BAB 7
KELIP KELIP
“INDAH dah bersiap?” tanya Puan Zulaikha pada Indah usai
bersarapan pagi itu.
Indah memandang ibunya, “Kita nak ke mana mama?”
tanyanya, walaupun dia masih lagi kurang selesa memanggil Puan Zulaikha dengan
panggilan tersebut.
“Hari ni kita ke sebuah tempat. Mama tahu, Indah pasti
suka tempat tu nanti.” Puan Zulaikha senyum memandangnya.
Indah berteka teki sendiri, jika baik pada Puan Zulaikha,
pasti baik pada dirinya juga. Usai mematikan televisyen, mereka bersiap untuk
bertolak. Indah memakai selendang di kepalanya seperti biasa, sejak akhir-akhir
ini Indah lebih biasa begitu.
“Pak Din, kita bertolak sekarang,” arah Puan Zulaikha
pada pemandunya.
Puan Zulaikha pandang Indah yang masih berdiam diri,
“Mama tahu semua ni terlalu cepat untuk Indah. Mama harap Indah dapat
menyesuaikan diri Indah, jangan anggap semua ini beban Indah. Anggap semua ini
pengorbanan buat diri Indah sendiri.” Puan Zulaikha berkata lembut dan memegang
tangan Indah erat.
“Insya ALLAH mama. Indah faham. Jauh lagi ke tempatnya
mama?” tanya Indah tidak sabar.
“Lagi setengah jam.”
Indah memandang dirinya di kaca cermin kereta itu, dia
memandang biasan wajahnya, ‘Maafkan aku Aisha, bukan aku mahu membuangmu
daripada hidupku, tapi setiap kali aku teringat namamu, aku akan teringatkan
dia.. demi dia aku menukar nama itu dan nama itu dia yang pilih...’ Indah mengumam
seorang diri cuba melupakan apa yang telah terjadi.
“Pak Din, buka tv
tu, rasa bosan pula.” arah Puan Zulaikha.
Segera Pak Din menekan punat tv di sebelah kirinya.
“Usahawan kosmetik terkemuka negara Puan Syura Ahmad
pengasas kecantikan Pearl Jelita ada bersama kita, boleh Puan kongsikan rahsia
Puan sehingga mencapai tahap sekarang Puan?” tanya pengacara bertugas itu.
“Alhamdulillah. Terima Kasih kerana menjemput saya ke
studio hari ni terlebih dahulu...”
“Pak Din, tutup rancangannya,” arah Puan Zulaikha
tiba-tiba.
Indah sempat memandang temubual bersama isteri Akram itu
tadi, hatinya kembali teringat pada Akram. Puan Zulaikha diam, dia tahu apa
perasaan Indah ketika itu.
Setengah jam kemudian mereka sampai ke sebuah tempat.
Indah dan Puan Zulaikha turun dan memandang ke sebuah tempat. Indah memandang
papan tanda di depannya.
“Indah, ini rumah anak yatim yang mama tubuhkan. Mari
masuk,” pelawa Puan Zulaikha.
“Iya mama?” Indah seakan tidak percaya, dia melihat
sekeliling. Perlahan-lahan Indah melangkah mengiringi Puan Zakiah masuk ke
dalam rumah anak yatim tersebut.
“Assalamualaikum..” Puan Zulaikha memberi salam.
“Waalaikumsalam..” terkocoh-kocoh seorang wanita
bertudung labuh menuju ke arah Puan Zulaikha.
Wanita itu senyum memandang mereka berdua, “Lama Puan tak
datang. Masuk Puan,” pelawa wanita itu.
Puan Zulaikha memandang Indah, “Indah, ini Puan Shaliza
penjaga rumah anak yatim ini. Puan Shaliza, ini anak saya Indah.” Puan
Zulaikha memperkenalkan.
Mereka berdua
berjabat salam dan terus masuk ke dalam. Indah pandang semua anak yatim yang
memerhatikan mereka. Ada 30 orang kesemuanya, kesemuanya comel-comel belaka
pula.
“Mama Ikha lama tak datang,” salah seorang budak
perempuan yang paling comel mendekati Puan Zulaikha.
Puan Zulaikha mengusap kepalanya, “Mama sibuk sayang.
Nah, ini hadiah untuk kamu Zakiah.” Puan Zulaikha memberikan beg baru pada
Zakiah, kemudian dia memberi beg baru kepada anak-anak yatim yang lain.
“Mama sudah lama buka rumah anak yatim ni?” tanya Indah
ingin tahu.
Puan Zulaikha pandang anak yatim itu, “Sepuluh tahun
lalu. Semua ini sebab Darwish. Mama ambil dia sebagai anak angkat mama sebab mama takut dia diapa-apakan
ketika dia masih kecil Indah. Mama nampak sendiri ibu dan ayahnya mati ditembak depan mama. Sebab tu, jika mama tak nak Darwish jadi macam tu, mama
terfikir nasib anak-anak yatim di luar sana. Macam mereka semua ni, mereka tak
berayah tak beribu. Kita yang senang ni harus membantu mereka yang susah. Tak
ada ruginya membantu sesama manusia,” jawab Puan Zulaikha panjang lebar.
Indah melihat seorang kanak-kanak lelaki lingkungan 6
tahun mengasingkan diri daripada kanak-kanak di situ. Indah mendekatinya.
“Adik kenapa?” tanya Indah lembut.
“Adik nak mama, nak papa..” kanak-kanak itu bersuara.
Indah faham, dia pandang kanak-kanak itu, “Adik, mama dan
papa adik sekarang di syurga. Kalau adik sayang mereka, adik doa banyak-banyak
untuk mereka ya. Mereka sayang adik. Kakak sayang adik juga.” Indah memujuk.
Kanak-kanak lelaki
itu pandang Indah, kemudian dia peluk Indah erat. Bila merasakan badan
kanak-kanak itu yang lembut dan selesa, air matanya segera menitis. Tapi Indah kuatkan hatinya. Kemudiannya dia
lihat kanak-kanak lelaki itu sudah mahu makan dan minum.
Sementara itu Puan Zulaikha sibuk bercakap di telefon,
Indah melayan karenah anak-anak yatim di situ bersama Puan Shaliza. 5 minit
kemudian, Puan Zulaikha mendekati Indah.
“Indah, kita tak boleh lama, mama ada hal di pejabat.”
Puan Zulaikha memberitahu.
Indah faham isyarat itu, “Mama, boleh tak kalau Indah
dekat sini saja. Nanti Indah balik. Boleh ya ma?” pinta Indah.
Puan Zulaikha faham, Indah bukannya burung mahu
dikurung-kurung, “Okey, nanti mama suruh Pak Din ambil kamu ya. Mama pergi
dulu, Puan Shaliza, saya pergi dulu. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam,” jawab Indah dan Puan Shaliza serentak.
Indah melihat Puan Zulaikha berlalu. Puan Shaliza memerhatikannya.
“Sebelum ni belajar di mana?” tanya Puan Shaliza membuka
perbualan.
Pertanyaan Puan Shaliza itu membuatkan Indah serba salah
mahu menjawab apa, “Saya sebenarnya baru habis kursus di sebuah kolej. Mungkin
tak lama lagi belajar di luar negara,” jawab Indah.
“Oh begitu. Kamu ni macam nampak ada masalah saja. Jangan
disimpan masalah tu dik, selalulah berdoa minta semuanya dipermudahkan ya.”
Puan Shaliza memberi pendapat.
“Insya ALLAH.” Indah senyum.
Indah faham apa yang diperkatakan oleh Puan Shaliza itu
ada benarnya. Indah diam.
“Saya dulu diambil mama kamu menjaga rumah anak yatim
ini, segan mahu diceritakan. Saya dulu mangsa pukul suami sendiri. Nasib baik
ada mama kamu membantu saya, jika tidak, entah apa jadi hidup saya sekarang.”
Puan Shaliza membuka ceritanya.
“Mama memang macam tu,” puji Indah.
“Kalaulah semua manusia dalam dunia ni macam mama kamu,
aman dunia ni. Tapi iya, Allah swt mencipta manusia dengan pelbagai perangai
dan perasaan ada hikmahnya.”
Indah hanya mendengar dan mendengar. Puan Shaliza pula
seakan tahu, Indah nampaknya seakan kurang mahu berbual-bual panjang.
Tepat jam 3 petang, Pak Din datang dan mengambil Indah
untuk balik apartmentnya. Mulanya Indah mahu saja terus balik, tapi
memandangkan ada barang yang mahu dibelinya, segera Indah meminta Pak Din ke
kedai serbaneka 24 jam berdekatan.
“Saya tak lama Pak Din, nak beli barang sikit saja.”
Indah memberitahu.
Indah masuk ke dalam kedai dan membeli beberapa keperluannya,
semasa Indah keluar daripada kedai serbaneka 24 jam itu, Indah terlihat seorang
lelaki dan seorang perempuan separuh umur sedang duduk di kaki lima di hadapannya,
wajah mereka tunduk, kelihatan pula beberapa orang lalu lalang menghumban duit kepada mereka. Dengan
perlahan, tangan kedua orang itu mengambilnya dan menyimpannya ke dalam poket mereka.
Indah tersentak! Makin diperhatikan, dia kenal sekali dengan
mereka berdua. Itu ibu dan ayahnya!
Indah sebak
melihat mereka dalam keadaan lemah dan kotor. Kembali Indah teringat pada
dirinya, pada keluarganya. Baru saja tadi dia melawat rumah anak yatim yang menempatkan
mereka yang tak berayah dan tak beribu, tapi dia pula mengabaikan ibu dan ayahnya
yang masih hidup. Indah sebak. Namun Indah telah terlanjur menerima syarat Puan
Zulaikha, Indah sudah tidak boleh berpatah balik lagi, dia bukan seorang yang mungkir
janji. Segera Indah masuk ke dalam kereta dan memandang Pak Din.
“Pak Din, boleh bantu saya? Saya minta sangat-sangat Pak
Din. Lepas hantar saya, saya minta Pak Din ambilkan teksi untuk lelaki dan
perempuan separuh umur di kaki lima tu dan saya minta hantarkan mereka balik ke
Kuantan. Tolong Pak Din. Ini duitnya.” Indah meminta dan menyerahkan duit belanja
untuk penghantaran tersebut.
Pak Din memandang ke arah orang yang dimaksudkan Indah, “Baik
Cik Indah.” Pak Din faham.
Indah memandang mereka berdua buat kali terakhir, sebak dirasakannya
menusuk di kalbu. Sungguh, dia sangat sayangkan orang tuanya itu. Dia rasakan dirinya
bagai anak derhaka tidak membela mereka tempoh hari.
‘Mama dan ayah jangan risau, mama dan ayah baliklah. Aisha
akan datang kembali mama, ayah. Aisha janji,’ tekad Indah dalam hati sambil memandang
kedua orang tuanya masih saja di situ.
Kereta Pak Din berlalu bersama Indah yang runtun hatinya.
Tiba-tiba saja kemarahannya pada Akram meluap-luap hingga dia mahu saja berteriak
semahu-mahunya!
bersambung...
p/s -- Terima Kasih atas bacaan anda. Maaf jika ada kekurangan ya. ^__^
4 comments:
semakin menarik..dan semakin menarik...itu yg dpt diungkapkan...ciss ayat novel! hahaha...
btw, nak lagi... bab 8 pleasee!
Terima Kasih Syarmin singgah komen ke sini.
Gulp! Hanya melakar sebuah kisah biasa-biasa.
Insya ALLAH, esok sambungan BAB 8 ada.
FATRIM SYAH.
makin menarik,tapi mana gmbar darwish?n darwish kurang menonjol dlm bab ni hehe :)
Nanti gantikan Pak Din dengan Darwish. Iyalah, kalau Pak Din, nanti dia beritahu Puan Zulaikha majikan dia. Nanti diperbaiki lagi.
Thanks singgah komen. :)
Post a Comment