~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Sunday 20 October 2013

E-Novel 'KELIP KELIP' (Bab 6)




BAB 6
KELIP KELIP
AKRAM  menemani Syura ke pusat membeli belah, dia pandang sekeliling. Akram faham perihal orang perempuan seperti Syura, tak sejam dua tidak sah berada di sana. Akram duduk menunggu sambil membaca BH secara online melalui gadgetnya. Kemudiannya dia bergerak keluar kerana bosan. Syura masih lagi sibuk mencuba beberapa kasut di dalam butik tersebut. Akram pandang seluruh pusat membeli belah itu. Tiba-tiba dia seakan ternampak Aisha berada di depan memandangnya dengan pandangan mata yang sangat tajam.
“Hah!” Akram berundur dan sedikit gerun. Matanya ditutup seketika.
Bila dilihatnya lagi dia tidak nampak apa-apa pula. Dipastikannya lagi dengan melihat ke kiri dan ke kanan.
“Sayang, ada apa ni? Sayang tengok apa?” tanya Syura pelik melihat kelakuan Akram yang semacam terkejut melihat sesuatu.
Akram memandang Syura, “Saya nampak Aisha tadi.” Akram berbisik.
“Sayang jangan merepek! Dia dah mati! Cepatlah balik,” arah Syura.
Akram ditarik oleh Syura, mereka meninggalkan tempat tersebut. Sementara itu Aisha yang berada tidak jauh daripada situ senyum memandang Akram.
‘Tahu takut, bunuh aku tak takut,’ gumam Aisha sendirian dalam hati.
Aisha kemudian berjalan keluar daripada situ.
“Aisha ke mana?” tanya Darwish yang menegurnya tiba-tiba.
Aisha senyum, “Aisha tak ke mana-mana. Ada di sini saja.” Aisha memberitahu, tenang.
“Marilah balik. Dah siap beli baju kan? Nanti mama tunggu pula. Awak tahulah mama saya tu, suka sangat membebel.” Darwish senyum dan kemudian berjalan beriringan bersama Aisha menuju ke parkir. Selendang dan kaca mata hitam dibetulkan Aisha.
Tiba-tiba saja kereta Akram lalu di depan Aisha. Cepat-cepat Aisha menutup wajahnya memalingkan wajahnya. Nasib baik Darwish ada di sana juga. Kereta Akram pula berhenti tiba-tiba di depan mereka. Akram turun untuk membayar bil parkir, dia berjalan di hadapan Aisha. Minyak wangi Akram itu masih dikenalinya. Berdebar-debar perasaan Aisha apabila berhadapan dengan Akram, lelaki yang pernah dicintainya satu ketika dahulu itu. Aisha cuba sebaik-baiknya untuk bertenang. Walaupun dalam hatinya ketika itu, dia mahu saja mendedahkan dirinya dan mahu saja bertanya kenapa Akram tergamak membunuhnya!
“Maaf bro, terpotong que, isteri saya nak cepat.” Akram meminta maaf pada Darwish yang juga ingin membayar bil parkir.
“Tak apa bro, its okey,” balas Darwish.
Akram kemudiannya masuk ke dalam keretanya selepas itu. Aisha hanya memandang daripada jauh.
“Awak tak apa-apa?” tanya Darwish yang sangat faham perasaan Aisha waktu itu.
“Tak apa, kita balik,” perlahan suara Aisha.
Usai membayar bil parkir segera Aisha dibawa Darwish masuk ke dalam keretanya.
“Awak cuba jumpa Akram ke tadi?” tanya Darwish yang sudah tahu ke mana perginya Aisha tadi.
Aisha senyum, “Tak, saya cuma mahu lihat reaksinya selepas membunuh saya,” pendek jawapan Aisha.
Darwish geleng kepala, “Aisha. Saya tahu apa yang awak rasa. Tapi berjumpa dengan pembunuh tu membahayakan awak juga nanti. Awak tahu apa mereka boleh buat Aisha.” Darwish menasihati.
“Saya minta maaf Darwish. Saya geram sangat dengan dia.” Aisha meminta maaf.
Darwish memandangnya, “Tak apa Aisha. Saya faham. Macamana baju yang pilih tadi, okey dengan awak?” tanya Akram.
“Apa yang baik dari awak, baik untuk saya juga. Lagipula, saya bukan nak berjalan di pentas fesyen. Setakat di rumah saja,” jawab Aisha.
“Mama tak beritahu awak apa-apa?” tanya Darwish.
“Beritahu apa?” tanya Aisha lagi seakan pelik dengan pertanyaan itu.
“Tak apalah. Nanti mama datang mama beritahu, nanti tak suprise pula kan.” Darwish sengaja menyembunyikan hal itu.
Aisha pula hanya memandang jauh, sebaik kereta Darwish meninggalkan pusat beli belah tersebut, Aisha memandang sekeliling yang sesak. Sama seperti fikirannya kini. Aisha cuba beristigfar. Sudah lama rasanya dia tidak menenangkan diri dengan membaca ayat-ayat suci. Dia tahu apa yang dihadapinya kini itu adalah ujian yang sangat-sangat besar pada dirinya. Menguji dirinya sebagai seorang mualaf. Aisha sedar, sungguhpun dia amat-amat membenci Akram ketika ini, namun dirinya takkan sesekali membenci agama yang dianuti Akram dan dirinya itu. Walaupun mereka melayan ibu bapanya bagai anjing kurap dan pencacai jalanan, Aisha takkan membenci agamanya sendiri. Agama itu adalah benteng kepadanya untuk bersabar selama setahun di rumah keluarga Akram. Agama tidak boleh dipersalahkan atas semua hal, orang dalam agama itu sendiri yang mencorak agamanya bagaimana, semua agama menuntut untuk berbaik-baik.
                          *****************************
Adik Akram, Suhaila baru balik daripada luar negara selepas menjalani kursus jangka pendek di sebuah universiti bagi memantapkan pengurusan syarikat keluarganya. Sampai saja di rumahnya dia disambut oleh keluarganya dengan meriah.
“Selamat Pulang Suhaila.” Ibunya, Puan Suraya yang mula-mula sekali menyapanya selepas keluar daripada kereta.
“Hai mama, papa.” Suhaila senyum, dan memeluk serta menyalam mereka.
“Hik!” Daniel yang berada di sisi Puan Suraya ketawa kecil, Suhaila segera tunduk dan mencium pipi anak kecil comel tersebut.
“Ini anak abang Akram dengan Kak Syura ya mak? Comel sangat.” Suhaila girang.
“Kalau ya pun masuklah dulu.” Ayah Suhaila, Tuan Rahim mengarah.
“Yess Boss!” Suhaila faham.
Masuk saja ke dalam, Suhaila melihat keadaan rumah itu, masih seperti tiga bulan sudah. Cuma sudah tidak ada Aisha di dalamnya. Suhaila sebenarnya selesa dengan Aisha, kadang-kadang dia turut bersimpati bila ibu, ayah, abang dan adiknya melayan Aisha bagai hamba abdi di rumah itu. Suhaila kesal Aisha hilang di laut begitu saja tanpa mayatnya diketemukan.
“Suhaila fikir apa tu? Cepatlah masuk. Rianti, bawa beg Cik Suhaila ke biliknya.” Puan Suraya menyapa anaknya dan juga mengarah orang gajinya.
Suhaila masuk dan duduk lega.
“Assalamualaikum,” kedengaran suara Akram memberi salam.
“Waalaikumsalam..” semua yang berada di ruang tamu itu menyahut sambil memandang ke arah Akram dan isterinya Syura.
Itu kali pertama Suhaila memandang isteri abangnya itu. Memang cantik, masakan tidak, jauh berbeza dengan Aisha yang comot dan selekeh itu. Melihat baju, kasut dan beg tangannya saja berjenama mewah. Rambut, mekap, kulitnya semua teratur rapi.
“Kenalkan Suhaila, ini kakak ipar kamu, Syura.” Akram memperkenalkan isterinya pada adiknya.
“Hai kakak.” Suhaila menyapa.
“Hai Suhaila.” Syura juga menyapa dan sekaligus berlaga pipi dengan Suhaila mesra.
Daniel yang berlari ke arah Suhaila diambil Suhaila dan dipeluknya.
“Comel anak buah kakak. Mesti manja ni.” Suhaila bercakap memandang Daniel.
“Nampaknya kita dah ada pengasuh baru Daniel..” Puan Suraya berseloroh, seluruh ahli keluarga ketawa.
                                 *******************************
Puan Zulaikha menunggu kepulangan Aisha dan Darwish di apartment yang disediakan untuk Aisha. Walaupun masa untuk Aisha memberikan jawapan ada empat hari lagi, tapi dia sengaja datang ke situ untuk melawat Aisha. Ada perkara lain yang ingin dibincangkan mereka bersama.
Lima belas minit kemudian Aisha dan Darwish sampai ke rumah itu bersama seorang pemandu.
“Mama, mama buat apa dekat sini?” tanya Darwish seakan terkejut.
“Mama melawat Aisha. Takkan tak boleh. Aisha apa khabar?” tanya Puan Zulaikha.
Aisha senyum, “Saya baik-baik saja Puan.” Aisha menjawab dan menyalam tangan Puan Zulaikha.
“Aisha, tak perlulah formal sangat. Kan tak lama lagi Aisha akan panggil saya mama.” Puan Zulaikha memandangnya.
Darwish terkejut, dia melihat ibunya, setahunya ibunya cuma mahu menghantar Aisha ke luar negeri untuk belajar selok belok perniagaan dalam bidang kecantikan. Darwish mendekati ibunya, takut-takut ibunya mahu memasangkan dia dengan Aisha pula sedangkan Aisha itu masih lagi isteri orang.
“Mama cakap apa ni?” tanya Darwish.
“Darwish jangan salah sangka. Ini takde kaitan dengan Darwish.’ Puan Zulaikha menjawab pertanyaan Darwish dan tahu benar apa yang berada di kotak fikiran Darwish ketika itu.
Aisha memandang Puan Zulaikha, dia sudah bulat dengan keputusannya. Dia tahu, keputusan ini baik untuk dirinya, sudah tiga hari dia berfikir, sudah tiga hari dia memendam rasa akan keputusan yang dibuatnya itu. Dia tekad!
“Puan. Saya setuju menjadi Indah,” ringkas jawapan Aisha.
Darwish tersentak, dia kenal benar nama itu, itu nama adiknya yang masih hilang dan dalam pencarian. Dia pandang mamanya.
“Mama.”
“Ya Darwish. Aisha akan menjadi Indah adik kamu. Mama tahu kamu pasti terkejut dengan keputusan ini. Tapi mama rasa, cukuplah selama 22 tahun ni mama mencari Indah. Biarlah Aisha menjadi Indah. Jika dia ahli keluarga kita, lagi senang kita bekerjasama. Lagipun kita perlu bantu Aisha.” Puan Zulaikha meyakinkan Darwish.
“Darwish faham mama. Hai Indah, selamat datang ke keluarga Puan Zulaikha,” sapa Darwish mesra.
“Hai mama, hai abang.” Aisha menyahut walau dalam keadaan serba tidak kena.
Puan Zulaikha memegang tangan Aisha.
“Mulai hari ni mama akan panggil kamu Indah. Indah akan jadi sebahagian daripada mama dan Darwish. Alhamdulillah. Ini semua takdir Tuhan, walau mama kehilangan seorang anak, tapi mama dikurniakan dua orang anak yang baik-baik.” Puan Zulaikha tiba-tiba sebak, dia memeluk Aisha. Darwish faham perasaan ibunya, dia pegang tangan ibunya erat.
Aisha pula mula memikirkan banyak perkara. Kini dia menjadi Indah. Nama Aisha kini dipadamkan daripada jiwanya, dia mahu menjadi orang baru dengan semangat baru. Dia mahu belajar banyak perkara, dia mahu maju ke hadapan, setanding dengan Syura isteri Akram sekarang, dia mahu lebih daripada itu. Aisha tekad.
Mulai hari itu juga, dia takkan menamakan dirinya sebagai Aisha lagi. Nama Aisha itu sudah dileburkan, Aisha sudah lama mati, hilang di lautan bersama buih buih perasaannya pada Akram.

bersambung...

p/s --- Terima Kasih singgah baca. Heharap gambar si Mr Arrogant aka Azlee Khairi tu tak menggangu anda. Dia pegang watak Darwish. Nanti kita share pula gambar Akram dan Aisha ya. Jemput komen jika sudi. ^__^

3 comments:

Cik Myn Famieza said...

Makin menarik....
Wah wah wah!

Unknown said...

cerita ni menepati citarasa saya...cewahh...xsaba2 nk tunggu episod7...hehe.

Fatrim Syah said...

Cik Myn ~~ Terima Kasih singgah komen. Terima Kasih atas komentarnya. Terharu. :)

MsAinailyn ~~ Alhamdulillah. Maaf jika ada kekurangan. Saya masih belajar menulis. ^_^


Thanks!

FATRIM SYAH