BAB 7
SEPANJANG berada
dalam penerbangan balik ke Kuala Lumpur, Bazli tidak banyak menegur Kasih.
Kasih lihat Bazli juga kurang bicara dengan krew kapal yang lain, mungkin saja
masih kurang sihat kerana aktiviti mereka semalam. Sesekali Kasih hanya
melemparkan senyuman dan dibalas oleh Bazli. Kemudiannya Kasih tersedar, Bazli
itu suami orang. Lagipula hubungan antara mereka itu hanyalah hubungan
profesional antara rakan sekerja.
Kasih sedar itu,
namun dia bukanlah biasa berada dekat dengan lelaki. Ada sebab dia menyendiri.
Ada sebab kenapa lelaki tidak mendekatinya. Kasih malas mahu memikirkan masalah
itu, harapannya biarlah dia sentiasa sibuk sahaja dan tidak ada kesempatan
bertemu dengan orang itu. Kasih gembira mendapat pekerjaan tetap itu setelah
lama bertugas di hotel. Baginya terbang ke awan biru itu merupakan sebuah
impiannya sejak kecil. Nasib baiklah rezeki menyebelahinya.
“Kita
telah sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Terima Kasih
memilih ‘Malaysia Airlines’ sebagai penerbangan anda. Semoga kita bertemu lagi
di masa akan datang. Kami bangga terbang bersama anda.”
Mendengar
saja suara Bazli selaku Ketua Pramugara penerbangan mereka membuat pengumuman, Kasih
berasa bangga sekali. Tepat jam 10 pagi mereka sampai seperti dijadualkan. Dia
memandang para penumpang yang mulai sibuk mengeluarkan beg masing-masing dan
segera membantu.
Usai
menyelesaikan tugas. Kasih menuju ke pejabat untuk lapor diri selepas bertugas
manakala Bazli yang lebih dahulu masuk ke pejabat itu terus keluar dan menuju
ke tempat keretanya diparkir.
Bazli duduk
sekejap berehat dalam keretanya, rasa rindu pula dengan keretanya itu,
dipasangnya air cond dan pemain dvd, dapatlah juga mendengar suara nyanyian
Bruno Mars berjudul ‘Lazy Song’ sambil tengok keletah lucu dalam video klipnya,
memang kena lagu itu dengan keadaannya ketika itu.
10 minit kemudian
barulah Bazli keluar dari parkir selepas membayar kos perkhidmatan parkir.
Semasa sedang membelok, dia ternampak Kasih berada di satu tempat bersama
bagasi kecilnya, mungkin sedang menunggu giliran menaiki teksi ataupun menunggu
seseorang mengambilnya. Tapi nampak gayanya macam menunggu teksi.
Pon! Pon!
Kereta Bazli dihon
daripada belakang. Terkejut Bazli dibuatnya. Segera Bazli bergerak dan membelok ke tepi di mana Kasih berada.
Kasih pula berasa pelik melihat di depannya, Kasih buat tak peduli. Telahan
Kasih mungkin orang itu menunggu orang dari penerbangan, Kasih buat tak tahu
dan beralih ke belakang sedikit takut-takut pemandu kereta itu tidak dapat
melihat orang yang dinanti.
Bazli menurunkan
cermin tingkap, “Kasih Aziah Bahrom, tunggu teksi ke? Kalau tak keberatan saya
boleh tolong hantarkan.” Bazli memandang ke arah Kasih, siap sebut nama penuh
lagi.
Kasih memerhati
lelaki di dalam kereta itu, kerana lelaki itu memakai kaca mata hitam, sekejap
Kasih tidak kenal. Nasib baiklah suara lelaki itu dia kenal sangat.
“Awak rupanya
Bazli, ingatkan siapalah tadi. Tak apalah, banyak teksi ni. Awak baliklah dulu,
its okey.” Kasih menolak ajakan Bazli
cara baik apatah lagi beberapa pramugari dan pramugara yang berada tidak jauh
daripadanya juga sedang menunggu teksi masing-masing.
Bazli herot mulut
dan buka cermin mata gelapnya. “Naiklah, ada juga teman saya berbual dalam
perjalanan nanti. Ala, bukan buat apa-apapun, ini sebagai tanda terima kasih
awak ajak saya ke Pulau Mamutik semalam,” ajak Bazli lagi sekali.
‘Dah dia ajak,
takkan nak jual mahal.. hmm.. naik sajalah..’ desis hati kecil Kasih, dalam
hati tu penuh rama-rama nak berterbangan.. amboi!
“Okay. Nanti turunkan
saya dekat KL Sentral saja ya,” sempat lagi Kasih berpesan dan membuka pintu
belakang kereta honda milik Bazli memasukkan bagasinya.
“Roger!” Bazli
faham.
Kemudiannya Bazli
meneruskan pemanduan. Kasih pula hanya berdiam, sambil itu dia tengok gambar
Bazli dan isterinya yang digantung di cermin tengah sekali imbas saja.
Cantik juga gumam Kasih. Dia pasti gambar itu gambar isteri Bazli sebab
Bazli dan wanita itu dalam pakaian pengantin. Sekejap fikiran Kasih
melayang membayangkan dia yang memakai pakaian pengantin itu di sebelah Bazli.
“Awak tak lapar
ke? Kita tak sarapan lagi ni,” tanya
Bazli membubarkan lamunan Kasih.
Kasih pandang
Bazli seimbas, “Tak apalah, saya dah biasa makan jam 12 nanti, minum air tadi
sebelum terbang pun dah okay,” jawab Kasih.
Bazli herot mulut,
“Hmm.. tak payah nak diet sangatlah. Kita pergi sarapan dulu, lepas tu saya
hantar ke KL Sentral, boleh?” tanya Bazli lagi.
Kasih pula herot
mulut, “Yalah...” terpaksa Kasih mengiyakan, karang kalau dia enggan banyak
pula ceramah Bazli kepadanya.
Sampai saja di
Bandaraya Kuala Lumpur, Bazli membawa Kasih ke satu tempat untuk bersarapan,
bukan sarapan lagilah jawabnya bila mereka sampai di restoran itu tepat jam 12
tengahari.
Usai memesan
makanan, Kasih meminta diri untuk ke ladies, “Bazli, saya nak ke bilik air
jap.”
Bazli angguk
kepala. Bazli pandang sekeliling, manalah tahu kot-kot ada orang yang dia
kenal. Kemudiannya baru Bazli teringat yang dia belum menghubungi Juwita lagi
untuk memberitahu kepulangannya. Segera diambil telefon bimbitnya.
Sementara itu,
Kasih masuk ke dalam bilik air restoran
itu. Bukannya nak pergi nak terkucil ke apa, pergi membuka sanggul rambutnya.
Rasa terlalu protokol pula bersanggul kemas bagai, macam mak datin muda pula.
Usai membuka sanggul itu, dia mengikat rambutnya seperti biasa.
“Helo sayang,
dekat mana tu?” tanya Bazli lewat telefon bimbitnya.
“Sayang dekat
butik ni, abang dah balik dari Sabah ke?” balas Juwita.
Bazli tersenyum,
rindu mendengar suara isterinya, “Haah, baru sampai pagi tadi. Saja telefon, rasa rindu pula,” nakal saja
percakapan Bazli.
“Abang balik rumah
terus ke?” tanya Juwita.
Klong! Klong!
Tiba-tiba pula
bateri telefon bimbit Juwita habis, telefon bimbitnya terus mati.
“Helo, helo
sayang? Juwita?” tanya Bazli pelik, Bazli agak mesti Juwita tak cas telefon
bimbitnya, selalu macam tu, kalau dekat rumah, memang Bazli yang kena caskan
telefon bimbitnya.
Juwita geleng
kepala, “Hish! Habis pula bateri telefon ni...” marah Juwita dan meletak
telefon bimbitnya di para singki. Dia membetulkan mekap di wajahnya.
Kasih memerhatikan
perempuan di sebelahnya, seperti pernah dia melihatnya. Ah! Lupakan jelah,
memang dia tak kenal. Kemudiannya perempuan itu keluar dari situ. Kasih
tiba-tiba ternampak telefon bimbit perempuan itu tertinggal.
Segera Kasih
menyentuh bahu perempuan tersebut, “Cik, telefon bimbit cik tu....” Kasih
mengingatkan.
Juwita buat muka
terkejut dan kemudiannya senyum, “Hmm.. Nasib baik, memang saya ni jenis cuai
sikit, Terima Kasih tau..”
Kasih membalas
senyuman, “Okay,” jawabnya.
Dia lihat
perempuan itu berlalu dari situ, Kasih mencuci tangan. Kemudiannya keluar dari
situ menuju ke meja Bazli.
“Lamanya awak,
buat apa dalam tu?” tanya Bazli seakan marah.
Kasih senyum, “Tak
ada apa-apa, hal perempuan. Makanlah, awak tunggu saya buat apa, awak ni..”
jawabnya.
Baru sesuap, Bazli
tiba-tiba seolah ternampak seseorang yang dikenalnya di hujung restoran itu.
‘Zamri?’ gumam
Bazli mengenali.
Bazli melihat
Zamri makan bersama seorang perempuan. Dia kenal Zamri masa majlis
perkahwinannya dulu, itupun Juwita yang kenalkan dia, katanya abang angkat dia,
entah, Bazli pun lupa.
‘Mesti makan
dengan teman wanita dia agaknya, takpun klien. Tapi katanya hari tu dah
beristeri,’ gumam Bazli sendiri, Bazli agar Zamri tidak nampak dirinya kerana
keadaan restoran tersebut yang ramai orang, dah gitu, dia sendiri memakai kaca
mata hitam.
Kasih pandang
Bazli yang melihat ke satu arah, “Selalu ke makan dekat sini?” tanya Kasih
membubarkan penglihatan Bazli.
Bazli
memandangnya, “Selalu juga,” jawab Bazli, tapi entah kenapa matanya tetap mahu
memandang ke arah Zamri, macam nak tahu siapa wanita bersama Zamri itu. Seakan
ada magnet dia nak tahu.
“Ni kali pertama makan
dekat sini, selalunya makan tempat biasa saja.” Kasih mahu membuka topik
perbualan sambil melihat betapa mewahnya restoran itu.
“Tak apa. Bazli
belanja.” Bazli melempar senyuman.
Semasa sedang
memerhatikan Zamri, tiba-tiba wanita di depan Zamri tadi mengilas rambutnya dan
memandang ke kanan. Maka, dari situ Bazli tahu wanita yang sedang makan bersama
Zamri itu adalah Juwita isterinya! Bazli mula berteka teki sendiri. Bazli
perhatikan mereka berdua.
‘Kejap lagi aku
tegurlah, harus Juwita terkejut.. hahaha..’ gumam Bazli lagi, tapi matanya tak
lekang memandang ke arah mereka.
Tiba-tiba Bazli
ternampak Juwita menyuapkan makanan ke mulut Zamri. Sama seperti yang dilakukan
Juwita apabila makan bersamanya.
Terkesima sebentar
jiwa lelaki Bazli apabila terpandang kemesraan mereka. Hatinya ketika itu dipukul
dengan bermacam-macam rasa.
Punah! Sakit! Mendidih!
Bazli merasakan
seolah-olah selama ini dia bertepuk sebelah tangan. Banyak perkara berlegar
dalam fikiran Bazli. Apa sebenarnya berlaku? Kenapa mereka mesra? Apa hubungan
mereka? Bazli kusut dengan pelbagai pertanyaan yang belum mampu diterima
jawapannya.
Zamri sebenarnya
sedar Bazli berada di sana, dia senyum sendiri. Sengaja dia menyakitkan hati
Bazli.
‘Nampaknya ini
memang peluang aku... Juwita akan jadi milik aku...’ gumam Zamri tersenyum
riang dan sengaja menyentuh rambut Juwita.
Satu persatu
adegan-adegan mesra dipandang Bazli secara langsung di depan mata. Hatinya
panas. Apa sahaja adegan mesra yang pernah dibuat Juwita padanya, juga dibuat
pada Zamri. Hingga satu tahap Bazli sudah tidak dapat bersabar!
Namun memandangkan
Kasih ada di depannya takkanlah dia nak buat gila pula. Kasih pandang Bazli
yang makan sedikit-sedikit. Bazli juga tidak banyak cakap. Dia juga
memerhatikan Zamri memegang pinggang Juwita mesra ketika mereka keluar daripada
restoran.
Usai makan, Bazli terus ke kaunter membayar
harga makanan dan bersama-sama Kasih ke kereta.
“Terima kasih,
lain kali saya belanja.” Kasih cuba membuka bicara, tapi Bazli macam malas
diajak bicara.
Kasih pandang ke
depan, dia faham kalau Bazli ada apa-apa masalah. Kemudian Kasih pandang lagi
sekali gambar Bazli dan isterinya di tengah cermin kereta.
“Patutlah saya
macam kenal perempuan ni, tadi saya dengan isteri awak dekat bilik air,
sama-sama cuci tangan, awaklah yang telefon dia dan bateri dia habis cas tu
rupanya. Kenapa tak tegur isteri awak tadi?” Kasih bersuara tiba-tiba.
Terkesima sebentar
Bazli. Rupanya Kasih lebih dahulu tahu yang Juwita memang berada di restoran
tadi, Bazli harap Kasih tidak tahu perkara yang lainnya. Hal rumahtangga
takkanlah nak diceritakan pada orang lain pula.
Bazli cari akal, “Oh,
saya jumpa dia kejap tadi. Sebab dia ada kerja tadi, dia terus balik,” beritahu
Bazli sambil tersenyum walaupun hatinya begitu pedih sekali.
Kasih memandang
gambar itu sekali lagi, “Oh, okay. Cantik isteri awak macam model,” puji Kasih
walaupun matanya belum buta lagi melihat kemesraan wanita itu dan lelaki lain,
Kasih tahu hubungan itu bukan biasa-biasa hingga membuatkan mood Bazli berubah.
“Mestilah, tengoklah
siapa suaminya,” seloroh Bazli.
“Hmm.. iyalah,
angkut bakul nampak..” balas Kasih, barulah dia nampak Bazli senyum sedikit.
Tapi selepas itu hanya lagu daripada corong radio yang menemani mereka. Kasih
faham, mesti Bazli sedang bersedih.
Sampai saja Kl
Sentral. Kasih terus turun.
Kasih senyum
selepas mengeluarkan begnya, “Terima Kasih sebab tumpangkan saya, sekali belanja
makan, jumpa lagi. Bye.” Kasih berterima kasih.
“Sama-sama, terus
balik rumah, jangan belok-belok..” pesan Bazli pula macam bapa budak pula.
“Baik!” Kasih
ketawa kecil dan berlalu dari situ. Bazli pun meneruskan pemanduan terus
berlalu dari situ, wajahnya yang ceria tadi bertukar durja.
Punah ranah
hatinya melihat keintiman isteri yang baru dikahwininya curang. Gambar yang
tergantung di tengah kereta itu ditarik dan dilempar ke belakang. Kalau nak
dikatakan Juwita sosial, tak pula dia pernah tahu. Dan takkanlah pulak si Zamri
tu anak ikan si Juwita pulak. Entah-entah selama ini mereka berdua tu memang
ada hubungan.
Bazli terus
memandu balik. Tiada lain yang difikirkan Bazli selain ingin bertanya
Juwita perkara sebenar. Moodnya tengahari itu terus hilang. Sampai saja di
rumah, dia masuk dan memandang gambar perkahwinan di sisi meja sebelah pintu.
Ah! Dia mesti kuat! Tidak perlu ada titisan air mata yang keluar!
“Plak!” segera
bingkai gambar itu menyimbah masuk ke dalam tong sampah.
***************************
PETANG itu apabila Juwita balik ke rumah,
Bazli sudah sedia menunggunya di ruang tamu. Juwita membuka pintu dan memasang
lampu, dia terkejut melihat Bazli duduk dalam gelap.
“Abang ni
kenapalah tak pasang lampu, nasib baik sayang takde sakit jantung.” Juwita
membuka bicara sambil menanggalkan kasut tinggi jenama Monolo Blahnik warna biru miliknya, kemudian dia bergerak menuju ke
tangga atas. Dengan pantas Bazli mencengkam tangan Juwita, membuatkan langkah
Juwita terhenti.
Juwita cuba
melepas tangan Bazli, “Kenapa ni bang. Lepaslah, sakit!” teriak Juwita.
Bazli melepaskan
cengkamannya dan memandang Juwita tajam, “Abang nak tanya Juwita satu hal dan
Juwita kena jawab dengan jujur dengan abang.” Bazli berkata tegas, dia menyebut
namanya isterinya, dia mahukan penjelasan!
“Apa abang nak
tanya sampai nak cengkam tangan sayang ni. Sayang penatlah bang, sayang letih.
Sayang naik mandi dulu ya.” Juwita cuba mengelak.
Bazli memandang
Juwita tajam, “Apa hubungan Juwita dengan Zamri tu?!” tanya Bazli mahukan
jawapan, suaranya kasar dan tegas.
Juwita langsung
diam, tidak mahu bercakap sepatah pun, kakinya yang mahu melangkah terhenti di
situ. Kaku. Bular matanya mahu memandang ke mata Bazli. Bibirnya mencengkam
serasa ketakutan barangkali. Apa yang mahu diberitahu Bazli, malam itu
sepatutnya Juwita membuat perancangan lain. Tapi nampaknya Bazli telah dahulu
mempunyai perancangan dan terlihat pula dirinya dan Zamri. Jika dibohongi Bazli
tetap tahu juga. Tapi, Juwita tidak mahu mengalah, manalah tahu Bazli hanya
serkap jarang dan sengaja mencari hal atas moodnya yang tak baik atau Zamri
sendiri ada mengirim pesanan ringkas (sms) yang bukan-bukan kepada Bazli. Bukan
dia tidak kenal Zamri, apa yang dimahukannya mesti dapat walau masuk ke dalam
mulut singa sekalipun.
“Abang tanya, apa
hubungan Juwita dengan Zamri tu?!” Bazli bertanya sekali lagi dalam nada agak
tegas. Suaranya meninggi.
Juwita cuba
mencari alasan, “Kami, kami kawan biasa saja bang. Lagipun dia abang angkat
Juwita masa kat kampus dulu. Jadi, kami agak rapat, sama macam abang dan kawan
perempuan abang.” Juwita cuba mereda keadaan.
Bazli memandang
Juwita dan merenungnya. “Kawan biasa... abang angkat sampai terangkatlah ya.
Berpeluk-peluk, suap-suap. Jangan ingat abang tak nampak apa yang Juwita buat
dekat restoran tadi.”
Juwita tersentak,
rupanya Bazli turut berada dalam restoran tadi. Jadi maknanya Bazli bukan
serkap jarang, patutlah Zamri atas memandang ke satu arah saja tadi semasa
makan. Rupanya sengaja memperlihatkan kemesraan antara mereka berdua.
‘Kurang hajar kau
Zamri! Urgh!’ Juwita berdesis dalam hati geram, dia terperangkap!
Juwita cuba
mencari alasan lagi, “Tak adalah, abang ni. Ni mesti ada yang buat cerita ni,”
sekali lagi Juwita cuba mengelak, dia cuba mencari helah.
Bazli ketawa, “Jangan
nak propalah Juwita! Abang ni bukannya budak-budak. Abang memang ada dekat
restoran tu tadi. Zamri pakai baju kuning, duduk meja 28. Baik, kalau Juwita
tak nak bagi tahu, abang tanya Zamri sendiri, mesti dia ada jawapan.” Bazli
mengugut dan kemudian cuba menghubungi Zamri berdasarkan kad nama yang pernah
Zamri berikan padanya dulu.
Juwita tidak punya
pilihan dia tidak dapat berdolak dalih lagi. Bazli pula semakin membentak,
akhirnya dia terpaksa menerangkan juga hal sebenar.
Juwita memandang
Bazli di hadapannya, “Ini salah mama Juwita! Dia putuskan hubungan Juwita
dengan Zamri demi abang, sedangkan hati Juwita ni pada Zamri! Juwita dah cuba
cintakan abang selama kita berkenalan, tapi Juwita tak dapat... cinta dan
hati Juwita hanya pada Zamri...” terduduk Juwita di atas tangga, kata-katanya
makin perlahan. Dia tahu perkahwinannya bakal retak seribu dengan pengakuan
beraninya itu.
Bazli geleng
kepala tak puas hati, “Jadi, Juwita hanya terpaksa dalam perkahwinan ni? Tak
cintakan Bazli sedikitpun?” Bazli bertanya.
Juwita mengangguk.
Sayu pandangannya. Sendi-sendinya lemah. Bukan niatnya untuk menyakiti hati
lelaki sebaik Bazli. Dia tidak bersalah dalam hal ini, Bazli adalah mangsa.
Bazli memandang
Juwita, kemudian ke hadapannya, “Jadi, kenapa Juwita terima pinangan abang?
Sekarang ni zaman dah modenlah. Mana ada kahwin paksa bagai lagi. Juwita boleh
saja terus terang dengan abang, Juwita boleh saja cakap yang Juwita dah ada
orang lain. Masa tu, abang faham kalau Juwita tolak abang... ta.. tapi sekarang
kita dah terlanjur berkahwin...” Bazli cuba bertanya baik-baik tapi nadanya
sebak.
“Senanglah abang
bercakap, abang bukan di tempat Juwita. Mama dan papa Juwita mahu Juwita kahwin
dengan abang sebab mama Juwita dan mama abang kawan baik. Zamri pula bukan
sesiapa, sudahlah dia tu laki orang. Mama Juwita cakap, kalau Juwita tak ikut
cakap dia, dia takkan akui Juwita sebagai anak dia lagi. Apa Juwita boleh buat?
Apa Juwita boleh pilih. Juwita terpaksa akur dengan kehendak mama dan papa...”
nyata Juwita membongkar apa yang sebenarnya terjadi selama ini. Dari A sampai
Z, Bazli mendengar semuanya.
Sebak. Kecewa. Itu
apa yang dirasakan Bazli sekarang ini.
Bazli naik geram
dan menuding ke arah isterinya, “Jadi, inilah sebabnya awak beriya-iya menangis
masa kita kahwin dulu?” tanya Bazli ingin tahu.
“Ya. Juwita tidak
mahu jadi anak derhaka bang. Sebab abang, hati Juwita ni sakit, Juwita terpaksa
hadapi semuanya dalam pura-pura!!” bentak Juwita sedikit berani.
Melihatkan Juwita
berkata demikian membuatkan Bazli sedikit kesal, lalu dia cuba memujuk
isterinya, “Juwita! Mengucap, istigfar... Apa yang Juwita cakap ni? Abang
sayangkan Juwita dan abang nak Juwita putuskan hubungan Juwita dengan Zamri.
Abang akan lupakan apa yang abang nampak hari ni, asalkan Juwita kembali pada
abang. Boleh ya Juwita? Abang akan sayangkan Juwita sampai bila-bila.” Bazli
cuba meredakan keadaan, dia rela walaupun terpaksa menjadi suami dayus yang
mengikut kata-kata sang isteri.
“Juwita tak mahu
berpura-pura lagi bang. Tolonglah lepaskan Juwita. untuk pengetahuan abang.
Juwita sedang mengandungkan anak Zamri!”
Pap!
Pantas tangan
kanan Bazli hinggap di pipi kiri Juwita.
“Kurang ajar!”
Bazli naik berang. Juwita pantas berdiri, menangis dan memandang Bazli lalu
naik ke atas.
Hilang kesabaran
Bazli dengan kata-kata Juwita tadi, tanpa sedar dia menampar Juwita, hati
lelaki mana yang tidak terguris apabila mendengar pengakuan hati isteri yang
dinikahi, disayangi dan dicintai selama ini mengandungkan anak orang lain!
Bazli benar-benar kecewa. Hatinya hancur. Dia rasa dirinya hanya dipergunakan! Kini
barulah dia tahu, Juwita hanya mencari seorang Pak Sanggup untuk anak haram
yang dikandungkannya!
Juwita berlari
naik ke atas, seketika kemudian Juwita turun dengan bagasinya. Dia memandang
Bazli.
“Juwita, kita
boleh lupakan semua ni, Juwita cakap bohong kan?” Bazli memegang tangan Juwita
memujuknya.
Juwita memandang
Bazli, “Juwita minta halal makan minum. Abang lelaki yang baik, tapi Juwita
bukan untuk abang, carilah perempuan yang sesuai untuk abang.” Juwita
menitiskan air matanya memandang Bazli.
“Juwita, perkara
ni kita boleh bawa berbincang. Tolonglah jangan pergi, maaf, maafkan abang...
abang sayangkan Juwita sangat-sangat.”
“Abang, Ju..
Juwita tak boleh.. Jangan cakap macam tu lagi, Juwita rasa bersalah sangat.”
Kemudiannya
Juwita memakai kasutnya dan membuka pintu. Tiada apa cara lagi untuk menghalang
Juwita berlalu pergi.
Bazli kusut, bila
melihat Juwita mahu memegang tombol pintu, segera dia cari akal untuk
menghalang.
“Kalau Juwita keluar dari rumah abang ni, itu
bermaksud abang ceraikan Juwita,” kata-kata Bazli waktu itu jelas dan terang.
Juwita tersentak,
bahunya terjungkit-jungkit menangis, mulanya Bazli ingatkan Juwita akan masuk
semula, tetapi kemudiannya Juwita terus membuka pintu rumahnya dan keluar dari
situ. Seketika itu juga, air mata lelaki Bazli tumpah. Malam itu, dengan berat
hati, dengan usia perkahwinan genap dua bulan,
Bazli terpaksa melepaskan Juwita. Kalau boleh dia tidak mahu terjadi begitu,
dia tidak mahu melepaskan isterinya itu. Tapi apakan daya, cinta bukan boleh
dipaksa-paksa. Kalau dibiarkan juga, itu beerti dia adalah lelaki dayus. Dan,
hukuman lelaki dayus adalah neraka jahanam. Sungguh, dia terpaksa!
Memang, sepatutnya
dia tidak patut mempercayai cinta.
Cinta itu hanya
satu pembohongan!
Cinta itu
pura-pura!
Cinta itu satu
pengkhianatan!
Cinta itu satu
kesakitan!
Bazli merasa
dipermainkan!
Sungguh!
Bagi Bazli, cinta
untuk dirinya telah mati malam itu juga.....
No comments:
Post a Comment