BAB 8
ADAM LEE ke rumah
keluarga angkatnya, pasti kehadirannya seorang diri ke situ akan ditanyakan
oleh umi dan abinya nanti. Namun Adam Lee sudah bersiap sedia dengan apa jua
soalan yang bakal ditanyakan kepadanya. Semasa dalam perjalanan, Adam Lee
memandang gambar Aiman yang diletaknya di tengah cermin kereta. Sesekali tumpah
jua air mata lelakinya. Apabila teringatkan anak angkatnya yang satu itu,
hatinya runtun. Dia masih tertanya-tanya apa salahnya, apa kekurangan dirinya
sampai Dahlia membuat keputusan seperti itu.
Keputusan gila
yang dia sendiri tidak pernah harapkan sepanjang perkahwinannya. Sudahlah
keluarga sendiri sudah membuangnya kerana memeluk agama Islam, kini isteri
tersayang tempat berharap dan bergantung kasih itu meninggalkannya. Entah,
pelbagai rasa menerjah dalam hatinya. Teringat juga pada keluarga yang tidak
merestui perkahwinannya dulu. Namun, dalam hatinya dia tidak akan sekali-kali
menggadaikan agamanya hanya kerana perkara tersebut. Cintanya pada Islam itulah
sahaja semangat dan kudrat yang dia ada untuk meneruskan hidup sehingga kini.
“Assalamualaikum...”
Adam Lee memberi salam di luar rumah agam dua tingkat yang terletak di pinggir
bandaraya Kuala Lumpur itu.
“Wa’alaikumsalam. Adam
Lee.. mana Dahlia dan Aiman? Tak ikut sekali?” Puan Zakiah, uminya muncul membuka
pintu dan lantas bertanyakan soalan yang sudah siap sedia Adam Lee ketahui.
Adam Lee serba
salah tapi terus menjawab, “Dahlia balik rumah mak dengan Aiman, mak kurang
sihat sikit,” jawab Adam Lee tetapi tidak sekali-kali memandang ke arah mata
Puan Zakiah, ibu angkatnya itu.
Puan Zakiah
tersenyum, “Oh, ingatkan ada apa tadi.. masuklah.” Puan Zakiah menjemput.
Adam Lee memandang
ke sekeliling rumah itu, “Abi mana umi?” tanya Adam Lee lagi.
Puan Zakiah
senyum, “Abi kamu keluar kejap. Nanti baliklah dia, duduklah dulu. Umi nak buat
air kejap.” Puan Zakiah meminta diri ke dapur.
“Umi ni, tak payah
susah-susahlah umi..” Adam Lee keberatan.
Puan Zakiah
menoleh dan mengherot mulut memandang anak angkat cinanya yang satu itu. Adam
Lee faham dan membiarkan saja, nanti tak pasal-pasal pula kena ceramah percuma.
Bukan dia tak tahu ibu angkatnya itu memang suka memasak bagai, kejap lagi
adalah hidangan sedap yang bakal dinikmatinya tu. Adam Lee pandang sekeliling,
kemudian dia ke jendela memandang buah durian dan buah rambutan yang masak
ranum. Seronok benar rasanya berada di tempat seperti itu, mahu saja Adam Lee
tinggal di sana buat selama-lamanya bersama Dahlia dan Aiman. Tapi bila
teringat anak isterinya itu, dia kembali sebak. Sudah seminggu Dahlia dan Aiman
berada di rumah ibu mertuanya itu, entah apa khabar mereka berdua. Itu yang
dirunsingkan lelaki bernama Adam Lee Lee itu.
“Adam, jemput
minum,” sapa Puan Zakiah dari dapur, namun pelik, Adam Lee seolah tidak
mendengar kata-katanya.
Puan Zakiah memang
cepat memahami kalau-kalau hubungan anak angkat dan isterinya itu ada masalah.
Sekejap dia menghampiri Adam Lee.
Dipandangnya Adam
Lee yang memandang jauh ke luar tingkap yang terbuka itu, “Adam, kamu ada
masalah dengan Dahlia ke?” tanya Puan Zakiah, pertanyaan itu nyata mengejutkan Adam
Lee dan dia segera menoleh melemparkan senyuman kepada ibu angkatnya itu.
Adam Lee diam dan
kemudian duduk di kerusi. Dia tuang air teh yang ibu angkatnya buatkan.
Kemudian
diminumnya air teh itu, “Sedap air umi buat, macam selalu,” puji Adam Lee.
Puan Zakiah geleng
kepala, meskipun Puan Zakiah itu hanyalah ibu angkat Adam Lee, naluri seorang
ibu itu tidak pernah salah.
Puan Zakiah
mengambil tempat duduk di depan Adam Lee, “Adam, kalau ada masalah kongsi
dengan umi. Umi tak paksa, tapi kalau Adam kongsi masalah Adam dengan seseorang
mungkin hati Adam akan tenang.” Puan Zakiah mengambil tempat duduk di depan Adam
Lee. Puan Zakiah atau lebih dikenali sebagai Ustazah Zakiah di kalangan
penduduk kampung itu merupakan seorang bekas ustazah sekolah yang sudah pencen.
Adam Lee diam
lagi, tapi sampai bila dia harus diam, dia takut nak pandang wajah mama
angkatnya itu, dia rasa bersalah sebab berbohong semasa mama angkatnya itu
bertanya tentang Dahlia tadi.
“Adam...” Puan
Zakiah menyebut namanya perlahan dan membuatkan Adam Lee rasa bersalah.
Adam Lee pandang
mamanya itu, “Maafkan Adam Umi, Adam minta maaf sebab bohong dengan umi.
Sebenarnya isteri Adam minta Adam ceraikan dia...” Adam Lee memberitahu.
“Astaghfirullah Al-azim...
umi dah agak ada yang tak kena tadi. Apa sebenarnya yang berlaku ni? Adam ada
buat hal ya?” tanya mamanya serius.
Adam Lee geleng
kepala dan pegang dahinya, “Tak, Adam bukan orang macam tulah umi. Adam rasa
sebab kami tak ada anak sendiri. Lagipun selama ni mak mertua Adam selalu call isteri Adam supaya tinggalkan Adam,
sebab mak Dahlia malu kami ambil anak angkat. Mungkin sebab tu Dahlia terpaksa
buat macam ni. Lagipun mak mertua Adam tak pernah sukakan Adam. Tapi mama,
hinakah seorang mualaf macam Adam ni umi? Salah Adam ke kami tak ada anak
sendiri?” tanya Adam Lee pada Puan Zakiah seolah-olah memperkotak-katikkan
libang libu hidupnya kini.
Masa itu juga air
mata Puan Zakiah tumpah. Sungguh dia tidak pernah jangka yang Adam Lee akan
mengatakan bahawa menjadi mualaf itu merupakan satu kesalahan dan seolah-olah
menyalahkan Tuhan kerana tidak mempunyai anak. Hati Puan Zakiah sebak.
“Jangan salahkan
diri Adam nak. Kamu adalah insan bertuah yang telah ditiup seru hidayah. Jangan
sekali-kali soalkan kuasa Allah. Kamu, umi, abi dan sekalian alam ni Allah yang
ciptakan. Kita sebagai manusia kena terima apa yang berlaku pada diri kita
dengan sabar dan ikhlas. Tuhan sedang menguji kamu Adam, itu bermakna tuhan
sayangkan kamu. Janganlah disangkakan masalah itu adalah salah sesiapa,
istigfar dan percayalah semua kejadian yang berlaku ke atas kamu adalah ujian
Tuhan..” panjang lebar Puan Zakiah memberi kata semangat.
Adam Lee sesal
dengan kata-katanya, “Maafkan Adam umi, Adam tak bermaksud nak salahkan agama
yang Adam anuti cuma Adam kesal dengan apa yang berlaku dalam hidup Adam, itu
saja.” Adam Lee sebak.
“Kamu dan Dahlia
kena duduk bersama dan berbincang hal ni..”
“Tapi Adam tak
dapat nak jumpa dia. Mama dia halang Adam masuk dan Dahlia sendiri matikan
telefon dia bila saya yang telefon...”
Puan Zakiah
menarik nafas. “Nanti umi cuba telefon dan tanyakan dia sendiri. Insya-Allah,
setiap masalah ada cara penyelesaiannya... bersabarlah, sesungguhnya Allah itu
Maha Adil dan Maha Pemberi Petunjuk.” Puan Zakiah cuba menenangkan hati Adam
Lee.
“Assalamualaikum...”
tiba-tiba terdengar suara suami Puan Zakiah, Encik Karim yang baru sampai ke
rumah.
Cepat-cepat Puan
Zakiah menyeka air matanya. Adam Lee memberi isyarat geleng kepala supaya tidak
memberitahu hal rumahtangganya itu kepada ayah angkatnya. Puan Zakiah faham.
“Wa’alaikumsalam...”
sahut Puan Zakiah dengan suaranya yang agak ceria.
Encik Karim masuk
ke dalam rumah dan nampak Adam Lee, “Oh, Adam pun ada sekali. Nanti bolehlah makan
tengahari dekat sini. Abi ada beli udang ni, nanti umi kamu boleh masakkan
udang masak lemak kegemaran kamu tu. Eh! Mana Aiman dan Dahlia? Mereka tak ikut
sekali?” tanya Encik Karim kepada Adam Lee, girang suaranya.
Adam Lee tersenyum
dan menyalam tangan ayah angkatnya itu. Ayah angkatnya itu memang menganggap
Aiman bagaikan cucu sendiri.
“Mak mertua Adam tak sihat, tu yang mereka ke
sana. Bagi saya udangnya, Kiah nak masuk dapur dulu...” Puan Zakiah cepat-cepat
menjawab bagi pihak Adam Lee.
Encik Karim
kemudiannya duduk dan berborak dengan Adam Lee. Encik Karim itu juga seorang
bekas guru besar sekolah menengah yang sudah pencen.
“Adam pernah
melawat keluarga Adam dekat Melaka?” tanya Encik Karim.
Adam Lee memandang
ayah angkatnya itu, Adam Lee faham apa yang dimaksudkan, “Insya-Allah Adam akan
cuba abi.” Adam Lee menjawab pertanyan itu.
“Abi tiada niat
apa-apa. Hubungan anak dan ibu itu takkan dapat dipisahkan walaupun kamu
berlainan agama. Ada saja ibu bapa yang boleh menerima bila anaknya memeluk
agama Islam. Kena usaha Adam, Insya-Allah lembutlah hati mereka.” Encik Karim
berbicara panjang.
“Tapi keluarga Adam
lain abi,” berat Adam Lee bercakap, Encik Karim pula sengaja tidak mahu
meneruskan kata-katanya.
Lepas satu, satu
masalah menimpa Adam Lee. Adam Lee tahu Tuhan sedang menguji imannya.
Kadangkala dirinya lemah juga dengan ujian yang diberikan. Adam Lee cuba untuk
kuat. Adam Lee tahu, di suatu hari nanti keluarganya itu akan menerima dirinya
jua, cuma masa dan keadaan saja yang belum mengizinkan.
Usai makan tengahari, Adam Lee meminta diri
untuk balik ke Kuala Lumpur. Sempat dia memandang Puan Zakiah mama angkatnya
itu, sebak pula rasa hatinya. Benar, meskipun Puan Zakiah itu hanya mama
angkatnya dia sudah anggap Puan Zakiah itu macam ibu kandungnya sendiri. Selama
inipun, hanya pada Puan Zakiah dia mengadu itu ini dan hanya pada Puan
Zakiahlah dia banyak juga bertanya soalan mengenai agama Islam. Dan kerana
rindukan keluarga sendiri jugalah Adam Lee datang ke situ, dia sudah tiada
tempat untuk bercerita. Hanya di rumah agam itu Adam Lee boleh bercerita itu
ini.
***************
“Siapa yang telefon tadi?” tanya Puan Sofia, ibu Dahlia
yang baru turun ke bawah.
Dahlia pandang
ibunya yang bertanya, “Mak angkat abang Adam. Puan Zakiah, tapi Dahlia tak
jawab.” Dahlia memberitahu.
Puan Sofia faham, “Macamana
semuanya? Dah sedia?” tanya ibunya lagi.
“Insya-Allah.
Dahlia lebih dari bersedia, harapnya semua tu nanti dipermudahkan, lagipun ini
cuma peringkat pertama, kesannya cuma sedikit,” beritahu Dahlia.
Puan Sofia lega,“Baguslah
kalau kamu dah bersedia. Mana Aiman?” tanya Puan Sofia lagi.
“Aiman ada dekat
bilik. Asyik tanya bila nak balik rumah. Risau Dahlia dibuatnya.” Dahlia memberitahu
kebimbangannya.
Puan Sofia
mengusap lembut bahu anaknya itu, “Tak apa, nanti lama-lama dia akan lalilah
tu. Kamu tu yang lebih penting. Maafkan mama ya Dahlia...” Puan Sofia memandang
Dahlia dalam.
Dahlia memandang
ibunya, wajahnya tenang, “Mama ibu Dahlia. Mana boleh seorang anak sakit hati
dengan insan yang melahirkan Dahlia ke dunia.”
Setitis air mata
Puan Sofia tumpah, teringat apa yang dilakukannya dalam hidup anaknya itu.
Dahlia menyeka air
mata ibunya di pipi, “Mama, jangan nangis. Mama, satu Dahlia minta tolong,
jangan bagi tahu sesiapa pasal benda ni. Mama tolong rahsiakan ya ma...” pinta
Dahlia.
Puan Sofia sebak
lagi, “Berat sungguh apa yang kamu hadapi, maafkan mama Dahlia.” Puan Sofia
memeluk anaknya.
“Ini sudah takdir
Dahlia ma. Dahlia redha. Cuma, Dahlia lebih risaukan abang Adam, sebab tu
Dahlia buat macam ni. Dahlia tak nak abang Adam tahu apa yang Dahlia hadapi.”
Puan Sofia cuba
menenangkan anaknya, “Sudahlah Dahlia. Kamu naiklah berehat.”
Dahlia mengangguk,
Puan Sofia memerhatikan Dahlia melangkah naik ke tangga atas. Tiba-tiba Puan
Sofia rasa khilaf sangat dengan perbuatannya selama ini. Sungguh! Terlalu
banyak dia menyusahkan hidup anaknya itu. Andailah bahagia jawapan kepada apa
yang menimpa anaknya itu, Puan Sofia rela menerima apa saja. Namun apabila
mengetahui apa yang dihadapi Dahlia takkan dapat ditebus dengan apa-apa
sekalipun yang ada di atas muka bumi. Puan Sofia hanya pasrah.
***********************
Kring! Kring!
Telefon rumah Adam
Lee berbunyi. Segera dia mengangkatnya, manalah tahu ada perkara penting.
“Helo?”
“Helo Adam,
macamana dengan fail yang saya nak bagi ni? Tadi tak sempat nak bagi dekat
awak. Awak tu yang bergegas sangat nak balik.” Wani di talian.
Adam Lee tiba-tiba
teringat, “Alamak, patutlah Adam cari tak jumpa-jumpa. Macam ni sajalah, Wani
hantar saja terus ke rumah, lepas tu kita boleh bincang sikit pasal benda nak
bentang dalam mesyuarat esok, banyak juga kita tak bincang lagi ni. Kita pun
tak pilih lagi batik yang Encik Yakoob cadangkan tu.” Adam Lee memberi kata
putus.
“Okey, kejap
lagilah ya. Wani masih dekat rumah ni.”
“Ya, jangan
lambat, banyak nak buat ni,” pesan Adam Lee.
“Ya Tuan Besar!”
sindir Wani walaupun mereka berdua adalah rakan kongsi syarikat mereka.
Adam Lee ketawa
kecil, kemudian meletakkan telefon rumahnya. Kerjanya disambung sementara
menunggu Wani datang sebentar nanti. Adam Lee menekan saluran TV swasta untuk
melihat berita malam itu. Hendaklah juga dia tahu info semasa. Sambil-sambil
itu dia sempat pandang bantal ‘spongebob’ milik Aiman di sofa. Sebak pula rasa
hatinya. Entah macamana mahu memujuk Dahlia lagi, dia sudah mati akal.
Sudah berpuluh
malah beratus kali dia menghantar pesanan ringkas (sms) meminta penjelasan.
Sudah beberapa kali juga dia berhujan berpanas menunggu Dahlia di depan rumah
ibu mertuanya itu. Namun, semuanya menemui jalan buntu. Kemudiannya Adam Lee
menuju ke sofa itu dan memeluk bantal spongebob
milik Aiman itu, rasa tenang sedikit hatinya apabila dapat memeluk bantal
itu seolah-olah dapat memeluk anaknya itu sendiri. Lama dia berkeadaan begitu.
“Assalamualaikum.”
Wani memberi salam.
Terdengar suara
Wani memberi salam, segera Adam Lee menuju ke pintu.
Adam Lee
memerhatikan Wani yang berada di luar, “Wa’alaikumsalam. Masuklah, kata masih
dekat rumah, cepatnya datang.. ada kuasa supersonik ke?” Adam Lee bergurau dan
menjemput Wani masuk.
Wani senyum, “Tak
adalah. Ikut jalan pintas. Nah, ni
failnya.” Wani memberikan fail yang dimahukan Adam Lee.
“Okay, Terima
Kasih, duduklah,” jemput Adam Lee.
Wani pandang
sekeliling, “Mana Dahlia dan Aiman? Tak nampak pun, selalu kalau Wani datang
mesti Aiman ada dekat bawah ni tengok tv,” tanya Wani ingin tahu.
Adam Lee
tersentak, kemudian beri alasan, “Oh, mereka ke rumah mertua Adam, mak Dahlia kurang
sihat,” beritahu Adam Lee.
Wani faham,
kemudian bersuara lagi, “Jadi, mana sampel-sampel batik yang kita nak pilih
ni?” tanya Wani mahu memulakan kerja mereka.
Adam Lee mengambil
satu fail di dalam benya, “Ni ada sepuluh sampel, kita kena pilih lima. Rambang
mata ni nak pilih.. semua cantik, tapi materialnya yang berbeza. Awak cuba
tengok, awak perempuan, lebih tahu selera orang perempuan..” Adam Lee
memberikan fail yang mengandungi sampel-sampel batik di tangannya kepada rakan
kongsinya itu.
Segera Wani
melihat dan menyentuh setiap sampel yang terkandung dalam fail itu. Kemudian
dia memisahkannya mengikut apa yang dirasanya lebih sesuai untuk pasaran dan
ada nilai komersial.
Adam Lee pandang
Wani di depannya, “Esok kita kena jumpa sekali lagi dengan Encik Yakob tu. Kali
ni awak jangan mengelak pula, hari tu siap tanya mana awak pergi sebab dia tak
nampak awak sepanjang dia dekat pejabat,”
sengaja Adam Lee bergurau.
Wani buat muka dan
herot mulutnya, “Adam! kalau nak kenenkan Wani dengan orang tua tu. Minta maaf sangat,” balas Wani seakan meluat.
Adam Lee ketawa, “Makin
tua makin berisi tahu,” sampuk Adam Lee.
“Iyalah tu..” Wani
mengherot mulut. Kemudian dia pandang Adam Lee sekali dan senyum seorang diri.
Lelaki di
hadapannya itu memang kacak, ala-ala pelakon cina yang dia selalu tengok dekat
tv lepas balik kerja tu. Tapi itulah, mana mungkin pula dia mahu menampakkan
yang dia suka dengan Adam Lee, nanti lain pula jadinya dengan hubungan kerja
mereka.
Adam Lee yang
perasaan Wani memandangnya terus menegur, “Awak, awak, Wani... apa yang
awak pandang-pandang saya ni?
Kerjalah..” Adam Lee menegur.
‘Alamak! Kantoi..’
gumam Wani cuba bertenang.
Wani senyum, “Muka
Adam macam pelakon cina yang selalu Wani tengok dekat tv jam tujuh malam tu...
Ingatkan hero drama cina tu depan mata.” Wani ketawa kecil sengaja bergurau.
“Macam-macamlah
awak ni. Dah saya ni cina. Kenapa? Muka saya
ni ada sama hensem ke dengan hero cina dalam drama yang awak selalu tengok
tu?” tanya Adam Lee berseloroh.
“Boleh tak
ambilkan tong sampah, rasa nak muntah kejap..” Wani geleng kepala,
sekejap-sekejap lelaki itu memang diarasanya sangat kelakar.
“Dah-dah, nak
muntah bagai pula. Siapkan dulu kerja ni. Lupa pula, Wani nak air apa? Adam Lee
rasa tekak haus ni,” tanya Adam Lee.
“Awak yang nak buat
air ke? Tak payahlah, nanti Wani sendiri pergi dapur buat air tu.. nanti lain
jadinya pula..”
“Iyalah.” Adam Lee
herot mulut. Wani kemudiannya meneruskan dengan kerja-kerja mereka.
Lebih kurang jam
10 malam, Wani bersiap untuk balik selepas semua kerja mereka selesai. Itupun
selepas memeriksa kerja-kerja yang telah disiapkan. Sejak zaman universiti lagi
mereka berdua memang sudah biasa begitu.
Wani lega, “Wani
nak pergi bilik air kejap. Nak basuh muka yang mengantuk ni. Sementara tu, awak
masukkan semua kerja kita buat tu dalam ‘pendrive’ ni. Nah.” Wani memberikan pendrive miliknya kepada Adam Lee.
“Okay. Tak ada
apa-apa nak ubah kan?” tanya Adam Lee lagi sambil mengambil pendrive milik Wani dari tangannya.
“Tak payah ubah
lagi, semua dah lengkap. Kalau tak, sampai esok pagi tak siap.” Wani menjawab
dan kemudian beredar masuk ke bilik air yang berada di belakang.
“Assalamualaikum,”
tiba-tiba ada orang memberi salam di luar rumah.
Adam Lee pelik.
Siapa pula yang datang tengah-tengah malam buta begitu. Mungkin ke pemandu ibu
mertuanya yang menghantar Dahlia dan Aiman.
“Assalamualaikum,”
sekali lagi orang di luar rumah itu memberi salam, kali ini nadanya lebih kuat
dari tadi.
Segera Adam Lee
membuka pintu, “Waalaikumsalam,” Adam Lee menjawab salam itu tetapi terkejut
melihat siapa yang datang, kemudian dia menoleh ke dalam rumah. Tiba-tiba pula
dia rasa gementar.
Adam Lee terdiam.
Seluruh anggotanya badannya kaku. Wani yang baru keluar juga turut terkejut.
Adam Lee mati
kata.
No comments:
Post a Comment