BAB 5
PENERBANGAN dari
Kuala Lumpur menuju ke Sabah malam itu mengambil masa lebih kurang 2 jam 30
minit. Hampir 2 jam juga Bazli bersedia di lapangan terbang kerana
pesawat lewat sampai. Sebaik saja pesawat sudah bersedia, Bazli dan anak-anak
kapal yang lain sudah berada di dalam pesawat untuk menyediakan apa yang patut
dan juga bersiap sedia untuk menyambut penumpang. Rutin itu sudah terlalu biasa
untuk Bazli, bekerja sebagai Flight
Attendant (FA) walaupun nampak mudah tapi sebenarnya memenatkan.
Orang lain mungkin nampak mereka sangat
istimewa kerana menaiki kapal terbang secara percuma sambil bertugas. Namun,
untuk memenuhi tugasan yang kadangkala memerlukan mereka menaiki sesebuah
pesawat lebih dari sekali dalam sehari sebenarnya menuntut kesabaran dan
dedikasi yang sangat tinggi. Apatah lagi, melayan karenah penumpang yang
macam-macam ragam. Pernah juga Bazli dan anak-anak kapal menghadapi saat cemas
semasa cuaca kurang baik dan dimaki hamun penumpang yang tidak puas hati dengan
makanan yang diberi. Namun, di sebalik kepahitan, pasti juga ada kenangan manisnya,
antaranya adalah membawa artis-artis ternama dalam dan luar negara, juga menteri-menteri.
“Selamat menaiki Malaysia Airlines, anda sedang menaiki
pesawat boeing 747 dari Kuala Lumpur menuju ke Sabah. Penerbangan ini mengambil
masa selama 2 jam 30 minit. Saya Bazli Mansor, ketua pramugara anda bersama
anak-anak kapal mengucapkan selamat datang. Terima kasih kerana memilih Malaysia Airlines sebagai penerbangan anda.”
Ringkas kata-kata
Bazli selaku Ketua Pramugara yang bertugas memaklumkan melalui pembesar suara.
Diikuti pengumuman dalam Bahasa Inggeris. Beberapa minit kemudian, pesawat
sudah memasuki ruang angkasa selepas juruterbang pula membuat pengumuman. Bazli
ke pantry untuk menyediakan makanan
dan minuman untuk penumpang. Dia ditemani seorang pramugari baru. Dilihatnya
pramugari itu agak malu-malu.
Bazli memandangnya
dan mengenalkan diri, “Hai, saya Bazli. Awak baru bertugas ya? First day?” tanya Bazli kepada pramugari
yang kelihatan manis dan tinggi di depannya, dia belum pernah melihatnya sebelum
ini, sejak dari lapangan terbang tadi dia memerhatikan Kasih, Bazli faham
orang-orang baru lepas dari akademi macamana, tapi Bazli yakin, Kasih komited
dengan kerjanya.
“Ya, my first day. Saya Kasih Aziah Bahrom.
Boleh panggil Kasih,” jawabnya ringkas melemparkan senyuman manis di balik tahi
lalat di atas bibir sebelah kanan menampakkan dia amat cantik sekali, dicalit
pula dengan mekap yang sederhana tebal menambah seri kepada wajahnya yang bujur
sirih itu.
Bazli senyum, “Okay,
enjoy your day. Don`t worry, once you get in, we are family.” Bazli memberi
semangat dan melemparkan senyuman.
Seketika, hati
Kasih runtun melihat senyuman manis Bazli pula. Lelaki tinggi lampai dan
wajahnya ala-ala salah seorang pelakon drama televisyen tempatan itu redup
dipandang Kasih.
‘Hensem juga dia
ni, agak-agak bujang lagi tak. Baik
pula tu, ada jodoh kot aku atas kapal terbang ni, sekali kahwin dalam kapal kan
ke best...’ gumam Kasih dalam hati sempat pula berangan-angan bagai.
“Kasih, Kasih..
awak okey ke ni?” tegur Bazli yang dilihatnya senyum sendiri.
“Oh! Saya terima
nikahnya... Err, maaf Bazli, maaf,” tiba-tiba Kasih tersasul, malu pula
dibuatnya, Bazli pula senyum-senyum ada makna.
“Dah, lain kali
jangan mengalamun, kita tengah bertugas ni. Jom, tolak troli tu,” arah Bazli
mengingatkan.
Kasih mengangguk.
Kemudiannya dia menolak troli itu perlahan-lahan sambil Bazli dan seorang lagi
anak kapal menghidangkan makanan dan minuman kepada penumpang. Kasih pula asyik
tengok Bazli dari tadi. Apabila sudah habis bertugas, semua anak kapal ke
bahagian pantry.
Nadia menguis
lengan Kasih yang sibuk menyusun alat-alatan di almari, “Kasih, awak tengok
Bazli dari tadi ada apa-apa ke?” tanya Nadia, salah seorang anak kapal juga.
“Eh, takdelah.”
Kasih menafi, mulutnya diherotkan.
“Maaf la ya Kasih.
Dia tu dah kahwin bulan lepas, kalau awak cepat masuk maybe ada peluang, dah lama juga dia tu membujang, bukan, dah lama
juga dia tu menduda. 5 tahun.” Nadia memberitahu.
“Oh, patutlah jari
dia ada inai lagi. Siapa isterinya?” tanya Kasih ingin tahu.
Nadia memerhati Kasih,
“Nama isteri dia Juwita, pereka fesyen, dengar kata cantik juga,” jawab Nadia.
“Okay, aku nak ke
depan dulu, manalah tahu ada penumpang yang perlukan apa-apa.” Kasih meminta
diri.
‘Dah kahwin, tak
apalah, kawan pun boleh...’ Kasih mengumam seorang diri dan berlalu memandang
Bazli yang berada di depan.
Namun, belum
sempat menuju ke sana, di pintu pantry, seseorang menegur,“Hai, tak sempat
kenal tadi, awak pramugari baru ya? Saya Khairi,” seorang pramugara menegur
Kasih, dia pula memang perhatikan Kasih sejak tadi.
“Ya, pramugari baru.
Hari pertama saya. Saya Kasih.” Kasih memperkenalkan diri, dia tahu orang baru
kena merendah diri.
“Boleh kita keluar
makan malam lepas tiba nanti?” tanya Khairi lagi, cepatnya lelaki yang satu itu
bertindak, tangannya dihulur sebagai tanda perkenalan.
Bazli datang dan
menyalam tangan Khairi, “Maaf Khairi, nanti Kasih ada makan malam dengan saya.
Dia ni adik angkat saya,” pantas Bazli menjawab.
‘Adik angkat saja?
Yang lain-lain tak boleh ke?’ gumam Kasih terkejut dengan pengakuan Bazli.
“Oh, adik angkat
kau ya. Maaf Kasih, tak dapatlah
keluar makan malam sama. Nanti abang angkat awak hempuk saya boleh patah saya..
tengok tangan dia ni, nanti benjol saya tak dapat kerja dua tiga hari..” Khairi
sempat pula mengusap lengan Khairi, pantas Bazli menepis.
“Dah Khairi, pergi
depan sana. Ada lelaki tu asyik nak jumpa awak je, siapa tu? Teman lelaki ke?”
pedas dan berbisa sungguh mulut Bazli, Khairi buat muka malas menjawab
pertanyaan itu dan berlalu.
“Dia tu tak payah
layan sangat, buaya karat. Lelaki dia layan, perempuan pun dia layan..
hati-hati nak kenal orang.” Bazli sempat memberi amaran.
Kasih mengangguk
macam burung belatuk tapi dalam hati ada taman-taman bunga indah mekar, orkid,
melur, melati dan macam-macamlah jenis bunga.. lupa, ada air terjun dan pelangi
dan kereta kuda lagi tu. Siap ada tiupan seruling lagi, eh!
“Kita akan
mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaraya Kota Kinabalu sebentar
lagi. Sila betulkan tempat duduk anda dan buka tingkap di sebelah anda.
Sebarang penggunaan tandas buat masa ini adalah tidak dibenarkan.”
Bazli membuat
pengumuman, semua anak kapal memeriksa semua penumpang dan memberitahu mereka
untuk menegakkan tempat duduk. 20 minit kemudian, semua penumpang sudah turun. 10
minit selepas itu, para anak kapal bersama juruterbang dan pembantu juruterbang
bertugas juga turun untuk ‘report duty’ di dalam lapangan terbang dan
seterusnya di bawa ke Hotel oleh petugas yang telah ditugaskan. Sepanjang masa
itu juga, Kasih tidak berenggang dengan Bazli. Khairi pula tidak mengikut
mereka kerana mengikut van lain.
Bazli pandang
Kasih yang duduk di sebelahnya, “Kasih orang Sabah ya?” tanya Bazli.
“Ya bah..” jawab
Kasih dalam nada pekat Sabah.
“Bah tu apa?
Banjir ya?” tanya Bazli lagi, sengaja membuka perbualan.
Kasih senyum
sendiri, “Bah tu maksudnya ya. Seronok juga bertugas penerbangan pertama ke
Sabah. Bolehlah rehat di sini sehari dua
sebelum ‘flight duty’ lagi. Selalunya kalau ke sini, awak ke mana?” tanya
Kasih.
“Hmm.. duduk
hotel, paling tidak ke Wisma Merdeka sebelah hotel tu. Boring-boring ke Pantai
Tanjung Aru. Manalah saya tahu jalan-jalan dekat sini,” beritahu Bazli.
“Okay, nanti kita
ke satu tempat, pasti awak suka,” jawab Kasih girang.
Perjalanan ke
Hyatt Regency Hotel yang terletak di tengah Bandaraya Kota Kinabalu hanya
mengambil masa kurang 15 minit dari lapangan terbang tadi. Semua anak kapal
turun dari van yang disediakan pihak penerbangan dan mendaftar masuk.
Bazli berjalan
beriringan dengan Kasih dan menuju ke lobi, “Maaf ya tak dapat bawa awak makan
malam, dah lewat..” Bazli meminta maaf.
“Awak ni, manalah
ada lagi makan malam tengah malam buta ni. Esok pagi sarapan sama ya?”
Kasih mengingatkan.
“Insya-Allah,”
jawab Bazli dan kemudian meninggalkan Kasih dan yang lain dalam lif lalu menuju
ke bilik penginapannya.
‘Alamak, lupa
minta nombor telefon dia, esok sajalah..’ gumam Kasih sedikit kecewa sambil
memerhati Bazli masuk ke dalam lif dan tertutup perlahan-lahan.
Sampai saja di
bilik, Bazli merehatkan diri. Teringat pula dia pada Juwita di rumah, dia lihat
jam sudah masuk jam 12.30 malam. Mungkin esok saja dia hubungi Juwita, lepas
solat Isyak, Bazli melelapkan mata di katilnya.
***********************
“SELAMAT pagi Adam. Awal sampai. Dah sarapan?” tanya Wani pada Adam Lee yang sudah berada di pejabatnya.
“Awak ni Wani,
terkejut saya dibuatnya, bagilah salam dulu.” Adam Lee sempat mengomel.
Wani senyum sambil
membetulkan rambutnya yang sedikit mengerbang, “Oh. Assalamualaikum.” Wani
memberi salam.
“Waalaikumsalam, Adam
dah sarapan pagi tadi,” jawab Adam Lee sambil tersenyum.
“Wani tahu, Wani
keluar dulu tau. Jam 9 nanti jangan lupa, Encik Yaakob nak datang tu tunjuk
sampel batik baru, Wani dah tengok dekat emel semalam. Adam lah ya layan dia,
tak kuasa Wani dengan orang tua tu,” sempat Wani mengingatkan sambil mengatakan
sesuatu pasal Encik Yaakob.
Adam Lee senyum
memandang Wani, “Kan Adam dah kata, baiklah kahwin cepat-cepat. Nanti tak ada
siapa yang nak kacau lagi,” tegur Adam Lee pada gadis bernama Wani di depannya.
Langsung wajah Wani berubah.
“Ala, zaman
sekarang ni dah biasa kalau perempuan kahwin lambat...” jawab Wani dan kemudian
keluar dari ruangan pejabat Adam Lee.
Alkisahnya dahulu,
Wani pernah bercinta dengan seorang rakan sekuliah mereka bernama Zafrul. Entah
macamana pula, suatu hari tu, Wani nampak Zafrul dan perempuan junior lain
dalam kereta mesra-mesra. Mahu taknya si Wani jadi singa lapar masa tu. Sejak
tu dia memang tak terbuka hati lagi pada lelaki lain. Namun, di hati manusia
siapa yang tahu.
Wani berjalan
keluar ke pintu pejabat, kebanyakan staf belum sampai pagi itu, dia menjeling
menoleh Adam Lee.
‘Mungkin kau tak
nampak aku lagi Adam, tapi aku akan tunggu masanya..’ gumam Wani sendiri dan
terus keluar.
Janganlah jangan..
Kau sakiti cinta ini..
Sampai nanti.. di saat ragaku sudah tidak bernyawa
lagi..
Telefon Wani berbunyi,
diangkatnya panggilan tersebut, dahinya berkerut dengan nombor yang tidak
dikenalinya itu, “Helo.”
“Helo Wani.
Shahrul sini, ingat saya lagi tak?” tanya seseorang yang mengenalkan dirinya
sebagai Shahrul di talian.
“Shahrul mana pula
ni?” berkerut sekejap dahi Wani memikirkan Shahrul mana satu menghubunginya.
“Wani tak ingat
lagi ya. Kita kan sekampung.. anak Haji Muhsin tu...” lelaki bernama Shahrul
itu memberitahu.
“Oh, Shahrul anak
Haji Muhsin, ingatkan siapa tadi. Kenapa call
ni? Tak ada hujan, tak ada ribut...” tanya Wani pelik.
“Shahrul dan
Baizura dah nak kahwin hujung minggu ni. Ayah Wani tak bagi tahu ke?” tanya
Shahrul, sekali lagi Wani terkejut, sampai hati ayahnya tidak memaklumkan
kepadanya tentang perkahwinan adiknya sendiri.
“Oh, tahu, tahu..”
sengaja Wani bercakap demikian supaya Shahrul tidak sedar kepincangan yang
berlaku dalam keluarganya.
“Okay, Shahrul
cuma maklumkan saja sebab Baizura yang suruh. Assalamualaikum.”
“Wa’alaikumsalam,
kirim salam Baizura ya,” pesan Wani kepada bakal adik iparnya itu.
“Insya-Allah,”
jawab Shahrul dan mematikan telefon bimbit.
Wani melangkah
masuk ke dalam kereta. Hilang moodnya untuk sarapan pagi itu. Ayahnya itu masih
tak ubah-ubah, masih marahkan dia pasal kemalangan yang menimpa ibunya beberapa
tahun lalu itu. Sudah lama sebenarnya peristiwa itu berlaku. Masa itu ibunya
mahu pergi melawat Wani di kolej, tapi malang tidak berbau apabila ibunya
diragut dan dilanggar kereta. Sungguh, Wani tidak pernah mahukan semua itu
berlaku. Namun, semua itu masih menjadi amarah kepada ayahnya sehingga kini.
Semua tragedi itu diletakkan dibahunya. Sampaikan bila Wani balik kampung sekalipun,
ayahnya tetap menyindir dan tidak suka akan kehadirannya.
Perlahan-lahan
Wani membawa keretanya ke satu tempat yang dia sendiri tidak tahu, air matanya
mengalir perlahan. Kadang-kadang dia pelik juga, sejak kecil lagi ayahnya
kurang perhatian pada dirinya, dia sendiri tak tahu salahnya. Kalau dia silap
sikit, marah ayahnya berhari-hari sampai adakalanya Wani merasakan tiada
sesiapa yang menyayanginya di dunia ini.
***********************
“Helo? Abang sihat?
Okay ke dekat sana?” tanya Juwita sebaik mengangkat telefon bimbitnya.
Bazli tersenyum
mendengar suara isterinya dan membalas, “Abang sihat walafiat, dekat sini
matahari awal naik. Sayang nak pergi kerja ke tu?” tanya Bazli lembut.
“Haah, kejap lagi
nak jumpa klien. Bila abang nak balik?” tanya Juwita lagi.
“Rindu dekat
abanglah tu. Insya-Allah, kalau tak ada aral, esok atau lusa abang balik sana.
Bawa kereta tu elok-elok, rindu sayang,” sempat Bazli berpesan.
“Itu mestilah,
abang tu pun sama, jangan jalan tak tentu arah pula. Jaga diri tu,” pesan
Juwita.
“Nak apa-apa tak
dari Sabah ni?” tanya Bazli lagi.
“Hmm.. kalau ada
amplang ke dengan kuih cincin, sayang nak. Lama pula tak makan, okaylah bang,
sayang banyak benda nak buat ni. Kucing abang ni kirim salam dekat abang,”
sempat Juwita berseloroh.
“Oh, Miki buat hal
ya, uhuk pagi-pagi ya, jaga dia,
tolong cubit dia untuk abang.. hihi..” Bazli pula bergurau.
“Dah-dah, nanti
sayang tak dapat pergi kerja pula. Assalamualaikum.” Juwita memberi salam.
“Wa’alaikumsalam.
Rindu awak setinggi Gunung Kinabalu.” Bazli berseloroh.
“Rindu awak
setinggi KL Tower...” Juwita berseloroh kemudian meletakkan telefon.
Juwita duduk
sebentar, melihat gambar perkahwinan mereka di dinding, melihat wajah Bazli dan
wajahnya yang nampak bahagia. Mulutnya diherotkan, panggilan telefon yang
tiba-tiba masuk memecah kesunyian diangkatnya sambil mengukir senyumnya
sendiri.
“Helo awak..”
Juwita bercakap girang sambil memakai kasut merah jambu yang baru diberikan
seseorang semalam.
“ I tengah tunggu you dekat bawah ni, lambatnya...” seseorang mengeluh di talian.
Juwita senyum
sendiri, “Saya baru nak keluar rumah. Jadi apa plan hari ni? Beli belah atau ke
mana-mana?” tanya Juwita mesra.
“Ke syurga boleh?”
nakal suara itu menjawab. Juwita ketawa sendiri dan kemudian bergerak keluar
dari rumahnya dengan senyuman lebarnya.
**********************
“Kami minta maaf
Puan Dahlia...”
Kata-kata itu
masih terngiang-ngiang di telinga Dahlia. Setelah balik dari sebuah tempat,
Dahlia menangis sendirian di dalam keretanya. Nyata, untuk menerima sesuatu
seperti itu memerlukan kekuatan yang bukan sedikit. Patutlah selama ini dia
merasa lain macam saja. Ditabahkan hati dan menunggu hasil keputusan. Setelah
dimaklumkan, air matanya mengalir deras, dia mencari cara bagaimana untuk
memberitahu seseorang apa yang dilaluinya. Sungguh, berita itu tidak akan
sesekali diberitahu pada suaminya; Adam Lee, sungguh tidak!
Klong! Klong!
Tiba-tiba penggera
telefon bimbitnya berbunyi mengingatkan dia akan tugasnya. Dahlia meneruskan
pemanduan untuk mengambil Aiman di Taska, kalau lewat nanti kasihan pula
pada cikgunya yang menjaga di Taska tersebut. Sampai saja di depan Taska Sri
Indah itu, kelihatan Aiman dengan wajahnya yang riang.
Aiman melempar
senyuman pada ibunya, “Lambatnya mama sampai. Mama pergi mana?” Aiman sudah
bertanya banyak soalan sebaik saja memasuki kereta, meskipun umurnya baru
menginjak 4 tahun, tetapi dia memang petah berbicara.
“Mama jumpa kawan
mama kejap tadi. Apa Aiman belajar hari ni?” Dahlia memandang anak angkatnya
yang sudah petah bercakap itu.
“Lukis,”
jawab Aiman riang dan menunjukkan lukisannya pada Dahlia. Dahlia senyum dan
mencium kepala Aiman lama. Lukisan yang tak dimengerti Dahlia itu membuatkannya
tersenyum.
Dahlia memasangkan
tali keledar di tempat duduk Aiman dan kemudian meneruskan pemanduan. Sempat
dia melambai pada Cikgu Natasha yang berada di luar pagar Taska sebagai tanda
ucapan terima kasih.
Sampai saja di
rumah, Dahlia menguruskan Aiman. Makanan tengahari yang sudah siap dimasaknya
pagi tadi dipanaskan semula.
“Aiman, lepas
mandi turun makan ya.”
Mujur Aiman sudah
pandai mandi sendiri, tapi sekali sekala Juwita terpaksa juga memerhatikannya.
Kadang-kadang Aiman terlebih masa pula di dalam bilik air, pernah satu ketika
dia menunggu punya lama, sekali dilihatnya dalam bilik air, Aiman sedang
bermain buih-buih sabun.
Usai makan
tengahari itu, Dahlia membiarkan Aiman melihat kartun-kartun kegemarannya di
saluran astro ceria. Dia pula berada di luar, Dahlia duduk seorang diri sambil
memikirkan sesuatu. Berita yang diterimanya pagi tadi bakal mengubah
kehidupannya. Lama Dahlia berfikir, kemungkinan itu, kemungkinan ini. Rambutnya
yang dipotong paras bahu itu kadangkala diraup-raup. Kemudiannya dia asyik
memandang gambar dia, suaminya Adam Lee serta Aiman di telefon bimbitnya.
Sekali sekala air mata jernihnya menitis.
Tiga jam berada di
situ, Dahlia sudah bulat dengan keputusannya. Itulah risiko yang perlu dia
ambil. Meskipun perit tetapi langkah gila itu perlu dilakukan. Kemudiannya dia
menghubungi ibunya; Puan Sofia.
“Mama, ambil
Dahlia dengan Aiman dekat rumah,” berat Dahlia memegang gagang telefon rumahnya
itu memberitahu perkara yang akan memuaskan hati mamanya itu.
“Ya? Baik, sekejap
lagi mama datang.” Puan Sofia tahu saja menjalankan peranananya sebagai Nyonya
Mansor versi moden.
Tidak sampai
setengah jam. Puan Sofia sudah muncul di muka pintu bersama Pak Mat pemandu
ibunya, segera dia memegang tangan anaknya dan memujuk, “Sekarang percaya
cakap mama. Sebab dia mandullah dia berani buat macam tu pada Dahlia. Mama tak
nak Dahlia kena penyakit bukan-bukan,” sempat Puan Sofia cuba mencucuk jarum ke
dalam telur yang sudah sedia berlubang.
“Bukan salah abang
Adam Lee mama. Nanti Dahlia ceritakan semuanya pada mama.” Dahlia memandang
ibunya.
Puan Sofia pelik
dengan anaknya yang satu itu, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena,
seolah-olah ada sesuatu yang dahsyat ingin diberitahu padanya, meskipun dia
terlalu memaksa tetapi Puan Sofia masih punya hati nurani. Ibu mana yang tega
memusnahkan kebahagiaan anak sendiri tanpa sebab.
“Mama,
papa?” tanya Aiman yang masih belum faham dengan keadaan yang dihadapi mereka.
“Papa ada kerja
sikit, kita balik rumah nenek. Jom.” Dahlia memujuk Aiman, dia tahu anak angkatnya
itu sangat sayangkan Adam Lee. Malah, tiap malam Aiman hanya mahu ditidurkan
oleh Adam Lee sahaja.
Sebelum keluar,
Dahlia mengeluarkan surat yang diberikan ibunya tempoh hari beserta pesanan.
Air matanya mengalir, tapi dia harus melakukan itu, itulah jalan yang telah
dipilihnya. Dengan rasa kecewa yang tidak dapat dibendung, Dahlia terpaksa
pergi. Sekali lagi dipandangnya rumah penuh kenangan itu.
‘Maafkan Dahlia
bang, bukan pinta Dahlia sebegini, tapi lebih baik abang tak tahu apa yang
berlaku. Cukuplah apa yang abang hadapi selama ni,’ gumam Dahlia sambil
memandang rumah mereka, air matanya menitis, langkahnya berat, hatinya runtun..
“Dahlia...”
panggil ibunya, Dahlia terus melangkah dan masuk ke dalam kereta sambil
memandang rumah bahagianya yang penuh kenangan suka dukanya bersama Adam Lee.
No comments:
Post a Comment