~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Wednesday 14 November 2012

E-Novel ~Bunga Terakhir (BAB 5)





BAB 5
SEPANJANG berada dalam penerbangan balik ke Kuala Lumpur, Bazli tidak banyak menegur Kasih. Kasih lihat Bazli juga kurang bicara dengan krew kapal yang lain, mungkin saja masih kurang sihat kerana aktiviti mereka semalam. Sesekali Kasih hanya melemparkan senyuman dan dibalas oleh Bazli. Sampai saja ke Kuala Lumpur International Airport (KLIA) tepat jam 10.00 pagi selepas report duty, Bazli terus menuju ke tempat keretanya diparkir. Bazli duduk sekejap berehat dalam keretanya, rasa rindu pula dengan keretanya itu, dipasangnya air cond dan pemain dvd, dapatlah juga mendengar suara nyanyian Bruno Mars berjudul Lazy Song sambil tengok keletah lucu dalam video klipnya, memang kena lagu itu dengan keadaannya ketika itu.

10 minit kemudian barulah Bazli keluar dari parkir selepas membayar kos perkhidmatan parkir. Semasa sedang membelok, dia ternampak Kasih berada di satu tempat bersama bagasi kecilnya, mungkin mahu mendapatkan khidmat teksi ataupun menunggu seseorang mengambilnya. Tapi nampak gayanya macam menunggu teksi.

Pon! Pon!

Kereta Bazli dihon daripada belakang. Terkejut Bazli dibuatnya. Biasalah kan kalau warga KL bawa kereta, semua nak cepat, mana nak fikir orang lain. Kau, kau, aku, aku.. macam kes baru-baru ni, lori ikan terbabas, tapi orang ramai bukan duk nak sibuk dengan pemandu ikan yang mungkin cedera parah atau patah riuk bagai, semua sibuk duk angkut ikan-ikan yang jatuh atas jalan raya. Faham sangat dapat ikan free siapa tak nak, dekat pasaraya pun ikan tak tentu harga. Hmm... ragam warga yang benar-benar terjadi.

Bazli segera memandu dan membelok ke tepi di mana Kasih berada. Kasih pelik, kereta siapa pula di depannya, Kasih buat tak peduli. Mungkin orang yang menunggu seseorang dari flight barangkali.
Bazli menurunkan cermin tingkap, “Kasih Aziah Bahrom, tunggu teksi ke? Kalau tak keberatan saya boleh tolong hantarkan.” Bazli memandang ke arah Kasih, siap sebut nama penuh lagi.
Kasih memerhati lelaki di dalam kereta itu, kerana lelaki itu memakai kaca mata hitam, sekejap kasih tak kenal. Nasib baiklah suara lelaki itu dia kenal sangat.
“Awak Bazli. Tak apalah, banyak teksi ni. Awak baliklah dulu, kirim salam isteri awak.” Kasih menolak ajakannya.
“Naiklah, ada juga teman saya berbual dalam perjalanan nanti. Ala, bukan buat apa-apapun, ini sebagai tanda terima kasih awak ajak saya ke pulau mamutik semalam,” ajak Bazli lagi sekali.
‘Dah dia ajak, takkan nak jual mahal.. hmm.. naik jelah..’ desis hati kecil Kasih, dalam hati tu penuh rama-rama nak berterbangan.. amboi!
“Okay. Nanti turunkan saya dekat KL Sentral je tau,” sempat lagi Kasih berpesan dan membuka pintu belakang kereta honda milik Bazli memasukkan bagasinya.
“Roger!” Bazli faham.

Kemudiannya Bazli meneruskan pemanduan. Kasih pula hanya berdiam, sambil itu dia tengok gambar Bazli dan isterinya yang digantung di cermin tengah.  Cantik juga gumam Kasih. Dia sure gambar itu gambar isteri Bazli sebab Bazli dan wanita itu dalam pakaian pengantin.  Sekejap fikiran Kasih melayang membayangkan dia yang memakai pakaian pengantin itu di sebelah Bazli.
“Awak tak lapar ke? Kita tak breakfast lagi ni,” tanya Bazli membubarkan lamunan Kasih.
“Tak apalah, saya dah biasa makan jam 12 nanti, minum air tadi before flight pun dah okay,” jawab Kasih.
“Hmm.. tak payah nak diet sangatlah. Kita pergi breakfast dulu, then saya hantar ke Kl Sentral, boleh?” tanya Bazli lagi.
“Yalah...” terpaksa Kasih mengiyakan, karang kalau dia enggan banyak pula ceramah Bazli kepadanya.

Sampai saja di Bandaraya Kuala Lumpur, Bazli membawa Kasih ke satu tempat untuk bersarapan, bukan sarapan lagilah jawabnya bila mereka sampai di restoran itu tepat jam 12 tengahari. Usai memesan makanan, Kasih meminta diri untuk ke ladies.
“Bazli, nak ke ladies jap.”
Bazli angguk kepala. Bazli pandang sekeliling, manalah tahu kot-kot ada orang yang dia kenal. Kemudiannya baru Bazli teringat yang dia belum menghubungi Juwita lagi. Segera diambil telefon bimbitnya.

Sementara itu, Kasih masuk ke dalam ladies milik restoran itu. Bukannya nak pergi nak terkucil ke apa, pergi membuka sanggul rambutnya. Rasa terlalu protokol pula bersanggul kemas bagai, macam mak datin muda pula. Usai membuka sanggul itu, dia mengikat rambutnya seperti biasa.

“Helo sayang, dekat mana tu?” tanya Bazli lewat telefon bimbitnya.
“Sayang dekat butik ni, abang dah balik dari Sabah ke?” balas Juwita.
“A’ah, baru sampai pagi tadi. Saja call, rasa rindu pula,” nakal saja percakapan Bazli.
“Abang balik rumah terus ke?” tanya Juwita.
Klong! Klong!
Tiba-tiba pula bateri telefon bimbit Juwita habis, telefon bimbitnya terus mati.

“Helo, helo sayang? Juwita?” tanya Bazli pelik, Bazli agak mesti Juwita tak cas telefon bimbitnya, selalu macam tu, kalau dekat rumah, memang Bazli yang kena caskan telefon bimbitnya.
“Ish, habis pula bateri ni...” marah Juwita dan meletak telefon bimbitnya di para singki. Dia membetulkan mekap di wajahnya.
Kasih memerhatikan perempuan di sebelahnya, seperti pernah dia melihatnya. Ah! Lupakan jelah, memang dia tak kenal. Kemudiannya perempuan itu keluar dari situ. Kasih tiba-tiba ternampak telefon bimbit perempuan itu tertinggal.
“Cik, handphone cik tu....” Kasih mengingatkan.
“Hmm.. Nasib baik, memang saya ni jenis careless, anyway thanks tau..”
“Okay.”
Dia lihat perempuan itu berlalu dari situ, Kasih mencuci tangan. Kemudiannya keluar dari situ menuju ke meja Bazli.
“Lamanya awak, buat apa dalam tu?” tanya Bazli seakan marah.
“Takde apa-apa, hal perempuan. Makanlah, awak tunggu saya buat apa, awak ni..” Kasih mengherot mulut.

Baru sesuap, Bazli tiba-tiba seolah ternampak seseorang yang dikenalnya di hujung restoran itu.

‘Zamri!’

Bazli melihat Zamri makan bersama seorang perempuan. Dia kenal Zamri masa majlis perkahwinannya dulu, itupun Juwita yang kenalkan dia, katanya abang angkat dia, entah, Bazli pun lupa.
‘Mesti makan dengan girlfriend dia agaknya, takpun klien’ gumam Bazli sendiri, Zamri tidak nampak Bazli kerana keadaan restoran tersebut yang ramai orang, dah gitu, dia sendiri memakai kaca mata hitam.
“Selalu ke makan dekat sini?” tanya Kasih.
“Selalu juga,” jawab Bazli, tapi entah kenapa matanya tetap mahu memandang ke arah Zamri, macam nak tahu siapa wanita bersama Zamri itu. Seakan ada magnet dia nak tahu.
“Ni first time makan dekat sini, selalunya makan tempat biasa saja.” Kasih mahu membuka topik perbualan.
“Oh, its okay, my treat..” Bazli melempar senyuman.

Semasa sedang memerhatikan Zamri, tiba-tiba wanita di depan Zamri tadi mengilas rambutnya dan memandang ke kanan. Maka, dari situ Bazli tahu wanita yang sedang makan bersama Zamri itu adalah Juwita isterinya! Bazli mula berteka teki sendiri. Bazli perhatikan mereka berdua.
‘Sat lagi aku tegurlah, harus Juwita terkejut.. hahaha..’ gumam Bazli lagi, tapi matanya tak lekang memandang ke arah mereka.
Tiba-tiba Bazli ternampak Juwita menyuapkan makanan ke mulut Zamri. Sama seperti yang dilakukan Juwita apabila makan bersamanya.

Terkesima sebentar jiwa lelaki Bazli apabila terpandang kemesraan mereka. Hatinya ketika itu bermacam-macam rasa.
Punah!
Sakit!
Mendidih!

Bazli merasakan seolah-olah selama ini dia bertepuk sebelah tangan. Banyak perkara berlegar dalam fikiran Bazli. Apa sebenarnya berlaku? Kenapa mereka mesra? Apa hubungan mereka? Bazli kusut dengan pelbagai pertanyaan yang belum mampu diterima jawapannya.

Zamri sebenarnya sedar Bazli berada di sana, dia senyum sendiri. Sengaja dia menyakitkan hati Bazli.
‘Nampaknya ini memang peluang aku... Juwita akan jadi milik aku..’ gumam Zamri tersenyum riang dan sengaja menyentuh rambut Juwita.

Satu persatu adegan-adegan mesra dipandang Bazli secara live di depan mata. Hatinya panas. Apa sahaja adegan mesra yang pernah dibuat Juwita padanya, juga dibuat pada Zamri. Hingga satu tahap Bazli sudah tidak dapat bersabar!
Namun memandangkan Kasih ada di depannya takkanlah dia nak buat gila pula. Kasih pandang Bazli yang makan sedikit-sedikit. Bazli juga tidak banyak cakap. Usai makan, Bazli terus ke kaunter membayar harga makanan dan bersama-sama Kasih ke kereta.

“Terima kasih, lain kali saya belanja.” Kasih cuba membuka bicara, tapi Bazli macam malas diajak bicara.
Kasih pandang ke depan, dia faham kalau Bazli ada apa-apa masalah. Kemudian Kasih pandang lagi sekali gambar Bazli dan isterinya di tengah cermin kereta.
“Patutlah saya macam kenal perempuan ni, tadi saya dengan wife awak kat ladies, awaklah yang call dia dan bateri dia habis cas tu rupanya..” Kasih bersuara.
Terkesima sebentar Bazli. Rupanya Kasih lebih dahulu tahu yang Juwita memang berada di restoran tadi, Bazli harap Kasih tidak tahu perkara yang lainnya. Hal rumahtangga takkanlah nak diceritakan pada orang lain pula.
“Oh, saya jumpa dia kejap tadi. Sebab dia ada kerja tadi, dia terus balik,” beritahu Bazli.
“Oh, okay. Cantik isteri awak macam model,” puji Kasih.
Well, tengoklah siapa suaminya,” seloroh Bazli.
“Hmm.. iyalah, angkut bakul nampak..” balas Kasih, barulah dia nampak Bazli senyum sedikit.
Sampai saja Kl Sentral. Kasih terus turun.
Anyway thanks for the ride, jumpa lagi. Bye,” Kasih berterima kasih.
“Sama-sama, terus balik rumah, jangan belok-belok..” pesan Bazli pula macam bapa budak.
Yess boss!” Kasih ketawa kecil dan berlalu dari situ. Bazli pun meneruskan pemanduan terus berlalu dari situ, wajahnya yang ceria tadi bertukar durja.

Punah ranah hatinya melihat keintiman isteri yang baru dikahwininya curang. Kalau nak dikatakan Juwita sosial, tak pula dia pernah tahu. Dan takkanlah pulak si Zamri tu anak ikan si Juwita pulak. Entah-entah selama ini mereka berdua tu memang ada hubungan.
Bazli terus memandu balik.  Tiada lain yang difikirkan Bazli selain ingin bertanya Juwita perkara sebenar. Moodnya tengahari itu terus hilang. Sampai saja di rumah, dia masuk dan memandang gambar perkahwinan di sisi meja sebelah pintu. Ah! Dia mesti kuat! Tidak perlu ada titisan air mata yang keluar!
“Plak!” segera frame gambar itu menyimbah masuk ke dalam tong sampah.

PETANG itu apabila Juwita balik ke rumah, Bazli sudah sedia menunggunya di ruang tamu. Juwita membuka pintu dan memasang lampu, dia terkejut melihat Bazli duduk dalam gelap.
“Abang ni kenapalah tak pasang lampu, nasib baik sayang takde sakit jantung.” Juwita membuka bicara sambil menanggalkan kasut tinggi jenama Monolo Blahnik warna biru miliknya, kemudian dia bergerak menuju ke tangga atas. Dengan pantas Bazli mencengkam tangan Juwita, membuatkan langkah Juwita terhenti.

“Kenapa ni bang. Lepaslah, sakit!”

Bazli melepaskan cengkamannya dan memandang Juwita tajam, “Abang nak tanya Juwita satu hal dan Juwita kena jawab dengan jujur dengan abang.” Bazli berkata tegas, dia menyebut namanya isterinya, dia mahukan penjelasan!

“Apa abang nak tanya sampai nak cengkam tangan sayang ni. Sayang penatlah bang, sayang letih. Sayang naik mandi dulu ya.” Juwita cuba mengelak.
“Apa hubungan Juwita dengan Zamri tu?!” tanya Bazli mahukan jawapan.
Juwita langsung diam, tidak mahu bercakap sepatah pun, kakinya yang mahu melangkah terhenti di situ. Kaku. Bular matanya mahu memandang ke mata Bazli. Bibirnya mencengkam serasa ketakutan barangkali.
“Abang tanya, apa hubungan Juwita dengan Zamri tu?!” Bazli bertanya sekali lagi dalam nada agak tegas.
Juwita cuba mencari alasan, “Kami, kami kawan biasa saja bang. Lagipun dia abang angkat Juwita masa kat kampus dulu.”
Bazli memandang Juwita dan merenungnya. “Kawan biasa.. abang angkat sampai terangkatlah ya. Berpeluk-peluk, suap-suap. Jangan ingat abang tak nampak apa yang Juwita buat dekat restoran tadi.”
“Tak adalah, abang ni. Ni mesti ada yang buat cerita ni,” sekali lagi Juwita cuba mengelak, dia cuba mencari helah, manalah tahu Bazli cuma serkap jarang.
“Jangan nak propalah Juwita! Abang ni bukannya budak-budak. Abang pun ada dekat restoran tu tadi. Baik, kalau Juwita tak nak bagitau, abang tanya Zamri sendiri, mesti dia ada jawapan.” Bazli mengugut.   

Juwita tidak punya pilihan dia tidak dapat berdolak dalih lagi. Bazli pula semakin membentak, akhirnya dia terpaksa menerangkan juga hal sebenar. “Ini salah mama Juwita! Dia putuskan hubungan Juwita dengan Zamri demi abang, sedangkan hati Juwita ni pada Zamri! Juwita dah cuba cintakan abang selama  kita berkenalan, tapi Juwita tak dapat... cinta dan hati Juwita hanya pada Zamri...” terduduk Juwita di atas tangga, kata-katanya makin perlahan. Dia tahu perkahwinannya bakal retak seribu dengan pengakuan beraninya itu.

“Jadi, selama ni inilah alasan Juwita menolak kita bersama ya?” tanya Bazli dalam kegeraman, membuka satu rahsia perkahwinan tanpa nafkah batin itu.
Juwita mengangguk. Sayu pandangannya. Sendi-sendinya lemah. Bukan niatnya untuk menyakiti hati lelaki sebaik Bazli. Dia tidak bersalah.

“Jadi, kenapa Juwita terima pinangan abang? Sekarang ni zaman dah modenlah. Mana ada kahwin paksa bagai lagi. Juwita boleh je terus terang dengan abang, Juwita boleh je cakap yang Juwita dah ada orang lain. Masa tu,abang faham kalau Juwita tolak abang... ta.. tapi sekarang kita dah terlanjur berkahwin..” Bazli cuba bertanya baik-baik tapi nadanya sebak.
“Senanglah abang bercakap, abang bukan di tempat Juwita. Mama dan papa Juwita mahu Juwita kahwin dengan abang sebab mama Juwita dan mama abang kawan baik. Zamri pula bukan sesiapa. Mama Juwita cakap, kalau Juwita tak ikut cakap dia, dia takkan akui Juwita sebagai anak dia lagi. Apa Juwita boleh buat? Apa Juwita boleh pilih. Juwita terpaksa akur dengan kehendak mama dan papa...” nyata Juwita membongkar apa yang sebenarnya terjadi selama ini. Dari A sampai Z, Bazli mendengar semuanya.
Sebak. Kecewa. Itu apa yang dirasakan Bazli sekarang ini.

Bazli naik geram dan menuding ke arah isterinya, “Jadi, inilah sebabnya awak beriya-iya menangis masa kita kahwin dulu?” tanya Bazli ingin tahu.
“Ya. Juwita tidak mahu jadi anak derhaka bang. Sebab abang, hati Juwita ni sakit, Juwita terpaksa hadapi semuanya dalam pura-pura!!” bentak Juwita sedikit berani.
Melihatkan Juwita berkata demikian membuatkan Bazli sedikit kesal, lalu dia cuba memujuk isterinya, “Juwita! Mengucap, istigfar... Apa yang Juwita cakap ni? Abang sayangkan Juwita dan abang nak Juwita putuskan hubungan Juwita dengan Zamri. Abang akan lupakan apa yang abang nampak hari ni, asalkan Juwita kembali pada abang. Boleh ya Juwita? Abang akan sayangkan Juwita sampai bila-bila.” Bazli cuba meredakan keadaan, dia rela walaupun terpaksa menjadi suami dayus yang mengikut kata-kata sang isteri.
“Juwita tak mahu berpura-pura lagi bang. Tolonglah lepaskan Juwita. Hati Juwita hanya pada Zamri. Abang tolonglah faham. Juwita tak mungkin lepaskan Zamri! Dia cinta hati Juwita! Dan untuk pengetahuan abang, kalaupun abang tak ceraikan Juwita. Juwita akan memohon fasakh di mahkamah!” tegas Juwita dengan pendiriannya.

Pap!

Pantas tangan kanan Bazli hinggap di pipi kiri Juwita.
“Kurang ajar!” Bazli naik berang. Juwita pantas berdiri, menangis dan memandang Bazli lalu naik ke atas.

Hilang kesabaran Bazli dengan kata-kata Juwita tadi, tanpa sedar dia menampar Juwita, hati lelaki mana yang tidak terguris apabila mendengar pengakuan hati isteri yang dinikahi, disayangi dan dicintai selama ini hanyalah pada orang lain. Hati siapa yang diperbuat dari batu permata yang kebal untuk mendengar luahan hati seorang yang bernama isteri mencintai lelaki lain selain dirinya, tiada sesiapa barangkali!

Mungkin benar, dia yang terlalu beria-ia menginginkan Juwita. Dia akur. Mungkin kerana menghormati persahabatan orang tua mereka, memaksa Juwita untuk bersetuju walaupun pahit untuk melayari bahtera yang bila-bila masa saja akan runtuh itu. Kini Bazli sedar segalanya.

Seketika kemudian Juwita turun dengan bagasinya. Dia memandang Bazli.
“Juwita, abang minta maaf.” Bazli memegang tangan Juwita memujuknya.
“Juwita minta halal makan minum. Abang lelaki yang baik, tapi Juwita bukan untuk abang...” Juwita menitiskan air matanya memandang Bazli.
“Juwita, perkara ni kita boleh bawa berbincang. Tolonglah jangan pergi, maaf, maafkan abang... abang sayangkan Juwita sangat-sangat.”
“Abang, Ju.. Juwita tak boleh.. Jangan cakap macam tu lagi, Juwita rasa bersalah sangat..”
Kemudiannya  Juwita memakai kasutnya dan membuka pintu. Tiada apa cara lagi untuk menghalang Juwita berlalu pergi.

Bazli kusut.

“Kalau Juwita keluar dari rumah abang ni, itu bermaksud abang ceraikan Juwita dengan talak satu,” kata-kata Bazli waktu itu jelas dan terang.

Juwita tersentak, bahunya terjungkit-jungkit menangis, mulanya Bazli ingatkan Juwita akan masuk semula, tetapi kemudiannya Juwita terus membuka pintu rumahnya dan keluar dari situ. Seketika itu juga, air mata lelaki Bazli tumpah. Malam itu, dengan berat hati, dengan usia perkahwinan genap 3 bulan, Bazli terpaksa melepaskan Juwita. Kalau boleh dia tidak mahu terjadi begitu, dia tidak mahu melepaskan isterinya itu. Tapi apakan daya, cinta bukan boleh dipaksa-paksa. Kalau dibiarkan juga, itu beerti dia adalah lelaki dayus. Dan, hukuman lelaki dayus adalah neraka jahanam. Sungguh, dia terpaksa!

Memang, sepatutnya dia tidak patut mempercayai cinta.
Cinta itu hanya satu pembohongan!
Cinta itu pura-pura!
Cinta itu satu pengkhianatan!
Cinta itu satu kesakitan!
Bazli merasa dipermainkan!
Sungguh!
Bagi Bazli, cinta untuk dirinya telah mati malam itu juga.....


bersambung.....

4 comments:

Memburu JanjiMu Epik Triler said...

ceRITA yANG mENarik...cuma kalau ada sentuhan dari hati lagi baik..sentuhan nurani mksud saya..,mcam novel cinta adam dan hawa..,sya msih ni masih muda..,bru sthun jgung dlam bidang penulisan..,just itu komen dri syyaaa..,

Fatrim Syah said...

Okey. Memang saya baru belajar nak buat novel2 cengini. Bercinta pun tak pernah, ekekeke.. Nasihat diterima, sentuhan nurani ya? Okey, nanti saya akan cuba lagi. Kena membaca banyak novel lagi ni, kena perhatikan bagaimana mereka buat yang feeling2 ni. Terima kasih singgah ya Khaidir Helmi. ^_^

Regards,
Fatrim Syah

Syah Shah said...

An interesting twist di hujung cerita. can't wait for the next part.

Fatrim Syah said...

Thanks syah shah for ur comment. Thanks 4 reading my e-novel here. Really appreciated.. ^_^