~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Saturday 1 February 2014

NOVEL GAUN CIK BOS TUXEDO MR SECRETARY (BAB 5)


BAB 5

DUA hari kemudian Danish dibenarkan keluar dari hospital, lega hati Adam. Semasa Adam mahu membayar kos perubatan, jururawat bertugas memberitahu semua kos perubatan telah dibayar. Adam menjangkakan sudah pasti lelaki yang membantunya hari itu telah membayarkan sekaligus bil perubatan Danish. Adam tidak sempat pun bertanya nama lelaki tersebut tempoh hari untuk mengucapkan terima kasih, kalau tidak kerananya pasti Danish sudah kenapa-kenapa. Seketika kemudian Adam dihubungi oleh syarikat bengkel memberitahu motosikalnya telah siap dibaiki. Lega Adam. Adam keluar dari hospital membawa Danish menaiki sebuah teksi menuju ke rumahnya.
Nadia dan Kak Pah yang sudah menanti-nanti kedatangan Adam dan Danish menyambut mereka dengan gembira. Kepala Danish diusap dan dicium, Kak Pah membawa Danish. Mereka semua masuk ke dalam rumah Adam.
Adam melihat keadaan rumahnya yang agak tunggang langgang dan menjemput Kak Pah dan Nadia. “Masuklah Kak Pah, Nadia. Maaf, bersepah sikit.”
Kak Pah memandang sekeliling dan usai faham. “Ish, takpelah Adam. Akak tahu kamu takde orang rumah.”
Kemudiannya Adam berdiri dan  berjalan masuk ke dalam dapur.
“Abang Adam takpelah, biar Nadia yang buat.” Nadia menegah Adam. Adam akur dan kembali duduk. Kak Pah hanya tersenyum. Danish diletakkan di salah sebuah kerusi, dia kelihatannya mengantuk.
Kak Pah melihat Nadia sudah masuk ke dalam dapur. “Adam, Kak Pah bukannya menyampuk hal Adam. Tapi kalau ada orang rumah, senang sikit. Dapat juga si Danish ni rasa kasih sayang seorang mak.” Kak Pah cuba mencadang.
“Ish Kak Pah ni, belum sampai seru lagilah Kak. Takpelah saya membujang dulu.” Adam menjawab dalam nada bergurau.
“Seru tu dah sampai, saja buat-buat tak nampak...” sengaja Kak Pah memberi petanda dan menjeling-jeling ke arah anak buahnya yang rajinnya lain macam.
Seketika kemudian, Nadia sampai bersama seteko air teh. Dia menghidang teh tersebut.
“Abang Adam, Makcik. Minumlah.”
Nadia duduk di sebelah Kak Pah.
“Nadia kata nak sambung belajar. Dah daftar ke?” Adam bertanya.
“Sudah abang Adam. Dah mula kuliah pun semalam.” Nadia menjawab.
“Baguslah. Belajar rajin-rajin tau.” Adam memberi pesanan ibarat seorang abang memberi nasihat kepada seorang adik.
Kak Pah tersenyum simpul seolah-olah ada makna. Kemudiannya dia membelai kepala Danish yang agak lena tidur.
Beberapa minit kemudian, Kak Pah meminta diri. “Kak Pah balik dululah Adam. Jom Nadia.”
“Cepatnya kak.”
“Kalau Kak Pah dengan Adam takpe, ni ada Nadia, kang lain anggapan jiran-jiran. Takpe, Kak Pah balik dulu. Jaga Danish tu, jangan lupa bagi dia makan ubat ikut waktu.” Kak Pah berpesan.
“Okey.” Adam menjawab sambil menunjukkan wajahnya yang jernih. Amboi Kak Pah sempat pasangkan orang.
‘Manalah aku ni sesuai dengan Nadia tu, Kak Pah ni...’ Adam berkata sendirian sambil memandang Kak Pah dan Nadia, sempat Nadia yang bertudung labuh itu menoleh memandag Adam.
Pantas Kak Pah menarik tangannya, Nadia melemparkan senyuman. Aish! Boleh gugar hati lelakinya. Adam senyum sendirian dan masuk lalu mengangkat Danish ke dalam bilik. Anak kecil berumur 3 tahun itu umpama anugerah di dalam hidupnya. Adam membelai kepala Danish. Ada juga benarnya kata-kata Kak Pah tadi, tapi lebih baik dia menumpukan untuk mencari pekerjaan tetap, menjaga anak orang bukannya senang. Maintanence diri sendiri pun cukup-cukup makan, nak pula ada bini bagai. Memang habuklah poket tak sampai hujung bulan.
Usai menyelimutkan Danish, Adam mengemas rumahnya. Dia membawa baju-baju kotornya dan memasukkan ke dalam mesin basuh. Semasa sedang meletakkan salah satu jaketnya, sesuatu jatuh dari kocek baju. Adam mengambilnya. Dia membaca kad nama yang jatuh itu dan barulah dia teringat, sepatutnya dia menghadiri interview secretary beberapa hari lalu. Adam pasrah, mungkin bukan rezekinya mendapat pekerjaan itu. Walau apapun, Adam menyimpan kad nama tersebut, manalah tahu ia akan diperlukan.
*************
“Pingg!!”
Gelas yang dipegang Khalisah di ruang pantry pejabatnya terjatuh. Perasaannya seolah tidak enak. Semua staf agak terkejut. Rafida berlari menuju ke pantry dan melihat Khalisah sedang membersihkan gelas yang bertaburan jatuh.
“Kenapa ni Lisa?” Rafida bertanya.
“Tadi gelas ni terlepas dari tangan aku, nasib baik aku tak isi air lagi.”
“Kata orang kalau gelas terjatuh ke, pinggan terjatuh ke, petanda tak baik tau.” Rafida memberitahu..
Khalisah pelik dan memandang Rafida sambil menyapu serpihan gelas yang pecah. “Kau ni Fida, educated tapi percaya benda-benda karut. Aku yang cuailah. Ha, ni, mana calon secretary yang kau nak introduce ni? Kenapa tak datang-datang?”
“Maaflah Lisa, aku pun satu, lupa nak amik nombor phone dia. Sorry tau.”
Sorry naik lorilah.”
Rafida berasa serba salah dan cuba memujuk Khalisah sambil tersenyum-senyum manja. “Ala Lisa, maaflah. Aku janji, aku sanggup buat apa saja yang kau suruh. Please,
“Betul? Sanggup?” Khalisah bertanya dan memandang Rafida.
“A’ah.” Rafida menjawab pantas.
“Bagus. Memandangkan aku takde lagi setiausaha tetap, aku nak kau jadi setiausaha sementara aku. Bolehkan?”
Terkejut Rafida, dia cuba mengelak. “Tapi Lisa, tugas aku kan...”
“Ala, kau kan multitalentad, dua-dua kau boleh buat, macam tak biasa.” Khalisah memuji  kawan baiknya itu agar Rafida bersetuju.
Selepas membuang serpihan kaca gelas, Khalisah membuat air baru. Rafida masih memikir-mikir, memang salah dia sendiri, kan pepatah selalu menyebut, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya.
Khalisah minum dan memandang Rafida. “So, my new secretary. What say you?”
“Yalah-yalah, tapi sementara saja tau. Bahagian Pemasaran sibuk sikit.. kalau yang aku boleh tolong aku tolong.” Rafida setuju dalam ikhlas tidak ikhlas.
“Deal?” Khalisah menghulurkan tangan.
Dalam keterpaksaan, Rafida dengan berat menyambut salam tangan Khalisah. “Deal.”
Khalisah kemudian berlalu dari situ, namun sebenarnya dia memikirkan kata-kata Rafida mengenai kepercayaan gelas pecah. Memang sejak akhir-akhir itu, dia selalu berasa tidak sedap hati, seolah-olah ada perkara tidak baik yang bakal berlaku, bukan dia mahu percaya akan drama-drama yang ditontonnya ataupun kata-kata Rafida, tapi kata hatinya seolah bimbang, ada sesuatu yang merunsingkan atau perkara buruk yang berlaku. Namun dia tidak menunjukkannya kepada sesiapa.
****************
RAFIDA baru sampai ke rumahnya selepas lelah bekerja seharian. Sudah tiga hari dia menunggu kehadiran Adam untuk menghadiri temuduga setiausaha, tapi bayangnya pun tidak nampak. Rafida beranggapan mungkin Adam serik untuk ditemuduga boss perempuan barangkali. Entah atas sebab apa, dia sendiri tidak bertanyakan Adam lebih lanjut. Tapi, dia melihat Adam sebagai orang yang tidak mungkin pengalah, mungkin Adam ada masalah sendiri fikirnya. Kemudiannya Rafida menghidupkan radio, melayan lagu-lagu yang berkumandang sambil memandang ke luar jendela malam-malam itu. Lagu Cinta Bersatu dendangan Liyana Jasmay mengalun halwa malamnya. Sempat pula berangan macam dalam drama lakonan Liyana Jasmay tempoh hari. Daa!
Rafida melihat bulan agak terang malam itu. Ada seribu makna yang dipandangnya di balik cahaya yang menyinar itu, dia teringat perkara yang berlaku 3 hari lalu. Beruntung Khalisah kerana Mr Tuxedonya sudah kembali. Antara empat orang kawan baiknya, hanya dia sahaja yang masih belum ada teman. Kadang-kadang mahu juga dia mandi bunga berbesen-besen tapi khurafat pula. Mandi bunga dekat spa dengan Khalisah pun jarang-jarang kerana kesibukan kerja. Bila teringatkan tentang kerja, Rafida kemudian teringat dengan kertas kerja yang perlu disemaknya. Fuh! Memang penat, menyesal dia menerima tawaran Khalisah di pejabat tadi. Tapi janji tetap janji. Rafida mengambil kertas kerja yang dibawanya dari pejabat dan membeleknya malas.
Di satu tempat, Khalisah sedang makan malam bersama Aril. Tempat mereka makan itu adalah restoran di mana Adam bekerja tetapi malam itu dia tidak bekerja kerana mengambil cuti untuk menjaga Danish. Aril memandang-mandang Khalisah, Khalisah sedar tetapi tidak mempedulikan, alunan muzik di restoran itu cukup mempesonakan. Menenangkan jiwa Khalisah.
Aril kemudian membuka bicara. “So, Cik Boss macamana hidangan malam ni okey?”
“Abang Aril ni boleh tak jangan panggil saya Cik Boss?” Khalisah kekok.
“Jadi, kalau Puan Boss boleh?” tanya Aril seolah-olah mempermainkan.
“Itu lagilah, macam saya ni bersuami beranak 10 pula. Panggil Lisa saja macam biasa sudah. Lagi selesa,” ujar Khalisah.
“Ala. Sekarang dah lain. Mana boleh suka-suka panggil nama.”
“Lisa sama lagi macam dululah abang Aril...”
Kemudian Aril cuba bertanya soalan lain. “Ek? Boy friend takde ke?”
Menyirap darah Khalisah apabila ditanya sedemikian oleh Aril.
“Tak nak jawab tu maknanya adalah tu.” Aril menyambung.
Aril sengaja meneka, walaupun dia tahu tentang perkembangan diri Khalisah.
Dengan tersipu-sipu Khalisah menjawab. “Takdelah. Entah-entah abang yang ada girl friend rambut blonde.”
“Pandai ubah topik. Sebenarnya Lisa, sebenarnya...” Aril memandang tajam Khalisah.
Khalisah terpaku dipandang sebegitu. Muzik melankolik yang dimainkan oleh band pemuzik restoran itu seolah-olah berbunyi kencang seakan-akan jantung Khalisah.
Aril mengambil sesuatu dari koceknya dan senyum. “Sebenarnya abang ada hadiah untuk awak. Nah.”
Debar Khalisah hilang tetapi naik sedikit apabila dia teringatkan hadiah yang diberikan Aril di pejabat tempoh hari. Dia mengambil dan membuka perlahan-lahan. Dia melihat sebiji kotak, dibukanya tapi seakan was-was, Aril perasaan dan menegur.
Spongebob dah tidur malam, dia tak dapat masuk kotak tu.”
Khalisah senyum dan  terus membuka kotak tersebut, kelihatan seutas rantai yang amat cantik. Dia terkejut, itu memang rantai idaman Khalisah sebab hari itu dia nampak rantai emas keluaran Poh Kong yang digelar Melur itu. Apabila melihat rantai emas Melur itu, hati Khalisah berbunga-bunga. Rasa macam semua impiannya tercapai.
Thanks abang Aril.”
“Sama-sama. Pakailah.”
Khalisah mengambil dan cuba memakainya. Aril berdiri. “Excuse me.”
Khalisah faham, Aril sudah mendekati dan memasang rantai di leher Khalisah. Kemudiannya Aril kembali duduk di tempatnya.
“Sekarang baru padan dengan baju yang awak pakai.” Aril senyum.
Khalisah senyum kembali, tetapi kemudian dia perasaan sesuatu apabila memandang tepat ke mata Aril. Mata itu kelihatan berbeza, dia terfikir sesuatu tetapi membuang perasaan itu jauh-jauh mungkin kerana dia sudah lama tidak bertemu Aril dan sebab itulah dia lupa bagaimana rupa mata Aril. Usai makan malam, Aril menghantar Khalisah balik ke rumahnya. Semasa  masuk ke dalam rumah, dia masih memikirkan perbezaan mata Aril yang dahulu dan sekarang, pelik Khalisah. Dia kemudian memberi salam. Ayahnya yang berada di ruang tamu sudah lama sengaja  menunggu di sana.
“Assalamualaikum papa.”
“Waalaikumsalam.”
Khalisah berlalu dan kemudian Dato’ Mazil bertanya. “So, macamana dinner tadi? Ada Aril melamar kamu?”
Belum sempat Khalisah menanggalkan high heel yang dipakainya, ayahnya sudah bertanya soalan cepu emas.
“Papa!! Manalah ada. Papa ni... Lisa anggap dia abang Lisalah..” merah wajah Khalisah menahan malu.
“Bukan salah pun papa tanya, kamu tak suka ke dengan Aril tu?”
Khalisah lantas menjawab. “Soalan papa tu subjektif, payah Lisa menjawabnya.”
“Lisa sajalah satu-satunya anak papa, mestilah papa tanya. Lagipun Aril tu baik.”
“Lisa memang suka berkawan dengan abang Aril tu.”
“Kan senang cakap macam tu.”
“Papa, suka dengan cinta tu berbeza papa.” Khalisah cuba menerangkan kepada ayahnya.
“Kamu ni.. bukan sama ke?”
“Takpelah pa, esok kita sambung ya. Lisa penatlah. Lisa naik dulu ya. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam. Tapi kan Lisa...” Ayah Lisa cuba melanjutkan perbualan.
Cepat-cepat Khalisah naik ke atas, kalau dilayannya perbualan itu pasti tidak berpenghujug.
“Budak bertuah, dah ada cinta depan mata dia, buat-buat tak nampak. Yang penting tak lama lagi aku dapat timang cucu..ye..ha!!” Dato’ Mazil berasa gembira.
“Papa!” Khalisah terdengar kata-kata ayahnya semasa menaiki tangga ke atas.
‘Alamak, dia terdengar rupanya..’ Dato’ Mazil bercakap dalam hati.
Dato’ Mazil memandang ke tangga dan melihat Khalisah baru masuk ke dalam biliknya. Kemudiannya dia  masuk ke dapur membuat kopi sendiri sambil tersenyum-senyum sendiri.
“Hai senangnya dalam hati, dapat bercucu jua, seperti dunia, ana yang punya...” Dato’ Mazil menyanyi riang, berbunga-bunga hati memikirkan hal yang akan datang. Insya ALLAH fikirnya.
****************
Hutan Simpan Bukit Tapah, Perak. 9.00 pagi
KELIHATAN seorang lelaki terbaring kaku seolah tidak bernyawa. Kaku tidak bergerak-gerak. Bajunya berdarah. Dari mulutnya juga keluar darah yang sudah beku. Jalasan yang sedang bergerak mencari akar kayu di hutan merasa pelik. Tinuk, tupai belaannya berkelakuan sangat aneh. Tinuk berlari menuju ke satu arah, Jalasan memanggil Tinuk tetapi Tinuk tidak peduli, Jalasan terus mengejar.
“Tinukkk...!!” Jalasan memanggil nama tupai itu agak kuat.
Tiba-tiba..
Jalasan terkejut! Langkah kakinya terhenti... di hadapannya terbujur kaku seorang lelaki yang tidak dikenali, Tinuk berjalan-jalan di atas badan lelaki itu. Jalasan segera mengambil Tinuk, dia kemudian menghampiri perlahan-lahan jasad yang terkedang.. asing! lelaki itu sangat asing, caranya berpakaian dan wajahnya jauh berbeza dari dirinya. Jalasan ternyata terlalu jauh dari manusia yang bertamadun itu. Dia tidak peduli lagi walaupun lelaki itu aneh pada pandangan matanya. Segera dia mendekati dan merasai gerak nadi lelaki itu. Nyata, nadi lelaki itu masih berdenyut lemah,  tanpa bertangguh dia mengusung lelaki itu menuju ke satu arah.
Kuala Lumpur
Seseorang sedang bercakap di telefon di suatu tempat. “Kau sudah pastikan dia mati?”
Yess Boss!”
“Kau jangan Yes Boss saja, kalau aku dapati dia masih hidup kau pula aku tembak nanti.”
Confirm boss mamat tu dah mampus.”
“Kau tembak dekat mana?”
“Dadalah boss.”
“Kenapa tak tembak kepala dia sekali?”
“Kena ke boss?”
“Itu pun aku perlu ajar ke? Bahlol!!” Orang itu marah.
“Baik boss!!”
Mereka yang diarahkan itu bergegas memandu balik ke tempat mereka membuang mayat lelaki tersebut semalam. Sudah hampir separuh perjalanan balik ke Kuala Lumpur, tapi mereka terpaksa pula kembali bagi mempastikan lelaki itu sudah benar-benar mati.
Hutan Simpan Bukit Tapah, Perak 11.00 pagi
Sampai di sana mereka mencari-cari mayat lelaki tersebut tetapi tidak ketemu.
“Ada?”
“Takde. Aku dah cari serata tempat ni. Apa kita nak beritahu boss ni?”
Lelaki itu berfikir sejenak dan menjawab. “Aku tak rasa dia selamat, aku dah check denyutan nadi dia semalam, dia dah mampus. Confirm dia kena makan rimau ni.”
“Kau jangan terlalu yakin sangat Joe.”
“Aku yakin sebab orang kata Hutan Simpan Tapah ni ada rimau. Ala, kira selesailah tu.”
“Rimau? Kau biar betul, jomlah kita balik.”
“Dah-dah, kau jangan banyak songeh. Cari lagi! Apa kau ingat kita ni boleh tipu boss, silap haribulan dengan aku dan kau sekali jadi mayat dalam hutan ni.”
“Jadi, betul ke tak ada rimau ni?” Lelaki itu cemas bertanya.
“Entah, mana aku tahu. Tempat ni pun aku tak pernah datang. Dahlah, jangan banyak cakap. Kita cari!.”
Mereka kemudian memandang-mandang sekeliling dan memeriksa di beberapa kawasan berdekatan.
Kampung Pos Gedung, Bidor Perak
Sementara itu, Jalasan yang baru sampai dengan membawa seorang lelaki yang tidak dikenali dikerumuni orang kampung.
Salah seorang mendekati dan bertanya.Bok imai hek endeh Jalasan (siapa kamu bawa ini Jalasan)?”
Eng pek panei apak,eng bakek ku darat ateh..(Saya tidak tahu, saya jumpa dia sebelah hutan sana..)”
Tok Batin mendekati lelaki itu. Semua memberi laluan.
Pek la jalasan hek eng kik huc (Tidak apa Jalasan, bawa dia naik rumah saya)” Tok Batin memberi arahan.
Jalasan membawa lelaki tersebut naik dibantu orang kampung ke atas rumah Tok Batin. Kemudiannya seorang lelaki yang pandai dalam perubatan iaitu Pak Tamin diarah oleh Tok Batin memeriksa lelaki tersebut. Seketika kemudian Pak Tamin memandang Tok Batin dalam keadaan terkejut.
Tok Batin membalas pandangan dan bertanya. Mong ma tamin (Ada apa Tamin)?”
Pak Tamin lantas menjawab. Mong peluru tok..(Ada peluru tok)”
Semua yang berada di situ kelihatan agak terkejut. 
Tapi kik masih sui tok. Jalasan cip dek eng kot penglai rok petalatan eng! (Tapi dia masih hidup. Jalasan, pergi rumah aku ambil ubat. Lekas)!”
Pak Tamin memberi arahan, Jalasan mengangguk dan berlari ke rumah Pak Tamin mengambil ubatan dan peralatan untuk mengeluarkan peluru dari dada lelaki itu dengan berhati-hati.
Semuak bokeh juk biar pak tamin perlay sengoi deh..(Semua boleh balik, biar Pak Tamin rawat orang ini.)” Tok Batin meminta penduduk kampung pulang ke rumah masing-masing.
Hutan Simpan Bukit Tapah, Perak. 9.00 malam.
Hari semakin gelap. Dua orang lelaki yang diarahkan mencari masih di situ. Walau apapun terjadi, tugas perlu dilaksanakan. Mereka tidak rela untuk membawa berita kosong sahaja kerana nyawa mereka adalah taruhan. Apatah lagi berkali-kali lelaki yang mereka panggil boss itu menghubungi. Dia mahu mereka menunjukkan bukti bahawa lelaki itu benar-benar telah mati melalui kiriman MMS. Bulan pada malam itu teramat terang tetapi pokok-pokok hutan khatulistiwa di Hutan Simpan Tapah yang tinggi-tinggi membuatkan keadaan gelap. Dalam pada itu, sepasang mata sedang memandang mereka dari dalam semak. Melangkah perlahan-lahan dalam kelam malam dan bersedia bila-bila masa saja untuk menyerang.
“Aum!!”

 VIDS PROMO NOVEL

P/S ---> Novel telah pun terbit. Boleh mendapatkannya dengan Kaki Novel atau kunjungi Kedai Buku MPH & Popular Bookstore serta kedai berdekatan anda untuk mendapatkannya. :)
 

No comments: