~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Thursday 17 October 2013

E-Novel 'KELIP KELIP' (Bab 3)



BAB 3

KELIP KELIP

“SIAPA perempuan ni Darwish?” tanya ibu Darwish; Puan Zulaikha yang baru sampai ke biliknya.

Darwish memandang ibunya, “Mama, Darwish nampak bot dia karam tadi, tu yang Darwish selamatkan dia dan bawa dia ke sini.” Darwish memberitahu.

Puan Zulaikha faham dan kemudian mendekati perempuan yang baru Darwish selamatkan itu, “Tak apa, biar mama uruskan semuanya dulu. Darwish tu pergi bersihkan diri juga. Jangan risau. Darwish baliklah bilik Darwish.”

Darwish angguk dan beredar, namun ekor matanya masih memandang perempuan itu.

Darwish balik ke biliknya, dia ambil tuala dan bersihkan dirinya dan kemudian menunaikan Solat Zohor yang dia ketinggalan. Usai solat, Darwish berdoa kepada Tuhan, bersyukur kerana menyelamatkan nyawa perempuan tersebut.

Sementara itu Puan Zulaikha baru selesai membersihkan perempuan yang baru dijumpai Darwish. Dia usap kepala perempuan itu lembut, kemudian mengingat peristiwa yang berlaku 22 tahun lalu.

                                    ***************************

Zulaikha memandang Indah anaknya yang berumur  2 tahun bermain-main bersama kanak-kanak lain dengan ceria. Sedih Zulaikha melihat Indah yang tidak berayah itu. Zulaikha ditinggal oleh suaminya yang tamak hartanya sehingga Zulaikha ditinggalkan hidup gelandangan di kawasan setinggan. Tidak pernah Zulaikha terfikir bahawa hidupnya akan berakhir di situ, mahu menangis dia perlu tabah meneruskan hidup. Nasib baiklah dia tahu menyolek serba sedikit, atas kerja menyolek pengantin itulah dia mendapatkan sesuap nasi.

Petang itu seperti biasa, Zulaikha sibuk memberikan khidmat solekan kepada kawannya yang mahu bersanding. Seperti biasa Zulaikha akan membawa Indah bersama-sama. Dibiarkannya Indah bermain bersama kanak-kanak lain di luar.

“Akak ni bila lagi kak?” tanya pengantin perempuan yang sedang disolek Zulaikha.

“Kamu ni Kuna. Akak ni takde hati dah nak kahwin lagi, cukuplah sekali,” pantas Zulaikha menjawab menetapkan pendiriannya.

Kuna tersenyum, “Jodoh tu di tangan Tuhan kak, manalah tahu kan, boleh juga Indah tu berbapa baru.” Kuna mengusik.

“Dah, kamu ni Kuna. Jangan cakap macam-macam. Kamu tu dah nak bersanding. Tutup mata kamu, akak nak mekap bahagian mata pula.”

“Iya kak.” Kuna faham.

Usai majlis perkahwinan tersebut, Zulaikha terus balik sampai dia terlupa dia membawa Indah bersama. Terkocoh-kocoh Zulaikha ke majlis perkahwinan itu mencari Indah namun tidak ketemu. Indah hilang begitu saja. Laporan polis sudah Zulaikha buat berkali-kali, malahan Zulaikha hampir tidak siuman gara-gara kehilangan Zulaikha.

“Indah anak mak.. Indah.. Indah..” Zulaikha merayau-rayau mencari anaknya di sekeliling tempat berdekatan majlis perkahwinan itu selama berbulan-bulan.

Akibat kepenatan, Zulaikha masuk ke dalam sebuah masjid dan tidur di dalamnya.

“Cik, bangun cik.. bangun.. dah maghrib ni.” Zulaikha dikejutkan seorang perempuan, terkejut Zulaikha memandangnya, dia melihat sekeliling, tidak sedar berapa lama dia tidur. Segera Zulaikha keluar daripada masjid tersebut.

Bam! Bam!

Zulaikha sekali lagi terkejut apabila melihat orang ditembak di depan matanya. Zulaikha tergamam. Orang yang lalu lalang terkocoh-kocoh ke sana. Zulaikha lihat seorang lelaki dan seorang perempuan yang tidak bernyawa lagi di depan matanya. Beberapa orang menghubungi polis. Zulaikha kemudiannya berlalu daripada situ.

Tiba-tiba Zulaikha terdengar suara seorang budak lelaki menangis di belakang tong sampah. Segera didekatinya.

“Adik kenapa dik? Kenapa adik nangis?” tanya Zulaikha lembut.

“Mama..” budak lelaki itu segera memeluk Zulaikha erat.

Saat itu Zulaikha terpaku, ada satu perasaan menusuk dalam dirinya. Dia melihat wajah budak lelaki itu, persis wajah lelaki yang mati ditembak tadi. Zulaikha ambil keputusan untuk bawa budak lelaki itu ke rumahnya. Malam itu juga Zulaikha berpindah daripada kawasan tersebut dan menghubungi ibu saudaranya untuk tinggal sementara di sana. Jika dia serahkan kanak-kanak lelaki itu pada polis, dia tahu hidupnya pasti akan berakhir di rumah kebajikan atau pun di rumah sanak saudara yang tidak mempedulikannya.

“Kak Ikha nak pindah ke mana?” tanya Safura yang melihat Zulaikha keluar dari rumahnya dengan seorang budak lelaki.

“Nanti Kak Ikha hubungi kamu Safura, akak pergi dulu.” Zulaikha terkocoh-kocoh masuk ke dalam sebuah kereta yang agak mewah.

Dia memandang ke belakang melihat rumah yang meninggalkan seribu kenangan itu, kenangan dirinya dan juga kenangannya bersama anak perempuannya.

“Indah...” perlahan suara Zulaikha menyebut nama itu sambil mengusap kepala kanak-kanak lelaki diribanya yang sedang tidur.

                                **********************

Ting Tong!

Bunyi loceng pintu chalet itu membubarkan lamunan Puan Zulaikha, segera dia membuka pintu.

“Masuklah Darwish, mama tahu kamu akan datang.” Puan Zulaikha memandang Darwish yang ekor matanya memandang pada perempuan yang baru diselamatkannya.

Puan Zulaikha pegang bahu Darwish, “Jangan risau, semuanya selamat.” Puan Zulaikha senyum memberikan kata-kata itu pada Darwish.

“Darwish cuma nak lihat keadaannya saja mama.” Darwish bersuara.

“Mama faham.” Puan Zulaikha senyum lagi.

“Mama!” Darwish faham senyuman mamanya itu.

“Mama nak keluar kejap, Darwish tolong tengok-tengokkan dia, manalah tahu dia sedar nanti.” Puan Zulaikha meminta diri.

Darwish angguk. Puan Zulaikha terus keluar.

“Abang Akram! Abang Akram!” teriak Aisha tiba-tiba, dia memandang ke kiri dan ke kanan. Sasau!

Darwish tersentak! “Cik, cik.. sabar cik. Sabar.” Darwish menenangkannya.

“Siapa kamu? Mana suami saya? Mana suami saya?!” Aisha berteriak lagi, dia bertindak ganas dan cuba bangun.

“Sabar cik, bawa bertenang.” Darwish cuba menghalang.

Plak!

Pintu dibuka, segera Puan Zulaikha memeluk Aisha.

“Sabar cik, sabar.” Puan Zulaikha erat memeluk Aisha menenangkannya.

Tiba-tiba Aisha menangis. Puan Zulaikha membiarkannya, Darwish pula berundur ke belakang.

“Suami saya Puan. Suami saya lemas, bot kami karam. Suami saya...” Aisha merintih.

Puan Zulaikha memegang tangan Aisha, “Sabar cik, bawa bertenang. Ingat Tuhan cik, istigfar.” Puan Zulaikha menenangkan Aisha.

Aisha merasakan dunianya seakan gelap. Kini dia kehilangan Akram orang yang sangat-sangat dicintainya. Baru sekejap dia meniti bahagia namun semuanya diragut tiba-tiba. Aisha tahu dia tidak boleh mempertikai Qada’ dan Qadar Tuhan, tapi mengetahui orang tersayang pergi, sebak hatinya.

“Cik bawa bertenang. Mak cik faham perasaan cik.” Puan Zulaikha terus-terusan cuba menenangkan Aisha.

Darwish pandang Aisha, ada sesuatu yang mahu diberitahunya pada Aisha, dia tahu suami Aisha selamat sebab dia memang nampak seorang lelaki naik ke atas bot selepas bot itu karam. Tapi bila Darwish fikir-fikir balik, tidak mungkin semua itu berlaku secara kebetulan. Kenapa Aisha tidak diselamatkan sekali? Adakah Aisha sengaja dibiarkan lemas? Atau memang suami Aisha merancang semua itu. Banyak yang berputar di fikiran Darwish saat itu.

Sejam kemudian, Aisha ditidurkan kembali setelah dia mengadu pening kepala. Puan Zulaikha masih berada di sisinya.

“Darwish, kita keluar sekejap. Biarkan dia berehat.” Puan Zulaikha memberi arahan.

Darwish menurut. Sebenarnya dia rasa serba salah pada perempuan itu dan pada mamanya tidak memberitahu perkara sebenar yang suami perempuan itu masih hidup.

“Darwish, mama nak kamu buat laporan polis dan cari suami perempuan tu sampai dapat, kalau boleh cari mayatnya... Takkan nak biar macam tu saja.” Puan Zulaikha meminta.

“Mama, kita tak perlu buat laporan polis ma. Suami Aisha tu masih hidup lagi. Saya nampak semalam yang dia naik bot satu lagi. Ini komplot nak membunuh Aisha ma.” Darwish memberitahu ibunya, nada suaranya perlahan.

“Apa?! Apa betul kamu cakap ni Darwish?” Puan Zulaikha terkejut.

“Betul ma. Darwish masih tengah fikir kenapa pula lelaki tu kena selamatkan, sedangkan mereka boleh je waktu tu selamatkan Aisha juga. Lepas dia sedar dan sebut perkataan suami, Darwish banyak fikir. Cuma, buat sementara ni, kita jangan libatkan polis, lagipun dia nampak polos saja, tak mungkin banyak bertanya.” Darwish memberi pendapatnya.

Puan Zulaikha faham.

                                      *************************

Dua hari kemudian..

“Mak cik, saya nak balik ke Kuala Lumpur.” Aisha memberitahu hasratnya

Puan Zulaikha faham perasaan Aisha. Kasihan juga ada melihat Aisha yang terlalu lurus itu.

“Aisha buatlah apa yang patut. Kami bukan polis nak menahan Aisha di sini. Aisha juga punya keluarga sendiri.” Puan Zulaikha lancar menyebut nama Aisha selepas mereka mula berkenalan sesama sendiri.

Aisha pandang Puan Zulaikha, “Saya nak berterima kasih pada anak Puan sebab selamatkan saya. Pada Puan juga sebab menjaga saya. Saya nak minta maaf sebab berkelakuan kasar hari tu.” Aisha kesal.

Puan Zulaikha memandang Aisha dalam, wanita itu sebenarnya cantik. Sayang sekali sudah bersuami, jika tidak Puan Zulaikha sendiri meminangnya untuk Darwish.

“Puan, Puan..” Aisha menegur Puan Zulaikha.

“Oh, ya saya. Minta maaf, mengelamun tadi.”

“Puan boleh temankan saya ke tepi pantai?” pinta Aisha.

“Insya ALLAH boleh.”

Kemudiannya perlahan-lahan Aisha bangun, dia sudah boleh bangun sendiri sejak semalam, teringin benar dia mahu melihat tepi pantai di pulau itu. Puan Zulaikha memapahnya perlahan-lahan. Sampai di tepi pantai, Aisha duduk di sebuah pondok memandang laut, memandang setiap kenangannya bersama Akram. Lama Aisha berada di sana, hingga matahari terbenam.

“Aisha, dah masuk maghrib ni. Kita masuk ya. Nanti malam Aisha boleh keluar lagi.” Puan Zulaikha bersuara.

Aisha angguk dan faham.

Kemudiannya pada sebelah malam. Puan Zulaikha dan Darwish menemani Aisha di tepi pantai itu. Tidak banyak yang mereka bualkan. Aisha asyik memandang pantai. Tiba-tiba ada beberapa ekor kelip-kelip mendekati Aisha.

“Kelip-kelip...” Aisha bersuara sendiri, kemudian dengan kudrat yang ada, Aisha mendekati kelip-kelip tersebut.

Kemudiannya kelip-kelip itu kian banyak mendekatinya, Aisha terpegun. Namun setitis air matanya tumpah, teringatkan Akram yang sukakan kelip-kelip.

“Kelip-kelip, andai kau sampai ke syurga, kau kirimkan salamku pada suamiku.. dia amat-amat menyukai kamu semua..” pesan Aisha pada kelip-kelip di hadapannya, dia mengambil seekor kelip-kelip, teringat akan kata-kata Akram.

‘Sebab saya nak jadi kelip-kelip awak. Malam siang saya ada.’

Sekali lagi air mata Aisha tumpah, tidak dapat dia gambarkan perasaannya waktu itu. 

Puan Zulaikha dan Darwish hanya memerhatikannya. Darwish rasa dia sudah keterlaluan sebab merahsiakan hal sebenar pada Aisha, segera dia bangun mendekati Aisha ingin memberitahu apa yang dilihatnya  dua hari lalu...



bersambung....

p/s -- Terima Kasih singgah baca karya saya. Maaf jika ada kekurangan ya. Harap anda semua sihat-sihat hendaknya. Moga ceria-ceria selalu bak pelangi nan indah. ^__^

2 comments:

Unknown said...

ayim boleh tak nak request darwish as heroo?hehehe

Fatrim Syah said...

Gulp! Nanti tengok draft nya balik, ekekeke.. ^__^