengah kereta.
 ‘Bolehlah ni, adalah iras Remy Ishak punya adik tiri..’ gumam Bazli seorang diri menguntum senyuman, suka berangan macam retis.  

Tiba-tiba, dia terpandang Juwita keluar dari butiknya. Bazli senyum mahu membuka pintu kereta sebelum tangannya longlai melihat Juwita dipeluk oleh seorang lelaki keluar dari butik itu. Dia tidak sempat nampak siapa lelaki tersebut kerana mereka membelakangi tempat kereta Bazli diparkir. Hati lelaki Bazli umpama berderai seribu. Serasa-rasa ianya direntap. Persoalannya siapa lelaki itu? Sejak bila Juwita berlaku curang kepadanya. Lelaki itu menghantar Juwita ke dalam kereta.

 Pantas! Bazli menuju ke tempat itu selepas kereta Juwita beredar. 
“Kau ni memang tak guna! Kau...!” Bazli mahu melayangkan penumbuk buku limanya pada lelaki itu. 
“Choi! You ni Bazli, dengan I pun nak jealous ke? Tak rela I nak kena tumbuk dengan you...” Azwan memandangnya sambil menyentuh lengan tegap Bazli. Rupanya Azwan! Pembantu butik Juwita yang dua alam tu! Adoi!
“Laa.. kau rupanya Azwan. Aku ingatkan lelaki mana yang peluk Juwita. Tak apalah, aku pergi dulu ya, sorry. Maaf, salah faham.” Bazli meminta maaf, dilepasnya tangan Azwan yang memaut lengannya, nanti tak pasal-pasal pula jadi gosip.
             
Segera Bazli berlalu dari situ macam anak ayam kebasahan, macho tu jalan. Kawal malu! Azwan pula menuju masuk ke dalam butik. Azwan memandangnya sambil senyum sedan. Mungkin ada cerita yang bakal diberitahu pada Juwita sekejap lagi. Bazli pula terkocoh-kocoh masuk ke dalam kereta.

“Orang kata cemburu tu tandanya sayang, tak apalah kot aku kena gelak jap lagi ngan Juwita..” Bazli pasrah. Pantas dia mengambil telefon bimbit dan mendail nombor isterinya. “Helo, sayang, dekat mana tu? Jom lunch sama,” ajak Bazli mesra.
“Sayang dekat restoran biasa kita pergi tu. Kejap lagi sayang nak sampai.” Juwita menjawab.
  
Bazli memandu laju kereta perdana v6 miliknya menuju ke sebuah restoran yang memang mereka gemari.
Di sana Juwita sudah menunggu, dia melambai tangan dan kelihatannya senyum-senyum memandang suaminya yang satu itu. Nampaknya, cepat juga mulut si Azwan melapor kejadian tadi, Bazli dengan muka-muka innocent sengaja buat tak tahu.
“Yang sayang senyum-senyum ni kenapa? Dah order ke?” sengaja Bazli bertanya.
“Abang ni kalau jadi pelakon macam kawan abang nama Akim tu mesti dah top. Tadi Azwan call, dia bagitau abang nak tumbuk dia pasal salah sangka, apalah abang ni... dengan si Azwan yang patah tu pun.. ish-ish.” Juwita geleng kepala memberitahu.
“Salah abang tak tengok orang. Manalah abang tahu itu Azwan. Nasib baik tak lebam, kalau tak habislah abang kena saman.” Bazli ketawa sendir
“Itulah abang, cemburu tak bertempat. Sayang dah order tadi makanan dan minuman kegemaran abang, tak payah tengok order tu lagi.” Juwita memindahkan kertas order ke tempat lain.
  
Tapi... cinta bukan milik kita..
Semua..
Harus berakhir.. 

Ringtone telefon bimbit Juwita berbunyi, dia memandang telefon bimbit yang diletaknya disisi meja. Panggilan masuk dari seseorang yang amat dikenalinya.
“Abang, excuse me ya, jap nak jawab call ni,” segera Juwita meminta diri dan menuju ke ladies. Bazli angguk faham, mungkin panggilan daripada klien isterinya agaknya.
             
Bazli meninjau restoran kegemaran mereka itu, masih seperti dulu, tempat dia dan isterinya selalu makan dulu.
            
 Sementara itu di ladies, Juwita mengangkat panggilan telefon tersebut.
            
"Kan dah cakap jangan call I tadi, hubby I dengan I. Bahaya, nanti kita jumpa ya, I ada dekat luar ni. You sabarlah.” Juwita tidak keruan menjawab panggilan telefon tersebut.
“Nantilah, hujung minggu, dahlah nanti hubby I syak apa-apa pula. Dia baru balik dari Jakarta tu. Bye,” sambung Juwita lagi sambil mematikan telefon bimbit miliknya takut ketenteramannya diganggu gugat.
      
Juwita keluar menuju ke meja mereka, hidangan yang dipesan sudah tiba. Baunya saja cukup menyelerakan.
“Kenapa abang tak makan lagi, tak payah tunggulah,” mesra Juwita berkata pada suaminya.
“Tak apa, abang tunggu sayang. Lama tak makan sama. Jom, abang baca doa dulu.” Bazli senyum memandang isterinya.
“Dah, nak sayang suapkan tak? Rindu pula dekat abang,” tanya Juwita sengaja manja-manja.
“Tak apalah, ini bukan rumah. Biarlah abang makan sendiri...” balas Bazli, namun belum sempat dia menghabiskan kata-katanya sudu Juwita yang mengandungi makanan sudah berada dalam mulutnya.
Bazli malu-malu memandang isterinya, rasa kekok itu masih ada lagi. Padahal mereka sudah bergelar suami isteri.

Tidak jauh dari itu seseorang memerhatikan Bazli dan Juwita dari dalam sebuah kereta. Hatinya panas, mungkin juga rasa sangat cemburu dengan keintimanan pasangan pengantin baru tersebut. Segera, kereta itu berlalu daripada situ. Malas dia mempedulikan adegan-adegan yang menanahkan hatinya sendiri.

PETANG itu sesudah waktu kerja. Bazli menjemput Juwita, Azwan masih lagi senyum-sedan mengigatkan kejadian tengahari tadi. Bazli saja-saja buat tak tahu, biasalah lelaki jenis yang satu itu, kalau salah, pura-pura tak buat salah. Juwita menaiki keretanya manakala Bazli menggunakan keretanya, mereka pulang bersama-sama menuju ke kondominium milik mereka berdua.

Usai makan malam, Juwita memandang Bazli yang bersiap-siap dengan uniform kerjanya.
“Eh, aabang ada flight ke malam ni?” tanya Juwita mengambil berat soal pekerjaan suaminya.
 “A’ah, tadi ada call kena stand by kat airport. Ada staff  kawan abang yang sepatutnya fly tu bini dia bersalin. Okey, abang pergi dulu. Take care tau. Nanti apa-apa abang call, assalamualikum.” Bazli meminta diri.
 “Waalaikumsalam, hati-hati tau, take care.” Juwita berpesan sambil memerhatikan Bazli memakai kasut dan masuk ke dalam kereta.
Juwita menutup pintu, sebenarnya dia pun ada kerja nak dibuat. Ada showcase hujung minggu nanti sempena KL Fashion Week. Nasib baiklah dia hanya menyertai saban tahun acara itu, tapi itulah apa pula kelainan yang mahu ditonjolkan untuk penyertaan kali ini. Bukan senang nak mencari idea. Juwita berjalan masuk ke dalam bilik, dia melihat telefon bimbit yang ditinggalkannya di sana bergetar, Juwita terkejut apabila melihat nombor pemanggil itu, segera diangkatnya.
  
“Helo, kenapa dengan you ni? Kan I dah kata kita jumpa hujung minggu nanti,” marah Juwita tiba-tiba.
“Ala sayang, lama lagilah hujung minggu tu. I rindu sangat dekat you ni,” lelaki itu cuba memujuk.
 “Sekarang ni I dah jadi isteri dia tau. Ada tanggungjawab.” Juwita mengingatkan lelaki itu.
“Tanggungjawab, you seorang saja dalam bilik tiap malam. Tanggungjawab apa tu, itu tak bertanggungjawab,” sengaja lelaki mengugahkan hati Juwita.
 “I mengantuklah, nanti kita sembang ya. Bye, miss you...” Juwita sengaja memberi alasan, sebenarnya terkadang dia malu dengan apa yang dilakukannya.
“Okey, mimpikan I tau. Bye, selamat malam,” sengaja lelaki itu meluahkan kata-kata manisnya.
           
Juwita menutup telefon bimbitnya. Ada juga rasa bersalah pada Bazli, tapi dia sudah cuba. Dia memang tidak mampu mencintai suaminya itu, hatinya sudah pada lelaki lain. Ada juga masa-masanya Juwita cuba untuk mengelak dan lebih bersama Bazli, tapi dia tidak dapat juga melupakan lelaki itu. Dia tahu berdosa hukumnya menduakan suami, tapi bukan dia yang mahukan perkahwinan itu, bukan dia yang memutuskan perkahwinan itu. Sungguh, cerita-cerita dongeng terpaksa berkahwin kerana ingin mengeratkan silaturahim keluarga  itu bukan sekadar dalam filem atau drama semata-mata, ia sudah terjadi pada dirinya.
             
Di awal perkahwinan dulu, memang dia sangat sedih. Hancur harapannya. Tapi apa boleh buat, demi memuaskan hati kedua orang tuanya dia terpaksa, terpaksa menipu perasaan sendiri. Jauh di sudut hati, dia berharap segalanya ini dapat dipertahankan. Namun, dengan kehadiran lelaki itu setiap hari di corong telefon bimbitnya, dengan jutaan bunga yang datang ke butiknya setiap hari. Kuatkah perasaan itu untuk mempertahankan atau rapuh serapuhnya di dalam.

                                                      *********************

DAHLIA tak mungkin tinggalkan abang Adam mak, dia suami Dahlia!” tegas pendirian Dahlia menentang hasrat ibunya.
“Mama tak kira, mama nak Dahlia bercerai dengan Adam. Mama malu dengan orang sekeliling, mama malu dengan kawan-kawan mama. Mereka kata anak mama mandul sampai terpaksa ambil anak angkat! Kan Dahlia dah check, Dahliaia tu sihat, Adam tu yang mandul. Isteri boleh minta dilepaskan sebab tu, Dahlia tau tak! Kalau dia berkeras mama boleh lantik peguam mama untuk uruskan kes!” Puan Sofia menggertak anaknya dan meletakkan telefon.
“Mama!” Dahlia sudah tidak mampu bersabar dan kemudian meletakkan telefon bimbitnya.
Kata-kata ibunya memang menusuk kalbu Dahlia, betapa dia sangat sayangkan Adam. Mana mungkin dia akan berpisah dengan Adam hanya kerana ibunya tidak menyukai mereka mengambil anak angkat. Tiada salah dan cacat cela Adam, lelaki  itu tidak mungkin Dahlia tinggalkan. Sudah terlalu banyak pengorbanan Adam pada dirinya.
Dahlia tahu, bukan itu saja alasan mamanya untuk memisahkan mereka. Kerana latar belakang keluarga Adam juga menjadi sebab mamanya itu berkeras. Kerana Adam bukan asalnya orang Islam, konon takut pula Adam pernah makan semua benda tidak halal sebelum Islam dulu. Padahal Dahlia sudah berulangkali memberitahu, Adam itu dulunya vegetarian. Tidak makan daging, tapi mamanya tetap tidak mahu percaya.

SEMASA makan malam, Dahlia tidak lalu makan, dia asyik memikirkan kata-kata ibunya di telefon petang semalam. Bukan dia tidak kenal ibunya itu, apa sahaja yang dia mahu, tiada siapa dapat menentang. Perkahwinan abang dan kakaknya semua diatur keluarga, hanya dia saja yang berjaya berkahwin dengan pilihan hati sendiri, banyak saja cara ibunya memisahkan mereka, nasib baiklah kepercayaan antara mereka masih lagi utuh. Jika tidak, sedikit ombak yang bergelumang pasti akan terbadai jua.
Dahlia memandang Aiman anak angkat mereka yang berumur 4 tahun itu amat mesra dengan ayahnya di meja makan. Adam perasan perangai isterinya agak berlainan malam itu, dia lebih banyak berdiam. Sekelumit perasan isteri, suami tahu apa dibenaknya.
“Kenapa dengan  awak ni? Tak baik tau, sedih-sedih depan rezeki.” Adam menegur Dahlia yang banyak berdiam.
Dahlia lantas senyum dan menyuap nasi ke dalam mulutnya. Tidak mahu Adam tahu apa yang difikirkannya. Usai membasuh pinggan dan menidurkan Aiman, dia masuk ke dalam bilik.
“Aiman dah tidur?” Adam bertanya.
“Dah,” ringkas Dahlia menjawab.
“Mesti mama call awak lagi kan? Tak payahlah difikirkan sangat, abang tahu, mama tak sukakan abang. Ingat, semua tu ujian tuhan, kita mintak-mintak agar mama terbuka hati terima abang seadanya,” Adam yang tahu benar apa yang berada di kotak fikiran isterinya yang satu itu menasihati.
“Tak adalah, Dahlia kurang sihat sikit je.” Dahlia memberi alasan, bekas model itu memang pandai berlakon, sedikit masa dulu Dahlia pernah mengikuti penggambaran drama, namun itu hal lama. Masa berada di bangku universiti, sengaja mendapatkan duit poket lebih.

Sejak berkahwin, Dahlia berhenti dari menjadi model dan menjadi usahawan di rumah dengan membuat cupcakes, Alhamdulillah, ianya berhasil. Pendapatan Adam sebenarnya sudah mencukupi buat mereka sekeluarga, tapi Dahlia suka mencari pendapatan lebih, lagipula, sudah ada kemahiran kenapa tidak digunakan. Nasib baiklah dia memang belajar tentang perniagaan di universiti dulu, makanya semuanya itu tampak mudah saja buat dia.

Adam mengusap dahi isterinya, “Tak apa, awak rehatlah ya, mungkin awak terlalu sibuk agaknya. Hujung minggu ni kita balik rumah Umi, lama tak melawat, mesti nenda sudah merajuk dengan kita,” sengaja Adam mengubah topik perbicaraan mereka. 
Baginya, biarlah apa yang berlaku pada mereka itu menjadi kekuatan untuk keluarga mereka bertahan. Umi yang disebut Adam itu adalah ibu angkat Adam sewaktu program universiti dulu, tidak sangka pula dengan Umi itu Adam menumpang kasih sehingga kini.

KEESOKAN harinya ibu Dahlia datang ke rumah selepas Adam ke tempat kerjanya. Dahlia tahu tujuan utama ibunya datang. Dahlia lantas duduk selepas menghidangkan minuman. Dia bersedia dengan apa sahaja kemungkinan.
“Mama nak Dahlia sign surat ni.” Puan Sofia menyerahkan surat dan sebatang pen.
“Surat apa ni mama?” tanya Dahlia.
“Ini surat minta cerai. Mama nak Dahlia sign.”
“Tapi mama. Takkanlah sebab kami tiada anak kami nak bererai. Mungkin belum rezeki kami lagi. Dahlia tak nak bercerai!” tegas Dahlia membantah, mengenepikan kertas yang baru diberikan padanya.
Puan Sofia mencari cara memujuk anaknya, dia bercakap tenang memandang anaknya, “Dahlia dekat rumah, tak tahu apa yang Adam buat dekat luar sana. Dahlia pun tahu Adam tu macamana kan. Sebelum semuanya terlambat, baiklah Dahlia minta cerai.” Puan Marlia menghasut.

Berderau darah Dahlia apabila ibunya masih mengungkit hal lalu Adam, “Tapi, abang Adam tak mungkin lakukan itu semua. Abang Adam dah berubah, mama janganlah buat cerita pula.”
Puan Sofia lantas membuka hand bag jenama Luiss Vuiton dan mengambil sekeping envelope lalu memberikannya kepada Juwita. “Bukalah, tengok.. tengok puas-puas.”
Pantas  Dahlia membuka envelope tersebut, dia terlihat gambar Adam mesra bersama seorang wanita. Wanita itu memang dikenalinya, dia Wani, Wani adalah kawan baik suaminya, juga seniornya semada di universiti dulu dan sekarang merupakan rakan kongsi syarikat Adam. Mahu menolak anggapan, mereka memang sentiasa mesra seolah-olah ada sesuatu di antara mereka.

Sekali lagi Dahlia memandang gambar tersebut, bagai tidak percaya, kepercayaan yang selama ini diberikan pada sang suami hancur. Air mata Dahlia menitis, hati isteri mana yang tidak luluh melihat suami sendiri berpegang tangan dan berpelukan dengan wanita lain.
Namun, Dahlia bukanlah sedangkal yang difikirkan mamanya. Biarlah ibunya melihat dia sudah seperti menang, malas dia bertekak. Sekali lagi bakat lakonannya digunakan.
“Kita keluar dari rumah ni ya nak...” Puan Sofia seolah-olah gembira.
“Maafkan Dahlia mak, Dahlia tetap di sini, ini rumah Dahlia. Tempat Dahlia disisi abang Adam. Doakan kebahagian rumahtangga kami.” Dahlia menolak ajakan mamanya dengan cara baik.

“Jadi, Dahlia tetap nak bersama lelaki tak guna tu ya? Dahlia tak percayakan mama?!” bentak Puan Sofia yang mulai marah.
“Mama, apa kurangnya abang Adam. Sebagai anak, kalau Dahlia terkurang, Dahlia minta maaf, minta ampun dekat mama. Mama, tak baik meruntuhkan masjid, bergegar tiang arasy tu mama. Mama terimalah abang Adam seadanya sepertimana Dahlia terima kekurangan abang Adam.” Dahlia cuba menasihati ibunya lembut.
“Sudah! Mama tak mahu dengar! Mama nak balik! Ingat Dahlia, ini bukan kali yang terakhir mama cakap dengan Dahlia supaya tinggalkan Adam. Selagi Dahlia tak nak tinggalkan lelaki tak guna tu, selagi tu mama akan cari jalan!” Marah Puan Sofia segera beredar.
          
Ada juga rasa serba salah  Dahlia kerana terpaksa mengeluarkan kata-kata yang kurang baik pada mamanya, tapi dia sendiri berada dipersimpangan. Dia tahu, mamanya mahu menjodohkan dia dengan Haikal, menantu pilihan mamanya sejak dulu. Nasib baiklah Dahlia kenal Adam terlebih dahulu, ingatkan selepas dia berkahwin mamanya akan berhenti dari memasangkannya dengan Haikal, tapi rupanya mamanya tidak berputus asa.
Hari ini, nasib baiklah Dahlia tidak termakan pujuk rayu ibunya itu, kalau tidak pasti dia akan  percaya dengan perancangan ibunya. Gambar-gambar itu Dahlia ambil dan buang ke dalam tong sampah.

Bersambung....

4 comments:

Tia Fatiah said...

erghhh juwita ni... sampai hati dia..

Fatrim Syah said...

sabaq, sabaq.. sian Bazli kan? Tapi itulah cabaran berumahtangga, kepercayaan tu kalau tiada, inilah jadinya. Apapun, thanks komen. Nantikan sambungannya. ^_^

Domi Nisa said...

hehehehe mamat sotong peluk isteri baz, alalalala..mst dia bengang jgk kan..sotong tu pon lelaki gak haha

Fatrim Syah said...

sikit lagi kena belasah.. sib baik lah kan. Eh! Thanks singgah, komen pulak tu. ^_^