~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Tuesday 25 December 2012

E-novel ~ Bunga Terakhir (BAB 20)



BAB 20
Seminggu Kemudian...
PAGI itu Wani dan Adam menyertai satu perjumpaan bersama rakan-rakan dalam Persatuan Batik Malaysia bertempat di Le Meridien Hotel Kuala Lumpur. Perjumpaan yang acap kali diadakan itu selalunya menampilkan muka-muka baru yang baru menyertai perniagaan tersebut. Kiranya perjumpaan itu bukan saja bertujuan untuk saling mengenali mereka yang terlibat dalam bisnes tersebut, malah dapat bertukar pendapat dan pandangan sesama mereka untuk meningkatkan lagi produktiviti batik Malaysia. 

“Hai, saya Iskandar dari Miracle Batik,” seorang lelaki menyapa Wani lalu mengenalkan dirinya. Lelaki itu duduk di sebelahnya.
“Saya Wani dari Batik Lantera.” Wani mengenalkan diri.
“Wah.. Batik Lantera memang dah popular kan.. minta tunjuk ajar ya.”
“Tak adalah, biasa saja. Dengar kata Miracle Batik pun baru saja menyertai satu pameran fesyen di Eropah.”
“Itupun secara kebetulan kerana ada seorang rakan di sana. Kalau syarikat Batik Lantera berminat boleh saja join. Ini kad saya.”
Wani ambil bisnes kad Iskandar.
“Insya ALLAH kalau ada ruang dan peluang, kami pasti menyertai.” 

Adam pandang Wani berbual mesra dengan seorang lelaki di hadapannya. Sekejap dia tertanya-tanya apa yang mereka bualkan. Terkadang dia cuba dengar tapi kurang jelas. Wani perasan Adam memerhatikan dia dan Iskandar, sengaja dia berbual lama dengan lelaki itu. Saja Wani buat begitu untuk lihat reaksi Adam. Semasa jamuan ringan, Adam tarik tangan Wani ke sebelahnya seolah-olah menjauhkan dia daripada Iskandar dan ke satu tempat.

“Adam, apa ni!” marah Wani.
“Awak tu isteri saya, kenapa nak berbual dengan lelaki lain.”
“Isteri? Dah dua bulan kita kahwin tapi Wani tak pernah rasa hidup sebagai isteri. Jadi, tak payahlah sebut pasal perkara yang tak mungkin terjadilah Adam.”
“Awak tahu kan hukumnya bila curang dengan suami.”
“Alhamdulillah, saya tahu semua itu.”
“Jadi, apa yang awak buat tadi?” tanya Adam tegas.
“Saya cuma berbual dengan dia di hadapan rakan-rakan lain. Takkanlah nak cemburu pula. Ke, awak cemburu ke ni?” tanya Wani pandang Adam dengan keningnya terangkat.
“Eh tak, tak adalah..”
“Sekarang Wani nak tanya pula, apa pula hukumnya bila suami menuduh isterinya bukan-bukan?”
“Err..”

Adam mati kata, dia malu sendiri. Wani terus beredar dari situ sambil senyum sendiri. Nampaknya langkah pertama sudah menjadi. Ada banyak lagi langkah yang dia perlu buat. Tak perlu dia beli buku atau ambil nasihat kat internet, kadang-kadang nak tengok lelaki tu sayang isterinya atau tak, cukup buat dia cemburu sikit-sikit, kalau dia alert ertinya dia ada rasa dengan isterinya itu. Wani tahu, untuk dapatkan hati Adam itu bukan mudah, jadi semuanya dia kena buat sikit-sikit.

*************************

SELEPAS saja urusan pengkebumian Sufian selesai di Keningau Sabah. Amar dan Kasih balik semula ke Kuala Lumpur. Sepanjang berada di sana, Amar mengenali keluarga Kasih yang mudah mesra. Ibu dan ayah Kasih serta Nek Jah yang sangat baik dan terbuka menerima kehadirannya. Sufian sebenarnya banyak menceritakan tentang keluarga Kasih. Sebenarnya itulah kali pertama Amar menjejak kaki ke Keningau Sabah, kawasannya sangat indah dan tenang dari kesibukan ibu kota Kuala Lumpur. Namun, kunjungan kali pertama ke daerah itu bukanlah untuk menikmati keindahan alam yang ada, tetapi menghadiri majlis pengkebumian rakan baiknya Sufian yang telah dikenalinya selama 5 tahun. Sedih juga rasa hati, selalunya Sufianlah yang selalu mengejutkannya untuk solat berjemaah. Mulanya dahulu Amar ralat juga bila ada orang yang selalu saja kejutkan dia bangun subuh, tapi lama kelamaan ia telah menjadi rutin. Dari situlah Amar tahu Sufian orang yang baik.

Sepanjang seminggu berada di sana, kenduri tahlil diadakan di rumah Kasih. Amar membantu sedaya yang boleh, dia sebenarnya jarang sekali untuk terlibat dalam kenduri kendara kampung, paling-paling kenduri atau perkahwinan yang dihadirinya di hotel ataupun rumah bandar. Bukan dia tiada kampung, tapi sedari kecil dia jarang balik ke sana. Maka, secara rasminya semasa berada di Sabah Amar memegang senduk besar menggaul lauk yang dimasak di kuali besar dengan menggunakan kayu api, memang pengalaman seperti itu adalah pengalaman yang takkan dilupakan Amar. Dia juga tidak akan lupa makanan Sabah yang sangat sedap seperti sayur keladi masak santan, bunga kepayas, hinava, lokan masak kari dan beberapa kuih tradisional Sabah seperti kelupis, kuih pijaram, kuih cincin, kuih angin, jelurut dan sebagainya.

“Sila tegakkan tempat duduk anda, kita akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dalam masa 10 minit. Sebarang penggunaan alat elektronik adalah tidak dibenarkan dan penggunaan tandas adalah tidak dibenarkan buat masa ini.” 

Lamunan Amar tentang Sabah terbubar apabila terdengar suara Ketua Pramugari membuat pengumuman melalui pembesar suara. Amar pandang Kasih di sebelahnya yang lena tidur. Seketika dia pandang Kasih, sebagai seorang pramugari pastilah Kasih nampak cantik, tapi Amar lebih suka lihat Kasih tanpa mekap begitu. Gadis Sabah itu Amar lihat sangat lembut. Iya, dia masih ingat pesanan Sufian supaya dia menjaga Kasih kerana Kasih hanya berseorangan di Bandaraya Kuala Lumpur itu. Amar faham apa yang dimaksudkan Sufian, namun menjaga orang lain itu bermaksud dia mesti juga serba sedikit akan rapat dengan orang tersebut. Mungkin hasrat itu akan tercapai jika Amar berpindah ke penerbangan Kasih. Dengan itu, mereka akan selalu dekat. Kapal terbang yang dinaiki Amar dan Kasih selamat mendarat, Amar membangunkan Kasih.

“Kasih, Kasih, kita dah sampai..” Amar kejutkan Kasih perlahan.
Kasih bangun, kemudian membuka seat beltnya. Amar menurunkan barang-barang mereka dari rak atas kemudian turun dari kapal terbang menuju ke lapangan terbang. Keluar saja dari lapangan terbang, Amar menuju ke keretanya tapi tidak diiringi Kasih, Amar pelik, ke mana pula perginya Kasih. Segera dia tinjau ke kiri dan ke kanan. Dia nampak Kasih menarik begnya menuju ke hentian teksi. Segera Amar ke sana, sampai saja ke arah Kasih.

Tiba-tiba...

“Kasih!!!”
Segera Amar tarik Kasih ke bahu jalan kerana ada sebuah kereta yang hampir terlanggarnya. Masa itu, Amar panik sangat, dia takut ada apa-apa terjadi pada Kasih.
“Kasih tak apa-apa? Tak cedera?” tanya Amar.
“Tak, saya okey. Thankslah.. maaf menyusahkan awak, saya ingat takde kereta tadi. Tu yang saya lalu."
“Jomlah saya hantar awak balik.”
“Ala, teksi depan tu saja.” Kasih menolak.
“Jomlah, tak baik pula, kita pergi bersama, jadi balik pun mesti sama.. nanti Nek Jah marah saya pula.. kan dia dah pesan supaya saya hantar awak balik dengan selamat...”
“Awak ni.. ikutkan sangat kata nenek saya tu, dia bergurau sajalah. Dahlah awak ikut saya balik Sabah, mesti awak pun penat.”
“Saya ikhlas ni, jomlah.”
“Yalah, iyalah Encik Amar..”
“Saya single lagi, bukan encik tau..”
“Jadi?”
“Amar je. Takkan nak letak cik pula...”
“Awak ni kalau bergurau bagi je kat awak kan..”
Amar ketawa kecil dan mereka menuju ke kereta Amar.

“Kasih ada duty ke hari ni?” tanya Amar semasa memandu.
“Tak tengok schedule lagi. Tapi stand by ajelah. Lupa nak tanya, Amar ni kerja apa?” Kasih pula bertanya.
“Saya ni kerja biasa-biasa saja.” Amar enggan memberitahu kerjayanya. Biar ia jadi kejutan buat Kasih nanti.
“Kerja biasa-biasa pun kerja juga, asalkan halal.”
“Alhamdulillah, setakat ni halal je. By the way, best tak kerja FA kat airlines sekarang ni?”
“Bolehlah. Setakat ni semua crew okey je.”
“So, dah jumpa sesiapa yang berkenan ke?” tanya Amar seakan serius.

Bila Amar tanyakan begitu, Kasih sempat teringat Bazli. Sepanjang dia berada di kampung Bazli tidak pula menghubunginya, mungkin masih berada di hospital menjaga isterinya. Lagipula perkenalan dia dan Bazli adalah atas nama sahabat, jadi tidak ada apa-apa hubungan antara mereka.

“Takdelah, awak ni.. awak tu macamana pula? Orang macam awak ni mesti ramai yang usha kan?”
“Uhuk! Batuk kejap asenya... manalah ada...”
“Iyalah tu..”
“Haahlah..”
‘Lainlah kalau awak nak book saya..’ gumam Amar sendiri senyum sendirian.
“Senyum-senyum tu kenapa?” tanya Kasih lagi.
“Takdelah, saja senyum, senyum kan sedekah.. awak ni..”
‘Dia dengar ke apa aku cakap tadi? Ada kuasa psikik agaknya Kasih ni’

Perjalanan ke Kuala Lumpur itu mengambil masa lebih kurang sejam setengah. Amar tekan radio untuk menghilangkan bosan. Kedengaran lagu Elly Mazlein berjudul Please Forgive Me...

Maafkan ku memilih dirinya.
Kernaku tak mampu menolaknya
Selamat tinggal kekasih
Kau kan selalu ada di atas hatiku.
Dan bila aku yang salah
Please Forgive me my love
I just want you to know
You always in my heart..

Tiba-tiba lepas saja terdengar lagu itu Amar teringat Liyana bekas kekasihnya yang meninggalkannya untuk study di overseas. Sungguh dia terlalu sayangkan gadis itu, sehingga kini dia masih menanti kehadiran Liyana. Namun, untuk menanti hampir lama sebegitu membuatkan hati Amar makin tawar. Amar kini makin tabah dan tidak mengharap mana-mana cinta yang hadir dalam hidupnya, hatinya sudah keras dan tertutup buat insan bernama wanita.

Amar lihat Kasih yang terlelap di sebelahnya. Mungkin penat agaknya sebab semasa berada di kampung Kasih sibuk dengan keluarganya. Sekejap-sekejap Amar pandang Kasih. Sejak mengenali Kasih selama beberapa hari itu dan teringat pesanan Sufian. Ada satu rasa yang dia sendiri tak faham, mungkinkah tembok keras hatinya itu telah cair kerana Kasih? Apa yang dirasakan Amar itu sebenarnya rasa suka atau sebenarnya rasa ingin menjaga Kasih atas amanat Sufian ataupun satu rasa yang sudah lama Amar tidak merasainya? Amar sendiri belum pasti, buat masa ini dia memang selesa dengan gadis itu...

bersambung.....

5 comments:

Syah Shah said...

Amar, sila masuk line laju-laju. Kang kempunan plak kalau Kasih terlepas kat Bazli. Hahahahah

Fatrim Syah said...

Kesianlah kat Kasih. Janganlah pas2 dia. ekekeke.. ^_^

Syah Shah said...

bukan pas-pas. but seriously rasa cam Amar deserves Kasih. Hahahah :D

Fatrim Syah said...

kan? ekekeke.. la la la.. biar lah Bazli tu. Cepat sangat curiga dengan orang. :d

Unknown said...

Amar rse nye blh better dri bazli,.....