~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Monday 17 October 2016

BUNGA TERAKHIR (Bab 9) #FirstDraft #UneditedVersion


BAB 9
Sebulan Kemudian

BAZLI masuk ke dalam Mahkamah Tingi Syariah. Itulah kali pertama dia masuk ke dalam mahkamah. Perasaannya seolah-olah dia telah melakukan jenayah yang sangat-sangat berat. Dia memandang kerusi-kerusi yang dipenuhi orang. Pelik. Setahunya mahkamah syariah bukanlah seramai itu. Siapa mereka semua? Ada yang pegang buku, pen, kamera pun ada. Ke, wartawan, ish! Takkanlah dia pula masuk dalam berita, boleh naya jadinya. Sudahlah hal itu disembunyikan dari pengetahuan keluarganya dan keluarga Juwita. 
‘Ya Allah, semoga semuanya dipermudahkan. Ampunilah hambamu yang lemah ini...’ doa Bazli dalam hati, dia sedar, perceraian itu sangat dibenci dalam Islam. 
“Abang buat apa dekat sini?” tanya seseorang semasa Bazli melangkah masuk. Orang itu bertanya seakan berbisik perlahan agar tidak didengari yang lain.
Langkah kaki Bazli terhenti, dia sangat-sangat kenal suara itu.
“Abang, abang buat apa dekat sini?” tanya orang itu lagi sekali. Pertanyaan itu membuatkan Bazli kaku dan kemudian menoleh kepada orang itu. Mulutnya terkunci, mata mereka saling berpandangan. Kemudian Bazli membawa keluar orang itu secepatnya.
“Mira, Mira kena janji dengan abang tau. Mira jangan bagi tahu mak ayah pasal benda ni, abang dan Kak Juwita nak bercerai.” Bazli menjelaskan pada adiknya Mira yang kebetulan berada di situ, mungkin sedang ada tutorial prosiding mahkamah syariah sebenar. Kini tahulah Bazli, orang yang ramai itu merupakan para pelajar undang-undang syariah termasuk adiknya sendiri.
Mira terkejut, mengangguk dan kemudian masuk semula kerana prosiding akan berjalan bila-bila masa. Bazli melangkah masuk dan menuju ke tempat duduk  yang tersedia untuknya.
“Perbicaraan bermula. Kes penceraian antara Encik Bazli bin Mansor dan Puan Juwita binti Sallehudin.” Hakim memulakan bicara sambil memandang Bazli dan Juwita yang diwakili oleh peguam masing-masing.
Bazli tiba-tiba berasa sebak. Dengan kehadiran Mira di situ, dia merasa  sangat bersalah pada keluarganya. Bazli memandang Juwita, Juwita mengangguk pasrah.
“Encik Bazli bin Mansor pada 25 September 2012, tepat jam 9 malam adakah kamu telah melafazkan kata-kata yang menjurus kepada penceraian dengan waras?” Hakim bertugas bertanya pada Bazli.
“Ya saya Yang Arif.” Bazli menjawab.
“Boleh saya tahu apa yang menyebabkan kamu bertindak sedemikian?” Tuan Hakim bertanya lagi.
Bazli tidak mahu pula menjatuhkan air muka Juwita di depan semua, apalagi di depan Mira, adiknya. Bazli berbincang dengan peguam, peguam mengangguk dan memberikan sehelai kertas untuk Bazli tulis dan kemudian diserahkan kepada Hakim.
Para hakim berbincang. Mereka memandang Bazli dan Juwita. Beberapa minit kemudian para hakim selesai berbincang.
“Encik Bazli bin Mansor adakah kamu dengan ini setuju bahawa kamu menyebut kamu akan menceraikan isteri kamu Puan Juwita binti Sallehudin dengan talak satu apabila dia keluar dari rumah kamu?” Hakim bertanya Bazli.
Lama Bazli terdiam, mahkamah juga sunyi sepi, mungkin begitu agaknya reaksi apabila seseorang itu dijatuhi hukuman.
“Encik Bazli?” Hakim bertanya lagi.
Tiba-tiba saja Bazli seakan terkunci mulut, entah. Dia terlalu sayangkan Juwita barangkali.
“Encik Osman, boleh tangguh kejap. Saya nak tenangkan diri,” pinta Bazli kepada peguamnya.
Encik Osman selaku peguam mengangguk. Kemudiannya dia menuju ke arah hakim dan memberitahu permintaan anak guamnya.
“Baiklah, atas permintaan defendan. Mahkamah akan berehat setengah jam.”
Bazli keluar terus dari situ, diikuti dengan Juwita. Dan kemudiannya Mira juga membontoti mereka.
“Bazli!” Juwita seakan marah.
Bazli menggeleng.
“Kak Juwita, apa yang dah jadi ni? Abang?!” Mira mahukan penjelasan dan kehadiran Mira di situ cukup-cukup membuatkan Juwita terkejut. Dia segera berlalu daripada situ.
“Abang buat hal ya?” sengaja Mira bertanya sedemikian, pandai-pandailah dia memancing.
“Tak Mira, ini keputusan bersama, kami dah tak serasi, kami tak boleh bersama lagi... walaupun abang sayangkan Kak Juwita kamu tu sangat-sangat.” Bazli menjawab.
“Jadi, kalau abang sayang Kak Juwita tu, kenapa nak cerai. Come on bang, abang baru kahwin tak sampai tiga bulan dah end up jadi macam ni. Abang, jujur dengan Mira apa sebabnya. Pokok takkan bergoyang kalau takde angin. Ke, abang ni gay?” Mira bertanya bertalu-talu, almaklumlah bakal peguam juga.
“Apalah Mira ni, abang tengah sedih ni. Cakap itu pula. Abang tak macam tulah. Sudahlah Mira, janganlah ditanya sebabnya kenapa abang bercerai dengan Kak Juwita kamu tu. Biarlah Allah swt saja yang tahu. Dah nak habis setengah jam ni, abang ke bilik air dulu.” Bazli meminta diri, Mira membiarkan abangnya pergi.
Bazli terkocoh-kocoh melangkah masuk ke dalam bilik air. Dia memandang wajahnya dalam cermin. Teruk sungguh rupanya hari itu. Tiba-tiba saja fikirannya menerawang semasa majlis pernikahannya, dia juga memandang cermin pada hari indah itu tapi dengan senyuman, dengan air mata gembira. Cepat sungguh bahagia yang diharapkan itu musnah. Yang lebih menyedihkan, Juwita seolah-olah tidak ada rasa bersalah dan malu, padahal Bazli sudah menyerahkan seluruh hatinya pada Juwita. Sungguh dia masih mencintainya. Lama Bazli di dalam bilik air, dia cuba bertenang. Beberapa ketika kemudian dia keluar jua.
‘Ya Allah, hapuskanlah rasa cintaku ini pada dirinya... tunjukkanlah aku jalanMU...’ sekali lagi Bazli berdoa dalam hati, kemudiannya dia terus saja masuk ke dalam mahkamah.
“Encik Bazli, kita kena selesaikan hari ini juga. Kalau minta tangguh kes ni akan lambat selesai, nanti tunggu sebutan semula lambat.” Encik Osman selaku hakim memberi nasihat pada Bazli, sebenarnya dia juga mahu kerjanya selesai.
Apabila sudah dinasihati begitu, Bazli mengambil sikap bertenang. Dia berserah sepenuhnya pada Allah swt, dia kemudian mengingat apa yang telah berlaku. Dia tahu Allah swt menyayanginya kerana Bazli tahu kecurangan Juwita itu sangat cepat, ada hikmah atas sesuatu perkara itu. Lagi satu jika Juwita bersalin nanti, pastilah dia menanggung dosa kerana membin atau membintikan orang yang bukan anaknya.
Bazli redha. Sempat Bazli pandang Mira di belakang seolah-olah memandang ibu dan ayahnya yang langsung tidak tahu mengenai kes mereka, dari jauh itu juga Bazli dapat lihat Mira menitiskan air matanya. Sungguh, hanya pada Mira selalu dia bercerita hal peribadinya dan seperti ditakdirkan tuhan, hanya Mira juga yang mengetahui hal itu.
“Baiklah, Encik Bazli. Sudah bersedia?” Hakim bertanya dan memandang Bazli.
Bazli berdiri, tenang.
“Dengan ini, saya Bazli bin Mansor menceraikan isteri saya Juwita binti Sallehudin dengan talak satu.”
Bazli tak duduk lepas tu. Dia pandang hakim, dia seolah-olah kaku, seolah-olah apa yang diucapkan itu tadi sangat-sangat memberi kesan kepadanya. Benar, tidak pernah terlintas dalam hatinya untuk berpisah dengan cara yang sangat dibenci tuhan itu. Hancur lebur hatinya kala itu, siapa yang mahukan perkara sebegini berlaku. Siapa antara manusia yang sangat senang melafazkan perkara yang menyebabkan tiang arasy bergegar. Tiada siapa!
Bazli terduduk. Akur. Semua itu berlaku dengan sangat cepat. Selepas saja disahkan oleh pihak hakim, Bazli terus keluar.
“Kes selesai. Mahkamah bersurai.” Hakim memutuskan.
Semua orang beredar keluar perlahan-lahan. Bazli berjalan laju ke satu arah. Mira mengejarnya.
“Abang!” Mira segera memeluk abangnya erat. Bazli menitiskan air matanya lagi. Tak pernah Mira peluk abangnya erat macam tu, tak pernah Mira rasa sedih sangat. Dia tidak sangka, selama ini dia hanya buat tak kisah bila ke mahkamah untuk melihat prosiding perceraian orang lain, tapi kali ini abangnya sendiri, satu-satunya abangnya! Sungguh! hatinya sangat sakit.
“Mira janji pada abang rahsiakan hal ni ya. Tolong ya Mira,” pinta Bazli pada adiknya itu sekali lagi sambil mengusap air mata di pipi adiknya. Kalau orang salah sangka, mesti anggap mereka berdua pasangan kekasih pula.
“Mira janji. Abang sabar ya, tuhan dah tetapkan semua perkara ni sejak kita di Loh Mahfuz lagi. Saya percaya abang kuat.”
“Terima kasih Mira.” Bazli usap kepala adiknya, walaupun umur Mira sudah masuk 22 tahun tapi Bazli tetap rasa Mira budak 12 tahun.
“Mira masuk dulu ya bang. Assalamualaikum.” Mira meminta diri.
“Waalaikumsalam...” Bazli jawab salam itu perlahan, kemudian mereka berpisah. Bazli tak nampak lagi bayangan Juwita lepas tu, mungkin sudah awal-awal balik. Mungkin sudah puas hati agaknya!
Apa yang perlu Bazli buat sekarang ialah dia harus dan kena menerima perpisahan itu dengan redha. Bila sudah buat apa yang sepatutnya Bazli rasa tenang. Dia kemudian melangkah ke cafe, kalau dia terus ke kereta nanti dia takut fikirannya menerawang pula.

*************

TIDAK jauh dari situ, Adam Lee baru keluar dari keretanya untuk masuk ke dalam Mahkamah Tinggi Syariah. Hari itu kes sebutan khalwatnya dibicarakan. Adam Lee masih berfikir-fikir, mungkinkah itu semua rencana Wani. Mungkinkah dia sengaja memberikan fail itu ke rumahnya dan apabila tahu Dahlia tidak berada di rumah dia mengambil kesempatan itu. Tapi, Adam Lee tahu, Wani bukanlah orang seperti itu. Banyak perkara bermain dalam fikirannya.
Namun, satu-satunya hal yang dia harap tidak akan berlaku ialah Dahlia mengetahui bahawa dirinya ditangkap khalwat. Jika itu Dahlia ketahui, mungkin Dahlia ada alasan kukuh untuk meminta cerai daripadanya. Ya, tidak semua wanita suka mendengar suami sendiri ditangkap khalwat atau seumpamanya itu. Walaupun hal mereka berdua boleh dibawa berbincang tapi teruk akibatnya bila Dahlia mengetahui dia ditangkap khalwat dirumahnya sendiri. Rumah yang dia dan Dahlia diami selama 5 tahun, malah perkara itu terjadi semasa ketiadaannya! Itu boleh disabitkan sebagai satu kecurangan yang nyata.
             “Tok! Tok! Tok!”
Kedengaran bunyi daripada tukul kayu yang dipukul hakim. Suasana mahkamah sunyi. Wani duduk di sebelah kanan manakala Adam Lee di sebelah kiri.
“Encik Adam Lee. Pada malam 20 September 2012, adakah kamu  mengaku salah berdua-duaan dengan Cik Syazwani binti Rashid yang bukan muhrim kamu dalam sebuah rumah di Damansara milik kamu sehingga menimbulkan syak?” tanya Tuan Hakim pada Adam Lee.
“Tidak Tuan Hakim!” tegas jawapan Adam Lee.
Kemudian Tuan Hakim memandang Wani, “Cik Syazwani binti Rashid. Pada malam 20 September 2012, adakah kamu  mengaku salah berdua-duaan dengan Encik Adam Lee Lee yang bukan muhrim kamu dalam sebuah rumah di Damansara milik beliau sehingga menimbulkan syak?” tanya Tuan Hakim pada Wani.
Kedua-duanya diam, Adam Lee pandang Wani. Wani pandang Adam Lee.
“Saya mengaku salah tuan hakim,” tiba-tiba Wani bersuara.
“Wani! Kita tak salah,” marah Adam Lee menoleh ke arahnya.
Wani menggeleng kepala dan sebenarnya cuba memudahkan kes mereka setelah berbincang dengan peguam. Jika mereka tidak mengaku salah, kes itu akan berpanjangan dan diketahui umum nanti. Wani mahu kes itu biar selesai hari itu juga.
“Encik Adam Lee, adakah kamu mengaku salah dengan pertuduhan ke atas kamu?” tanya tuan hakim kepadanya.
Berat sungguh untuk Adam Lee bersuara. Sungguh! Dia malu, dia menyesal dan dia terkilan!
“Ya, saya mengaku bersalah tuan hakim,” perlahan suaranya.
Para hakim berbincang sesama sendiri, kemudian menetapkan hukuman.
“Encik Adam Lee dan Cik Syazwani binti Rashid, dengan ini mahkamah mendapati kamu berdua bersalah atas tuduhan khalwat kerana berdua-duan dalam sebuah rumah tanpa sebarang ikatan yang sah pada malam 20 September 2012. Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman bahawa kamu Encik Adam Lee Lee didenda membayar RM 3000 atau dipenjara selama 3 bulan jika gagal membayar denda itu dan kamu Cik Syazwani binti Rashid didenda RM 2900 atau dipenjara 30 hari jika gagal membayar denda itu.” Tuan Hakim membacakan pertuduhan dan hukuman yang dikenakan kepada mereka.
 “Saya setuju membayar denda itu.” Adam Lee memberitahu.
“Saya juga setuju membayar denda itu.” Wani juga berbuat demikian.
            “Dengan ini mahkamah bersurai.”
Adam Lee dan Wani kemudiannya keluar mahkamah.
“Kenapa awak mengaku salah? Kita tak bersalahlah Wani,” marah Adam Lee kepadanya.
“Kita memang salah Adam. Meskipun kita tak lakukan apa-apa yang di luar batasan dalam rumah awak tapi kita berdua-duaan dalam sebuah rumah, hal itu boleh menimbulkan syak. Wani terpaksa pilih mengaku salah, nanti ramai yang akan tahu, kita bayar saja denda yang dikenakan tu dan lupakan semua ini.” Wani memberitahu.
Adam Lee masih tak puas hati, “Tapi...” Adam Lee masih tidak setuju.
“Tapi saya Dahlia binti Ahmad membenarkan awak suami saya Adam Lee berkahwin dengan awak Syazwani binti Rashid...”
Tiba-tiba Dahlia sudah berada di depan mereka.
Adam Lee terkesima dan menoleh ke arahnya, “Dahlia, biar Adam jelaskan semua ni.. please,” rayu Adam Lee seolah mengharapkan sesuatu.
“Abang, nikahi Wani secepat mungkin. Jika abang nikahi Wani, Dahlia akan balik ke rumah bersama Aiman. Abang, Wani tu perempuan dan saya seorang perempuan, Islam adalah agama yang mengangkat martabat kaum wanita. Angkatlah martabatnya sebab dia juga seorang perempuan seperti saya...” Dahlia memberitahu hasratnya dalam tangisan.
“Dahlia,  saya minta maaf... bukan salah Adam..” Wani meminta maaf dan memeluknya.
It’s okay Wani. Perkara sudah berlaku, ini semua takdir. Abang..” Dahlia memandang Adam Lee dengan satu pengharapan.
Adam Lee mati kata. Kemudian meninggalkan mereka di sana. Dia tak tahu apa perlu dilakukan. Dia tak sanggup untuk menuruti kehendak gila Dahlia. Tiba-tiba Adam Lee merasakan dia umpama barang yang boleh ditukar ganti. Sungguh, dia tidak ada rasa apa-apa pada Wani, mana mungkin dia akan menikahi wanita itu. Tapi, kalau benar itu dapat mengembalikan Dahlia dan Aiman dalam hidupnya, dia tiada pilihan lain.
Sungguh! Dia tidak tahu apa sebenarnya yang difikirkan Dahlia. Adam Lee habis fikir. Dia menuju ke keretanya dan terus duduk di dalam kereta itu untuk menenangkan fikirannya sebentar.
Sementara itu Bazli menuju ke keretanya. Dianggapnya semua yang berlaku tadi adalah satu dugaan hidup. Dia tidak mahu terlalu memikirkan hal yang telah berlaku. Melepaskan itu lebih baik daripada memaksa dan jalan itu diambil Bazli dengan redha. Mungkin itu jalan yang terbaik buat mereka berdua. Cuma Bazli terkilan kerana Mira mengetahui hal itu.
Sebaik sampai ke parkir, “Adoi!” Bazli mengeluh apabila ternampak tayar kereta depannya pancit dari jauh, dia sudah agak perkara itu, tayarnya macam lain macam sebelum dia ke mahkamah tadi, dia pun satu, tak periksa masa nak gerak tadi.  Bazli menekan penggera kereta dan membuka bonet. Tayar gantinya tertinggal pula. Bazli menoleh ke kiri dan ke kanan. Takkan nak tunggu Mira, lagipun mesti Mira tak bawa kereta, mesti guna bas UM. 
“Takkan nak jalan kaki. Nak panggil teksi lambat ni.” Bazli berkata seorang diri. 
Adam Lee masih di dalam keretanya. Walaupun hatinya sedih atas permintaan Dahlia tadi tapi kehidupan harus diteruskan. Kini dia harus berfikir dengan sebaik-baiknya. Jika dia terima syarat Dahlia bermakna dia akan dapat kembali Dahlia dan Aiman. Ya! Aiman yang sangat dirinduinya itu. Itulah yang difikirkan oleh Adam Lee. Jika mereka bercerai, Aiman pasti merasa kehilangan. Tapi jauh di sudut hatinya, sebuah perkahwinan itu adalah satu ikatan, mana mungkin sesuatu seperti itu boleh dipaksa-paksa.
Usai membuka songkok yang dipakainya, dia menghidupkan enjin kereta dan keluar dari parkir tersebut. Semasa sedang menuju ke pintu keluar, dia melihat seorang lelaki seperti ada masalah. Segera Adam Lee berhenti, manalah tahu dapat membantu. Dia menurunkan cermin tingkapnya dan bertanya.
“Kenapa ni encik? Ada masalah kereta ke?” tanya Adam Lee kepadanya.
Bazli buat muka bengang, “Tayar kereta pancitlah, tak ada tayar ganti pula..” jawab lelaki itu.
Adam Lee terkesima, apabila diamatinya lelaki itu amat-amat dikenalinya.
“Hei, Bazli!”
“Adam. Anak kau hari tu macamana? Okey ke? Kau buat apa dekat sini?” Bazli bertalu-talu memberi soalan.
“Banyaknya soalan kau Bazli. Dah-dah, kereta kau pun rosak. Naik kereta aku cepat.” Adam Lee menjemput.
“Jap, jap. Aku ambil barang jap.”
Bazli tidak punya pilihan dan terus naik ke dalam kereta Adam Lee selepas mengambil barang yang dikehendakinya.
Bazli duduk di dalam kereta Adam Lee, lega perasaannya, apatah lagi pendingin udara yang sedang berputar itu mengeluarkan angin yang cukup tenang, “Terima kasih bro tumpangkan.” Bazli bersuara sambil mengenakan tali keleder keselamatan.
Adam Lee tersenyum, “Sama-sama.” Adam Lee membalas.
“Panas betul tempat ni, kalau tak ada kau, tak tahulah sampai bila aku kat situ, dahlah orang tak ramai dekat situ.” Bazli mengeluh dan menghalakan air cond ke arahnya, rasa lega seluruh badan.
“Kau buat apa dekat sini, mahkamah syariah ni. Baru daftar nikah ke? Dengan perempuan cantik hari tu kan?” Adam Lee bertanya, sibuk pula dia macam Makcik Kiah, Makcik Siah dan Makcik Tipah yang selalu gosip tepi ampaian tu, e’eh tercakap pula, maaf kalau sama nama.
            Soalan itu sememangnya pahit untuk dijawab, Bazli diam.
“Cerai...” perlahan Bazli jawab soalan Adam Lee sambil pandang ke arah lain.
“Bila masa yang kau kahwin lagi? Tak jemput aku pun. Kata kawan. Fine.” Adam Lee sengaja bergurau.
“Ala, aku buat kecik-kecik je. Kau tu buat apa dekat sini?” Bazli pula tanya.
“Aku baru habis kes kena tangkap khalwat.” Adam Lee memberitahu sambil memandu keretanya berhati-hati.
“Hmm... ingatkan kahwin lagi satu,” sindir Bazli.
“Itulah yang aku fikirkan sekarang. Dahlia dapat tahu kes ni dan minta aku nikah dengan perempuan yang aku kena tangkap khalwat tu, satu-satu masalah menimpa kami,” keluh Adam Lee.
“Jap, kau kena tangkap khalwat dengan siapa Adam?” tanya Bazli.
“Wani.”
“Laa... Wani tu. Lama tak jumpa dia. Mesti makin lawa sekarang kan?”
“Ish kau ni Bazli. Ke situ pula, bagi juga siku ni kang.”
“Aku memain jelah. Nak entertain hati kau tu. Aku faham.”
“Kau tak faham Bazli.”
Bazli menyandar di kerusi dengan selesa dan menarik nafas, “Semua ni ketentuan tuhan. Tapi aku kesal sangat, isteri aku ada kekasih lain.  Hati dia bukan pada aku, daripada paksa, aku lepaskan sajalah. Dua kalilah aku menduda jawabnya. Kahwin dengan aku ni dah tak sesuai dah kut. Aku lebih dari faham perihal rumahtangga ni Adam, orang sekarang fikir kahwin tu senang. Susah nak mempertahankannya.” Bazli memberitahu kisahnya walaupun tak seratus peratus, tahulah dia menjaga aib bekas isterinya itu.
“Kadang-kadang kita tak tahu apa yang berlaku di masa hadapan. Masa kahwin, ingatkan bahagialah sampai bila-bila kan. Hidup berumahtangga ni banyak cabarannya. Kalau tak kuat, boleh hanyut dilambung ombak, jadi, sebagai lelaki kena sentiasa bersedia dengan banyak kemungkinan...” Adam Lee menyambung, nampaknya lelaki itu nampak sangat positif dalam sesuatu perhubungan.
Mereka berdua langsung diam, Bazli memandang ke luar jendela. Untuk menghilangkan bosan, Adam Lee menekan punat radio. Mereka mendengar juruhebah bertugas berbicara dengan seorang pakar motivasi iaitu Dato’ Fadhilah Kamsah.
“Dato’, sebagai perunding motivasi, apa sebenarnya punca perceraian pasangan yang semakin hari semakin meningkat di negara kita?” tanya si juruhebah yang bertugas.
“Masya Allah, sebetulnya mereka yang bercerai itu tidak bersedia. Mereka mengalah sebelum waktunya. Jika mereka...”
Adam Lee lantas mengubah siaran radio tersebut. Dia tidak mahu mengguris hati Bazli, wrong timing tu.. Nanti, mendengar pula pasal perceraian di radio hanya akan membuatkan mereka tertekan. Kedengaran lagu menusuk jiwa diputarkan oleh stesen radio itu umpama menggambarkan keadaan yang dilalui mereka.
            Tinggal segala cinta.. Tiada kembalinya
Abadi kasih kita.. Kau bawa bersama
Mimpi indah mekar.. Saat cinta bersemi..
Sedetik asmara syurga selamanya
Pergilah rinduku..
Hilangkan dirimu..
Saat mendengar lagu itu, Bazli membayangkan saat-saat indah dia bersama Juwita, dari saat mereka bercinta sampailah kemudian ke jinjing pelamin, saat dia melamar Juwita di Singapura, saat pernikahan dan juga saat-saat bulan madu bersama isterinya di Bali. Namun kini semuanya sudah berakhir dengan mudah sekali. Bazli menggengam erat tangannya, tanpa sedar mengalirkan air mata. Tapi dia tahan-tahan, agar Adam Lee tak nampak. Apapun, dia ada jiwa dan perasaan, dia sudah cuba sehabis baik untuk mempertahankan perkahwinan itu, tapi bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak berombak. Dia redha dengan semua itu. Dia tahu, tuhan  menguji hambanya itu seberat yang mampu ditanggung olehnya. Bazli pasrah.
Adam Lee pula memandang jauh, masih memikirkan permintaan Dahlia yang pelik itu. Menikahi wanita lain tidak termasuk dalam kamus hidupnya. Adam Lee tidak pernah memikirkan yang dia akan terperangkap seperti itu. Sungguh! Cintanya hanya pada Dahlia. Dahlia cinta pertama dan terakhirnya. Menikahi wanita lain samalah maksudnya dengan melukai cinta yang selama ini mereka bina.  Adam Lee habis fikir. Jika ini ketentuan yang perlu dia turuti, dia redha.
Mereka merenung diri masing-masing. Adam Lee mengenangkan rumahtangganya yang berada di hujung tanduk manakala Bazli pula mengenangkan rumahtangganya yang sudah hancur berderai dan berkecai. Adam Lee memandu kereta, fikirannya melayang-layang, gambar Aiman yang diletak di tengah-tengah cermin juga meliuk ke kiri dan kanan, hatinya merintih. Benar.. semua ini untuk Aiman. Jika dia tidak menuruti permintaan Dahlia bermakna dia akan kehilangan Aiman. Kini, Adam Lee sudah tidak peduli, biar saja hatinya itu hancur lebur berkecai sekalipun asalkan dapat bersama Aiman dan Dahlia kembali.. dilihatnya gambar Aiman berkali-kali..
“Eh, eh, Adam. Kereta depan tu. Keretaa.. Tidakkk!!!” Bazli berteriak kuat sambil menekup wajahnya.
Adam Lee dengan sedaya upaya memusing stereng kereta dan akhirnya kereta itu berhenti di tepi jalan secara mengejut!
“WaaaAAAaaaaaa!!!” Adam Lee tiba-tiba melepaskan geram dengan menjerit.
Bazli memandang Adam Lee dengan rasa terkejut. Walau tadinya Adam Lee mampu mengawal emosi malah memberikan kata-kata nasihat, namun sekali itu, dia gugar, dia juga manusia biasa yang mempunyai perasaan dan hati, apatah lagi apabila dia teringatkan Aiman anaknya. Gambar Aiman diusapnya. Bazli terdiam membiarkan Adam Lee dan emosinya. Dia faham sahabatnya itu telah banyak menderita.
“Maafkan aku Bazli.”
“Adam, let it go. Kau kena kuat.” Bazli beri kata semangat, dia pegang bahu Adam. Kali pertama itu dia lihat air mata Adam mengalir, Bazli biarkan. Lelaki bukan diperbuat daripada besi, boleh nangis dan boleh kecewa.
 


No comments: