~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Wednesday 28 November 2012

E-Novel ~Bunga Terakhir (BAB 11)




BAB 11
JUWITA geleng kepala perlahan memandang Mira meminta simpati. Bagi Mira, ini saja peluang untuknya memberitahu ibu dan ayahnya tentang penceraian abangnya. Ini saja satu-satunya cara. Tapi, bila mengingatkan janji dengan abangnya di mahkamah tempoh hari dan melihat kekecewaan abangnya mana mungkin Mira tega membiarkan abangnya luka sekali lagi.
Juwita pasrah, jika itu harinya hubungan dua keluarga itu musnah kerananya, dia rela. Namun jauh di sudut hati dia berharap sangat agar Mira tidak berkata apa-apa. Puan Munira masih memandang mereka.

“Siapa yang bercerai ni Mira?” tanya Puan Munira pada Mira sekali lagi.
“Eh, tak mak. Tadi Mira pergi mahkamah syariah ada tutorial. Mira cakap dekat akak Juwita pasal orang bercerai... tragis mak, macam-macam tuntutan yang mereka buat.” Mira memberitahu, Juwita diam saja, angguk.
“Oh, ingatkan apalah tadi. Juwita dan Bazli tak mungkin bercerai, dari awal dulu memang mak dah nampak mereka ni akan jadi suami isteri yang bahagia...” girang suara Puan Munira penuh harapan.
“Mama, jom kita ke ruang tamu. Macam tak sesuai pula bercerita dekat dapur ni.” Juwita membawa Puan Munira ke depan, sempat dia memandang ke belakang mengangguk tanda terima kasih pada Mira.

‘Kalau bukan sebab kesiankan abang, Mira dah cakap awal-awal’ gumam Mira sendiri dan kemudian mengikuti mereka ke depan.

“Ha mamanya, dah lewat ni. Bazli, kami balik dulu ya?” ayah Bazli meminta diri.
“Abang ni, awal lagi tau.” Puan Munira buat muka.
“Ala, rindu anak dialah tu. Anak kita ni dah berumahtangga wahai mamanya. Dah jadi hak orang lain.” Ayah Bazli bergurau.
“Bazli kan anak mama selama-lamanya.” Bazli senyum memandang ibunya.
Bazli dan Juwita menghantar ibu dan ayahnya serta Mira ke depan.
“Mama, papa datanglah lagi.” Bazli menyalam tangan kedua orang tuanya diikuti Juwita.
“Ha Juwita, nanti kalau mama kamu datang bagitau mama kirim salam ya?” pesan Puan Munira.
“Insya ALLAH ma,” jawab Juwita melemparkan senyuman pada Puan Munira dan mereka berlaga pipi mesra.

Kemudiannya Mira pula menyalam abangnya, sengaja ditekannya kuat sedikit kerana marah, dengan Juwita pula terus Mira terus lepas tangan  lepas salam. 

“Papa drive hati-hati, nanti Bazli free, Bazli balik rumah,” sempat Bazli berpesan.
“Insya ALLAH,” ayah Bazli membalas.

Bazli dan Juwita memerhatikan ibu dan ayah Bazli serta Mira meninggalkan tempat itu.

Setelah setengah jam mereka pergi, Juwita pula pergi. Setiap kali selepas makan malam dan adegan bahagia palsu itu berlangsung, begitulah rutin mereka.

Bazli tutup pintu lepas Juwita pergi, dia duduk di sofa ruang tamu sambil pandang  gambar perkahwinannya. Tidak pernah Bazli sangkakan, ini susahnya sebuah perkahwinan yang telah retak. Bazli rasa bersalah sangat dengan orang tuanya. Selalu dia tonton drama di kaca televisyen tu macam senang saja orang bagitau dia bercerai. Tapi realitinya, sangat, sangat susah! Bazli menyandar di sofa dan tengok atas, fikirannya kosong dengan rasa bersalah.

Baru dia teringat! Juwita bawa bunga lavendar tu tadi ke tak, bergegas Bazli ke meja makan. 

“Fuh! Nasib baik ada lagi.” Bazli senyum sendiri dan mengambil bunga lavendar itu.
Entah kenapa pula Bazli rasa yang bunga lavender tu penting sangat untuk Kasih, mungkinkah dia rasakankan sesuatu padanya?

*******************

“Mama, kepala Dahlia ni pening sangat ni, Dahlia tak sedap badan..”
“Kalau macam tu berehatlah di bilik.”
“Mama tolong suruh Pak Mat ambil Aiman dekat Taska ya.”
“Iya, tak payahlah kamu susah-susah, pergi naik bilik berehat.”
Dahlia angguk dan kemudian meneruskan langkah ke tangga, namun belum sempat Dahlia melangkah naik,  pemandangannya berpinar-pinar dan terus rebah di situ juga.
“Astagafirullahalazim... Dahlia!” Puan Sofia meluru mendapatkan anaknya yang terbaring di lantai.
“Dahlia, bangun nak.. bangun.. Pak Mat! Pak Mat!! Pak Mat!! Bangun Dahlia bangun..” Puan Sofia masih menggoyang-goyangkan badan anaknya.
“Kenapa? Kenapa Puan?” tanya Pak Mat yang terkocoh-kocoh berlari mendapatkan Puan Sofia.
“Tolong, tolong angkat anak saya, kita ke hospital.. cepat,” arah Puan Sofia.
Segera Pak Mat mengangkat Dahlia yang terbaring di lantai lalu membawanya ke kereta.
“Cepat Pak Mat, cepat...” Puan Sofia makin risau dan bimbang.
“Bangun Dahlia bangun, janganlah kamu apa-apa nak.. Ya ALLAH, permudahkanlah semuanya.. Pak Mat cepat drive tu, cepat..”
“Ya Puan, ya..”

Sampai saja di hospital, Pak Mat ke kaunter dan memberitahu petugas di sana. Dahlia diletakkan di atas katil beroda dan dimasukkan ke dalam wad kecemasan.
“Maaf Puan, sila tunggu dekat luar..” jururawat bertugas menahan Paun Sofia.
“Sabar Puan, tenang, Insya ALLAH anak Puan tak apa-apa.” Pak Mat menenangkan majikannya itu.
Puan Sofia mengangguk. Kemudian teringatkan Aiman.
“Pak Mat pergi ambil Aiman dekat Taska, dah lewat ni.. nanti terus bawa ke sini,” arah Puan Sofia.
Pak Mat ikut arahan dan terus berlalu dari situ. Puan Sofia menunggu dengan sabar tetapi dalam keadaan tidak tentu arah. Dia takut sesuatu berlaku pada Dahlia dan dia takut kehilangan Dahlia..

SAMPAI saja di Taska, Pak Mat terserempak dengan Adam yang turut berada di sana. Pak Mat berbelah bagi, perlukah dia bagitau yang Dahlia dekat hospital. Tapi akhirnya Pak Mat tekad, dia mesti bagitau Adam, Dahlia itu isterinya.
Kring! Kring!
Belum sempat Pak Mat keluar dari kereta, telefon bimbitnya berdering.
“Helo.”
“Pak Mat dah ambil Aiman ke? Kalau dah terus bawa ke sini ya.” Puan Sofia mengingatkan sekali lagi.
“Puan, Aiman ada dengan ayahnya.”
“Pak Mat jangan beritahu apa-apa pada Adam. Buat macam biasa. Adam tak boleh tahu hal ni. Faham?” Puan Sofia mengingatkan lagi.
“Baik Puan.”
Puan Sofia meletakkan telefonnya. Pak Mat turun dari kereta dan menemui dua beranak itu.

“Assalamualaikum Adam,” sapa Pak Mat yang melihat Adam leka bersama Aiman.
“Waalaikumsalam Pak Mat, apa khabar Pak Mat?”
“Alhamdulillah. Pak Mat macam ni ajelah. Aiman, masa untuk balik...” Pak Mat memandangnya.
“Papa, Aiman nak balik rumah papa.” Aiman enggan dan memaut erat tangan ayahnya.
“Aiman, Aiman kena balik rumah mama. Jangan risau, ayah akan datang sini selalu. Balik ya.” Adam memujuk dan memeluk anaknya itu erat dan mencium kepalanya.
Kemudiannya Adam mengangkat Aiman dan memasukkannya ke dalam kereta.
“Papa!”
“Aiman, jangan degil. Aiman sayang papa tak?”
Aiman angguk.
“Pak Mat, saya gerak dulu. Kirim salam dengan Dahlia.” Adam menyampaikan pesannya.
Pak Mat angguk dan melempar senyuman.
“Adam...” Pak Mat menyebut namanya.
“Ya Pak Mat? Ada apa?” tanya Adam.
“Oh tak, tak ada apa-apa..” pantas Pak Mat teringat peringatan Puan Sofia, dia majikan, teruk akibatnya kalau dia ingkar, segera Pak Mat masuk ke dalam kereta.

**************
“Doktor, macamana anak saya doktor? Dia baik-baik saja kan?” tanya Puan Sofia sebaik dia melihat doktor keluar dari pintu wad kecemasan.
“Baik, dia baik-baik saja Puan. Sila ikut saya.”
Puan Sofia mengikut doktor itu masuk ke dalam biliknya.
“Puan, silakan duduk.”
“Terima kasih.”
“Puan, tahniah, anak puan sudah mengandung 3 bulan.”
“Alhamdulillah.. terima kasih doktor, macamana dengan kandungannya doktor? Semua baik-baik saja kan?” tanya Puan Sofia masih bimbangkan anaknya.
“Insya ALLAH, semuanya baik-baik saja. Cuma, anak Puan perlu banyak berehat dan makan juga mesti teratur. Sekarang ni badannya agak lemah, itu yang dia pengsan..” pesan doktor muda itu.
“Baik doktor, terima kasih, saya keluar dulu..” Puan Sofia meminta diri.
“Tapi ada satu hal yang saya bimbangkan Puan..”
Langkah Puan Sofia terhenti, kembali dia duduk ke kerusi tadi dengan pandangan penuh harapan. Doktor itu juga memandangnya.. mereka diam.

WANI memandang keluar pejabatnya. Dia masih teringat perbualan dia dan Dahlia tempoh hari selepas Aiman hilang hari itu. Sudah beberapa hari Wani tidak dapat melelapkan mata kerana memikirkan kata-kata Dahlia. Apa mungkin Dahlia benar-benar sanggup suaminya berkahwin lain dan apa mungkin Adam benar-benar ikhlas mahu mengahwininya atau sekadar mahu menunaikan permintaan Dahlia. Yang dia fikirkan, apa akan jadi dengan perkahwinan mereka nanti. 

Tok! Tok! Tok!

“Masuk,” arah Wani dan membubarkan lamunan.
“Cik Wani, ini dokumen yang Cik Wani minta. Ada apa-apa lagi yang saya boleh bantu?” tanya pembantu Wani kepadanya.
“Terima kasih Julia, buat masa ni tak ada apa-apa. Encik Adam sudah balik ke pejabat?” tanya Wani ingin tahu.
“Belum lagi Puan. Tadi dia keluar kejap. Kata setiausahanya dia ke Taska. Mungkin kejap lagi baliklah tu,” jawab Julia.
“Okay.”
“Saya keluar dulu ya.” Julia meminta diri dan kemudian keluar dari situ.
Wani belek dokumen yang baru dimintanya itu. Tapi, fikirannya masih kusut. Kata-kata Dahlia masih terngiang-ngiang di telinganya.

“Wani, tolonglah kahwin dengan Adam. Dahlia tahu selama ni Wani sukakan Adam kan? Dahlia minta ni bersebab Wani, tolonglah kahwin dengan Adam..”

Permintaan Dahlia semasa mereka berdua minum di sebuah restoran tempoh hari membuatkan Wani kelu. Dan sesungguhnya dia masih kelu, bagaimana mungkin Dahlia tegar bertanya perkara tersebut kepadanya. Bagaimana mungkin seorang isteri sanggup membenarkan suaminya sendiri memadukannya. Wani mati kata dengan permintaan Dahlia itu. Ya, sungguh dia memang sangat sukakan Adam, tapi bukanlah cara tersebut, dia mahu Adam juga suka kepadanya sendiri, bukan kerana paksaan atau apapun. Wani juga syak, apa mungkin ada sesuatu menimpa Dahlia, apa mungkin ada berlaku krisis rumahtangga antara pasangan suami isteri yang sudah lama dikenalinya itu. 

Lama berteka teki, dia nampak Adam membuka pintu pejabat dan kemudian masuk ke dalam bilik pejabat. Apa mungkin dia perlu bertanya Adam saja kalau-kalau ada sesuatu menimpa Dahlia.
Ah! Wani terus keluar dari bilik pejabatnya dan masuk ke dalam bilik Adam, dia mesti bertanya sendiri pada Adam supaya kegusaran yang berputar dimindanya itu terjawab.

“Adam, boleh kita bincang kejap?” tanya Wani sebaik membuka pintu bilik pejabat Adam tanpa mengetuk terlebih dulu.
“Ya Wani, duduklah..”
Wani mengambil tempat duduk dan kemudian bertanya, “Adam, Dahlia tak apa-apa kan?” tanya Wani tiba-tiba.
“Tak, dia okay je.”
“Apa maksud awak dia okay je? Awak berdua ada masalah ke? Kenapa dia bagi syarat yang awak mesti kahwin dengan saya barulah dia balik rumah dengan Aiman? Come on Adam, kita dah kenal lama, masalah awak, masalah saya juga.”
“Erm.”
“Adam?”

Adam pegang dahinya, kemudian dia pandang Wani, “Sudah dua bulan kami tinggal berasingan. Dahlia sebenarnya nak minta cerai dengan saya, tak tahu atas sebab apa.. tiba-tiba dia muncul dekat mahkamah masa perbicaraan khalwat kita dan minta saya kahwin dengan awak..” Adam bercerita.
“Sebenarnya Dahlia ada jumpa saya, katanya dia minta saya kahwin dengan awak bersebab. Awak ada tanya dia sebabnya?” tanya Wani lagi.
“Entah, itu saya tak tahu. Yang saya perasaan, beberapa bulan sebelum kami tinggal berasingan, dia jadi pendiam, memendam perasaan.. yang saya tahu pasal mak mertua saya asyik call tu ajelah, yang lain saya tak tahu..”
“Dahlia tu berahsia sikit orangnya, saya tahu sebab dia tu pernah satu dorm dengan saya masa kat universiti dulu..”
So, apa jawapan awak dengan permintaan saya hari tu?” tanya Adam pula.
“Permintaan apa?” tanya Wani lagi.

“Bukan permintaan, lamaran saya tu... awak terima?” tanya Adam mengingatkan.
“Adam, susah saya nak cakap. Saya tak tahu nak jawab apa dan bagaimana, awak ni memang ikhlas ke nak kahwin dengan saya atau awak saja nak tunaikan permintaan isteri awak? Adam, saya pun seorang perempuan, saya juga ada perasaan, kahwin ni bukan benda main-main..” Wani meluah perasaannya.
 “Wani, meski mungkin ini permintaan Dahlia. Tapi, sebagai seorang muslim dan Islam itu sendiri memartabatkan kaum wanita, awak terimalah lamaran saya...”
“Adam, saya balik bilik saya dulu.” Wani meminta diri.
“Wani, kalau awak dah ada jawapan, awak bagitau saya ya?” Adam mengingatkan.

“Adam, ini bukan drama Melayu. Dan, saya tak mahu sebarang syarat atau kontrak untuk mengahwini awak. Awak tanya hati awak, apa awak bersedia mahu berkahwin dengan saya dengan ikhlas.”

Wani kemudian berdiri dan bersedia untuk keluar. Adam pula masih kalut, apa mungkin dia tidak keterlaluan? Apa mungkin dia terlalu memaksa? Tapi jika difikirkan balik.. dia sendiri tak tahu samada dia perlu tunaikan permintaan Dahlia atau tak.. namun bila memikirkan keadaan Aiman hari itu, dia tiada pilihan. Kalau dengan penyatuaannya dengan Wani itu dapat memberikan kebaikan untuk semua pihak, dia redha..
“Wani!”
Langkah Wani terhenti di situ.

bersambung....

No comments: