BAB 16
SETELAH menghantar Wani ke Bangsar, Adam terus pandu balik ke
rumahnya. Dia sudah tidak sabar-sabar mahu menemui permata hatinya di sana.
Adam senyum sendiri bila mengingatkan telatah Aiman yang sudah lama dia sendiri
tidak temui. Juga melihat tenangnya wajah Dahlia isteri yang sangat
disayanginya itu. Mungkin sudah dua minggu dia tidak bersua muka dengan Aiman
di Taska kerana Adam sibuk dengan hal pernikahannya dengan Wani. Adam pandang
gambar Aiman di tengah cermin kereta. Dia senyum sendiri.
Tiba-tiba...
Adam dapat rasakan
telefon yang di ‘silent’ kannya
bergetar. Segera dia tekan handsfree diribanya. Dia tak sempat tengok siapa
yang menghubunginya kerana fokus dengan pemanduan.
“Helo.”
“Ini John?”
seorang perempuan bertanya dalam talian.
Mendengar namanya
yang sebelum Islam disebut Adam terkejut sekejap. Namun suara perempuan cina di
talian itu menyebabkan dia teringat seseorang.
“Kak Lilian ke tu?”
tanya Adam.
“Nasib baik ingat
lagi sama kakak.”
“Kak Lilian, nama
John dah tukar Adam. Akak boleh panggil John dengan nama baru tu.”
Lama Kak Lilian diam.
“Akak? Ada apa-apa
yang akak nak bagitau Adam ke? Pasal mummy atau daddy Adam ke? Mereka sihat ke
kak?”
Adam sengaja
bertanya demikian kerana Kak Lilian tinggal berdekatan dengan rumahnya di
Melaka. Kak Lilian tidak mungkin akan menghubungi sekiranya tidak ada apa-apa
hal penting untuk dibicarakan.
“Susah kakak nak
cakap. Tapi kakak kesiankan kamu. Itu pasal kakak call sama kamu. Macam ni, mummy
kamu masuk hospital kena strok dua hari lepas. Kakak dah cakap dengan ayah kamu
supaya call kamu tapi dia enggan. Katanya anak dia sudah mati.”
Sebentar Adam
terkesima, tapi dia faham perasaan orang tuanya itu. Dia sudah biasa untuk
tidak terkejut dengan kata-kata pahit daddynya itu.
“Mummy Adam macamana
sekarang? Sudah pulih?” tanya Adam lagi.
“Dia sudah
sedarkan diri. Baru Kak Lilian melawat tadi. Okeylah, kakak letak telefon dulu.
Kakak kat hospital ni.”
“Okey kak. Terima
kasih sebab bagitau saya.”
“Sama-sama..”
Sayu saja suara
Kak Lilian dicorong telefon. Adam tekan punat handsfree dan matikan panggilan.
Sebak juga Adam mendengar berita tersebut, anak mana yang tidak sayangkan
anaknya. Anak mana yang tega membiarkan keluarganya sendiri. Sungguh! Adam
terlalu rindukan mereka, Adam terlalu ingin mendengar mummy dan daddynya
berbicara dengannya seperti dulu-dulu. Tapi, semua itu nampak seperti tidak mungkin lagi. Adam buntu,
Adam tak tahu macamana untuk memperbaiki hubungan tersebut.
Bila teringat
mummy dan daddynya. Adam juga teringatkan kata-kata Dahlia menyuruhnya
bersabar, tuhan mencipta suatu masalah untuk menguji hambanya sesuai dengan
kemampuan seseorang itu untuk membebaninya. Hanya kata-kata Dahlia menjadi
penyebab dirinya dapat bangkit. Untuk diharapkan orang lain sudah tidak
mungkin, paling-paling pun hanya umi dan abinya. Tapi Adam tidak mahu terlalu
membebankan mereka dengan masalah meskipun mereka maklum dengan keadaan Adam.
Adam berserah, dia tahu tuhan akan sentiasa memberikan jalan yang terbaik
buatnya.
10 minit kemudian
Adam sampai ke rumahnya. Dia tekan alarm pagar. Bila terbuka saja pagar. Adam
nampak Aiman dan Dahlia sudah menantinya dengan senyuman. Dua permata itulah
sumber kekuatan untuknya buat masa ini. Usai memarkir kereta, Adam turun dan memandang
Aiman.
“Aiman anak papa!”
teriak Adam girang.
“Papa! Kenapa papa
lambat?” tanya Aiman yang terus memeluk dan memandangnya.
“Papa ada hal
sikit. Dahlia macamana? Sihat?” tanya Adam memandang isterinya yang manis
berbaju kebaya.
“Alhamdulillah
bang, Dahlia sihat.” Dahlia salam tangan suaminya lama.
“Kenapa ni
Dahlia?” Adam pelik.
“Dahlia minta maaf
banyak-banyak kalau banyak susahkan abang.” Dahlia memandang Adam yang
tersenyum melihatnya.
“Kamu isteri abang
hingga ke Jannah. Tak apa, yang penting kamu dah balik, abang happy. Jom masuk,”
ajak Adam dan membawa Aiman bersama.
Dahlia angguk, dia
cuba tahan air matanya bila pandang Adam. Entah, ada serasa-rasa bersalah yang
dia tak mampu ungkapkan. Adam pula tersenyum sinis melihatnya dan Aiman.
“Abang, Dahlia ada
buatkan abang laksa johor yang abang suka tu.” Dahlia cuba ceriakan suasana
walaupun sedikit sebak.
“Jom kita makan,
Aiman duduk kat riba papa ya.” Adam angkat Aiman dan dukungnya.
“Anak papa ni dah
berat ni.. mesti kuat makan ni..” seloroh Adam dan mencium pipi gebu Aiman.
Mereka bertiga ke
meja makan. Dahlia pandang Adam, tanpa ditahan-tahan, air matanya menitis. Adam
pandang Dahlia.
“Sayang.. selalu
nangis depan rezeki, tak baik tau. Kan abang dah ada ni..” Adam pandang Dahlia
dan pegang erat tangannya.
Dahlia pegang erat
tangan suaminya. Sungguh! Ketika itu juga Dahlia benar-benar menyesal dengan
tindakannya selama ini. Mungkin sudah sampai masanya Adam tahu segala-galanya
kenapa dia berbuat demikian.
“Mama nangis tu,
pujuklah mama duduk sebelah papa. Cakap dekat mama, papa rindu dia
sangat-sangat...” sengaja Adam cuba menceriakan suasana.
Aiman pandai saja
ala-ala posmen bertauliah berdiri dan segera ke tempat mamanya.
“Papa cakap dia
rindu mama sangat-sangat. Papa nak mama duduk sebelah mama..” Aiman berbisik di
telinga Dahlia yang sebenarnya didengari Adam, Adam geleng kepala senyum
sendiri.
Aiman tarik tangan
mamanya duduk di sebelah papanya. Dahlia menurut. Lepas tu pandai pula Aiman
ambil tangan mamanya dan papanya lalu ditautkan.
“Aiman.. dari mana
belajar ni? Ni mesti banyak tengok tv dengan mama kamulah ni..” tanya Adam
bergurau sambil pandang Dahlia yang suka sangat tengok drama-drama melayu dan
korea.
“Papa dan mama
selalu pegang tangan masa tidur, Aiman nampak..” selamba saja Aiman menjawab.
“Anak papa ni..
nakal!” Adam tarik Aiman dan terus peluk dia ketat-ketat.
Dahlia pandang
anak beranak itu gembira. Sungguh! Kini tahulah Dahlia, mahligai yang dia bina
selama 5 tahun itu masih utuh dan kekal. Hatinya lega. Tapi, sampai bila
keadaan akan selalu menyelamatkan mereka? Sungguh, Dahlia hanya berserah pada
yang maha kuasa.....
************************
Klak!
Pintu wad dibuka.
Kelihatan ibu bapa Juwita serta ibu bapa Adam bersama Mira di situ. Bazli
pandang mereka.
“Astagafirullahalazim
bang.. Juwita.. bangun Juwita..” Puan Julia terkejut melihat keadaan Juwita dan
segera ke sebelah anaknya yang sedang koma itu.
“Bazli, apa kata
doktor?” tanya ibunya, Puan Munira.
Bazli salam tangan
ibunya, ayahnya dan juga ayah Juwita.
“Mungkin Juwita
akan koma buat beberapa ketika... kecederaannya parah juga..” perlahan suara
Bazli, tapi cukup mengejutkan semua yang ada di situ.
“Oh, my God..
Juwita.. bangun sayang.. bangun...” Puan Julia peluk anaknya erat. Segera Encik
Sallehudin ke sebelahnya.
“Julia, tak baik
macam ni.. anak kita tu baru accident, kita kena bersabar, bawa mengucap
banyak-banyak....” Encik Sallehudin menenangkan isterinya.
“Sabar Julia, sabar..”
Puan Munira cuba menenangkan kawannya itu.
“Bazli, kamu
baliklah rumah. Dah sehari semalam kamu dekat sini kan? Tukar baju kamu..
mandi..” Encik Mansor menasihati Bazli.
“Tapi...” Bazli
pandang Juwita dalam, sungguh, detik itu, sekelumitpun Bazli tidak mahu
meninggalkan Juwita di sana.
“Bazli, mak ayah
ada dekat sini...” Puan Munira cuba menenangkan anaknya pula.
“Abang baliklah
bang.. salin baju dulu..” Mira cuba memujuk abangnya dan tarik abangnya keluar.
“Bazli, baliklah..
ayah ada dekat sini...” Encik Sallehudin ayah Juwita juga memahami.
Bila disuruh
balik, Bazli akur. Tapi berat sungguh kakinya untuk melangkah. Entah kenapa
kala itu, dia terlalu mahu berada di sisi Juwita sehingga dia sedar meskipun
perkara itu adalah amat-amat mustahil berlaku dalam sekelip mata kecualilah
dengan izin Allah swt.
“Mak, ayah, Bazli
balik dulu ya, assalamualaikum..” Bazli pandang mak ayahnya dan mak ayah
Juwita.
“Waalaikumsalam...”
jawab mereka semua serentak.
Mira tarik tangan
abangnya dan terus keluar dari situ.
“Abang ingat janji
abang?” Mira tiba-tiba bertanya sebaik saja mereka berada dalam kereta.
“Apa maksud Mira
ni? Abang tak faham..” Bazli bertanya kembali, dahinya berkerut.
“Abang cakap, bila
mak dan ayah balik dari bercuti abang akan bagitau mereka abang dan Kak Juwita
dah bercerai kan?” Mira memandang abangnya.
“Mira! Dalam waktu
macam ni pun kamu masih nak berdendam dengan Kak Juwita kamu tu.
Astagafirullahalazim Mira, tolonglah faham situasi sekarang... Kak Juwita tu
memerlukan sokongan kita..” Bazli cuba menyedarkan adiknya.
“Iya ke Kak Juwita
tu memerlukan pertolongan kita? Ada dia cakap? Ada dia minta ke? Abang kena
ingat apa yang dia buat dekat abang. Abang dah lupa ke dengan semua tu?!” tanya
Mira meninggi.
“Apa yang telah
berlaku dan apa yang akan berlaku sudah ditentukan tuhan Mira. Kita sebagai
manusia kena terima qada’ dan qadar yang ditentukan tuhan. Ya, abang akui, kak
Juwita kamu takkan minta pertolongan abang. Ya, abang juga setuju, kalau Kak
Juwita kamu tu memang kejam dengan hidup abang. Tapi, kita ni manusia biasa
Mira, kita bukan bersifat mahsum, kita bukannya serba sempurna. Kita pun
lakukan kesalahan. Sebagai manusia, kita tak boleh menilai orang lain, kita dan
yang lain dipisahkan dengan satu garisan halus sahaja. Kita sama disisi Allah
swt...” tiba-tiba panjang pula kata-kata Bazli. Mira mencebik mulut geram.
“Mira tahu semua
tu. Mira faham. Tapi bang, manusia ni pun diciptakan dengan hati dan perasaan.
Manusia pun ada rasa, pelbagai rasa.. rasa marah, benci, sedih, geram, gembira.
Mungkin ya, Mira boleh maafkan kak Juwita, tapi bang... abang jangan terlalu menaruh
harapan sangat. Mira tahu yang abang masih sayangkan Kak Juwita tu lagi, Mira boleh
nampak dan Mira boleh rasa.. Mira sayangkan abang, Mira tak nak pisang berbuah
dua kali. Mira nak tengok abang bahagia, Mira tak nak tengok abang tersasar
lagi. Mira tengok depan mata Mira sendiri abang bercerai. Takkanlah abang jilat
ludah balik pula? Abang kena sedar bang.. jangan terbuai oleh rasa simpati.
Mira kenal abang dari kecik lagi, abang ni memang lelaki baik, tapi pasangan
untuk lelaki baik untuk abang juga perempuan yang baik-baik, bukan macam....”
Mira tak mahu teruskan kata-katanya, dia mahu abangnya itu faham sendiri.
Broom!
Kereta honda Bazli
memecut laju menuju ke rumahnya, Mira tahu abangnya marah. Mira tahu abangnya
memendam rasa, tapi lelaki seperti abangnya itu memang perlukan paku, paku yang
bagi dia sedar betapa bekas hentakan tukul ke arah paku itu takkan hilang meskipun
sudah dibaiki berkali-kali! Mira mahu
abangnya itu jadi seorang yang boleh menerima kenyataan, kenyataan yang Bazli
sendiri boleh terima. Mira tak mahu abangnya itu terdorong dengan rasa simpati dan
kasihan, Mira tak mahu abangnya akan terluka lagi... dia terlalu sayangkan abangnya
yang satu itu, sungguh! Mira buat semua itu untuk kebaikannya, bagi abangnya itu
sedar. Kemudiannya Mira buka laci di depannya, saja dia buka untuk letak telefon
bimbitnya. Tiba-tiba dia nampak seutas gelang di sana, dia tidak pernah melihat
gelang itu.
“Abang, ini gelang
siapa?” tanya Mira kepada Bazli.
Bazli terkejut.
“Err.. itu gelang kawan
abang, tertinggal hari tu masa dia naik kereta abang.”
“Kawan perempuan ya?
Stewardess? Cantik tak?” sengaja Mira bertanya.
“Sudahlah Mira, simpan
gelang tu balik, nanti hilang payah abang nak cari balik..” Bazli mengomel.
“Hmm.. penting juga
gelang ni ya. Wahai si pemilik gelang, jadilah kekasih abangku buat selama-lamanya..”
Mira berharap sambil jeling-jeling abangnya.
“Mira!” monyok muka
Bazli pandang Mira yang sengaja bergurau.
Sudahlah fikiran Bazli tak tentu ketika itu... tubuhnya saja di sini, tapi fikirannya
masih lagi melayang di hospital sana..
Dia hanya harapkan
kesembuhan Juwita saja ketika itu. Bazli
bingung, bila difikirkan balik ada benarnya juga kata-kata Mira tadi, tapi dia tak
boleh fikirkan apa-apa ketika itu... dia benar-benar runsing!
bersambung...
bersambung...
2 comments:
Gaya bhs menarik. Begitu juga jln ceritanya.
terima kasih Umi singgah komen. Ayim ngah tahan diri baca blog bunda, takpe, lepas dapat baca CIM nanti ayim singgah ya.. hihi.. ^_^
Post a Comment