BAB
7
Sebulan Kemudian...
BAZLI masuk ke dalam Mahkamah Tingi Syariah. Itulah kali
pertama dia masuk ke dalam mahkamah. Perasaannya seolah-olah dia telah
melakukan jenayah yang sangat-sangat berat. Dia memandang kerusi-kerusi yang
dipenuhi orang. Pelik. Setahunya mahkamah syariah bukanlah seramai itu. Siapa
mereka semua? Ada yang pegang buku, pen, kamera pun ada. Ke, wartawan, ish!
Takkanlah dia pula masuk dalam berita, boleh naya jadinya. Sudahlah hal itu
disembunyikan dari pengetahuan keluarganya dan keluarga Juwita.
‘Ya ALLAH, semoga
semuanya dipermudahkan. Ampunilah hambamu yang lemah ini...’ doa Bazli dalam
hati, dia sedar, perceraian itu sangat dibenci dalam Islam.
“Abang buat apa
dekat sini?” tanya seseorang semasa Bazli melangkah masuk. Orang itu bertanya
seakan berbisik perlahan agar tidak didengari yang lain.
Langkah kaki Bazli
terhenti, dia sangat-sangat kenal suara itu.
“Abang, abang buat apa dekat sini?” tanya orang itu lagi sekali. Pertanyaan itu membuatkan
Bazli
kaku dan kemudian menoleh kepada orang itu. Mulutnya
terkunci, mata mereka saling berpandangan. Kemudian Bazli membawa keluar orang
itu secepatnya.
“Mira, Mira kena
janji dengan abang tau. Mira jangan bagitau mak ayah pasal benda ni, abang dan
Kak Juwita nak bercerai.” Bazli menjelaskan pada adiknya Mira yang kebetulan
berada di situ, mungkin sedang ada tutorial prosiding mahkamah syariah sebenar.
Kini tahulah Bazli, orang yang ramai itu merupakan para pelajar undang-undang
syariah termasuk adiknya sendiri.
Mira terkejut,
mengangguk dan kemudian masuk semula kerana prosiding akan berjalan bila-bila
masa. Bazli melangkah masuk dan menuju ke tempat duduk yang tersedia untuknya.
“Perbicaraan
bermula. Kes penceraian antara Encik Bazli bin Mansor dan Puan Juwita binti
Sallehudin.” Hakim memulakan bicara sambil memandang Bazli dan Juwita yang
diwakili oleh peguam masing-masing.
Bazli tiba-tiba
berasa sebak. Dengan kehadiran Mira di situ, dia merasa sangat bersalah pada keluarganya. Bazli
memandang Juwita, Juwita mengangguk pasrah.
“Encik Bazli bin
Mansor pada 20 Januari 2012, tepat jam 9 malam adakah kamu telah melafazkan
kata-kata yang menjurus kepada penceraian dengan waras?” Hakim bertugas
bertanya pada Bazli.
“Ya saya Yang
Arif.” Bazli menjawab.
“Boleh saya tahu
apa yang menyebabkan kamu bertindak sedemikian?” Tuan Hakim bertanya lagi.
Bazli tidak mahu
pula menjatuhkan air muka Juwita di depan semua, apalagi di depan Mira,
adiknya. Bazli berbincang dengan peguam, peguam mengangguk dan memberikan
sehelai kertas untuk Bazli tulis dan kemudian diserahkan kepada Hakim.
Para hakim
berbincang. Mereka memandang Bazli dan Juwita.
Beberapa minit
kemudian para hakim selesai berbincang.
“Encik Bazli bin
Mansor adakah kamu dengan ini setuju bahawa kamu menyebut kamu akan menceraikan
isteri kamu Puan Juwita binti Sallehudin dengan talak satu apabila dia keluar
dari rumah kamu?” Hakim bertanya Bazli.
Lama Bazli
terdiam, mahkamah juga sunyi sepi, mungkin begitu agaknya reaksi apabila
seseorang itu dijatuhi hukuman.
“Encik Bazli?”
Hakim bertanya lagi.
Tiba-tiba saja
Bazli seakan terkunci mulut, entah. Dia terlalu sayangkan Juwita barangkali.
“Encik Osman,
boleh tangguh kejap. Saya nak tenangkan diri,” pinta Bazli kepada peguamnya.
Encik Osman selaku
peguam mengangguk. Kemudiannya dia menuju ke arah hakim dan memberitahu
permintaan anak guamnya.
“Baiklah, atas
permintaan defendan. Mahkamah akan berehat setengah jam.”
Bazli keluar terus
dari situ, diikuti dengan Juwita. Dan kemudiannya Mira juga membontoti mereka.
“Bazli, what are you doing?! Let’s settle this quickly!” tanya Juwita
seakan marah.
Bazli menggeleng.
“Kak Juwita, apa
yang dah jadi ni? Abang?!” Mira mahukan penjelasan dan kehadiran Mira di situ
cukup-cukup membuatkan Juwita terkejut. Dia segera berlalu daripada situ.
“Abang buat hal ya?”
sengaja Mira bertanya sedemikian, pandai-pandailah dia memancing.
“Tak Mira, ini
keputusan bersama, kami dah tak serasi, kami tak boleh bersama lagi... walaupun
abang sayangkan Kak Juwita kamu tu sangat-sangat.” Bazli menjawab.
“Jadi, kalau abang
sayang Kak Juwita tu, kenapa nak cerai. Come
on bang, abang baru kahwin tak sampai tiga bulan dah end up jadi macam ni. Abang, jujur dengan Mira apa sebabnya. Pokok
takkan bergoyang kalau takde angin. Ke, abang ni gay?” Mira bertanya
bertalu-talu, almaklumlah bakal peguam juga.
“Apalah Mira ni,
abang tengah sedih ni. Cakap itu pula. Abang tak macam tulah. Sudahlah Mira,
janganlah ditanya sebabnya kenapa abang bercerai dengan Kak Juwita kamu tu.
Biarlah Allah swt saja yang tahu. Dah nak habis setengah jam ni, abang ke bilik
air dulu.” Bazli meminta diri, Mira membiarkan abangnya pergi.
Bazli
terkocoh-kocoh melangkah masuk ke dalam bilik air. Dia memandang wajahnya dalam
cermin. Teruk sungguh rupanya hari itu. Tiba-tiba saja fikirannya menerawang
semasa majlis pernikahannya, dia juga memandang cermin pada hari indah itu tapi
dengan senyuman, dengan air mata gembira. Cepat sungguh bahagia yang diharapkan
itu musnah. Yang lebih menyedihkan, Juwita seolah-olah tidak ada rasa bersalah
dan malu, padahal Bazli sudah menyerahkan seluruh hatinya pada Juwita. Sungguh
dia masih mencintainya. Lama Bazli di dalam bilik air, dia cuba bertenang.
Beberapa ketika kemudian dia keluar jua.
‘Ya ALLAH,
hapuskanlah rasa cintaku ini pada dirinya... tunjukkanlah aku jalanMU...’
sekali lagi Bazli berdoa dalam hati, kemudiannya dia terus saja masuk ke dalam
mahkamah.
“Encik Bazli, kita
kena selesaikan hari ini juga. Kalau minta tangguh kes ni akan lambat selesai,
nanti tunggu sebutan semula lambat.” Encik Osman selaku hakim memberi nasihat pada
Bazli, sebenarnya dia juga mahu kerjanya selesai.
Apabila sudah
dinasihati begitu, Bazli mengambil sikap bertenang. Dia berserah sepenuhnya
pada ALLAH swt, dia kemudian mengingat apa yang telah berlaku. Dia tahu ALLAH
swt menyayanginya kerana Bazli tahu kecurangan Juwita itu sangat cepat, ada
hikmah atas sesuatu perkara itu. Bazli redha. Sempat Bazli pandang Mira di
belakang seolah-olah memandang ibu dan ayahnya yang langsung tidak tahu
mengenai kes mereka, dari jauh itu juga Bazli dapat lihat Mira menitiskan air
matanya. Sungguh, hanya pada Mira selalu dia bercerita hal peribadinya dan
seperti ditakdirkan tuhan, hanya Mira juga yang mengetahui hal itu.
“Baiklah, Encik
Bazli. Sudah bersedia?” Hakim bertanya dan memandang Bazli.
Bazli berdiri,
tenang.
“Dengan ini, saya
Bazli bin Mansor menceraikan isteri saya Juwita binti Sallehudin dengan talak
satu.”
Bazli tak duduk
lepas tu. Dia pandang hakim, dia seolah-olah kaku, seolah-olah apa yang
diucapkan itu tadi sangat-sangat memberi kesan kepadanya. Benar, tidak pernah
terlintas dalam hatinya untuk berpisah dengan cara yang sangat dibenci tuhan
itu. Hancur lebur hatinya kala itu, siapa yang mahukan perkara sebegini
berlaku. Siapa antara manusia yang sangat senang melafazkan perkara yang
menyebabkan tiang arasy bergegar. Tiada siapa!
Bazli terduduk.
Akur. Semua itu berlaku dengan sangat cepat. Selepas saja disahkan oleh pihak
hakim, Bazli terus keluar.
“Kes selesai.
Mahkamah bersurai.” Hakim memutuskan.
Semua orang
beredar keluar perlahan-lahan. Bazli berjalan laju ke satu arah. Mira
mengejarnya.
“Abang!” Mira
segera memeluk abangnya erat. Bazli menitiskan air matanya lagi. Tak pernah
Mira peluk abangnya erat macam tu, tak pernah Mira rasa sedih sangat. Dia tidak
sangka, selama ini dia hanya buat tak kisah bila ke mahkamah untuk melihat
prosiding perceraian orang lain, tapi kali ini abangnya sendiri, satu-satunya
abangnya! Sungguh! hatinya sangat sakit.
“Mira janji pada
abang rahsiakan hal ni ya. Tolong ya Mira,” pinta Bazli pada adiknya itu sekali
lagi sambil mengusap air mata di pipi adiknya. Kalau orang salah sangka, mesti
anggap mereka berdua pasangan kekasih pula.
“Mira janji. Abang
sabar ya, tuhan dah tetapkan semua perkara ni sejak kita di Loh Mahfuz lagi.
Saya percaya abang kuat.”
“Terima kasih
Mira.” Bazli usap kepala adiknya, walaupun umur Mira sudah masuk 22 tahun tapi
Bazli tetap rasa Mira budak 12 tahun.
“Mira masuk dulu
ya bang. Assalamualaikum.” Mira meminta diri.
“Waalaikumsalam...”
Bazli jawab salam itu perlahan, kemudian mereka berpisah. Bazli tak nampak lagi
bayangan Juwita lepas tu, mungkin sudah awal-awal balik. Mungkin sudah puas
hati agaknya!
Apa yang perlu
Bazli buat sekarang ialah dia harus dan kena menerima perpisahan itu dengan
redha. Bila sudah buat apa yang sepatutnya Bazli rasa tenang. Dia kemudian
melangkah ke cafe, kalau dia terus ke kereta nanti dia takut fikirannya
menerawang pula.
TIDAK jauh dari
situ, Adam baru keluar dari keretanya untuk masuk ke dalam Mahkamah Tinggi Syariah. Hari
itu kes sebutan khalwatnya dibicarakan. Adam masih berfikir-fikir, mungkinkah itu
semua rencana Wani. Mungkinkah dia sengaja memberikan file itu ke rumahnya dan
apabila tahu Dahlia tidak berada di rumah dia mengambil kesempatan itu. Tapi,
Adam tahu, Wani bukanlah orang seperti itu. Banyak perkara bermain dalam fikirannya.
Namun, satu-satunya hal yang dia harap tidak akan berlaku ialah Dahlia
mengetahui bahawa dirinya ditangkap khalwat. Jika itu Dahlia ketahui, mungkin
Dahlia ada alasan kukuh untuk meminta cerai daripadanya. Ya, tidak semua wanita
suka mendengar suami sendiri ditangkap khalwat atau seumpamanya itu. Walaupun
hal mereka berdua boleh dibawa berbincang tapi teruk akibatnya bila Dahlia
mengetahui dia ditangkap khalwat dirumahnya sendiri. Rumah yang dia dan Dahlia
diami selama 5 tahun, malah perkara itu terjadi semasa ketiadaannya! Itu boleh
disabitkan sebagai satu kecurangan yang nyata.
“Tok! Tok! Tok!”
Kedengaran bunyi
daripada tukul kayu yang dipukul hakim. Suasana mahkamah sunyi. Wani duduk di
sebelah kanan manakala Adam di sebelah kiri.
“Encik Adam Lee
Yong. Pada malam 25 Januari 2012, adakah kamu
mengaku salah berdua-duaan dengan Cik Syazwani binti Razak yang bukan
muhrim kamu dalam sebuah rumah di Damansara milik kamu sehingga menimbulkan
syak?” tanya Tuan Hakim pada Adam.
“Tidak Tuan Hakim!”
tegas jawapan Adam.
“Cik Syazwani
binti Razak. Pada Pada malam 25 Januari 2012, adakah kamu mengaku salah berdua-duaan dengan Encik Adam
Lee Yong yang bukan muhrim kamu dalam sebuah rumah di Damansara milik beliau
sehingga menimbulkan syak?” tanya Tuan Hakim pada Wani.
Kedua-duanya diam,
Adam pandang Wani. Wani pandang Adam.
“Saya mengaku
salah tuan hakim,” tiba-tiba Wani bersuara.
“Wani!” marah Adam
menoleh ke arahnya.
Wani menggeleng
kepala dan sebenarnya cuba memudahkan kes mereka. Jika mereka tidak mengaku
salah, kes itu akan berpanjangan dan diketahui umum nanti. Wani mahu kes itu
biar selesai hari itu juga.
“Encik Adam Lee
Yong, adakah kamuu mengaku salah dengan pertuduhan ke atas kamu?” tanya tuan
hakim kepadanya.
Berat sungguh
untuk Adam bersuara. Sungguh! Dia malu, dia menyesal dan dia terkilan!
“Ya, saya mengaku
bersalah tuan hakim,” perlahan suaranya.
Para hakim
berbincang sesama sendiri, kemudian menetapkan hukuman.
“Encik Adam Lee
Yong dan Cik Syazwani binti Razak, dengan ini mahkamah mendapati kamu berdua
bersalah atas tuduhan khalwat kerana berdua-duan dalam sebuah rumah tanpa
sebarang ikatan yang sah pada malam 25 Januari 2012. Mahkamah dengan ini menjatuhkan
hukuman bahawa kamu Encik Adam Lee Yong didenda membayar RM 3000 atau dipenjara
selama 3 bulan jika gagal membayar denda itu dan kamu Cik Syazwani binti Razak
didenda RM 2900 atau dipenjara 30 hari jika gagal membayar denda itu.” Tuan
Hakim membacakan pertuduhan dan hukuman yang dikenakan kepada mereka.
“Saya setuju
membayar denda itu.” Adam memberitahu.
“Saya juga setuju
membayar denda itu.” Wani juga berbuat demikian.
“Dengan ini mahkamah bersurai.”
Adam dan Wani
kemudiannya keluar mahkamah.
“Kenapa awak
mengaku salah? Kita tak bersalahlah Wani,” marah Adam kepadanya.
“Kita memang salah
Adam. Meskipun kita tak lakukan apa-apa yang di luar batasan dalam rumah awak
tapi kita berdua-duaan dalam sebuah rumah, hal itu boleh menimbulkan syak. Wani
terpaksa pilih mengaku salah, nanti ramai yang akan tahu, kita bayar saja denda
yang dikenakan tu dan lupakan semua ini.” Wani memberitahu.
“Tapi...” Adam
masih tidak setuju.
“Tapi saya Dahlia
binti Ahmad membenarkan awak suami saya Adam Lee Yong berkahwin dengan awak
Syazwani binti Razak...”
Tiba-tiba Dahlia
sudah berada di depan mereka.
Adam terkesima dan
menoleh ke arahnya, “Dahlia, let me
explain.. please..” rayu Adam seolah mengharapkan sesuatu.
“Abang, nikahi
Wani secepat mungkin. Jika Abang nikahi Wani, Dahlia akan balik ke rumah
bersama Aiman. Abang, Wani tu perempuan dan saya seorang perempuan.. Islam
adalah agama yang mengangkat martabat kaum wanita. Angkatlah martabatnya sebab
dia juga seorang perempuan seperti saya...” Dahlia memberitahu hasratnya dalam
tangisan.
“Dahlia, saya minta maaf... bukan salah Adam..” Wani
meminta maaf dan memeluknya.
“It’s okay Dahlia. Perkara sudah berlaku,
ini semua takdir. Abang..” Dahlia memandang Adam dengan satu pengharapan.
Adam mati kata.
Kemudian meninggalkan mereka di sana. Dia tak tahu apa perlu dilakukan. Dia tak sanggup untuk menuruti kehendak gila Dahlia.
Tiba-tiba Adam merasakan dia umpama barang yang boleh ditukar ganti. Sungguh,
dia tidak rasa apa pada Wani, mana mungkin dia akan menikahi wanita itu. Tapi,
kalau benar itu dapat mengembalikan Dahlia dan Aiman dalam hidupnya, dia tiada
pilihan lain.
Sungguh! Dia tidak
tahu apa sebenarnya yang difikirkan Dahlia. Adam habis fikir. Dia menuju ke
keretanya dan terus duduk di dalam kereta itu untuk menenangkan fikirannya
sebentar.
Sementara itu
Bazli menuju ke keretanya. Dianggapnya semua yang berlaku tadi adalah satu
dugaan hidup. Dia tidak mahu terlalu memikirkan hal yang telah berlaku.
Melepaskan itu lebih baik daripada memaksa dan jalan itu diambil Bazli dengan
redha. Mungkin itu jalan yang terbaik buat mereka berdua. Cuma Bazli terkilan
kerana Mira mengetahui hal itu.
Sebaik sampai ke
parkir, “Damn!” Bazli mengeluh
apabila ternampak tayar kereta depannya pancit dari jauh, dia sudah agak
perkara itu, tayarnya macam lain macam sebelum dia ke mahkamah tadi, dia pun
satu, tak check masa nak gerak
tadi. Bazli menekan alarm kereta dan membuka bonet. Argh! Tayar spare pula dah pergi servis. Adoi! Bazli menoleh ke kiri dan ke
kanan. Takkan nak tunggu Mira, lagipun mesti Mira tak bawa kereta, mesti guna
bas UM.
“Takkan nak jalan
kaki. Nak panggil cab susah ni.”
Bazli berkata seorang diri.
Adam masih di dalam
keretanya. Walaupun hatinya sedih atas permintaan Dahlia tadi tapi kehidupan
harus diteruskan. Kini dia harus berfikir dengan sebaik-baiknya. Jika dia
terima syarat Dahlia bermakna dia akan dapat kembali Dahlia dan Aiman. Ya!
Aiman yang sangat dirinduinya itu. Itulah yang difikirkan oleh Adam. Jika
mereka bercerai, Aiman pasti merasa kehilangan. Tapi jauh di sudut hatinya..
sebuah perkahwinan itu adalah satu ikatan, mana mungkin sesuatu seperti itu
boleh dipaksa-paksa.
Usai membuka
songkok yang dipakainya, dia menghidupkan enjin kereta dan keluar dari parkir
tersebut. Semasa sedang menuju ke pintu keluar, dia melihat seorang lelaki
seperti ada masalah. Segera Adam berhenti, manalah tahu dapat membantu. Dia
menurunkan cermin tingkapnya dan bertanya.
“Kenapa ni bro? Ada masalah kereta ke?” tanya
Adam kepadanya.
“Tayar kereta
pancitlah, takde tayar spare..” jawab
lelaki itu.
Adam terkesima,
apabila diamatinya lelaki itu amat-amat dikenalinya.
“Hei, awak! Awak
yang selamatkan anak saya dekt pantai hari tu kan?” tanya Adam yang masih ingat
wajah Bazli.
Bazli cuba ingat,
kemudian dia ingat peristiwa beberapa bulan lalu semasa dia menyelamatkan
seorang kanak-kanak yang hampir lemas di pantai.
“Astagafirullahalazim... apa khabar anak
awak tu? Apa awak buat dekat sini?” tanya Bazli terkejut.
“Anak saya sihat
je. Alhamdulillah..” Adam memberitahu walaupun dia sendiri tidak pasti keadaan
anaknya yang satu itu kerana dia sudah lama tidak bertemunya.
“Naiklah kereta
saya.” Adam memberi tawaran.
Bazli tidak punya
pilihan dan terus naik ke dalam kereta Adam. Apatah lagi, panas tengahari
sangat membahangkan. Takkan nak jadi ikan kering pula, orang dah pelawa tu,
naik sajalah.
“Terima kasih bro
tumpangkan ya. By the way, saya
Bazli, lupa kenalkan diri hari tu.” Bazli mengenalkan diri sambil mengenakan seat belt.
“Saya Adam.” Adam
juga mengenalkan diri, mereka berjabat tangan.
“Panas betul
tempat ni, kalau takde kau, tak tahulah sampai bila aku kat situ, dahlah orang
tak ramai dekat situ.” Bazli mengeluh dan menghalakan air cond ke arahnya, rasa lega seluruh badan.
“Kau buat apa
dekat sini, mahkamah syariah ni. Baru daftar nikah ke? Dengan perempuan cantik
hari tu kan?” Adam bertanya, sibuk pula dia macam Makcik Kiah, Makcik Siah dan
Makcik Tipah yang selalu gosip tepi ampaian tu, e’eh tercakap pula, maaf kalau
sama nama.
Soalan itu sememangnya pahit untuk dijawab,
Bazli diam.
“Cerai..” perlahan
Bazli jawab soalan Adam sambil pandang ke arah lain.
“Takpelah, kita move on dan teruskan hidup.” Adam
menyambung bicara.
“Kau pun macam aku
ke?” tanya Bazli.
“Tak, aku baru
habis kes kena tangkap khalwat.” Adam memberitahu sambil memandu keretanya
berhati-hati.
“Hmm... ingatkan
kahwin lagi satu..” sindir Bazli.
“Itulah yang aku
fikirkan sekarang. Isteri aku dapat tahu kes ni dan minta aku nikah dengan
perempuan yang aku kena tangkap khalwat tu.. satu-satu masalah menimpa kami,”
keluh Adam.
“Semua ni
ketentuan tuhan. Tapi aku kesal sangat, isteri aku ada kekasih lain. Hati dia bukan pada aku, daripada paksa, aku
lepaskan sajalah...” Bazli memberitahu kisahnya.
“Kadang-kadang
kita tak tahu apa yang berlaku di masa hadapan. Masa kahwin, ingatkan
bahagialah sampai bila-bila kan. Hidup berumahtangga ni banyak cabarannya.
Kalau tak kuat, boleh hanyut dilambung ombak, jadi, kita kena sebagai lelaki
kena fikir positif...” Adam menyambung, nampaknya lelaki itu nampak sangat
positif dalam sesuatu perhubungan.
Mereka berdua
langsung diam, Bazli memandang ke luar jendela. Untuk menghilangkan bosan, Adam
menekan punat radio. Mereka mendengar juruhebah bertugas berbicara dengan
seorang pakar motivasi iaitu Dato’ Fadhilah Kamsah.
“Dato’, sebagai
perunding motivasi, apa sebenarnya punca perceraian pasangan yang semakin hari
semakin meningkat di negara kita?” tanya si juruhebah yang bertugas.
“MasyaALLAH,
sebetulnya mereka yang bercerai itu tidak bersedia. Mereka mengalah sebelum
waktunya. Jika mereka...”
Adam lantas
mengubah siaran radio tersebut. Dia tidak mahu mengguris hati Bazli, wrong timing tu.. Nanti, mendengar pula pasal
perceraian di radio hanya akan membuatkan mereka tertekan. Kedengaran lagu
menusuk jiwa diputarkan oleh stesen radio itu umpama menggambarkan keadaan yang
dilalui mereka.
Terlalu
singkat hubungan ini
Belumpun
sempat melakar rindu
Baru
semalam mimpi dicipta
Mengapa
mendung melanda sukma
Kaulah
segalanya..
Mata
digubah
Ketika
cinta.. masih didada
Punahlah
jua kini akhirnya..
Saat mendengar
lagu itu, Bazli membayangkan saat-saat indah dia bersama Juwita, dari saat
mereka bercinta sampailah kemudian ke jinjing pelamin, saat pernikahan dan juga
saat-saat bulan madu bersama isterinya di Bali. Namun kini semuanya sudah
berakhir dengan mudah sekali. Bazli menggengam erat tangannya, tanpa sedar
mengalirkan air mata. Tapi dia tahan-tahan, takkanlah nak bagi nampak Adam pula
kan. Apapun, dia ada jiwa dan perasaan, dia sudah cuba sehabis baik untuk
mempertahankan perkahwinan itu, tapi bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan
mana yang tidak berombak. Dia redha dengan semua itu. Dia tahu, tuhan menguji hambanya itu seberat yang mampu
ditanggung olehnya. Bazli pasrah.
Adam pula memandang
jauh, masih memikirkan permintaan Dahlia yang pelik itu. Menikahi wanita lain
tidak termasuk dalam kamus hidupnya. Adam tidak pernah memikirkan
yang dia akan terperangkap seperti itu. Sungguh! Cintanya hanya pada Dahlia.
Dahlia cinta pertama dan terakhirnya. Menikahi wanita lain samalah maksudnya
dengan melukai cinta yang selama ini mereka bina. Adam habis fikir. Jika ini ketentuan yang
perlu dia turuti, dia redha.
Mereka merenung
diri masing-masing. Mengenangkan rumahtangga yang berada di hujung tanduk. Adam
memandu kereta, fikirannya melayang-layang, gambar Aiman yang diletak di
tengah-tengah cermin juga meliuk ke kiri dan kanan, hatinya merintih. Benar..
semua ini untuk Aiman. Jika dia tidak menuruti permintaan Dahlia bermakna dia
akan kehilangan Aiman. Kini, Adam sudah tidak peduli, biar saja hatinya itu
hancur lebur berkecai sekalipun asalkan dapat bersama Aiman dan Dahlia
kembali.. dilihatnya gambar Aiman berkali-kali..
“Eh, eh, Adam.
Kereta depan tu. Keretaa.. Tidakkk!!!” Bazli berteriak kuat sambil menekup
wajahnya.
Adam dengan sedaya upaya memusing stereng
kereta dan akhirnya kereta itu berhenti di tepi jalan secara mengejut!
“WaaaAAAaaaaaa!!!”
Adam tiba-tiba melepaskan geram dengan menjerit.
Bazli memandang
Adam dengan rasa terkejut. Walau tadinya Adam mampu mengawal emosi malah
memberikan kata-kata nasihat, namun sekali itu, dia gugar, dia juga manusia
biasa yang mempunyai perasaan dan hati, apatah lagi apabila dia teringatkan
Aiman anaknya. Gambar Aiman diusapnya. Bazli terdiam. Lagu Melakar Rindu masih lagi berkumandang di dalam kereta Adam.
Hanya bait lagu bercerita kisah mereka...
Kaulah
segalanya..
Mata
digubah..
Ketika
cinta masih didada
Punahlah
jua kini akhirnya..
bersambung..
p/s ~ Maaf kalau ada fakta yang salah. Masih cuba memperbaiki dan membuat rujukan. ^_^
No comments:
Post a Comment