~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Monday 17 October 2016

BUNGA TERAKHIR (Bab 8) #FirstDraft #UneditedVersion




BAB 8

ADAM LEE ke rumah keluarga angkatnya, pasti kehadirannya seorang diri ke situ akan ditanyakan oleh umi dan abinya nanti. Namun Adam Lee sudah bersiap sedia dengan apa jua soalan yang bakal ditanyakan kepadanya. Semasa dalam perjalanan, Adam Lee memandang gambar Aiman yang diletaknya di tengah cermin kereta. Sesekali tumpah jua air mata lelakinya. Apabila teringatkan anak angkatnya yang satu itu, hatinya runtun. Dia masih tertanya-tanya apa salahnya, apa kekurangan dirinya sampai Dahlia membuat keputusan seperti itu.
Keputusan gila yang dia sendiri tidak pernah harapkan sepanjang perkahwinannya. Sudahlah keluarga sendiri sudah membuangnya kerana memeluk agama Islam, kini isteri tersayang tempat berharap dan bergantung kasih itu meninggalkannya. Entah, pelbagai rasa menerjah dalam hatinya. Teringat juga pada keluarga yang tidak merestui perkahwinannya dulu. Namun, dalam hatinya dia tidak akan sekali-kali menggadaikan agamanya hanya kerana perkara tersebut. Cintanya pada Islam itulah sahaja semangat dan kudrat yang dia ada untuk meneruskan hidup sehingga kini.
“Assalamualaikum...” Adam Lee memberi salam di luar rumah agam dua tingkat yang terletak di pinggir bandaraya Kuala Lumpur itu.
“Wa’alaikumsalam. Adam Lee.. mana Dahlia dan Aiman? Tak ikut sekali?” Puan Zakiah, uminya muncul membuka pintu dan lantas bertanyakan soalan yang sudah siap sedia Adam Lee ketahui.
Adam Lee serba salah tapi terus menjawab, “Dahlia balik rumah mak dengan Aiman, mak kurang sihat sikit,” jawab Adam Lee tetapi tidak sekali-kali memandang ke arah mata Puan Zakiah, ibu angkatnya itu.
Puan Zakiah tersenyum, “Oh, ingatkan ada apa tadi.. masuklah.” Puan Zakiah menjemput.
Adam Lee memandang ke sekeliling rumah itu, “Abi mana umi?” tanya Adam Lee lagi.
Puan Zakiah senyum, “Abi kamu keluar kejap. Nanti baliklah dia, duduklah dulu. Umi nak buat air kejap.” Puan Zakiah meminta diri ke dapur.
“Umi ni, tak payah susah-susahlah umi..” Adam Lee keberatan.
Puan Zakiah menoleh dan mengherot mulut memandang anak angkat cinanya yang satu itu. Adam Lee faham dan membiarkan saja, nanti tak pasal-pasal pula kena ceramah percuma. Bukan dia tak tahu ibu angkatnya itu memang suka memasak bagai, kejap lagi adalah hidangan sedap yang bakal dinikmatinya tu. Adam Lee pandang sekeliling, kemudian dia ke jendela memandang buah durian dan buah rambutan yang masak ranum. Seronok benar rasanya berada di tempat seperti itu, mahu saja Adam Lee tinggal di sana buat selama-lamanya bersama Dahlia dan Aiman. Tapi bila teringat anak isterinya itu, dia kembali sebak. Sudah seminggu Dahlia dan Aiman berada di rumah ibu mertuanya itu, entah apa khabar mereka berdua. Itu yang dirunsingkan lelaki bernama Adam Lee Lee itu.
“Adam, jemput minum,” sapa Puan Zakiah dari dapur, namun pelik, Adam Lee seolah tidak mendengar kata-katanya.
Puan Zakiah memang cepat memahami kalau-kalau hubungan anak angkat dan isterinya itu ada masalah. Sekejap dia menghampiri Adam Lee.
Dipandangnya Adam Lee yang memandang jauh ke luar tingkap yang terbuka itu, “Adam, kamu ada masalah dengan Dahlia ke?” tanya Puan Zakiah, pertanyaan itu nyata mengejutkan Adam Lee dan dia segera menoleh melemparkan senyuman kepada ibu angkatnya itu.
Adam Lee diam dan kemudian duduk di kerusi. Dia tuang air teh yang ibu angkatnya buatkan.
Kemudian diminumnya air teh itu, “Sedap air umi buat, macam selalu,” puji Adam Lee.
Puan Zakiah geleng kepala, meskipun Puan Zakiah itu hanyalah ibu angkat Adam Lee, naluri seorang ibu itu tidak pernah salah.
Puan Zakiah mengambil tempat duduk di depan Adam Lee, “Adam, kalau ada masalah kongsi dengan umi. Umi tak paksa, tapi kalau Adam kongsi masalah Adam dengan seseorang mungkin hati Adam akan tenang.” Puan Zakiah mengambil tempat duduk di depan Adam Lee. Puan Zakiah atau lebih dikenali sebagai Ustazah Zakiah di kalangan penduduk kampung itu merupakan seorang bekas ustazah sekolah yang sudah pencen.
Adam Lee diam lagi, tapi sampai bila dia harus diam, dia takut nak pandang wajah mama angkatnya itu, dia rasa bersalah sebab berbohong semasa mama angkatnya itu bertanya tentang Dahlia tadi.
“Adam...” Puan Zakiah menyebut namanya perlahan dan membuatkan Adam Lee rasa bersalah.
Adam Lee pandang mamanya itu, “Maafkan Adam Umi, Adam minta maaf sebab bohong dengan umi. Sebenarnya isteri Adam minta Adam ceraikan dia...” Adam Lee memberitahu.
“Astaghfirullah Al-azim... umi dah agak ada yang tak kena tadi. Apa sebenarnya yang berlaku ni? Adam ada buat hal ya?” tanya mamanya serius.
Adam Lee geleng kepala dan pegang dahinya, “Tak, Adam bukan orang macam tulah umi. Adam rasa sebab kami tak ada anak sendiri. Lagipun selama ni mak mertua Adam selalu call isteri Adam supaya tinggalkan Adam, sebab mak Dahlia malu kami ambil anak angkat. Mungkin sebab tu Dahlia terpaksa buat macam ni. Lagipun mak mertua Adam tak pernah sukakan Adam. Tapi mama, hinakah seorang mualaf macam Adam ni umi? Salah Adam ke kami tak ada anak sendiri?” tanya Adam Lee pada Puan Zakiah seolah-olah memperkotak-katikkan libang libu hidupnya kini.
Masa itu juga air mata Puan Zakiah tumpah. Sungguh dia tidak pernah jangka yang Adam Lee akan mengatakan bahawa menjadi mualaf itu merupakan satu kesalahan dan seolah-olah menyalahkan Tuhan kerana tidak mempunyai anak. Hati Puan Zakiah sebak.
“Jangan salahkan diri Adam nak. Kamu adalah insan bertuah yang telah ditiup seru hidayah. Jangan sekali-kali soalkan kuasa Allah. Kamu, umi, abi dan sekalian alam ni Allah yang ciptakan. Kita sebagai manusia kena terima apa yang berlaku pada diri kita dengan sabar dan ikhlas. Tuhan sedang menguji kamu Adam, itu bermakna tuhan sayangkan kamu. Janganlah disangkakan masalah itu adalah salah sesiapa, istigfar dan percayalah semua kejadian yang berlaku ke atas kamu adalah ujian Tuhan..” panjang lebar Puan Zakiah memberi kata semangat.
Adam Lee sesal dengan kata-katanya, “Maafkan Adam umi, Adam tak bermaksud nak salahkan agama yang Adam anuti cuma Adam kesal dengan apa yang berlaku dalam hidup Adam, itu saja.” Adam Lee sebak.
“Kamu dan Dahlia kena duduk bersama dan berbincang hal ni..”
“Tapi Adam tak dapat nak jumpa dia. Mama dia halang Adam masuk dan Dahlia sendiri matikan telefon dia bila saya yang telefon...”
Puan Zakiah menarik nafas. “Nanti umi cuba telefon dan tanyakan dia sendiri. Insya-Allah, setiap masalah ada cara penyelesaiannya... bersabarlah, sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan Maha Pemberi Petunjuk.” Puan Zakiah cuba menenangkan hati Adam Lee.
“Assalamualaikum...” tiba-tiba terdengar suara suami Puan Zakiah, Encik Karim yang baru sampai ke rumah.
Cepat-cepat Puan Zakiah menyeka air matanya. Adam Lee memberi isyarat geleng kepala supaya tidak memberitahu hal rumahtangganya itu kepada ayah angkatnya. Puan Zakiah faham.
“Wa’alaikumsalam...” sahut Puan Zakiah dengan suaranya yang agak ceria.
Encik Karim masuk ke dalam rumah dan nampak Adam Lee, “Oh, Adam pun ada sekali. Nanti bolehlah makan tengahari dekat sini. Abi ada beli udang ni, nanti umi kamu boleh masakkan udang masak lemak kegemaran kamu tu. Eh! Mana Aiman dan Dahlia? Mereka tak ikut sekali?” tanya Encik Karim kepada Adam Lee, girang suaranya.
Adam Lee tersenyum dan menyalam tangan ayah angkatnya itu. Ayah angkatnya itu memang menganggap Aiman bagaikan cucu sendiri.
 “Mak mertua Adam tak sihat, tu yang mereka ke sana. Bagi saya udangnya, Kiah nak masuk dapur dulu...” Puan Zakiah cepat-cepat menjawab bagi pihak Adam Lee.
Encik Karim kemudiannya duduk dan berborak dengan Adam Lee. Encik Karim itu juga seorang bekas guru besar sekolah menengah yang sudah pencen.
“Adam pernah melawat keluarga Adam dekat Melaka?” tanya Encik Karim.
Adam Lee memandang ayah angkatnya itu, Adam Lee faham apa yang dimaksudkan, “Insya-Allah Adam akan cuba abi.” Adam Lee menjawab pertanyan itu.
“Abi tiada niat apa-apa. Hubungan anak dan ibu itu takkan dapat dipisahkan walaupun kamu berlainan agama. Ada saja ibu bapa yang boleh menerima bila anaknya memeluk agama Islam. Kena usaha Adam, Insya-Allah lembutlah hati mereka.” Encik Karim berbicara panjang.
“Tapi keluarga Adam lain abi,” berat Adam Lee bercakap, Encik Karim pula sengaja tidak mahu meneruskan kata-katanya.
Lepas satu, satu masalah menimpa Adam Lee. Adam Lee tahu Tuhan sedang menguji imannya. Kadangkala dirinya lemah juga dengan ujian yang diberikan. Adam Lee cuba untuk kuat. Adam Lee tahu, di suatu hari nanti keluarganya itu akan menerima dirinya jua, cuma masa dan keadaan saja yang belum mengizinkan.
 Usai makan tengahari, Adam Lee meminta diri untuk balik ke Kuala Lumpur. Sempat dia memandang Puan Zakiah mama angkatnya itu, sebak pula rasa hatinya. Benar, meskipun Puan Zakiah itu hanya mama angkatnya dia sudah anggap Puan Zakiah itu macam ibu kandungnya sendiri. Selama inipun, hanya pada Puan Zakiah dia mengadu itu ini dan hanya pada Puan Zakiahlah dia banyak juga bertanya soalan mengenai agama Islam. Dan kerana rindukan keluarga sendiri jugalah Adam Lee datang ke situ, dia sudah tiada tempat untuk bercerita. Hanya di rumah agam itu Adam Lee boleh bercerita itu ini.

                                                       ***************
“Siapa yang  telefon tadi?” tanya Puan Sofia, ibu Dahlia yang baru turun ke bawah.
Dahlia pandang ibunya yang bertanya, “Mak angkat abang Adam. Puan Zakiah, tapi Dahlia tak jawab.” Dahlia memberitahu.
Puan Sofia faham, “Macamana semuanya? Dah sedia?” tanya ibunya lagi.
“Insya-Allah. Dahlia lebih dari bersedia, harapnya semua tu nanti dipermudahkan, lagipun ini cuma peringkat pertama, kesannya cuma sedikit,” beritahu Dahlia.
Puan Sofia lega,“Baguslah kalau kamu dah bersedia. Mana Aiman?” tanya Puan Sofia lagi.
“Aiman ada dekat bilik. Asyik tanya bila nak balik rumah. Risau Dahlia dibuatnya.” Dahlia memberitahu kebimbangannya.
Puan Sofia mengusap lembut bahu anaknya itu, “Tak apa, nanti lama-lama dia akan lalilah tu. Kamu tu yang lebih penting. Maafkan mama ya Dahlia...” Puan Sofia memandang Dahlia dalam.
Dahlia memandang ibunya, wajahnya tenang, “Mama ibu Dahlia. Mana boleh seorang anak sakit hati dengan insan yang melahirkan Dahlia ke dunia.”
Setitis air mata Puan Sofia tumpah, teringat apa yang dilakukannya dalam hidup anaknya itu.
Dahlia menyeka air mata ibunya di pipi, “Mama, jangan nangis. Mama, satu Dahlia minta tolong, jangan bagi tahu sesiapa pasal benda ni. Mama tolong rahsiakan ya ma...” pinta Dahlia.
Puan Sofia sebak lagi, “Berat sungguh apa yang kamu hadapi, maafkan mama Dahlia.” Puan Sofia memeluk anaknya.
“Ini sudah takdir Dahlia ma. Dahlia redha. Cuma, Dahlia lebih risaukan abang Adam, sebab tu Dahlia buat macam ni. Dahlia tak nak abang Adam tahu apa yang Dahlia hadapi.”
Puan Sofia cuba menenangkan anaknya, “Sudahlah Dahlia. Kamu naiklah berehat.”
Dahlia mengangguk, Puan Sofia memerhatikan Dahlia melangkah naik ke tangga atas. Tiba-tiba Puan Sofia rasa khilaf sangat dengan perbuatannya selama ini.  Sungguh! Terlalu banyak dia menyusahkan hidup anaknya itu. Andailah bahagia jawapan kepada apa yang menimpa anaknya itu, Puan Sofia rela menerima apa saja. Namun apabila mengetahui apa yang dihadapi Dahlia takkan dapat ditebus dengan apa-apa sekalipun yang ada di atas muka bumi. Puan Sofia hanya pasrah.
***********************
Kring! Kring!
Telefon rumah Adam Lee berbunyi. Segera dia mengangkatnya, manalah tahu ada perkara penting.
“Helo?”
“Helo Adam, macamana dengan fail yang saya nak bagi ni? Tadi tak sempat nak bagi dekat awak. Awak tu yang bergegas sangat nak balik.” Wani di talian.
Adam Lee tiba-tiba teringat, “Alamak, patutlah Adam cari tak jumpa-jumpa. Macam ni sajalah, Wani hantar saja terus ke rumah, lepas tu kita boleh bincang sikit pasal benda nak bentang dalam mesyuarat esok, banyak juga kita tak bincang lagi ni. Kita pun tak pilih lagi batik yang Encik Yakoob cadangkan tu.” Adam Lee memberi kata putus.
“Okey, kejap lagilah ya. Wani masih dekat rumah ni.”
“Ya, jangan lambat, banyak nak buat ni,” pesan Adam Lee.
“Ya Tuan Besar!” sindir Wani walaupun mereka berdua adalah rakan kongsi syarikat mereka.
Adam Lee ketawa kecil, kemudian meletakkan telefon rumahnya. Kerjanya disambung sementara menunggu Wani datang sebentar nanti. Adam Lee menekan saluran TV swasta untuk melihat berita malam itu. Hendaklah juga dia tahu info semasa. Sambil-sambil itu dia sempat pandang bantal ‘spongebob’ milik Aiman di sofa. Sebak pula rasa hatinya. Entah macamana mahu memujuk Dahlia lagi, dia sudah mati akal.
Sudah berpuluh malah beratus kali dia menghantar pesanan ringkas (sms) meminta penjelasan. Sudah beberapa kali juga dia berhujan berpanas menunggu Dahlia di depan rumah ibu mertuanya itu. Namun, semuanya menemui jalan buntu. Kemudiannya Adam Lee menuju ke sofa itu dan memeluk bantal spongebob milik Aiman itu, rasa tenang sedikit hatinya apabila dapat memeluk bantal itu seolah-olah dapat memeluk anaknya itu sendiri. Lama dia berkeadaan begitu.
“Assalamualaikum.” Wani memberi salam.
Terdengar suara Wani memberi salam, segera Adam Lee menuju ke pintu.
Adam Lee memerhatikan Wani yang berada di luar, “Wa’alaikumsalam. Masuklah, kata masih dekat rumah, cepatnya datang.. ada kuasa supersonik ke?” Adam Lee bergurau dan menjemput Wani masuk.
Wani senyum, “Tak adalah. Ikut jalan pintas. Nah, ni failnya.” Wani memberikan fail yang dimahukan Adam Lee.
“Okay, Terima Kasih, duduklah,” jemput Adam Lee.
Wani pandang sekeliling, “Mana Dahlia dan Aiman? Tak nampak pun, selalu kalau Wani datang mesti Aiman ada dekat bawah ni tengok tv,” tanya Wani ingin tahu.
Adam Lee tersentak, kemudian beri alasan, “Oh, mereka ke rumah mertua Adam, mak Dahlia kurang sihat,” beritahu Adam Lee.
Wani faham, kemudian bersuara lagi, “Jadi, mana sampel-sampel batik yang kita nak pilih ni?” tanya Wani mahu memulakan kerja mereka.
Adam Lee mengambil satu fail di dalam benya, “Ni ada sepuluh sampel, kita kena pilih lima. Rambang mata ni nak pilih.. semua cantik, tapi materialnya yang berbeza. Awak cuba tengok, awak perempuan, lebih tahu selera orang perempuan..” Adam Lee memberikan fail yang mengandungi sampel-sampel batik di tangannya kepada rakan kongsinya itu.
Segera Wani melihat dan menyentuh setiap sampel yang terkandung dalam fail itu. Kemudian dia memisahkannya mengikut apa yang dirasanya lebih sesuai untuk pasaran dan ada nilai komersial.
Adam Lee pandang Wani di depannya, “Esok kita kena jumpa sekali lagi dengan Encik Yakob tu. Kali ni awak jangan mengelak pula, hari tu siap tanya mana awak pergi sebab dia tak nampak awak sepanjang dia dekat pejabat,” sengaja Adam Lee bergurau.
Wani buat muka dan herot mulutnya, “Adam! kalau nak kenenkan Wani dengan orang tua tu. Minta maaf sangat,” balas Wani seakan meluat.
Adam Lee ketawa, “Makin tua makin berisi tahu,” sampuk Adam Lee.
“Iyalah tu..” Wani mengherot mulut. Kemudian dia pandang Adam Lee sekali dan senyum seorang diri.
Lelaki di hadapannya itu memang kacak, ala-ala pelakon cina yang dia selalu tengok dekat tv lepas balik kerja tu. Tapi itulah, mana mungkin pula dia mahu menampakkan yang dia suka dengan Adam Lee, nanti lain pula jadinya dengan hubungan kerja mereka.
Adam Lee yang perasaan Wani memandangnya terus menegur, “Awak, awak, Wani... apa yang awak  pandang-pandang saya ni? Kerjalah..” Adam Lee menegur.
‘Alamak! Kantoi..’ gumam Wani cuba bertenang.
Wani senyum, “Muka Adam macam pelakon cina yang selalu Wani tengok dekat tv jam tujuh malam tu... Ingatkan hero drama cina tu depan mata.” Wani ketawa kecil sengaja bergurau.
“Macam-macamlah awak ni. Dah saya ni cina. Kenapa? Muka saya ni ada sama hensem ke dengan hero cina dalam drama yang awak selalu tengok tu?” tanya Adam Lee berseloroh.
“Boleh tak ambilkan tong sampah, rasa nak muntah kejap..” Wani geleng kepala, sekejap-sekejap lelaki itu memang diarasanya sangat kelakar.
“Dah-dah, nak muntah bagai pula. Siapkan dulu kerja ni. Lupa pula, Wani nak air apa? Adam Lee rasa tekak haus ni,” tanya Adam Lee.
“Awak yang nak buat air ke? Tak payahlah, nanti Wani sendiri pergi dapur buat air tu.. nanti lain jadinya pula..”
“Iyalah.” Adam Lee herot mulut. Wani kemudiannya meneruskan dengan kerja-kerja mereka.
Lebih kurang jam 10 malam, Wani bersiap untuk balik selepas semua kerja mereka selesai. Itupun selepas memeriksa kerja-kerja yang telah disiapkan. Sejak zaman universiti lagi mereka berdua memang sudah biasa begitu.
Wani lega, “Wani nak pergi bilik air kejap. Nak basuh muka yang mengantuk ni. Sementara tu, awak masukkan semua kerja kita buat tu dalam ‘pendrive’ ni. Nah.” Wani memberikan pendrive miliknya kepada Adam Lee.
“Okay. Tak ada apa-apa nak ubah kan?” tanya Adam Lee lagi sambil mengambil pendrive milik Wani dari tangannya.
“Tak payah ubah lagi, semua dah lengkap. Kalau tak, sampai esok pagi tak siap.” Wani menjawab dan kemudian beredar masuk ke bilik air yang berada di belakang.
“Assalamualaikum,” tiba-tiba ada orang memberi salam di luar rumah.
Adam Lee pelik. Siapa pula yang datang tengah-tengah malam buta begitu. Mungkin ke pemandu ibu mertuanya yang menghantar Dahlia dan Aiman.
“Assalamualaikum,” sekali lagi orang di luar rumah itu memberi salam, kali ini nadanya lebih kuat dari tadi.
Segera Adam Lee membuka pintu, “Waalaikumsalam,” Adam Lee menjawab salam itu tetapi terkejut melihat siapa yang datang, kemudian dia menoleh ke dalam rumah. Tiba-tiba pula dia rasa gementar.
Adam Lee terdiam. Seluruh anggotanya badannya kaku. Wani yang baru keluar juga turut terkejut.
Adam Lee mati kata.














No comments: