~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Friday 16 November 2012

E-Novel ~Bunga Terakhir (BAB 6)



                                                                    
                                                                           BAB 6
ADAM ke rumah keluarga angkatnya, pasti kehadirannya seorang diri ke situ akan ditanyakan oleh Puan Zakiah, ibu angkatnya itu nanti. Namun Adam sudah bersiap sedia dengan apa jua soalan yang bakal ditanyakan kepadanya. Semasa dalam perjalanan, Adam memandang gambar Aiman yang diletaknya di tengah cermin kereta. Sesekali tumpah jua air mata lelakinya. Apabila teringatkan anak angkatnya yang satu itu, hatinya runtun. Dia masih tertanya-tanya apa salahnya, apa kekuarangan dirinya sampai Dahlia membuat keputusan seperti itu. Keputusan gila yang dia sendiri tidak pernah harapkan sepanjang perkahwinannya. Sudahlah keluarga sendiri sudah membuangnya kerana memeluk agama Islam, kini isteri tersayang tempat berharap dan bergantung kasih itu meninggalkannya. Entah, pelbagai rasa menerjah dalam hatinya. Teringat juga pada keluarga yang tidak merestui perkahwinannya dulu. Namun, dalam hatinya dia tidak akan sekali-kali menggadaikan agamanya hanya kerana perkara tersebut. Cintanya pada Islam itulah sahaja semangat dan kudrat yang dia ada untuk meneruskan hidup sehingga kini.
“Assalamualaikum...” Adam memberi salam di luar rumah agam dua tingkat yang terletak di pinggir bandaraya Kuala Lumpur itu.
“Waalaikumsalam. Adam.. mana Dahlia dan Aiman? Tak ikut sekali?” Puan Zakiah muncul membuka pintu dan lantas bertanyakan soalan yang sudah siap sedia Adam ketahui.
“Dahlia balik rumah mak dengan Aiman, mak kurang sihat sikit,” jawab Adam tetapi tidak sekali-kali memandang Puan Zakiah, ibu angkatnya itu.
“Oh, ingatkan ada apa tadi.. masuklah.” Puan Zakiah menjemput.
“Papa mana?” tanya Adam lagi.
“Papa kamu keluar kejap. Nanti baliklah dia, duduklah dulu. Mama nak buat air kejap.” Puan Zakiah meminta diri ke dapur.
“Mama ni tak payah susah-susahlah ma..” Adam keberatan.
Puan Zakiah menoleh dan mengherot mulut memandang anak angkat cinanya yang satu itu. Adam faham dan membiarkan saja, nanti tak pasal-pasal pula kena ceramah percuma. Bukan dia tak tahu ibu angkatnya itu memang suka memasak bagai, kejap lagi adalah hidangan sedap yang bakal dinikmatinya tu. Adam pandang sekeliling, kemudian dia ke jendela memandang buah durian dan buah rambutan yang masak ranum. Seronok benar rasanya berada di tempat seperti itu, mahu saja Adam tinggal di sana buat selama-lamanya bersama Dahlia dan Aiman. Tapi bila teringat anak isterinya itu, dia kembali sebak. Sudah seminggu Dahlia dan Aiman berada di rumah ibu mertuanya itu, entah apa khabar mereka berdua. Itu yang dirunsingkan lelaki bernama Adam Lee Yong itu. 
“Adam, jemput minum,” sapa Puan Zakiah dari dapur, namun pelik, Adam seolah tidak mendengar kata-katanya.
Puan Zakiah memang cepat memahami kalau-kalau hubungan anak angkat dan isterinya itu ada masalah. Sekejap dia menghampiri Adam.
“Adam, kamu ada masalah dengan Dahlia ke?” tanya Puan Zakiah, pertanyaan itu nyata mengejutkan Adam dan dia segera menoleh melemparkan senyuman kepada ibu angkatnya itu.
Adam diam dan kemudian duduk di kerusi. Dia tuang air teh yang ibu angkatnya buatkan.
“Sedap air mama buat...” puji Adam.
Namun, meskipun Puan Zakiah itu hanyalah ibu angkat Adam, naluri seorang ibu itu tidak pernah salah.
“Adam, kalau ada masalah kongsi dengan mama. Mama tak paksa, tapi kalau Adam kongsi masalah Adam dengan seseorang mungkin hati Adam akan tenang.” Puan Zakiah mengambil tempat duduk di depan Adam. Puan Zakiah atau lebih dikenali sebagai Ustazah Zakiah di kalangan penduduk kampung itu merupakan seorang bekas ustazah sekolah yang sudah pencen.
Adam diam lagi, tapi sampai bila dia harus diam, dia takut nak pandang wajah mama angkatnya itu, dia rasa bersalah sebab berbohong semasa mama angkatnya itu bertanya tentang Dahlia tadi.
“Adam..” Puan Zakiah menyebut namanya perlahan dan membuatkan Adam rasa bersalah.
“Maafkan Adam ma, Adam minta maaf sebab bohong dengan mama. Sebenarnya isteri Adam minta Adam ceraikan dia...” Adam memberitahu.
“Astagafirullahalazim... mama dah agak ada yang tak kena tadi. Apa sebenarnya yang berlaku ni? Adam ada buat hal ya?” tanya mamanya serius.
“Tak, Adam bukan orang macam tulah mama. Adam rasa sebab kami tak ada anak sendiri. Lagipun selama ni mak mertua Adam selalu call isteri Adam supaya tinggalkan Adam.. sebab mak malu kami ambil anak angkat. Mungkin sebab tu Dahlia terpaksa buat macam ni. Lagipun mak mertua Adam tak pernah sukakan Adam. Tapi mama, hinakah seorang mualaf macam Adam ni mama? Salah Adam ke kami tak ada anak sendiri?” tanya Adam pada Puan Zakiah seolah-olah memperkotak-katikkan libang libu hidupnya kini.
Masa itu juga air mata Puan Zakiah tumpah. Sungguh dia tidak pernah jangka yang Adam akan mengatakan bahawa menjadi mualaf itu merupakan satu kesalahan dan seolah-olah menyalahkan tuhan.
“Jangan salahkan diri Adam nak. Kamu adalah insan bertuah yang telah ditiup seru hidayah. Jangan sekali-kali soalkan kuasa Allah. Kamu, mama dan sekalian alam ni Allah yang ciptakan. Kita sebagai manusia kena terima apa yang berlaku pada diri kita dengan sabar dan ikhlas. Tuhan sedang menguji kamu Adam, itu bermakna tuhan sayangkan kamu..” panjang lebar Puan Zakiah memberi kata semangat.
“Maafkan Adam mama, Adam tak bermaksud nak salahkan agama yang Adam anuti cuma Adam kesal dengan apa yang berlaku dalam hidup Adam.. itu saja.” Adam sebak.
“Kamu dan Dahlia kena duduk bersama dan berbincang hal ni..”
“Tapi Adam tak dapat nak jumpa dia. Mama dia selalu halang Adam masuk dan Dahlia sendiri offkan handphone dia bila saya call...”
“Nanti mama cuba call dan tanyakan dia sendiri. Insya ALLAH, setiap masalah ada cara penyelesaiannya... bersabarlah, sesungguhnya tuhan itu maha adil dan maha pemberi petunjuk..”
“Assalamualaikum...” tiba-tiba terdengar suara suami Puan Zakiah, Encik Karim yang baru sampai ke rumah.
Cepat-cepat Puan Zakiah menyeka air matanya. Adam memberi isyarat geleng kepala supaya tidak memberitahu hal rumahtangganya itu kepada ayah angkatnya.
“Waalaikumsalam..” sahut Puan Zakiah.
“Oh, Adam pun ada sekali. Nanti bolehlah makan tengahari dekat sini. Papa ada beli udang ni, nanti mama kamu boleh masakkan udang masak lemak kegemaran kamu tu. Eh! Mana Aiman dan Dahlia? Mereka tak ikut sekali?” tanya Encik Karim kepada Adam, girang suaranya.
“Mak mertua Adam tak sihat, tu yang mereka ke sana. Meh, mana udangnya, Kiah nak masuk dapur dulu..” Puan Zakiah cepat-cepat menjawab bagi pihak Adam.
Encik Karim kemudiannya duduk dan berborak dengan Adam. Encik Karim itu juga seorang bekas guru besar sekolah menengah yang sudah pencen. Usai makan tengahari, Adam meminta diri untuk balik ke Kuala Lumpur. Sempat dia memandang Puan Zakiah mama angkatnya itu, sebak pula rasa hatinya, benar, meskipun Puan Zakiah itu hanya mama angkatnya dia sudah anggap Puan Zakiah itu macam mama kandungnya sendiri. Selama inipun, hanya pada Puan Zakiah dia mengadu itu ini dan hanya pada Puan Zakiahlah dia banyak juga bertanya soalan mengenai agama Islam.

***************

“Siapa yang call tadi?” tanya Puan Sofia, ibu Dahlia.
“Mak angkat abang Adam, Puan Zakiah, tapi Dahlia tak jawab.”
“Macamana semuanya? Dah sedia?” tanya ibunya lagi.
“Insya ALLAH. Dahlia lebih dari bersedia, harapnya semua tu nanti dipermudahkan, lagipun ini cuma peringkat pertama, kesannya cuma sedikit,” beritahu Dahlia.
“Baguslah kalau kamu dah bersedia. Mana Aiman?”
“Aiman ada dekat bilik. Asyik tanya bila nak balik rumah. Risau Dahlia dibuatnya.”
“Tak apa, nanti lama-lama dia akan lalilah tu. Kamu tu yang lebih penting. Maafkan mama ya Dahlia..” Puan Sofia memandang Dahlia dalam.
“Mama ibu Dahlia. Mana boleh seorang anak sakit hati dengan insan yang melahirkan Dahlia ke dunia.”
Setitis air mata Puan Sofia tumpah, teringat apa yang dilakukannya dalam hidup anaknya itu.
“Mama, jangan nangis. Mama, satu Dahlia minta tolong, jangan bagitau along dan angah pasal benda ni. Mama tolong rahsiakan ya ma..” pinta Dahlia.
“Berat sungguh apa yang kamu hadapi, maafkan mama Dahlia.” Puan Sofia memeluk anaknya.
“Ini sudah takdir Dahlia ma. Dahlia redha. Cuma, Dahlia lebih risaukan abang Adam, sebab tu Dahlia buat macam ni. Dahlia tak nak abang Adam tahu apa yang Dahlia hadapi.”
“Sudahlah Dahlia. Kamu naiklah berehat.”
Dahlia mengangguk, Puan Sofia memerhatikan Dahlia melangkah naik ke tangga atas. Tiba-tiba Puan Sofia rasa khilaf sangat dengan perbuatannya selama ini.  

************

Kring! Kring!
Telefon rumah Adam berbunyi. Segera dia mengangkatnya, manalah tahu ada perkara penting.
“Helo?”
“Helo Adam, macamana dengan file yang saya nak bagi ni? Tadi tak sempat nak bagi dekat you. You tu yang rushing sangat nak balik.” Wani di talian.
“Alamak, patutlah I cari tak jumpa-jumpa. Macam ni jelah, you hantar je kat rumah I, lepas tu kita boleh bincang sikit pasal benda nak present dalam meeting esok, banyak juga kita tak discuss lagi. Kita pun tak pilih lagi batik yang Encik Yakoob suggest tu.” Adam memberi kata putus.
“Okey, kejap lagilah ya. Wani masih dekat rumah ni.”
“Ya, jangan lambat, banyak nak buat ni,” pesan Adam.
Yess Boss!” sindir Wani.
Adam ketawa kecil, kemudian meletakkan telefon rumahnya. Kerjanya disambung sementara menunggu Wani datang sebentar nanti. Adam menekan channel TV swasta untuk melihat berita malam itu. Hendaklah juga dia tahu info semasa. Sambil-sambil itu dia sempat pandang bantal spongebob milik Aiman di sofa. Sebak pula rasa hatinya. Entah macamana mahu memujuk Dahlia lagi, dia sudah mati akal. Sudah berpuluh malah beratus kali dia menghantar pesanan ringkas (sms) meminta penjelasan. Sudah beberapa kali juga dia berhujan berpanas menunggu Dahlia di depan rumah ibu mertuanya itu. Namun, semuanya menemui jalan buntu. Kemudiannya Adam menuju ke sofa itu dan memeluk bantal spongebob milik Aiman itu, rasa tenang sedikit hatinya apabila dapat memeluk bantal itu seolah-olah dapat memeluk anaknya itu sendiri. Lama dia berkeadaan begitu.
“Assalamualaikum.” Wani memberi salam.
Terdengar suara Wani memberi salam, segera Adam menuju ke pintu.
“Waalaikumsalam. Masuklah, kata masih dekat rumah, cepatnya datang.. ada kuasa supersonik ke?” Adam bergurau dan menjemput Wani masuk.
“Nah, ni failnya.” Wani memberikan fail yang dimahukan Adam.
“Okay, thanks.. duduklah,”
By the way, mana Dahlia dan Aiman? Tak nampak pun, selalu kalau I datang time-time macam ni Aiman ada dekat bawah ni tengok tv.” Wani memandang sekeliling.
“Oh, mereka ke rumah mertua I, mak mertua I kurang sihat,” beritahu Adam.
So, mana sampel batik yang kita nak pilih ni?” tanya Wani mahu memulakan kerja mereka.
“Ni ada 10 sampel, kita kena pilih 5. Rambang mata ni nak pilih.. semua cantik, just materialnya yang berbeza, you cuba tengok, you perempuan, so you lebih tahu taste orang perempuan..” Adam memberikan fail yang mengandungi sampel-sampel batik kepada rakan kongsinya itu.
Segera Wani melihat dan merasa setiap sampel yang terkandung dalam fail itu. Kemudian dia memisahkannya mengikut apa yang dirasanya lebih sesuai untuk pasaran dan ada nilai komersial.
“Esok kita kena jumpa sekali lagi dengan Encik Yakob tu. Kali ni you jangan mengelak pula, hari tu siap tanya mana you pergi sebab dia tak nampak you,” sengaja Adam bergurau.
You, kalau nak kenenkan I dengan orang tua tu I`m sorry okay...”
“Makin tua makin berisi tau,” sampuk Adam.
“Iyalah tu..” Wani mengherot mulut. Kemudian dia pandang Adam sekali dan senyum seorang diri. 
Lelaki di hadapannya itu memang kacak, ala-ala pelakon cina yang dia selalu tengok dekat tv lepas balik kerja tu. Tapi itulah, mana mungkin pula dia mahu menampakkan yang dia suka dengan Adam, nanti lain pula jadinya dengan hubungan kerja mereka. 
You, Wani... apa yang you pandang-pandang I ni? Kerjalah..” Adam menegur.
“Muka you macam pelakon cina yang selalu I tengok dekat tv jam 7 petang tu... Ingatkan hero drama cina tu depan mata I, ekekeke...” Wani ketawa kecil sengaja bergurau.
“Macam-macamlah you ni. Dah I ni cina, haruslah sepesen.. kenapa? Muka I ni ada sama hensem ke dengan hero cina dalam drama yang you selalu tengok tu?” tanya Adam berseloroh.
“Boleh tak ambilkan tong sampah, rasa nak muntah kejap..” Wani geleng kepala, sekejap-sekejap lelaki itu memang diarasanya sangat kelakar.
“Dah-dah, nak muntah bagai pula. Siapkan dulu kerja ni. Ha, awak nak air apa?” tanya Adam.
You yang nak buat air ke? Tak payahlah, nanti I sendiri pergi dapur buat air tu.. kang lain jadinya kang..”
“Okay boss.” Adam berseloroh. Wani kemudiannya meneruskan dengan kerja-kerja mereka. 
Lebih kurang jam 10 malam, Wani bersiap untuk balik selepas semua kerja mereka selesai. Itupun selepas memeriksa kerja-kerja yang telah disiapkan. Sejak zaman universiti lagi mereka berdua memang sudah biasa begitu.
“I nak gi bilik air jap. Nak basuh muka yang mengantuk ni. Sementara tu, you save kerja kita buat tu dalam pendrive I. Nah.” Wani memberikan pendrive miliknya kepada Adam.
“Okay. Takde apa-apa nak ubah kan?” tanya Adam lagi sambil mengambil pendrive milik Wani dari tangannya.
“Tak yah ubah lagi, semua dah complete.” Wani menjawab dan kemudian beredar masuk ke bilik air yang berada di belakang.
“Assalamualaikum,” tiba-tiba ada orang memberi salam di luar rumah.
Adam pelik. Siapa pula yang datang tengah-tengah malam buta begitu.
“Assalamualaikum,” sekali lagi orang di luar rumah itu memberi salam. 

 Segera Adam membuka pintu, “Waalaikumsalam,” Adam menjawab salam itu tetapi terkejut melihat siapa yang datang, kemudian dia menoleh ke dalam rumah. Tiba-tiba pula dia rasa gementar.
Adam terdiam. Seluruh anggotanya badannya kaku. Wani yang baru keluar juga turut terkejut.
Mungkinkah semua ini takdir?
Adam mati kata.

bersambung... 

No comments: