~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Wednesday 16 October 2013

E-Novel 'KELIP KELIP' (Bab 2)




BAB 2
KELIP KELIP

“CEPAT Akram, cepat naik!” Syura menarik tangan Akram secepatnya, Akram masih terpinga-pinga memandang Syura datang tiba-tiba bersama botnya.
Akram memandang ke kiri dan kanan, “Tapi Aisha macamana?” tanya Akram risau.
“Awak suka atau tidak anggaplah dia dah mati.” Syura bertegas.
“Tapi bukan awak suruh saya bawa dia ke pulau tu?” tanya Akram lagi.
Syura senyum, “Awak jangan buat-buat polos pula Akram. Siapa yang rancang semua ni. Sudah! Jangan banyak cakap. Naik! Kita kena pergi dari sini secepatnya! Takut ada orang nampak pula.” Syura mengarah memandang Akram.
“Tapi aku tak naklah dia mati tragis macam ni sampai mayat tak jumpa.” Akram bersuara lagi selepas naik.
Syura geleng kepala, “Awak sayang saya atau tak? Awak suka atau tak awak dah terlibat Akram. Awak yang beritahu saya Aisha takutkan laut dan tak tahu berenang. Awak pun tahu tentang rencana kita. Kalau awak buka mulut, awak pun akan turut sama terseret dan nama baik awak juga yang akan terjejas.” Syura mengingatkan Akram.
“Tapi aku bukan pembunuh.” Akram seakan kesal.
“Sudah! Awak jangan berdrama pula dekat sini. Awak baru saja terlibat dalam satu pembunuhan Encik Akram Rahim. Itu kenyataannya!” Syura tegas.
Akram geleng kepala sambil melihat sekeliling. Semua kenangan bersama Aisha pudar dan menghilang begitu sahaja.
“Jali, awak tunggu apalagi. Jalan!” arah Syura pada pemandu bot mereka.
“Nah tuala untuk awak. Nanti pandai-pandailah awak cakap dengan keluarga awak pasal dia. Yang saya tahu saya akan berada dalam rumah tu sebelum hujung minggu ni bersama Daniel. Saya dah puas bersabar selama setahun Akram. Saya nak jadi isteri yang diiktiraf, bukan macam perempuan simpanan awak! Ingat janji kita Akram.” Syura memandang mata Akram sekali lagi.
Akram cair memandang Syura menjelingnya, dia tersenyum, “Saya ingat sayang.” Akram menarik tangan Syura dan memeluknya, setitis bayangan Aisha pun sudah tidak diingatnya lagi.
Bot mereka berlalu meninggalkan bot yang karam tadi terhuyung hayang dan juga Aisha yang mungkin sudah berada di dasar laut dan takkan diingati sesiapa selepas itu...
                                    *************************
“Kelip-kelip ni untuk Cik June...” Akram memberikan June botol berisi kelip-kelip di dalamnya.
June geleng kepala, “Awak jangan tangkap kelip-kelip ni. Dilarang tahu!” marah June.
“Saya tahu Cik June akan marah saya. Sebab tu saya tangkap kelip-kelip ni untuk Cik June. Supaya kita sama-sama lepaskan mereka.” Akram senyum memandang June.
June herot mulut pandang Akram, “Baik tak payah tangkap tadi, awak ni...” June meleter.
“Saya tangkap kelip-kelip ni untuk kita sama-sama tengok keindahan yang Tuhan cipta. Walau sementara hidupnya tapi bawa kebahagiaan yang berganda-ganda..” Akram bermadah.
June senyum lagi, dalam fikiran June, entah apa-apalah lelaki yang satu itu merepek bagai.
“Marilah, nanti mati pula mereka.” Akram mengajak June ke tepi sungai.
June hanya menurut.
“Nah, Cik June lepaskan mereka...” Akram memberi botol kaca itu kepada June.
“Kenapa pula saya? Awak yang tangkap tadi kelip-kelip ni. Awaklah yang kena lepaskan.” June mengelak.
Akram senyum angkat-angkat keningnya, “Tapi Cik June pun bersubahat sama. Cik June pun nampak dan pegang botolnya sekarang kan? Kalau naik mahkamah, Cik June pun akan disabitkan sama tahu.” Akram serkap jarang.
“Hish awak ni,” marah June kemudian membuka penutup botol kaca itu perlahan-lahan.
“Cik June lepaskanlah mereka perlahan-lahan, lepas tu beritahu pesanan Cik June pada mereka...” Akram mengarah lagi.
“Ha?!” June hairan.
“Saya dah hantar pesanan saya. Saya minta pada mereka supaya sampaikan niat saya pada Tuhan supaya saya dapat kahwin dengan Cik June.” Akram serius.
June tersentak, “Akram, apa awak cakap ni? Awak jangan main-main boleh tak?” tanya June memandang Akram.
“Saya tak main-main Cik June. Saya memang nak kahwin dengan awak.” Akram memandangnya.
June cuba berfikiran waras dan kemudian memberikan botol kaca yang berisi kelip-kelip kepada Akram dan beredar daripada situ secepatnya.
“Cik June, awak nak ke mana? “ tanya Akram memandang June yang sudah hilang, mahu tak mahu dia perlu melepaskan kelip-kelip dalam botol kaca itu terlebih dahulu.
“Kelip-kelip semua.. terbanglah ke mana-mana kamu suka, bawalah bahagia untuk semua. Kirim salam sekali untuk Cik June ya..” Akram bergurau dan kemudian meninggalkan tempat itu.
June yang berada di balik pokok tidak jauh daripada situ hanya senyum sendiri, kemudian dia melihat Akram beredar mencarinya..
“Cik June.. Cik June.. awak dekat mana? Tak takut rimau ke? Cik June...” panggil Akram sambil menoleh ke kiri dan ke kanan dalam kegelapan yang hanya diterangi oleh kelip-kelip.
June ketawa memandangnya.
                                  ***********************
Darwish mengambil teropongnya kerana kebosanan. Ibunya mengajak dia bercuti di pulau itu untuk menghilangkan tekanan kerja sekaligus mengubat hatinya yang kecewa akibat putus kasih. Darwish ke tepi pantai dan meneropong sekeliling, pada saat itulah dia ternampak bot karam di depan matanya. Namun, baru Darwish hendak membantu, dia melihat ada sebuah bot menuju ke arah tempat itu. Niat Darwish untuk memberikan bantuan dibatalkan. Darwish teropong pada bot itu sekali lagi, hanya ada seorang lelaki yang naik, kemudiannya bot itu beredar. Darwish tersentak, tadi dia melihat ada seorang wanita juga dalam bot tersebut tapi di mana dia. Segera Darwish ke tepi pantai dan menuju ke arah sebuah bot.
“Tolong saya! Ada bot karam dekat sana. Cepat!” teriak Darwish.
“Baik! Encik cepat naik!” arah pemandu bot tersebut.
Darwish naik dan enjin bot segera dihidupkan. Dia meneropong ke arah tempat bot karam itu dan melihat kalau-kalau dia ternampak wanita yang dilihatnya dalam bot karam tersebut.
“Cepat pak cik! Cepat!” arah Darwish cemas.
Bot dilajukan lagi dalam kelajuan yang tinggi, Darwish masih mencari dan mencari.
“Betul ke ada bot karam ni encik?” tanya pemandu bot itu ingin kepastian.
“Pak cik tengok tu.” Darwish menunjuk ke arah beberapa cebisan papan-papan bot dan selainnya.
Pemandu bot itu tersentak, dia mendekati tempat tersebut. Darwish menoleh ke kiri dan ke kanan.
“Tadi ada bot datang sini, saya teropong dari tepi pantai tadi. Yang lelakinya selamat tapi saya tak nampak pula yang perempuan. Dalam bot tu ada lelaki dan perempuan masa karam.” Darwish memberitahu.
“Kita usaha cari, pak cik tak boleh hidupkan enjin bot, takut nanti perempuan tu terkena kipas enjin pula.” Pemandu bot itu memberitahu, Darwish faham.
Namun, selepas setengah jam, perempuan yang Darwish cari tidak mereka temui. Darwish kecewa.
“Mungkin saya salah tengok tadi agaknya. Kita baliklah pak cik. Maaf pak cik.” Darwish meminta maaf.
Pemandu bot itu faham dan terus menghidupkan enjin. Darwish menoleh untuk kesekian kalinya. Tiba-tiba dia ternampak cardigan terapung-apung, dia melihat ke arah serpihan bot tadi dan juga bot yang karam. Darwish tersentak, dia terlihat kepala seorang wanita.
“Bushh!”
Segera Darwish terjun.
“Encik!!” pemandu bot itu terkejut melihat tindakan Darwish lalu menghentikan enjin botnya dan melihat ke arah Darwish.
Darwish sedaya upaya berenang dan mendapatkan perempuan tersebut, dia risau sekiranya perempuan itu  lemas dan sudah kenapa-kenapa. Sampai saja di sana, Darwish terus memanggil pemandu bot itu.
“Pak cik, cepat sini! Cepat!” arah Darwish dengan suara lantangnya, dia memeluk perempuan itu, kepala perempuan itu dibahunya.
Segera pemandu bot itu mendekati mereka dan menghulurkan bantuan.
“Kita naikkan dia dulu, cepat, kita kena pastikan keselamatan dia dulu,” arah pemandu bot tersebut menarik perempuan itu naik ke atas.
Setelah perempuan itu dinaikkan, Darwish pula naik. Darwish kemudiannya menyuakan jarinya ke hidung perempuan itu namun tidak mengesan apa-apa. Darwish geleng kepala.
“Encik, pak cik rasa dia ni masih hidup lagi, kalau tak mesti dah biru mukanya. Encik cuba buat CPR. Encik buka mulutnya dan kemudian tekan dadanya berkali-kali. Cuba encik, Insya ALLAH, kita bermohon pada ALLAH swt.” Pemandu bot separuh umur itu memberi harapan.
Darwish faham, kalimah Bismillah dibaca, kemudiannya dia mengikut apa yang disuruh oleh pemandu bot tersebut. Namun, perempuan itu masih juga tidak memberikan sebarang reaksi dan Darwish tidak pula mengesan apa-apa pernafasan.
“Dari dia kita datang, kepada dialah juga kita kembali. Jika sudah ketetapan Tuhan. Innalillahhiwainnailaihiwajiuun...” Pemandu bot itu faham perasaan Darwish.
Darwish kesal. Kalaulah dia menghulurkan bantuan lebih cepat tadi pasti perempuan itu selamat. Darwish duduk di tepi perempuan itu memerhatikannya. Rasa kasihan menggunung di hatinya. Kemudiannya Darwish cuba lagi.
“Ya ALLAH, Ya Rabb, yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Andainya ada separuh umurku lagi, kau berikanlah pada perempuan di hadapanku ini separuh umurku itu untuk dia bernafas kembali...”
Darwish cuba lagi menekan dada perempuan itu perlahan-lahan dengan sebuah harapan.
“Uhuk!”
Darwish tersentak!

bersambung...

p/s -- Macamana sambungan SESUCI ANGIN SYURGA untuk bab ini? Rasa geram tak? Macam-macam rasa yang ada kan? Terima Kasih sudi singgah baca. Jika tak keberatan boleh turunkan komen juga. Jangan lupa mengundi saya dekat sini ---> Anugerah Novelis "NEWCOMER" 2013.

6 comments:

Fatrim Syah said...

Hai semua~~

Hari ni takde komen sebab semua dah komen kaw-kaw kat FB ya? Ada yang kata AKRAM tu mental, ada yang nak tumbuk.

Bila manusia seperti AKRAM buta mata hati begitulah hasilnya.

Insya ALLAH akan perbaiki lagi cerita ini. Jika ada kekurangan, saya minta maaf.

Selamat Membaca!


FATRIM SYAH. ^_^ ^_^ ^_^

Anonymous said...

Hi Ayim,

Akak dah baca 2 bab Kelip-Kelip ni. Kalau ada Akram depan akak, akak nak flying kick dia!

Sambung cecepat ya.

Fatrim Syah said...

Terima Kasih singgah baca kak. ^__^

Bawa bertenang kak. Walaupun..kan.. walaupun. Saya pun sama nak flying kick dia, ekekeke. Insya ALLAH akan sambung secepatnya.

FATRIM SYAH. ^_^

Unknown said...

sumpah rasa nk rejam je si akram tu,syura pun sama...nyampah

Fatrim Syah said...

nurul nuqman ~~ Sabar naa, sabar. Setiap apa yang dibuat pasti ada balasannya.

thanks singgah komen. ^__^

Unknown said...

Perghhhhhhh...kejam gila babas...geramnya...Syura tu mengong...
Apa pun Darwish memang Swet gile...
Suka ayat dia
"kalaulah ada lagi sepruh nyawa dia, berikanlah pada pmpn tu.Waaaaa....
makin terujas...sambung bab 3 lak...