~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Monday 17 October 2016

BUNGA TERAKHIR (Bab 4) #FirstDraft #UneditedVersion



BAB 4

                Sebulan Kemudian

USAI balik dari lapangan terbang pagi itu selepas bertugas ke Jakarta 2 hari, Bazli berkira-kira mahu menjemput isterinya makan tengahari bersama. Sengaja dia tidak memberitahu kedatangannya ke butik Juwita. Mungkin dengan cara ini pengantin baru itu akan lebih mesra. Inai di jarinya masih merah lagi dan menjadi bahan jenaka rakan sekerja terutamanya pramugari dan pramugara yang mengenalinya. Bazli senyum sendiri, teringat akad nikahnya sebulan lalu,  sampai 3 kali dia melafaz akad nikah kerana terlalu gementar, padahal di rumah sebelum itu dia sudah berlatih menyebut nama bakal isterinya berkali-kali. Bazli gugup bila lihat ramainya tetamu yang datang dan lagipula ini perkahwinannya yang kedua. Hampir saja Tok Kadi mahu berangkat ke acara nikah yang lain, nasib baiklah ugutan olok-olok Tok Kadi itu membuatkan lidah Bazli lancar menyebut nama penuh isterinya; Juwita binti Sallehudin.

Bazli memarkir kereta tidak jauh dari butik Juwita, dulu sebelum kahwin dia sering menjemput Juwita makan bersama. Berbunga-bunga hatinya apabila teringat isterinya yang satu itu. Selepas mematikan enjin kereta, Bazli membuka tali pinggang, sempat lagi mengemas rambutnya yang sedikit kusut sambil memandang cermin tengah kereta.
         
       ‘Bolehlah ni, adalah iras Syahrul Rizwan punya adik tiri..’ gumam Bazli seorang diri menguntum senyuman, suka berangan macam retis.  

Tiba-tiba, dia terpandang Juwita keluar dari butiknya. Bazli senyum mahu membuka pintu kereta sebelum tangannya longlai melihat Juwita dipeluk oleh seorang lelaki keluar dari butik itu. Dia tidak sempat nampak siapa lelaki tersebut kerana mereka membelakangi tempat kereta Bazli diparkir. Hati lelaki Bazli umpama berderai seribu. Serasa-rasa ianya direntap. Persoalannya siapa lelaki itu? Sejak bila Juwita berlaku curang kepadanya. Lelaki itu menghantar Juwita ke dalam kereta.

Pantas! Bazli menuju ke tempat itu selepas kereta Juwita beredar. Tahu dirinya akan menduda kali kedua, Bazli nekad, sebelum menduda lagi, biarlah dia menegakkan keadilan sekali lagi. Bazli tidak mahu apa yang berlaku ketika dia bersama Zulaikha berlaku lagi. Kali ini Bazli kuat. Bazli sudah bersedia! Langkah makin cepat dan deras. Menyentap bahu lelaki di depannya.

“Kau ni memang tak guna! Kau...!” Bazli mahu melayangkan penumbuk buku limanya pada lelaki itu. 

“Choi! Awak ni Bazli, dengan I pun nak jealous ke? Tak rela I nak kena tumbuk dengan you yang hensem ni. Lebam biji mata I, tapi takpelah... demi you Bazli, demi you...” Azwan memandangnya sambil menyentuh lengan tegap Bazli serta. Rupanya Azwan! Pembantu butik Juwita yang dua alam tu! Adoi!

“Laa.. kau rupanya Azwan. Aku ingatkan lelaki mana yang peluk Juwita. Tak apalah, aku pergi dulu ya, maaf. Maaf, salah faham. Geng gegirl rupanya. Sorry again.” Bazli meminta maaf, dilepasnya tangan Azwan yang memaut lengannya tak nak lepas itu, nanti tak pasal-pasal pula jadi gosip.

Segera Bazli berlalu dari situ macam anak ayam kebasahan, macho tu jalan. Kawal malu! Azwan pula menuju masuk ke dalam butik. Azwan memandangnya sambil senyum sedan. Mungkin ada cerita yang bakal diberitahu pada Juwita sekejap lagi. Bazli pula terkocoh-kocoh masuk ke dalam kereta.

“Orang kata cemburu tu tandanya sayang, tak apalah aku kena gelak kejap lagi dengan Juwita. Adoi, macamanalah yang aku tak perasan itu Azwan, alahai Bazli.. cemburu tak bertempat..” Bazli mengomel sendiri. Pantas dia mengambil telefon bimbit dan mendail nombor isterinya.

“Helo, sayang, dekat mana tu? Jom makan tengahari sama,” ajak Bazli mesra.

“Sayang dekat restoran biasa kita pergi tu. Kejap lagi sayang nak sampai.” Juwita menjawab.
Bazli memandu laju kereta perdana v6 miliknya menuju ke sebuah restoran yang memang mereka gemari.

Di sana Juwita sudah menunggu, dia melambai tangan dan kelihatannya senyum-senyum memandang suaminya yang satu itu. Nampaknya, cepat juga mulut si Azwan melapor kejadian tadi, Bazli dengan muka-muka innocent sengaja buat tak tahu.

“Yang sayang senyum-senyum ni kenapa? Dah pesan ke?” sengaja Bazli bertanya.

“Abang ni kalau jadi pelakon macam kawan abang nama Akim tu mesti dah popular. Tadi Azwan telefon, dia kata abang nak belasah dia pasal salah sangka, apalah abang ni... dengan si Azwan yang patah tu pun.. ish-ish.” Juwita geleng kepala memberitahu.

“Salah abang tak tengok orang. Manalah abang tahu itu Azwan. Nasib baik tak lebam, kalau tak habislah abang kena saman.” Bazli kestawa sendir

“Itulah abang, cemburu tak bertempat. Sayang dah pesan tadi makanan dan minuman kegemaran abang, tak payah tengok menu tu lagi.” Juwita memindahkan kertas pesanan ke tempat lain.

Tapi... cinta bukan milik kita..
Semua..
Harus berakhir.. 

Telefon bimbit Juwita berbunyi, dia memandang telefon bimbit yang diletaknya disisi meja. Panggilan masuk dari seseorang yang amat dikenalinya.

“Abang, Juwita nak keluar kejap, nak jawab telefon dari klien penting ni,” segera Juwita meminta diri dan menuju ke ladies. Bazli angguk faham, mungkin panggilan daripada klien isterinya agaknya.

Bazli meninjau restoran kegemaran mereka itu, masih seperti dulu, tempat dia dan isterinya selalu makan dulu.

Sementara itu di ladies, Juwita mengangkat panggilan telefon tersebut.

“Kan dah cakap jangan telefon Juwita tadi, suami Juwita ada ni, bahaya. Nanti kita jumpa ya. Sabarlah awak.” Juwita tidak keruan menjawab panggilan telefon tersebut.

“Nantilah, hujung minggu, dahlah nanti suami Juwita syak apa-apa pula. Dia baru balik dari Jakarta tu. Bye,” sambung Juwita lagi sambil mematikan telefon bimbit miliknya takut ketenteramannya diganggu gugat.

Juwita keluar menuju ke meja mereka, hidangan yang dipesan sudah tiba. Baunya saja cukup menyelerakan, “Kenapa abang tak makan lagi, tak payah tunggulah,” mesra Juwita berkata pada suaminya.

Bazli menarik nafas kemudian membalas, “Tak apa, abang tunggu sayang. Lama tak makan sama. Jom, abang baca doa dulu.” Bazli senyum memandang isterinya.

“Dah, nak sayang suapkan tak? Rindu pula dekat abang,” tanya Juwita sengaja manja-manja.

“Tak apalah, ini bukan rumah. Biarlah abang makan sendiri...” balas Bazli, namun belum sempat dia menghabiskan kata-katanya sudu Juwita yang mengandungi makanan sudah berada dalam mulutnya.

Bazli malu-malu memandang isterinya, rasa kekok itu masih ada lagi. Padahal mereka sudah bergelar suami isteri.

Tidak jauh dari situ seseorang memerhatikan Bazli dan Juwita dari dalam sebuah kereta. Hatinya panas, mungkin juga rasa sangat cemburu dengan keintimanan pasangan pengantin baru tersebut. Segera, kereta itu berlalu daripada situ. Malas dia mempedulikan adegan-adegan yang menanahkan hatinya sendiri.

                                                    ***********************

PETANG itu sesudah waktu kerja. Bazli menjemput Juwita, Azwan masih lagi senyum-sedan mengingatkan kejadian tengahari tadi. Bazli saja-saja buat tak tahu, biasalah lelaki jenis yang satu itu, kalau salah, pura-pura tak buat salah. Juwita menaiki keretanya manakala Bazli menggunakan keretanya, mereka pulang bersama-sama menuju ke kondominium Bazli yang kini rumah mereka.

Usai makan malam, Juwita memandang Bazli yang bersiap-siap dengan uniform kerjanya.

“Eh, abang bertugas ke malam ni?” tanya Juwita mengambil berat soal pekerjaan suaminya.

“Haah, tadi ada telefon kena bersedia dekat lapangan. Ada staff  kawan abang yang sepatutnya bertugas tu bini dia bersalin. Okey, abang pergi dulu. Jaga diri tau. Nanti apa-apa abang call, assalamualaikum.” Bazli meminta diri.
            
          “Wa’alaikumsalam, hati-hati, jaga diri.” Juwita berpesan sambil memerhatikan Bazli memakai kasut dan masuk ke dalam kereta.

Juwita menutup pintu, sebenarnya dia pun ada kerja nak dibuat. Dari bulan Ramadhan hari itu, harinya sentiasa sibuk, dari persiapan majlis kahwinnya, juga persembahan fesyen yang disertainya. Hujung minggu nanti dia menyertai persembahan fesyen sempena ‘KL Fashion Week’. Nasib baiklah dia hanya menyertai saban tahun acara itu, tapi itulah apa pula kelainan yang mahu ditonjolkan untuk penyertaan kali ini. Bukan senang mahu mencari idea. Juwita berjalan masuk ke dalam bilik, dia melihat telefon bimbit yang ditinggalkannya di sana bergetar, Juwita terkejut apabila melihat nombor pemanggil itu, segera diangkatnya.

“Helo, kenapa dengan awak ni? Tak faham Bahasa Melayu ke? Kan saya dah kata kita jumpa hujung minggu nanti,” marah Juwita tiba-tiba.

“Ala sayang, lama lagilah hujung minggu tu. Saya rindu sangat dekat awak ni,” lelaki itu cuba memujuk.

 “Sekarang ni Juwita dah jadi isteri orang tau. Ada tanggungjawab.” Juwita mengingatkan lelaki itu.

“Tanggungjawab? Awak seorang saja dalam bilik tiap malam. Tanggungjawab apa tu, itu tak bertanggungjawab!” sengaja lelaki mengugahkan hati Juwita.
          
          “Maaf awak, saya mengantuklah, nanti kita sembang ya. Bye, rindu awak,” Juwita sengaja memberi alasan, sebenarnya terkadang Juwita malu dengan apa yang dilakukannya. Masih berhubungan dengan kekasih lamanya itu.

“Okey, mimpikan saya tau. Bye, selamat malam,” sengaja lelaki itu meluahkan kata-kata manisnya.

Juwita menutup telefon bimbitnya. Ada juga rasa bersalah pada Bazli, tapi dia sudah cuba. Dia memang tidak mampu mencintai suaminya itu, hatinya sudah pada lelaki lain. Ada juga masa-masanya Juwita cuba untuk mengelak dan lebih bersama Bazli, tapi dia tidak dapat juga melupakan lelaki itu. Dia tahu berdosa hukumnya menduakan suami.

Tapi dia terpaksa menutup aibnya sendiri, Juwita memandang cermin, memandang sesuatu, sesuatu yang akan membesar hari demi hari. Walaupun keadaan terpaksa tapi kerana sebab itu, dia terpaksa rela saja dengan perkahwinan ini dan tidak lama lagi, dia akan memberitahu Bazli bahawa anak dalam kandungannya itu adalah anak Bazli. Titik!


No comments: