BAB 3
“DAHLIA tak mungkin
tinggalkan abang Adam mak, dia suami Dahlia!” tegas pendirian Dahlia menentang
hasrat ibunya yang awal pagi lagi menghubunginya.
“Mama tak kira,
mama nak Dahlia bercerai dengan Adam. Mama malu dengan orang sekeliling, mama
malu dengan kawan-kawan mama. Mereka kata anak mama mandul sampai terpaksa ambil
anak angkat! Kan Dahlia dah periksa, Dahlia tu sihat, Adam tu yang mandul.
Isteri boleh minta dilepaskan sebab tu, Dahlia tahu tak! Kalau dia berkeras
mama boleh lantik peguam mama untuk uruskan kes!” Puan Sofia menggertak anaknya
dan meletakkan telefon.
Dahlia geleng
kepala, “Mama! Aiman baru keluar hospital. Cubalah faham keadaan keluarga
Dahlia. Dahlia pening dengan mama. Mama tak kesian dekat Dahlia dan Aiman ke?
Mama jangan call Dahlia lagi!” Dahlia sudah tidak mampu bersabar dan kemudian
meletakkan telefon bimbitnya.
Kata-kata ibunya
memang menusuk kalbu Dahlia, betapa dia sangat sayangkan Adam Lee. Mana mungkin
dia akan berpisah dengan Adam Lee hanya kerana ibunya tidak menyukai mereka
mengambil anak angkat. Tiada salah dan cacat cela Adam Lee, lelaki itu
tidak mungkin Dahlia tinggalkan. Sudah terlalu banyak pengorbanan Adam Lee pada
dirinya.
Dahlia tahu, bukan
itu saja alasan mamanya untuk memisahkan mereka. Kerana latar belakang keluarga
Adam Lee juga menjadi sebab mamanya itu berkeras. Kerana Adam Lee bukan asalnya
orang Islam, konon takut pula Adam Lee pernah makan semua benda tidak halal
sebelum Islam dulu. Padahal Dahlia sudah berulangkali memberitahu, Adam Lee itu
dulunya vegetarian. Tidak makan daging, tapi mamanya tetap tidak mahu percaya.
Mamanya kata dia mahu keturunannya suci. Dahlia pening memikirkan hal-hal yang
tidak munasabah daripada mulut mamanya itu hanya kerana ingin dia berpisah
dengan Adam Lee.
Semasa makan
malam, Dahlia tidak lalu makan, dia asyik memikirkan kata-kata ibunya di
telefon pagi tadi. Bukan dia tidak kenal ibunya itu, apa sahaja yang dia mahu,
tiada siapa dapat menentang dan kerana itulah juga ibu dan ayahnya bercerai
hingga ayahnya ke luar negara membawa satu-satunya adik dia Nina yang sudah
lama Dahlia tidak ketemu. Banyak saja cara ibunya memisahkan mereka, nasib baiklah
kepercayaan antara Dahlia dan Adam Lee masih lagi utuh. Jika tidak, sedikit
ombak yang bergelumang pasti akan membadai jua.
Dahlia pandang
Aiman anak angkat mereka yang berumur 4 tahun itu amat mesra dengan ayahnya di
meja makan.
“Nanti kita pergi
rumah Uncle Bazli ucap terima kasih ya. Uncle Bazli selamatkan Aiman hari tu.”
Adam Lee mengusap kepala anaknya.
“Ya papa. Uncle tu
superhero! Batman, Superman, Naruto!” Aiman menjawab sambil tangannya memegang
mainan.
Adam Lee tersenyum
mendengar kata-kata Aiman. Dipeluknya Aiman erat. Adam Lee perasan perangai
isterinya agak berlainan malam itu, dia lebih banyak berdiam daripada bercakap,
hanya tersenyum sekali sekala melihat telatah anak mereka Aiman. Sekelumit
perasan Dahlia, Adam Lee tahu apa dibenaknya. Apa yang menganggu fikiran
isterinya yang tercinta itu.
“Kenapa
dengan awak ni? Tak baik sedih-sedih depan rezeki.” Adam Lee menegur
Dahlia yang banyak berdiam.
Dahlia lantas
senyum dan menyuap nasi ke dalam mulutnya. Tidak mahu Adam Lee tahu apa yang
difikirkannya. Usai membasuh pinggan dan menidurkan Aiman, dia masuk ke dalam
bilik.
“Aiman dah tidur?”
Adam Lee bertanya.
“Sudah,” ringkas
Dahlia menjawab.
“Mesti mama
telefon awak lagi kan? Tak payahlah difikirkan sangat, abang tahu, mama tak
sukakan abang. Ingat, semua tu ujian Tuhan, kita minta agar mama terbuka hati
terima abang seadanya.” Adam Lee yang tahu benar apa yang berada di kotak
fikiran isterinya yang satu itu menasihati.
“Tak adalah,
Dahlia kurang sihat.” Dahlia memberi alasan, bekas model itu memang pandai
berlakon, sedikit masa dulu Dahlia pernah mengikuti penggambaran drama, namun
itu hal lama. Masa berada di bangku universiti, sengaja mendapatkan duit poket
lebih.
Sejak berkahwin,
Dahlia berhenti dari menjadi model dan menjadi usahawan di rumah dengan menjual
cupcakes buatannya sendiri secara online. Alhamdulillah, ianya berhasil. Pendapatan Adam Lee sebenarnya
sudah mencukupi buat mereka sekeluarga, tapi Dahlia suka mencari pendapatan
lebih dan mengisi masa terluangnya sebagai suri rumah, lagipula, sudah ada
kemahiran kenapa tidak digunakan. Nasib baiklah dia memang belajar tentang
perniagaan di universiti dulu, makanya semuanya itu tampak mudah saja buat dia.
Adam Lee mengusap
dahi isterinya, “Tak apa, awak rehatlah ya, mungkin awak terlalu sibuk agaknya.
Hujung minggu ni kita balik rumah Umi, lama tak melawat, mesti umi sudah
merajuk dengan kita,” sengaja Adam Lee mengubah topik perbicaraan mereka.
“Iya pula Umi.
Rindu juga dengan masakan Umi. Hari tu nak belajar masak kek dengan Umi tak
sempat-sempat lagi,” balas Dahlia.
“Nasib baiklah ada
Bazli, kalau tak tahu apa jadi.” Adam Lee mengubah topik lain pula.
“Itulah pasal,
tetiba je Bazli ada pula dekat situ. Lama juga kita tak dengar khabar dia.”
“Masa abang datang
jumpa Dahlia dekat universiti. Dia masa tu baru kahwin. Tapi tak lama.
Bercerai.”
“Owh macam tu. Apa
apapun, memang Dahlia berterima kasih dengan kawan abang tu.”
“Nanti senang kita
jumpa dia. Ajak datang rumah makan ke camtu.”
“Iyalah.”
Adam Lee masih ingat lagi, Bazli adalah
jiran barunya semasa keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur. Satu sekolah sampai
sekolah menengah. Hubungan itu tidak putus walaupun Bazli meneruskan kerjaya
sebagai pramugara selepas tamat diploma manakala dia menyambung dalam bidang
Ijazah Perniagaan. Apabila keluarga Adam Lee berpindah semula ke Melaka, Adam
Lee masih memilih untuk tinggal di Kuala Lumpur dan Bazlilah teman lepaknya
apabila Adam Lee tiada kelas dan sebagainya. Itupun apabila Bazli ada free time
kerana Bazli sudah berumahtangga ketika itu dengan Zulaikha.
**********************
Seminggu selepas itu, ibu Dahlia datang ke
rumah selepas Adam Lee ke tempat kerjanya. Dahlia tahu tujuan utama ibunya
datang. Dahlia lantas duduk selepas menghidangkan minuman. Dia bersedia dengan
apa sahaja kemungkinan.
“Mama nak Dahlia sign surat ni.” Puan Sofia menyerahkan
surat dan sebatang pen.
“Surat apa ni
mama?” tanya Dahlia.
“Ini surat minta
cerai. Mama nak Dahlia tandatangan.”
“Tapi mama.
Takkanlah sebab kami tiada anak kami nak bererai. Mungkin belum rezeki kami
lagi. Dahlia tak nak bercerai!” tegas Dahlia membantah, mengenepikan kertas
yang baru diberikan padanya.
Puan Sofia mencari
cara memujuk anaknya, dia bercakap tenang memandang anaknya, “Dahlia dekat
rumah, tak tahu apa yang Adam Lee buat dekat luar sana. Dahlia pun tahu Adam
Lee tu macamana kan. Sebelum semuanya terlambat, baiklah Dahlia minta cerai.”
Puan Sofia menghasut.
Berderau darah
Dahlia apabila ibunya masih mengungkit hal lalu Adam Lee, “Tapi, abang Adam Lee
tak mungkin lakukan itu semua. Abang Adam Lee dah berubah, mama janganlah buat
cerita pula.”
Puan Sofia lantas
membuka beg tangan jenama Coach miliknya
dan mengambil sekeping sampul surat lalu memberikannya kepada Juwita. “Bukalah,
tengok.. tengok puas-puas.”
Pantas
Dahlia membuka sampul surat berwarna kuing cair tersebut, dia melihat beberapa
keping gambar Adam Lee mesra bersama seorang wanita. Wanita itu memang
dikenalinya, dia Wani, Wani adalah kawan baik suaminya, juga seniornya semada
di universiti dulu dan sekarang merupakan rakan kongsi syarikat Adam Lee. Mahu
menolak anggapan, mereka memang sentiasa mesra seolah-olah ada sesuatu di
antara mereka.
Sekali lagi Dahlia
memandang gambar tersebut, bagai tidak percaya, kepercayaan yang selama ini diberikan
pada sang suami hancur. Air mata Dahlia menitis, hati isteri mana yang tidak
luluh melihat suami sendiri berpegang tangan dan berpelukan dengan wanita lain.
Namun, Dahlia
bukanlah sedangkal yang difikirkan mamanya. Biarlah ibunya melihat dia sudah
seperti menang, malas dia bertekak. Sekali lagi bakat lakonannya digunakan.
Puan Sofia
tersenyum, berfikir umpannya sudah mengena, “Kita keluar dari rumah ni ya
nak...” Puan Sofia seolah-olah gembira.
Dahlia pandang
ibunya, “Maafkan Dahlia mak, Dahlia tetap di sini, ini rumah Dahlia. Tempat
Dahlia disisi abang Adam Lee. Doakan kebahagian rumahtangga kami.” Dahlia
menolak ajakan mamanya dengan cara baik.
“Jadi, Dahlia
tetap nak bersama lelaki tak guna tu ya? Dahlia tak percayakan mama?!” bentak
Puan Sofia yang mulai marah.
“Mama, apa
kurangnya abang Adam Lee. Sebagai anak, kalau Dahlia terkurang, Dahlia minta
maaf, minta ampun dekat mama. Mama, tak baik meruntuhkan masjid, bergegar tiang
arasy tu mama. Mama terimalah abang Adam Lee seadanya sepertimana Dahlia terima
kekurangan abang Adam Lee.” Dahlia cuba menasihati ibunya lembut.
“Sudah! Mama tak
mahu dengar! Mama nak balik! Ingat Dahlia, ini bukan kali yang terakhir mama
cakap dengan Dahlia supaya tinggalkan Adam Lee. Selagi Dahlia tak nak
tinggalkan lelaki tak guna tu, selagi tu mama akan cari jalan!” Marah Puan
Sofia segera beredar.
Ada juga rasa
serba salah Dahlia kerana terpaksa mengeluarkan kata-kata yang kurang
baik pada mamanya, tapi dia sendiri berada dipersimpangan. Dia tahu, mamanya
mahu menjodohkan dia dengan Haikal, menantu pilihan mamanya sejak dulu. Nasib
baiklah Dahlia kenal Adam Lee terlebih dahulu, ingatkan selepas dia berkahwin
mamanya akan berhenti dari memasangkannya dengan Haikal, tapi rupanya mamanya
tidak berputus asa.
Hari ini, nasib
baiklah Dahlia tidak termakan pujuk rayu ibunya itu, kalau tidak pasti dia
akan percaya dengan perancangan ibunya. Gambar-gambar itu Dahlia ambil
dan buang ke dalam tong sampah.
No comments:
Post a Comment