BAB 4
Sebulan Kemudian
USAI balik dari lapangan terbang pagi itu
selepas bertugas ke Jakarta 2 hari, Bazli berkira-kira mahu menjemput isterinya
makan tengahari bersama. Sengaja dia tidak memberitahu kedatangannya ke butik
Juwita. Mungkin dengan cara ini pengantin baru itu akan lebih mesra. Inai di
jarinya masih merah lagi dan menjadi bahan jenaka rakan sekerja terutamanya
pramugari dan pramugara yang mengenalinya. Bazli senyum sendiri, teringat akad
nikahnya sebulan lalu, sampai 3 kali dia
melafaz akad nikah kerana terlalu gementar, padahal di rumah sebelum itu dia
sudah berlatih menyebut nama bakal isterinya berkali-kali. Bazli gugup bila
lihat ramainya tetamu yang datang dan lagipula ini perkahwinannya yang kedua. Hampir
saja Tok Kadi mahu berangkat ke acara nikah yang lain, nasib baiklah ugutan
olok-olok Tok Kadi itu membuatkan lidah Bazli lancar menyebut nama penuh
isterinya; Juwita binti Sallehudin.
Bazli memarkir
kereta tidak jauh dari butik Juwita, dulu sebelum kahwin dia sering menjemput
Juwita makan bersama. Berbunga-bunga hatinya apabila teringat isterinya yang
satu itu. Selepas mematikan enjin kereta, Bazli membuka tali pinggang, sempat lagi mengemas rambutnya yang
sedikit kusut sambil memandang cermin tengah kereta.
‘Bolehlah
ni, adalah iras Syahrul Rizwan punya adik tiri..’ gumam Bazli seorang diri
menguntum senyuman, suka berangan macam retis.
Tiba-tiba, dia
terpandang Juwita keluar dari butiknya. Bazli senyum mahu membuka pintu kereta
sebelum tangannya longlai melihat Juwita dipeluk oleh seorang lelaki keluar
dari butik itu. Dia tidak sempat nampak siapa lelaki tersebut kerana mereka
membelakangi tempat kereta Bazli diparkir. Hati lelaki Bazli umpama berderai
seribu. Serasa-rasa ianya direntap. Persoalannya siapa lelaki itu? Sejak bila
Juwita berlaku curang kepadanya. Lelaki itu menghantar Juwita ke dalam kereta.
Pantas! Bazli
menuju ke tempat itu selepas kereta Juwita beredar. Tahu dirinya akan
menduda kali kedua, Bazli nekad, sebelum menduda lagi, biarlah dia menegakkan
keadilan sekali lagi. Bazli tidak mahu apa yang berlaku ketika dia bersama
Zulaikha berlaku lagi. Kali ini Bazli kuat. Bazli sudah bersedia! Langkah makin
cepat dan deras. Menyentap bahu lelaki di depannya.
“Kau ni memang tak
guna! Kau...!” Bazli mahu melayangkan penumbuk buku limanya pada lelaki
itu.
“Choi! Awak ni Bazli, dengan I pun nak jealous ke? Tak
rela I nak kena tumbuk dengan you yang hensem ni. Lebam biji mata I, tapi
takpelah... demi you Bazli, demi you...” Azwan memandangnya sambil menyentuh
lengan tegap Bazli serta. Rupanya Azwan! Pembantu butik Juwita yang dua alam
tu! Adoi!
“Laa.. kau rupanya
Azwan. Aku ingatkan lelaki mana yang peluk Juwita. Tak apalah, aku pergi dulu
ya, maaf. Maaf, salah faham. Geng gegirl rupanya. Sorry again.” Bazli meminta maaf, dilepasnya tangan Azwan yang
memaut lengannya tak nak lepas itu, nanti tak pasal-pasal pula jadi gosip.
Segera Bazli
berlalu dari situ macam anak ayam kebasahan, macho tu jalan. Kawal malu! Azwan
pula menuju masuk ke dalam butik. Azwan memandangnya sambil senyum sedan.
Mungkin ada cerita yang bakal diberitahu pada Juwita sekejap lagi. Bazli pula
terkocoh-kocoh masuk ke dalam kereta.
“Orang kata
cemburu tu tandanya sayang, tak apalah aku kena gelak kejap lagi dengan Juwita.
Adoi, macamanalah yang aku tak perasan itu Azwan, alahai Bazli.. cemburu tak
bertempat..” Bazli mengomel sendiri. Pantas dia mengambil telefon bimbit dan
mendail nombor isterinya.
“Helo, sayang, dekat mana tu? Jom makan tengahari sama,”
ajak Bazli mesra.
“Sayang dekat
restoran biasa kita pergi tu. Kejap lagi sayang nak sampai.” Juwita menjawab.
Bazli memandu laju
kereta perdana v6 miliknya menuju ke sebuah restoran yang memang mereka gemari.
Di sana Juwita
sudah menunggu, dia melambai tangan dan kelihatannya senyum-senyum memandang
suaminya yang satu itu. Nampaknya, cepat juga mulut si Azwan melapor kejadian
tadi, Bazli dengan muka-muka innocent
sengaja buat tak tahu.
“Yang sayang
senyum-senyum ni kenapa? Dah pesan ke?” sengaja Bazli bertanya.
“Abang ni kalau
jadi pelakon macam kawan abang nama Akim tu mesti dah popular. Tadi Azwan telefon, dia kata abang nak
belasah dia pasal salah sangka, apalah abang ni... dengan si Azwan yang patah
tu pun.. ish-ish.” Juwita geleng kepala memberitahu.
“Salah abang tak
tengok orang. Manalah abang tahu itu Azwan. Nasib baik tak lebam, kalau tak
habislah abang kena saman.” Bazli kestawa sendir
“Itulah abang, cemburu
tak bertempat. Sayang dah pesan tadi makanan dan minuman kegemaran abang, tak
payah tengok menu tu lagi.” Juwita memindahkan kertas pesanan ke tempat lain.
Tapi... cinta
bukan milik kita..
Semua..
Harus
berakhir..
Telefon bimbit
Juwita berbunyi, dia memandang telefon bimbit yang diletaknya disisi meja.
Panggilan masuk dari seseorang yang amat dikenalinya.
“Abang, Juwita nak
keluar kejap, nak jawab telefon dari klien penting ni,” segera Juwita meminta
diri dan menuju ke ladies. Bazli
angguk faham, mungkin panggilan daripada klien isterinya agaknya.
Bazli meninjau
restoran kegemaran mereka itu, masih seperti dulu, tempat dia dan isterinya
selalu makan dulu.
Sementara itu di ladies, Juwita mengangkat panggilan
telefon tersebut.
“Kan dah cakap
jangan telefon Juwita tadi, suami Juwita ada ni, bahaya. Nanti kita jumpa ya. Sabarlah
awak.” Juwita tidak keruan menjawab panggilan telefon tersebut.
“Nantilah, hujung
minggu, dahlah nanti suami Juwita syak apa-apa pula. Dia baru balik dari
Jakarta tu. Bye,” sambung Juwita lagi
sambil mematikan telefon bimbit miliknya takut ketenteramannya diganggu gugat.
Juwita keluar
menuju ke meja mereka, hidangan yang dipesan sudah tiba. Baunya saja cukup
menyelerakan, “Kenapa abang tak makan lagi, tak payah tunggulah,” mesra Juwita
berkata pada suaminya.
Bazli menarik
nafas kemudian membalas, “Tak apa, abang tunggu sayang. Lama tak makan sama.
Jom, abang baca doa dulu.” Bazli senyum memandang isterinya.
“Dah, nak sayang
suapkan tak? Rindu pula dekat abang,” tanya Juwita sengaja manja-manja.
“Tak apalah, ini
bukan rumah. Biarlah abang makan sendiri...” balas Bazli, namun belum sempat
dia menghabiskan kata-katanya sudu Juwita yang mengandungi makanan sudah berada
dalam mulutnya.
Bazli malu-malu
memandang isterinya, rasa kekok itu masih ada lagi. Padahal mereka sudah
bergelar suami isteri.
Tidak jauh dari situ
seseorang memerhatikan Bazli dan Juwita dari dalam sebuah kereta. Hatinya
panas, mungkin juga rasa sangat cemburu dengan keintimanan pasangan pengantin
baru tersebut. Segera, kereta itu berlalu daripada situ. Malas dia mempedulikan
adegan-adegan yang menanahkan hatinya sendiri.
***********************
PETANG itu sesudah waktu kerja. Bazli
menjemput Juwita, Azwan masih lagi senyum-sedan mengingatkan kejadian tengahari
tadi. Bazli saja-saja buat tak tahu, biasalah lelaki jenis yang satu itu, kalau
salah, pura-pura tak buat salah. Juwita menaiki keretanya manakala Bazli menggunakan
keretanya, mereka pulang bersama-sama menuju ke kondominium Bazli yang kini
rumah mereka.
Usai makan malam,
Juwita memandang Bazli yang bersiap-siap dengan uniform kerjanya.
“Eh, abang
bertugas ke malam ni?” tanya Juwita mengambil berat soal pekerjaan suaminya.
“Haah, tadi ada
telefon kena bersedia dekat lapangan.
Ada staff kawan abang yang sepatutnya bertugas tu bini dia bersalin.
Okey, abang pergi dulu. Jaga diri tau. Nanti apa-apa abang call, assalamualaikum.” Bazli meminta diri.
“Wa’alaikumsalam,
hati-hati, jaga diri.” Juwita berpesan sambil memerhatikan Bazli memakai kasut
dan masuk ke dalam kereta.
Juwita menutup
pintu, sebenarnya dia pun ada kerja nak dibuat. Dari bulan Ramadhan hari itu,
harinya sentiasa sibuk, dari persiapan majlis kahwinnya, juga persembahan
fesyen yang disertainya. Hujung minggu nanti dia menyertai persembahan fesyen sempena
‘KL Fashion Week’. Nasib baiklah dia hanya menyertai saban tahun acara itu,
tapi itulah apa pula kelainan yang mahu ditonjolkan untuk penyertaan kali ini.
Bukan senang mahu mencari idea. Juwita berjalan masuk ke dalam bilik, dia
melihat telefon bimbit yang ditinggalkannya di sana bergetar, Juwita terkejut
apabila melihat nombor pemanggil itu, segera diangkatnya.
“Helo, kenapa
dengan awak ni? Tak faham Bahasa Melayu ke? Kan saya dah kata kita jumpa hujung
minggu nanti,” marah Juwita tiba-tiba.
“Ala sayang, lama
lagilah hujung minggu tu. Saya rindu sangat dekat awak ni,” lelaki itu cuba
memujuk.
“Sekarang ni
Juwita dah jadi isteri orang tau. Ada tanggungjawab.” Juwita mengingatkan
lelaki itu.
“Tanggungjawab?
Awak seorang saja dalam bilik tiap malam. Tanggungjawab apa tu, itu tak
bertanggungjawab!” sengaja lelaki mengugahkan hati Juwita.
“Maaf
awak, saya mengantuklah, nanti kita sembang ya. Bye, rindu awak,” Juwita
sengaja memberi alasan, sebenarnya terkadang Juwita malu dengan apa yang
dilakukannya. Masih berhubungan dengan kekasih lamanya itu.
“Okey, mimpikan saya
tau. Bye, selamat malam,” sengaja
lelaki itu meluahkan kata-kata manisnya.
Juwita menutup
telefon bimbitnya. Ada juga rasa bersalah pada Bazli, tapi dia sudah cuba. Dia
memang tidak mampu mencintai suaminya itu, hatinya sudah pada lelaki lain. Ada
juga masa-masanya Juwita cuba untuk mengelak dan lebih bersama Bazli, tapi dia
tidak dapat juga melupakan lelaki itu. Dia tahu berdosa hukumnya menduakan
suami.
Tapi dia terpaksa
menutup aibnya sendiri, Juwita memandang cermin, memandang sesuatu, sesuatu
yang akan membesar hari demi hari. Walaupun keadaan terpaksa tapi kerana sebab
itu, dia terpaksa rela saja dengan perkahwinan ini dan tidak lama lagi, dia
akan memberitahu Bazli bahawa anak dalam kandungannya itu adalah anak Bazli. Titik!
No comments:
Post a Comment