~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Sunday 25 November 2012

E-Novel ~Bunga Terakhir (BAB 10)




BAB 10
BAZLI balik ke Kuala Lumpur selepas berada di Sydney selama 3 hari. Sempat dia beli buah tangan untuk mama, ayah dan adiknya Mira. Tidak lupa sejambak bunga lavendar segar untuk Kasih. Buka saja pintu rumahnya, gambar perkahwinan dia dan Juwita terpampang luas di depan mata. Sudah 3 hari dia lupakan masalah itu tapi bila melihat gambar itu, tiba-tiba dia teringat kembali mahligai musnah itu. Sungguh! Setiap kali melihat gambar tersebut membuatkan dia sangat-sangat terluka. Kalaulah boleh, mahu saja dia buang gambar besar itu supaya tidak menyemak dan menyerabutkan fikirannya. Bazli ambil langkah positif, dia ambil kain dan tutup gambar itu, tenang hatinya. Dia letak bunga lavender di meja kopi di bawah gambar perkahwinannya itu. 

Bazli masuk ke dalam biliknya dan membersihkan diri, dia tengok jam sudah masuk jam 1.30 petang. Bazli baru ingat yang dia belum solat zohor lagi... 

“Ya ALLAH, kau kuatkanlah hatiku menerima semua ini, kau ampunkanlah dosa-dosaku kerana terpaksa menipu kedua orang tuaku dan juga keluarga mentuaku...” 

Itulah doa Bazli setiap kali menunaikan solat. Kadang-kadang Bazli rasa bersalah sangat. Ini bukanlah kehidupan yang dimahukannya, kalaulah masa itu boleh diundur kembali, dia akan benar-benar bertanya pada Juwita adakah dia benar-benar sudi menerimanya sebagai seorang suami, sungguh dia tidak akan melaksanakan ijab dan kabul itu hanya untuk sebuah penceraian. Tapi, Bazli tidak mahu fikir banyak, yang berlalu biarkanlah berlalu, tiada guna untuk mengingati perkara yang telah terjadi, hidup perlu diteruskan.

Usai makan pizza yang dibelinya semasa dalam perjalanan balik tadi, Bazli tekan televisyen rumahnya. Rancangan Hot In Cleveland yang Bazli tonton di saluran 702 Astro sangat menghiburkan. Bolehlah setakat nak ketawa dan menghiburkan diri sendiri. Bazli sempat pandang bunga lavender segar yang diletaknya di meja tadi.
‘Mesti Kasih suka...’ gumam Bazli sendiri mengingatkan pesanan Kasih tempoh hari.
3 hari berada di Sydney, Bazli asyik pula teringatkan Kasih. Iyalah, selepas peristiwa hari itu, mahu juga dia mengiburkan hati Kasih. Gadis Sabah itu memang membuatkannya senyum sendiri.

Kring! Kring!
Terbubar lamunan Bazli dengan panggilan telefon rumahnya yang berbunyi. Baru dia merancang nak bermimpi indah disamping mendengar lagu-lagu melankolik di saluran Sinar FM. Segera dia angkat gagang telefon.
“Helo.”
“Helo Bazli, mak ayah nak ke sana dinner. Boleh tak? Bazli baru balik dari Aussie kan, takkan takde apa-apa untuk mama,” tanya ibunya dalam talian.
Bila saja dengar ibunya cakap begitu, Bazli terus cakap, “Boleh, boleh, a’ah, Bazli ada bawa sesuatu untuk mama, papa dan Mira, mestilah ada...” jawab Bazli.
“Okey, mama dengan papa datang malam ni jam 9. Lupa pula, dengan Mira sekali.”  
Mendengar nama Mira disebut, Bazli menelan air liur. Selalunya Mira tak mahu ikut, takutlah pula dia kalau-kalau Mira pecah rahsia. Adiknya yang satu tu kadang-kadang bukan boleh kompromi. Tapi setakat ini, rahsia Bazli masih kuat dipegang Mira.

“Bazli, kenapa diam ni?” tanya mamanya yang tidak mendengar suara Bazli.
“Ada, saya ada ma. Okey, malam nanti datanglah. Mama nak Bazli masak apa?” tanya Bazli.
“Kamu masak?” Ibunya terkejut.
“Eh, err.. tak, Juwita, Juwita yang masak. Mama suka sotong masak merah kan, nanti Bazli buat, eh, Juwita buat.” Bazli tergagap-gagap pula, dia pukul kepalanya lembut sambil ketap gigi.
“Hmm.. kamu ni, suruh Juwita masak apa-apa je. Asal boleh makan, mama bedal. Okey, mama nak keluar kejap ni, assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.” Bazli menjawab salam, kemudiannya dia mendengar bunyi ringing menandakan ibunya telah meletakkan telefon.

“Fuh! Nasib baik tadi.” Bazli berkata sendirian dan kemudian menjeling ke arah gambar perkahwinan yang tertutup di dinding rumahnya.
“Baru aku tutup kau, kena buka balik.. aish!” omel Bazli.

“Eh, lupa pula, Juwita.” Bazli baru teringat, takut pula Juwita ada hal, terus dia hubungi nombor telefon Juwita.
“Helo?”
“Ha Bazli, ada apa call ni?” tanya Juwita agak kasar.
“Malam ni mama ngan papa saya nak datang rumah jam 9.” Bazli memaklumkan.
“Okey. Nanti saya datang. Awak masak ke saya masak?” tanya Juwita lagi.
“Takpe, saya masak.”
Kemudiannya telefon bimbit Juwita sudah ditutup. Nampak sangat Juwita tidak suka dengan semua itu. Bazli segera melihat ke dalam peti sejuk, apa-apa yang boleh menjadi hidangan. Bila tengok semua dah habis, terpaksalah dia ke pasaraya tesco sebentar lagi.

**************

TEPAT jam 9.00 malam, ibunya Puan Munira, ayahnya dan Mira datang ke kondo milik Bazli. Juwita menyambut mereka mesra, cuma Mira yang buat muka sedikit tapi apabila Bazli angguk-angguk dan buat muka, terus saja Mira salam tangan Juwita dan pandang ke tempat lain. Inilah kali pertama Mira datang rumah abangnya, masuk-masuk saja dia disambut dengan gambar perkahwinan abangnya di depan mata, itu membuatkan Mira rasa meluat. Kemudiannya, Mira berjalan masuk ke dalam. 

“Mira, please. Tolong abang ya,” tiba-tiba Bazli menarik Mira ke belakang.
“Abang, sampai bila nak buat macam ni? Tak baik tau, Mira tak nak subahat. Lagi-lagi benda macam ni. Abang bagi muka sangat dekat perempuan tu.” Mira melepaskan tangan abangnya dan berlalu, sekilas dia menoleh tajam ke arah abangnya.
Bazli masih menyebut perkataan ‘please’ kepada adiknya itu. Sungguh dia tidak mahu melukakan hati ibu dan ayahnya yang kelihatan girang menemuinya dan Juwita.

“Papa, mama, jemput ke meja makan. Semua dah terhidang tu,” jemput Juwita mesra, Mira geram sangat melihat kelakuannya.
‘Kejap lagi, kau tahulah langit tu tinggi ke rendah’ gumam Mira marah dalam hati dan mengambil tempat duduk, dia memandang tajam abangnya yang duduk di depannya.

“Sedap Juwita masak hari ni?” puji Puan Munira kepada anak menantunya.
“Err.. tak mak, Bazli yang banyak tolong. Kan bang?” Juwita bermanja pula dengan Bazli, dia pegang lengan Bazli di sebelahnya.
Bazli senyum, “Itulah hebatnya menantu mak ni, pandai masak.. tengok, dah tembam sikit Bazli ni.” Bazli sengaja bergurau.
“Kenapa rasa ikan ni macam rasa ikan dari kedai je?” tanya Mira tiba-tiba.
Bazli menendang kaki adiknya. Mira buat muka.
Bazli terus sahut, “Tu maknanya, masakan Kak Juwita kamu ni setanding dengan kedai.. sikit lagi boleh masuk Masterchef Malaysia.” Bazli berseloroh.
Ibu dan ayahnya senyum sambil menikmati makan malam itu. Mira makan sikit saja, kemudian dia buat muka pandang Bazli.

“Ha Bazli, bila kami nak timang cucu ni?” tanya ayahnya pula.
“Uhuk!” Mira terus batuk.
Bazli pandang adiknya kemudian jawab, “Insya ALLAH, kami berserah saja papa,” jawab Bazli ringkas.
“Juwita jaga badan ya?” Puan Munira pula menyampuk.
“Tak, tak adalah ma. Juwita okey saja, cuma belum rezeki lagi,” jawab Juwita sambil mengelus rambutnya.

Mira geram sangat tengok kepura-puraan abangnya dan Juwita. Hatinya sakit pula, sungguh kalau dia ingat apa yang berlaku di mahkamah syariah beberapa minggu lalu, mahu saja dia buka mulut. Tapi, memandangkan dia masih punya hati nurani, dia diam. Ini semua demi abangnya juga.

“Sebelum Bazli terlupa, ini hadiah untuk mama dan papa. Ini untuk Mira.. eksklusif dari Aussie tau..” Bazli memberikan sebuah beg berisi hadiah kepada mamanya.
Thanks, eh! Untuk Juwita ada kamu belikan apa-apa tak? Mesti special kan?” tanya mamanya pula.

Baru Bazli teringat, memang takde langsung dia belikan apa-apa untuk Juwita, lagipun untuk apa. Tapi, bila mamanya tanya begitu, takkan tak nak jawab pula.
“Erm... adalah ma, bunga lavender segar dari Aussie, jap Bazli amik.” Bazli ke meja kopi tempat dia letak bunga lavender, ada juga rasa bersalah pada Kasih sebab dia sudah janji padanya.

“Nah, untuk my beloved wife yang penyayang dan sentiasa menjaga makan minum I.” Bazli memberikan bunga lavender itu kepada Juwita, walaupun di sebalik senyuman tapi hati Bazli bagai dihiris-hiris!
Thanks abang..” jawab Juwita penuh kepura-puraan, mereka berbalas senyuman.

Lega hati Puan Munira dan Encik Mansor melihat kebahagiaan anak dan menantu mereka.
“Cantik rumah kamu ni Bazli, dulu biasa saja. Ada orang rumah la katakan..” puji ayahnya.
“Ala ayah ni, ni kami berdua saja, memanglah kemas, kalau dah bertiga ke berempat nanti.. tengoklah apa jadi...” Bazli membalas sambil pandang Juwita.
 “Tengoklah menantu kita siapa, cantik, molek macam ni... tentulah kemas rumahnya,” puji Puan Munira.
 “Ehem!” Mira sengaja berdeham tidak suka, dia jeling tajam ke arah Bazli yang banyak berbohong. Bazli tendang kaki adiknya. Mata Mira tajam menjelingnya.

“Hari tu dah renovate bilik atas tu kan?” tanya Puan Munira lagi.
“A’ah ma, dah jadi empat bilik.”
“Dekat bilik cadar warna apa?” tanya Mira tiba-tiba.
“Kuning.” Bazli jawab.“Merah.” Juwita jawab.
Mereka berdua jawab serentak dengan jawapan yang berbeza, Puan Munira dan ayahnya pandang mereka.
“Mana satu ni? Merah ke kuning?” tanya Puan Munira. Mira senyum sendiri, Bazli buat muka dengan adiknya, pandai perangkap mereka.
“Pagi tadi Bazli cuci cadar merah tu ganti dengan yang kuning. Juwita tak sempat masuk bilik tadi sebab sibuk dengan makan malam ni, so, dia tak tahu.” Bazli memberi jawapan selamat.
“A’ah ma, tak sempat lagi Juwita naik atas. Tadi masa tukar baju ni pun tak perasan.” Juwita menyokong kata-kata Bazli.

Usai makan, Mira mengangkat pinggan dan gelas yang digunakan ke singki dan mencucinya.

“Mira, thanks ya. Maafkan abang, abang kena buat macam ni dulu, nanti abang akan cakap dengan mak dan ayah,” tiba-tiba pula Bazli datang dan mengucapkan terima kasih kepadanya kerana tidak membocorkan rahsianya.
“Mira diam bukan bermakna Mira akan diam selamanya bang, berpegang-pegang mesra, abang dan Kak Juwita tu bukan muhrim lagi.” Mira memberitahu abangnya, seakan mengugut, dia bertegas!

Tiba-tiba pula Juwita masuk ke dalam dapur, Bazli meninggalkan dapur.
“Mira tak payahlah susah-susah, biar akak saja yang buat.” Juwita menyapanya.
“Tak payahlah kak, akak pun tak basuh pinggan ni nanti. Jadi, biarlah Mira saja yang basuh.” Mira menyindir Juwita.
“Mira tolonglah faham apa yang akak dan abang Bazli kamu tu lalui.” Juwita tiba-tiba mendekatinya.
“Apapun alasannya akak dan abang Bazli tu dah bercerai kak. Jujur sajalah dengan mak ayah.” Mira membalas.
“Kalau akak cakap, apa akan jadi dengan hubungan mak akak dan mak Mira nanti. Keluarga kita. Kita kena fikir semua tu Mira.” Juwita cuba menenangkan Mira, dia tahu Mira marah padanya.
“Jadi, kalau dah tahu kenapa nak bercerai dengan abang Bazli?” Mira mahukan penjelasan.

“Siapa yang bercerai?” tanya Puan Munira yang masuk dapur tiba-tiba.

Ketika itu jantung Mira dan Juwita bagaikan berhenti berdegup. Mereka berpandangan. Adakah apa yang mereka bualkan tadi didengari Puan Munira? Juwita benar-benar bimbang. Dahinya berkerut seribu.... 

bersambung....  ^___^ 

1 comment: