******* PRE ORDER dengan Penerbitan BESQ dibuka sehingga 3 Oktober *******
BAB 1
BAZLI memandang
cermin, tidak ada yang kurang pada wajahnya. Adalah juga sikit-sikit macam
wajah pelakon Hisyam Hamid punya kembar lain mak lain ayah. Entah, apabila
difikirkan soal cinta, dialah yang paling malang sekali. Balik-balik putus di
tengah jalan. Ada juga dia terfikir, mungkinkah sebab dia tidak berkerjaya
hebat seperti juruterbang ataupun doktor menyebabkan para-para bekas teman
wanitanya itu beranggapan dia tidak mampu memberi kehidupan yang lebih baik.
Tapi, itupun bukan
faktor penentu, kalau mahu dibandingkan dia dengan pramugara muda yang lain,
mereka lebih ‘playboy’ dari dia,
teman wanita keliling pinggang, malah yang kahwin dengan artis pun ada. Jadi,
dia pun tidak tahu apa sebabnya. Dia bukanlah mahukan wanita yang hebat
sempurna serba serbi bak Ratu Dunia atau ‘supermodel’ cantik sempurna pinggang
ramping bak kerangga. Bagi Bazli, cukuplah sekadar seorang wanita yang menerima
dirinya seadanya. Bazli pasrah. Umur sudah masuk 27 tahun, lagi 3 bulan masuk
28 tahun, kawan-kawannya yang lain semua sudah ada anak dua, yang mahu ada cucu
pun barangkali sudah dalam perancangan. Dia sendiri pasrah kalau tidak kahwin
sampai tua.
“Malas nak fikir
soal cinta lagi, kalau ada, adalah.” Bazli nekad. Tapi bukannya bermaksud dia
akan bertukar orientasi kepada lelaki pula.
‘Minta simpang!’ desis hati kecilnya sambil
geleng kepala.
“Bazli, Bazli...”
Bazli terdengar
suara ibunya memanggil di luar pintu biliknya. Segera dicapainya baju untuk
disarungkan ke badan.
Bazli tarik nafas,
baru mahu berangan kacak depan cermin, “Kejap, kejap mak, Bazli tengah pakai
baju ni...” sahutnya pantas.
Bazli melangkah
malas, bukannya apa, dia penat baru balik dari lapangan terbang tadi. Kebetulan
pula di kondonya tiada air, ada renovation
sikit, makanya straight sajalah dia
pandu kereta ke rumah mak ayah dia. Mamanya banyak kali juga bebel, sewakan
saja kondo itu dan tinggal bersama mereka. Tapi Bazli mahu berdikari sendiri
dan mahu juga privasi sendiri. Lagipula umurnya makin meningkat. Nanti apa kata
orang anak bujang trang trang masih
tinggal dengan ibu bapa. Kawan-kawannya yang lain pun sudah tinggal sendiri dan
ada juga yang menyewa beramai-ramai.
Bazli memusing
tombol pintu, “Ya mama, ada apa ni?” tanya Bazli sopan, memandang ibunya yang
tidak makan dek usia itu, sekali pandang memang ada iras-iras Rozita Che
Wan pelakon meletop tu, pernah kawan-kawannya yang tidak mengenali keluarganya
mengatakan ibunya itu teman wanitanya semasa mereka keluar bersama, paling
kurang pun dikatanya Bazli anak ikan kepada Mak Datin Jelita. Bazli pun satu,
sudah besar pun nak berpimpin tangan kalau berjalan dengan mamanya. Tapi biasalah
lumrah hidup sebagai pramugara, macam-macam gosip. Bazli hanya mampu ketawa.
Yang Bazli tahu ibunya itu keturunan Siam, so,
no wonderlah kan kenapa ibunya itu cantik. Apalagi bila umur mamanya baru
masuk 47 tahun, helo? Ella penyanyi rock yang umur 50-an tu pun masih cantik,
apalagi wanita di luar sana kan?
“Asal
lambat sangat buka pintu. Turunlah makan, mama ada special guest hari ni,”
lembut mamanya memberitahu.
Lain macam saja
senyuman ibunya hari ini, Bazli mengerut dahi. Entah siapalah yang datang.
“Okey, kejap lagi
Bazli turun, tak mandi lagi ni..”
Puan Munira geleng
kepala, “Anak bertuah, dari tadi buat apa? Cepatlah...” Puan Munira membebel
sambil tersenyum simpul dan menolak Bazli menyuruhnya cepat bersiap. Apakah?
Bazli pula
mengherot mulut sendiri. Entah-entah ada kejutan harijadinya barangkali. Tapi,
harijadi Bazli 3 bulan lagi. Ke, ada rombongan meminang ke merisik, ish-ish,
silap, Bazli bukan anak dara. Takkanlah Mira adik perempuannya itu pula yang kena
risik, macam awal pula, Mira baru masuk tahun kedua dalam ijazah undang-undang
syariah di UM. Ke, Mira nak kahwin awal, aish! Langkah bendul camni. Dan...
akan menampakkan pula yang dia ni memang tak laku-laku. Bazli malas nak fikir,
dia terus ambil tuala dan masuk bilik mandi.
10 minit kemudian
Bazli turun ke bawah, dia lihat ada seseorang yang dia kenal berada di sana.
“Ha Bazli, bersiap
kalah anak dara. Salam aunty Julia
ni,” arah Puan Munira pada anaknya, Bazli apalagi, menurut saja. Dia pandang aunty Julia yang masih macam dulu,
biasalah kawan mama dia, pastilah seangkatan gerak gayanya.
Kemudiannya Bazli
menarik kerusi, duduk, sopan sungguh lagaknya, ala-ala lelaki Melayu terakhir
gitu. Macam diajar-ajar pula.
“Ha Juwita, jumpa bilik
airnya?” tanya Puan Munira pada seorang perempuan muda yang baru datang dari
belakang Bazli. Mahunya Bazli terkejut, dia kenal nama itu, kenal sangat!
“Haah
aunty,” jawab Juwita ringkas.
“Kenalkan, ini
anak sulung aunty; Bazli, kamu pun
dah kenal time kecik-kecik dulu kan. Bazli baru balik dari Bali petang tadi, ada flight ke sana. Ha, Bazli, ni Juwita,
anak aunty Julia, takkanlah tak kenal
kan, dulu masa kecik selalu main sama-sama, main kahwin-kahwin gitu...” tu dia
Puan Munira, macam ada apa-apa saja sebut kahwin bagai, Bazli pula tetiba
tunduk-tunduk macam kucing comel walaupun excited
nak mampus lagi-lagi bila tengok Juwita yang cun melecun tu.
Bazli melempar
senyuman dan senyuman itu dibalas oleh Juwita lembut. Wajah Juwita yang putih
melepak ala-ala pelakon sensasi Neelofa itu menggamit perhatian Bazli. Ah! Tadi
sudah nekad tak nak jatuh cinta, ni sekali tengok perempuan dah cair macam
coklat. Adoi!
“Assalamualaikum...”
Encik Mansor; ayah Bazli memberi salam sebaik membuka pintu rumahnya.
“Waalaikumsalam...”
jawab mereka yang ada di meja makan serentak.
Encik
Mansor melempar senyuman dan terus ke meja makan.
“Oh, ada tamu..
Hai Puan Julia, mana Encik Sallehudin?” tanya Encik Mansor, formal ber Encik-Puan
bagai.
“Ada
hal katanya, dia kirim salam tak dapat datang. Insya-Allah lain kali dia
datang.” Puan Julia menjawab sambil melempar senyuman.
Encik Mansor memandang Juwita, “Ni,
anak ya? Dah besar... mesti tak ingat dengan uncle lagi kan. Iyalah, kali terakhir jumpa 15 tahun lepas.”
Bazli jeling ke
arah ayahnya, ‘Amboi papa, jangan tenung-tenung! Itu saya punya! Insya-Allah
lah kot,’ gumam Bazli sendiri,
berangan!
Hendak dipendekkan
cerita, Puan Julia dan Puan Munira sebenarnya pernah membuka satu butik
kecil-kecilan bersama-sama masa muda-muda dulu, sekadar cuba-cuba. Modal pun
duit simpanan. Mereka bukanlah anak Dato’, Tan Sri, cuma anak kampung biasa
yang datang ke bandar mencari rezeki, nasib baiklah masa tu mereka berdua
bekerja secara sambilan sebagai peragawati di sebuah syarikat modeling. Kalau
butik tak banyak untung bolehlah hasil modeling itu sekadar cukup-cukup makan.
Bila Puan Munira
dan Encik Mansor berkenalan dan mahu berumahtangga, tidak sangka pula Puan
Julia dan Encik Sallehudin kawan baik mereka tu pun jatuh cinta sama-sama.
Apalagi, nikah serentaklah mereka, itupun nikah di pejabat agama sahaja. Masa
itu zaman sukar mereka, butik bankrap, Encik Mansor dan Encik Sallehudin pula
kena buang kerja sebab kegawatan ekonomi masa tu, mahu tak mahu untuk berjimat,
mereka tinggal satu rumah sewa berniaga kecil-kecilan. Bila lebih 10 tahun
tinggal bersama, ada rezeki sikit, anak-anak pun semakin membesar, mereka pun
mengambil keputusan tinggal berasingan. Encik Sallehudin pula memohon kerja di
kampung halamannya di Pahang, lalu membuatkan mereka terpisah. Itulah kisah
pendek persahabatan empat sekawan itu. Dan kini Encik Mansor membuka syarikat
pelancongan manakala Encik Sallehudin membuka syarikat perabot.
“Juwita kerja apa
sekarang?” tanya Encik Mansor lagi.
“Saya buka butik
fesyen uncle, bolehlah.. dulu dekat
universiti ambil jurusan rekaan fesyen.” Juwita memberitahu.
“Hai Puan Julia,
manalah tumpah nasi tu kalau tak ke kuah kan...” sindir Puan Munira pada kawan
lamanya.
“Mama borek anak
rintik gitu, penyambung delegasi waktu kita muda-muda dulu...” sambut Puan
Julia sambil ketawa sesama mereka kerana teringat zaman muda-muda mereka.
Mata Puan Julia
memandang Bazli yang asyik memandang Juwita dari tadi, tak berkedip.
Sengaja disapanya
Bazli, “Bazli diam saja, macamana kerja? Mesti sibuk kan? Dah lama jadi FA?
Mesti best kan dapat melancong
seluruh dunia...” tanya Puan Julia mesra.
Bazli diam, Puan
Munira memukul tangannya. Dahi Bazli berkerut, cuak pun ada.
“Aunty Julia tanya tu.” Puan Munira
memberitahu.
Bazli senyum
pandang aunty Julia dan jawab. “Err...
Haah, Alhamdulillah aunty, okey saja,
saya okey,” jawab Bazli penuh dengan rasa terketar-ketar, nasib baiklah dia
cepat-cepat menyembunyikan rasa gemuruh tadi. Dia pandang Juwita senyum-senyum.
Alahai!
‘Nasib baik...
jatuh saham yang memang tak laku ni.. ish, malunya.. malunya..’ gumam Bazli sendiri,
mesti Puan Julia perasan Bazli tenung anaknya tadi, manakan tidak mereka duduk
berhadapan, kemudian dia minum air yang dihidangkan perlahan-lahan.
Puan Julia dan
Puan Munira angkat kening ada isyarat dan kemudian senyum sesama sendiri.
Usai makan, Juwita
ke balkoni untuk ambil angin. Kemudiannya Bazli ke balkoni juga, sesaja menyapa
Juwita. Dulu masa kecik-kecik, mereka berdua selalu main kahwin-kahwin,
kadang-kadang main masak-masak, kadang-kadang lawan pedang dan banyaklah
kadang-kadang lagi yang Bazli tak lupa. Juwita masa kecik dulu lasak sikit,
semua benda dia main, baik main bola mahupun baling selipar termasuklah main
mercun. Bila besar, tak sangka pula jadi rupawan gitu. Kalau mahu dibandingkan
dulu dan sekarang macam langit dan bumi.
“Hai Juwita, ingat
saya lagi?” tanya Bazli yang tadinya serba salah menegur.
“Awak ni Bazli,
takkanlah boleh lupa pula...” Juwita menjawab sambil mengelus rambutnya yang
ikal mayang.
Bazli ketawa
kecil.
Juwita pandang
Bazli, “Budak nakal yang selalu buat saya nangis, ejek saya tomboi macam lelaki,” sambung Juwita.
“Kuatnya memori
awak, boleh pula ingat lagi. Hahaha...” Bazli ketawa sendiri.
Juwita memandang
Bazli, “Awak ni, kenapa tak kahwin lagi? Dulu ramai betul orang minat awak kan
masa sekolah,” tanya Juwita, cepu emasnya soalan.
“Belum sampai seru
lagi, nak buat macamana... awak?” tanya Bazli pula.
Kau.. sempurna bagiku..
Tak kurang sesuatu..
Kau terima apa adaku..
“Bazli, Excuse ya...” Juwita memberi isyarat
pada Bazli untuk menjawab panggilan telefon itu dan meninggalkan Bazli di sana.
Sementara itu Puan
Julia dan Puan Munira yang berada di dapur sibuk bercerita tentang Bazli dan
Juwita.
“Nampak sesuai
Bazli dan Juwita tu kan?” Puan Julia sengaja memulakan cerita.
“Awak pun perasaan
ya Puan Julia. Anak saya tu okey saja, kalau saya cakap mesti dia nak punya.
Lagipun dia tu hanya bercinta dengan kerja dia memanjang. Anak awak pula
macamana Puan Julia?” tanya Puan Munira.
“Anak saya pun
sama, sibuk di butik dia tu mengalahkan menteri.”
“Kalau kita
jodohkan mereka berdua tu mesti bagus. Kita berbesanlah ya...” Puan Munira
sakan bercerita.
Juwita yang
kebetulan lalu di situ mendengar kata-kata ibunya dan Puan Munira. Tiba-tiba
saja dia risau. Ada sesuatu yang bermain-main dalam kepalanya, ini semua takkan
dibiarkannya terjadi! Kemudiannya sambil berjalan dan memikirkan perbualan yang
baru didengarinya, Juwita rasa pandangannya berpinar-pinar dan kepalanya seakan
pening. Juwita memegang tiang di depannya tetapi akhirnya matanya tertutup.
Bazli yang
kebetulan mahu ke dapur memandang Juwita dari jauh, dia melihat Juwita
tiba-tiba terjatuh.
“Juwita!”
teriaknya.
Puan Munira dan
Puan Julia terkejut dengan teriakan Bazli yang agak kuat, mereka keluar dari
dapur. Mereka terkejut melihat Juwita pengsan di sana.
“Juwita, bangun
nak.. Juwita.. bangun nak.. bangun...” Puan Julia kelihatan risau, dia
memandang Puan Munira.
Bazli sampai di
sana, “Mama, ambil air masak dalam gelas,” arah Bazli.
Segera Puan Munira
ke dapur dan membawa segelas air.
“BismillahIrahmanIrrahim.. wamai
yattakillah.. ha yajAllahumakraja...” Bazli membaca Ayat Seribu Dinar dan
kemudian merenjis air di wajah Juwita. Perlahan-lahan Juwita membuka matanya.
“Juwita tak
apa-apa?” tanya Puan Julia yang masih risau.
“Tak ma, Juwita
penat sikit saja, kita balik ya ma,” pinta Juwita.
“Okey, okey, kami
balik dulu ya Puan Munira, Bazli, terima kasih ya..” Puan Julia mengucapkan
terima kasih, Bazli dan Puan Munira menemani mereka hingga ke kereta.
Bazli
senyum-senyum sendiri, tidak sedar perlakuannya itu diperhatikan ibunya sebaik
Juwita dan ibunya beredar.
Puan Munira
menguis lengan anaknya, “Suka?” tanya Puan Munira sambil angkat-angkat kening
senyum penuh makna.
“Tak adalah,
apalah soalan mama ni.” Bazli menafi.
“Baik. Kalau macam
tu tak payahlah mama dan aunty Julia
bincang lagi.” Puan Munira sengaja menarik perhatian Bazli.
“Mama nak bincang
apa?” tanya Bazli ingin tahu.
Puan Munira masuk
ke dalam, sengaja tak menjawab. Bazli pula terkocoh-kocoh mengejar ibunya.
“Mama!”
“Tunggulah
masanya. Dah, mama nak masak ni.” Puan Munira terus ke dapur.
“Assalamualaikum?”
seseorang memberi salam.
“Waalaikumsalam..”
Bazli menjawab sambil memandang Mira adik perempuannya yang baru balik kuliah.
“Siapa yang datang
tadi?” tanya Mira apabila melihat ada gelas yang belum dibasuh.
“Bakal kakak ipar
kamu.” Puan Munira terus menjawab.
“Mama!” Bazli
segan-segan.
“Kakak ipar? Wah!
Baguslah, tak lama lagi meriahlah rumah kita ni dengan kanak-kanak kan ma?”
Mira sengaja bergurau.
“Dahlah, Bazli nak
naik bilik. Mama dan Mira ni memang sengaja mengusik Bazli.” Bazli mengherot
mulut.
“Ala abang ni,
macam anak dara nak naik bilik bagai.” Mira mencelah.
“Malu tapi mahu
lah tu..” Puan Munira menambah lagi.
“Mama!”
Bazli geleng
kepala memandang mereka yang sedang ketawa dan terus naik ke biliknya, tapi
dalam hati dia senyum sendiri, hatinya berbunga riang!
“Yes!” Bazli bersuara perlahan dan buat
aksi macam nampak bola masuk gol!
Sementara itu di
dalam kereta, Juwita memandang ibunya Puan Julia.
“Mama, apa mama
cakap dengan aunty Munira tadi? Nak
pasangkan Juwita dengan Bazli?” tanya Juwita.
Puan Julia
tersenyum, “Haah. Sukalah tu kan?” tanya ibunya pula.
Juwita senyum
sendiri, ada sebab untuk dia menerima cadangan ibunya itu. Mulanya memang dia
rasa tak setuju, tapi bila memikirkan sebab yang kukuh itu sambil mengusap
lembut perutnya. Juwita rasa, ini adalah satu peluang untuknya, ini adalah
jalan terbaik untuknya menutup suatu hal yang baru disedarinya semalam sebelum
terlambat. Lagi cepat lagi baik.
VIDS PROMO NOVEL BUNGA TERAKHIR
P/S - PRA PESAN boleh dibuat dengan menghubungi PENEBITAN BESQ di laman facebook. Selain itu kunjungi PESTA BUKU SOGO yang masih berlangsung sehingga 3 Oktober 2016 nanti ^_^
No comments:
Post a Comment