~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Thursday 8 November 2012

E-Novel ~ Bunga Terakhir (BAB 3)



                                                                       BAB 3
PENERBANGAN dari Kuala Lumpur menuju ke Sabah malam itu mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit. Hampir 2 jam juga Bazli  bersedia di lapangan terbang kerana pesawat lewat sampai. Sebaik saja pesawat sudah bersedia, Bazli dan anak-anak kapal yang lain sudah berada di dalam pesawat untuk menyediakan apa yang patut dan juga bersiap sedia untuk menyambut penumpang. Rutin itu sudah terlalu biasa untuk Bazli, bekerja sebagai Flight Attendant (FA) walaupun nampak mudah tapi sebenarnya memenatkan.  Orang lain mungkin nampak mereka sangat istimewa kerana menaiki kapal terbang secara percuma sambil bertugas. Namun, untuk memenuhi tugasan yang kadangkala memerlukan mereka menaiki sesebuah pesawat lebih dari sekali dalam sehari sebenarnya menuntut kesabaran dan dedikasi yang sangat tinggi. Apatah lagi, melayan karenah penumpang yang macam-macam ragam. Pernah juga Bazli dan anak-anak kapal menghadapi saat cemas semasa cuaca kurang baik dan dimaki hamun penumpang yang tidak puas hati dengan makanan yang diberi. Namun, di sebalik kepahitan, pasti juga ada kenangan manisnya, antaranya adalah membawa artis-artis ternama dalam dan luar negara, juga Perdana Menteri. 

“Selamat menaiki Sinar Airlines, anda sedang menaiki pesawat boeing 747 dari Kuala Lumpur menuju ke Sabah. Penerbangan ini mengambil masa selama 2 jam 30 minit. Saya Amani Ahmad, ketua pramugari anda bersama anak-anak kapal mengucapkan selamat datang. Terima kasih kerana memilih Sinar Airlines sebagai penerbangan anda.”
 
Ringkas kata-kata Ketua Pramugari itu memaklumkan melalui pembesar suara. Diikuti pengumuman dalam Bahasa Inggeris. Beberapa minit kemudian, pesawat sudah memasuki ruang angkasa selepas juruterbang pula membuat pengumuman. Bazli ke pantry untuk menyediakan makanan dan minuman untuk penumpang. Dia ditemani seorang pramugari baru.

“Hai, saya Bazli. Awak baru bertugas ya? First day?” tanya Bazli kepada pramugari yang kelihatan manis dan tinggi di depannya, dia belum pernah melihatnya sebelum ini.
“Ya, my first day. Saya Kasih Aziah Bahrom. Boleh panggil Kasih,” jawabnya ringkas melemparkan senyuman manis di balik tahi lalat di atas bibir sebelah kanan menampakkan dia amat cantik sekali, dicalit pula dengan mekap yang sederhana tebal menambah seri kepada wajahnya yang bujur sirih itu.
“Okay, enjoy your day. Don`t worry, once you get in, we are family.” Bazli memberi semangat dan melemparkan senyuman.
Seketika, hati Kasih runtun melihat senyuman manis Bazli pula. Lelaki tinggi lampai dan wajahnya ala-ala salah seorang pelakon drama televisyen tempatan itu redup dipandang Kasih.
‘Hensem juga dia ni, agak-agak single lagi tak. Baik pula tu, ada jodoh kot aku atas kapal terbang ni.. sekali kahwin dalam kapal kan ke best..’ gumam Kasih dalam hati sempat pula berangan-angan bagai.
“Kasih, Kasih.. are you okay?” tegur Bazli.
“Oh! Saya terima nikahnya... Err, maaf Bazli, sorry...” tiba-tiba Kasih tersasul, malu pula dibuatnya, Bazli pula senyum-senyum ada makna.
“Dah, lain kali jangan mengalamun, kita tengah bertugas ni. Jom, tolak troli tu,” arah Bazli mengingatkan.
Kasih mengangguk. Kemudiannya dia menolak troli itu perlahan-lahan sambil Bazli dan seorang lagi anak kapal menghidangkan makanan dan minuman kepada penumpang. Kasih pula asyik tengok Bazli dari tadi. Apabila sudah habis bertugas, semua anak kapal ke bahagian pantry. 

“Kasih, awak tengok Bazli dari tadi ada apa-apa ke?” tanya Nadia, salah seorang anak kapal juga.
“Eh, takdelah.” Kasih menafi.
“Maaf la ya Kasih. Dia tu dah kahwin 3 bulan lepas, kalau awak cepat masuk maybe ada peluang, dah lama juga dia tu membujang.” Nadia memberitahu.
“Oh, patutlah tangan dia ada inai lagi. Siapa isterinya?” tanya Kasih ingin tahu.
Diana memerhati Kasih, “Nama isteri dia Juwita, fashion designer, dengar kata cantik juga,” jawab Nadia.
“Okay, aku nak ke depan dulu, manalah tahu ada passenger yang perlukan apa-apa.” Kasih meminta diri.
‘Dah kahwin, takpelah, kawan pun boleh..’ Kasih mengumam seorang diri dan berlalu memandang Bazli yang berada di depan. 

Namun, belum sempat menuju ke sana, di pintu pantry, seseorang menegur,“Hai, tak sempat kenal tadi, awak stewardess baru tu ya? Saya Khairi,” seorang pramugara menegur Kasih, dia pula memang perhatikan Kasih sejak tadi.
“Ya, stewardess baru. My first day. Saya Kasih.” Kasih memperkenalkan diri.
“Boleh kita keluar dinner lepas duty nanti?” tanya Khairi lagi, cepatnya lelaki yang satu itu bertindak.
“Maaf Khairi, nanti Kasih ada dinner dengan saya. Dia ni adik angkat saya,” pantas Bazli menjawab.
‘Adik angkat je? Yang lain-lain tak boleh ke?’ gumam Kasih terkejut dengan pengakuan Bazli.
“Oh, adik angkat kau ya. Sorry Kasih, tak dapatlah keluar dinner sama. Nanti abang angkat awak hempuk saya boleh patah saya.. tengok tangan dia ni..” Khairi sempat pula mengusap lengan Khairi, pantas Bazli menepis.
“Dah Khairi, pergi depan sana. Ada lelaki tu asyik nak jumpa awak je, siapa tu? Boyfriend ke?” pedas dan berbisa sungguh mulut Bazli, Khairi buat muka malas menjawab pertanyaan itu dan berlalu.
“Dia tu tak payah layan sangat, buaya karat. Lelaki dia layan, perempuan pun dia layan.. hati-hati nak kenal orang.” Bazli sempat memberi amaran.
Kasih mengangguk macam burung belatuk tapi dalam hati ada taman-taman bunga indah mekar, orkid, melur, melati dan macam-macamlah jenis bunga.. lupa, ada air terjun dan pelangi dan kereta kuda lagi tu.

“Kita akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaraya Kota Kinabalu sebentar lagi. Sila betulkan tempat duduk anda dan buka tingkap di sebelah anda. Sebarang penggunaan tandas buat masa ini adalah tidak dibenarkan.”
Ketua Pramugari yang bertugas membuat pengumuman, semua anak kapal memeriksa semua penumpang dan memberitahu mereka untuk menegakkan tempat duduk.

20 minit kemudian, semua penumpang sudah turun. 10 minit selepas itu, para anak kapal bersama juruterbang dan pembantu juruterbang bertugas juga turun untuk report duty di dalam lapangan terbang dan seterusnya di bawa ke Hotel oleh petugas yang telah ditugaskan. Sepanjang masa itu juga, Kasih tidak berenggang dengan Bazli. Khairi pula tidak mengikut mereka kerana mengikut kereta lain.

“Kasih orang Sabah ya?” tanya Bazli.
“Ya bah..” jawab Kasih dalam nada pekat Sabah.
“Bah tu apa?” tanya Bazli lagi.
“Bah tu ya. Seronok juga first day ke Sabah. So, bolehlah rehat di sini sehari dua sebelum flight duty. Selalunya kalau ke sini, awak ke mana?” tanya Kasih.
“Hmm.. duduk hotel, paling tidak ke Wisma Merdeka sebelah hotel tu. Boring-boring ke Pantai Tanjung Aru. Manalah saya tahu jalan-jalan dekat sini,” beritahu Bazli.
“Okay, nanti kita ke satu tempat, sure awak suka,” jawab Kasih girang.

Perjalanan ke Hyatt Regency Hotel yang terletak di Bandaraya Kota Kinabalu hanya mengambil masa kurang 15 minit dari lapangan terbang tadi. Semua anak kapal turun dari kereta dan mendaftar masuk.
“Maaf ya tak dapat bawa awak dinner, dah lewat..” Bazli meminta maaf.
“Awak ni, manalah ada lagi dinner tengah malam buta ni.  Esok pagi breakfast sama ya?” Kasih mengingatkan.
“Insya ALLAH,” jawab Bazli dan kemudian meninggalkan Kasih dan yang lain dalam lif lalu menuju ke bilik penginapannya.
‘Alamak, lupa minta number phone, esok jelah..’ gumam Kasih sedikit kecewa sambil memerhati Bazli keluar dan lif tertutup perlahan-lahan.
Sampai saja di bilik, Bazli merehatkan diri. Teringat pula dia pada Juwita di rumah, dia lihat jam sudah masuk jam 12.30 malam. Mungkin esok saja dia hubungi Juwita, lepas solat Isyak, Bazli melelapkan mata di katilnya.

***********************

“SELAMAT pagi Adam. Awal sampai. Dah breakfast?” tanya Wani pada Adam yang sudah berada di pejabatnya.
“Awak ni Wani, terkejut saya dibuatnya, bagilah salam dulu.” Adam sempat mengomel.
“Oh. Assalamualaikum.” Wani memberi salam.
“Waalaikumsalam, aku dah breakfast pagi tadi,” jawab Adam sambil tersenyum.
“Aku tahu, aku keluar dulu tau. Jam 9 nanti jangan lupa, Encik Yaakob nak datang tu tunjuk sampel batik baru, aku dah tengok dekat emel semalam. Kaulah ya layan dia, tak kuasa aku dengan orang tua tu,” sempat Wani mengingatkan sambil mengatakan sesuatu pasal Encik Yaakob.
“Kan aku dah kata, baiklah kau kahwin cepat-cepat. Nanti takde siapa yang nak kacau kau lagi,” tegur Adam pada gadis bernama Wani di depannya. Langsung wajah Wani berubah.
“Ala, zaman sekarang ni dah biasa kalau perempuan kahwin lambat..” jawab Wani dan kemudian keluar dari ruangan pejabat Adam.

Alkisahnya dahulu, Wani pernah bercinta dengan seorang rakan sekuliah mereka bernama Zafrul. Entah macamana pula, suatu hari tu, Wani nampak Zafrul dan perempuan junior lain dalam kereta romen-romen. Mahu taknya si Wani jadi singa lapar masa tu. Sejak tu dia memang tak terbuka hati lagi pada lelaki lain. Namun, di hati manusia siapa yang tahu.

Wani berjalan keluar ke pintu pejabat, kebanyakan staf belum sampai pagi itu, dia menjeling menoleh Adam.

‘Mungkin kau tak nampak aku lagi Adam, tapi aku akan tunggu masanya..’ gumam Wani sendiri dan terus keluar.

Janganlah jangan..
Kau sakiti cinta ini..
Sampai nanti.. di saat ragaku sudah tidak bernyawa lagi..
Telefon Wani berbunyi, diangkatnya panggilan itu.
“Helo.”
“Helo Wani. Adam sini, ingat saya lagi tak?” tanya seseorang bernama Adam di talian.
“Adam mana pula ni? Aku ada ramai kawan lelaki nama Adam,” berkerut sekejap dahi Wani memikirkan Adam yang mana satu menghubunginya.
“Adam, kau tak ingat lagi ya. Kita kan sekampung.. anak Haji Muhsin tu...” lelaki bernama Adam itu memberitahu.
“Oh, kau Adam, ingatkan apa. Kenapa call ni? Takde hujan, takde ribut..” tanya Wani pelik.
“Aku dan adik kau Baizura dah nak kahwin. Ayah kau tak bagitau ke?” tanya Adam, sekali lagi Wani terkejut, sampai hati ayahnya tidak memaklumkan kepadanya tentang perkahwinan adiknya sendiri.
“Oh, tahu, tahu..” sengaja Wani bercakap demikian supaya Adam tidak sedar kepincangan yang berlaku dalam keluarganya.
“Okay, Adam cuma maklumkan je. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam, kirim salam Baizura ya,” pesan Wani kepada bakal adik iparnya itu.
“Insya ALLAH,” jawab Adam dan mematikan telefon bimbit.

Wani melangkah masuk ke dalam kereta. Hilang moodnya untuk sarapan pagi itu. Rupanya ayahnya masih marahkan dia pasal kemalangan yang menimpa ibunya beberapa tahun lalu. Sudah lama sebenarnya peristiwa itu berlaku. Masa itu ibunya mahu pergi melawat Wani di kolej, tapi malang tidak berbau apabila ibunya diragut dan dilanggar kereta. Sungguh, Wani tidak pernah mahukan semua itu berlaku. Namun, semua itu masih menjadi amarah kepada ayahnya sehingga kini. Semua tragedi itu diletakkan dibahunya sehingga kini. Sampaikan bila Wani balik kampung sekalipun, ayahnya tetap menyindir dan tidak suka akan kehadirannya. Perlahan-lahan Wani membawa kereta ke satu tempat yang dia sendiri tidak tahu, air matanya mengalir perlahan..

***********************

“Helo? Abang sihat? Okay ke dekat sana?” tanya Juwita sebaik mengangkat telefon bimbitnya.
“Abang sihat je, dekat sini matahari awal naik. Sayang nak pergi kerja ke tu?” tanya Bazli lembut.
“A’ah, jap lagi nak jumpa klien. Bila abang nak balik?” tanya Juwita lagi.
“Rindu kat abanglah tu. Insya ALLAH, kalau takde aral, esok atau lusa abang balik sana. Bawa kereta tu elok-elok, rindu sayang,” sempat Bazli berpesan.
“Itu mestilah, abang tu pun sama, jangan jalan tak tentu arah pula. Jaga diri tu,” pesan Juwita.
“Nak apa-apa tak dari Sabah ni?” tanya Bazli lagi.
“Hmm.. kalau ada amplang ke dengan kuih cincin, sayang nak. Lama pula tak makan, okaylah bang, sayang banyak benda nak buat ni. Kucing abang ni kirim salam dekat abang,” sempat Juwita berseloroh.
“Oh, Miki buat hal ya, uhuk pagi-pagi ya, jaga dia, tolong cubit dia untuk abang.. hihi..” Bazli pula bergurau.
“Dah-dah, nanti sayang tak dapat pergi kerja pula. Assalamualaikum.” Juwita memberi salam.
“Waalaikumsalam. Bye. Miss you setinggi Gunung Kinabalu.” Bazli berseloroh.
“Iyalah tu. Bye, miss you too...” Juwita kemudian meletakkan telefon.
Juwita duduk sebentar, melihat gambar perkahwinan mereka di dinding, melihat wajah Bazli dan wajahnya yang nampak bahagia. Kemudian satu panggilan masuk, sengaja Juwita tidak mengangkatnya. Entah, mungkin ada rasa bersalah barangkali. Dia menutup telefon bimbit dan mengunci kondominium itu dan bergerak ke keretanya.
 
 **********************
“Kami minta maaf Puan Dahlia...”
Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga Dahlia. Setelah balik dari sebuah tempat, Dahlia menangis sendirian di dalam keretanya. Nyata, untuk menerima sesuatu seperti itu memerlukan kekuatan yang bukan sedikit. Patutlah selama ini dia merasa lain macam saja. Ditabahkan hati dan menunggu hasil keputusan. Setelah dimaklumkan, air matanya mengalir deras, dia mencari cara bagaimana untuk memberitahu seseorang apa yang dilaluinya. Sungguh berita itu tidak akan sesekali diberitahu pada suaminya; Adam, sungguh tidak!  

Klong! Klong!

Tiba-tiba alarm telefon bimbitnya berbunyi mengingatkan dia akan tugasnya. Dahlia meneruskan pemanduan untuk  mengambil Aiman di Taska, kalau lewat nanti kasihan pula pada cikgunya yang menjaga di Taska tersebut. Sampai saja di depan Taska Sri Indah itu, kelihatan Aiman dengan wajahnya yang riang.
“Lambatnya mama sampai. Mama pergi mana?” Aiman sudah bertanya banyak soalan sebaik saja memasuki kereta, meskipun umurnya baru menginjak 4 tahun, tetapi dia memang petah berbicara.
“Mama jumpa kawan mama kejap tadi. Apa Aiman belajar hari ni?” Dahlia memandang anak angkatnya yang sudah petah bercakap itu.
 “Lukis,” jawab Aiman riang dan menunjukkan lukisannya pada Dahlia. Dahlia senyum dan mencium kepala Aiman lama.
Dahlia memasangkan tali keledar di tempat duduk Aiman dan kemudian meneruskan pemanduan. Sempat dia melambai pada Cikgu Natasha yang berada di luar pagar Taska sebagai tanda ucapan terima kasih.
Sampai saja di rumah, Dahlia menguruskan Aiman. Makanan tengahari yang sudah siap dimasaknya pagi tadi dipanaskan semula.
“Aiman, lepas mandi turun makan ya.”
Mujur Aiman sudah pandai mandi sendiri, tapi sekali sekala Juwita terpaksa juga memerhatikannya. Kadang-kadang Aiman terlebih masa pula di dalam bilik air, pernah satu ketika dia menunggu punya lama, sekali dilihatnya dalam bilik air, Aiman sedang bermain buih-buih sabun. 

Usai makan tengahari itu, Dahlia membiarkan Aiman melihat kartun-kartun kegemarannya di channel astro ceria. Dia pula berada di luar, Dahlia duduk seorang diri sambil memikirkan sesuatu. Berita yang diterimanya pagi tadi bakal mengubah kehidupannya. Lama Dahlia berfikir, kemungkinan itu, kemungkinan ini. Rambutnya yang dipotong paras bahu itu kadangkala diraup-raup. Kemudiannya dia asyik memandang gambar dia, suaminya Adam serta Aiman di telefon bimbitnya. Sekali sekala air mata jernihnya menitis.
Tiga jam berada di situ, Dahlia sudah bulat dengan keputusannya. Itulah risiko yang perlu dia ambil. Meskipun perit tetapi langkah gila itu perlu dilakukan. Kemudiannya dia menghubungi ibunya; Puan Sofia.

“Mama, ambil Dahlia dengan Aiman dekat rumah,” berat Dahlia memegang gagang telefon rumahnya itu memberitahu perkara yang akan memuaskan hati mamanya itu.
“Iya? Baik, sekejap lagi mama datang.” Puan Sofia tahu saja menjalankan peranananya sebagai Nyonya Mansor versi moden.
Tidak sampai setengah jam. Puan Sofia sudah muncul di muka pintu,  segera dia memegang tangan anaknya dan memujuk, “Sekarang percaya cakap mama. Sebab dia mandullah dia berani buat macam tu pada Dahlia. Mama tak nak Dahlia kena penyakit bukan-bukan,” sempat Puan Sofia cuba mencucuk jarum ke dalam telur yang sudah sedia berlubang.
“Bukan salah abang Adam mama. Nanti Dahlia ceritakan semuanya pada mama.” Dahlia memandang ibunya.

Puan Sofia pelik dengan anaknya yang satu itu, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena, seolah-olah ada sesuatu yang dahsyat ingin diberitahu padanya, meskipun dia terlalu memaksa tetapi Puan Sofia masih punya hati nurani. Ibu mana yang tega memusnahkan kebahagiaan anak sendiri tanpa sebab.
“Mama,  papa?” tanya Aiman yang masih belum faham dengan keadaan yang dihadapi mereka.
“Papa ada kerja sikit, kita balik rumah nenek. Jom.” Dahlia memujuk Aiman, dia tahu anak angkatnya itu sangat sayangkan Adam. Malah, tiap malam Aiman hanya mahu ditidurkan oleh Adam sahaja. 

Sebelum keluar, Dahlia mengeluarkan surat yang diberikan ibunya tempoh hari beserta pesanan. Air matanya mengalir, tapi dia harus melakukan itu, itulah jalan yang telah dipilihnya. Dengan rasa kecewa yang tidak dapat dibendung, Dahlia terpaksa pergi. Sekali lagi dipandangnya rumah penuh kenangan itu.

‘Maafkan Dahlia bang, bukan pinta Dahlia sebegini, tapi lebih baik abang tak tahu apa yang berlaku. Cukuplah apa yang abang hadapi selama ni’ gumam Dahlia sambil memandang rumah mereka, air matanya menitis..

Bersambung..

4 comments:

Anonymous said...

keep it up, kali ni watak sampingan pula ya. Tak sabar nak tahu apa jadi dengan Dahlia tu. Cepat-cepatlah up next bab ya. :)

Fatrim Syah said...

Terima kasih kerana membaca ya. Insya ALLAH akan disambung. Kepada yang LIKE juga terima kasih banyak-banyak. Moga terhibur, maaf jika ada kekurangan di sana sini. Akan diperbaiki lagi pada masa-masa akan datang.

Regards,
Fatrim Syah

Unknown said...

bw..
http://nurulnamasaya.blogspot.com/

Unknown said...

Play Blackjack at a Casino! - Microgaming - Microgaming
A classic card game is 1xbet 먹튀 a goyangfc thrilling https://sol.edu.kg/ and engaging blackjack game at Microgaming. 도레미시디 출장샵 This fun worrione.com game is now available for your device!