~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Wednesday 23 October 2013

E-Novel 'KELIP KELIP' (Bab 8)



BAB 8
KELIP KELIP
SAMPAI saja di rumah, Indah melihat Pak Din berlalu pergi. Hatinya tidak keruan, terfikir itu dan ini, Indah duduk di sofa dan baringkan dirinya. Melihat ibu dan ayahnya diperlakukan sedemikian rupa membuatkan Indah rasa keluarga Akram benar-benar tidak berperikemanusiaan langsung! Mereka semua memang tidak berguna! Tangan Indah digenggam kuat dengan tekad.  Air matanya tiba-tiba saja mengalir. Air mata itu hadir bersama semua bara, bara amarah pada keluarga itu. Dia seka air matanya yang membasahi pipinya. Dia tidak mahu lagi menjadi Aisha yang pengalah, kini dia adalah Indah, seorang yang baru dengan nadi hidup serta semangat hidup yang baru!
Ting Tong!
Loceng apartment berbunyi. Indah tersentak. Puan Zulaikha sampai bersama Pak Din. Dia tahu akhirnya Pak Din akan buka mulut juga. Indah jelingnya tajam.
“Tak apa Indah. Mama sudah uruskan semuanya. Jangan risau.” Puan Zulaikha memberi harapan.
Indah sebak, “Terima Kasih mama. Bukan niat Indah nak melanggar syarat, cuma Indah tak sanggup lihat mereka meminta-meminta begitu sedangkan Indah baik-baik saja di sini.” Indah bersuara.
“Mama faham apa yang kamu rasakan Indah. Indah jangan salah faham. Mama tak cakap yang kamu harus lupakan mereka terus. Cuma untuk sementara ini kamu jangan bertemu dengan mereka supaya semua rancangan kita berjalan lancar.” Puan Zulaikha senyum dan kemudian memegang tangan Indah dan membawanya duduk di sofa.
“Rancangan apa mama?” tanya Indah, dahinya berkerut.
Puan Zulaikha membelai kepala Indah perlahan, “Sebenarnya mama nak hantar Indah belajar ke luar negara. Jika diikutkan,  mama mahu Indah bekerja dengam mama, tapi mama tidak memaksa Indah, Indah boleh pilih, mama ikut kemahuan Indah untuk belajar apa saja bidang yang Indah rasa sesuai dengan Indah.” Puan Zulaikha mencadangkan.
“Se.. sebenarnya Indah nak belajar selok belok pembuatan kosmetik dan kecantikan. Dari dulu Indah ada cita-cita nak ada produk jenama Indah sendiri.” Indah memberitahu hasratnya, dia tahu apa yang dikatakannya itu adalah apa yang dimahukannya sekarang, dia mahu belajar mengenai selok belok itu kerana ingin sama seperti Syura. Indah mahu lebih daripada itu!
Puan Zulaikha pandang Indah, dia faham perasaan Indah, bagi Puan Zulaikha, dia hanya membuka jalan sahaja. Selebihnya di tangan Indah.
 “Bagus. Mama suka orang yang bercita-cita tinggi. Macam ni, mama nak kamu belajar selama setahun di Korea. Mama tahu, tempatnya memang bumi asing bagi kamu. Tapi mama percaya, tempat itu adalah tempat di mana seluruh dunia menumpu mata sekarang. Jangan risau, ada orang yang akan menemani kami nanti. Malah, kilang-kilang produk kosmetik negara kita juga dibuat di sana. Mama akan uruskan supaya Indah dapat belajar dengan seorang kawan mama di sana juga.” Puan Zulaikha memberitahu.
“Baik mama. Indah setuju.” Indah bertekad.
“Nanti bila balik Malaysia. Mama akan beri modal untuk Indah buka bisnes sendiri. Mama yakin, bila Indah bekerja dengan kawan mama nanti, Indah akan faham apa yang mama maksudkan,” terang Puan Zulaikha.
“Terima kasih mama.” Indah lega.
Puan Zulaikha dan Indah senyum, Indah percaya, ini adalah peluang untuknya berjaya. Terlalu banyak masa yang dia persia-siakan. Indah rasa sudah tiba masanya untuk dia berubah, untuk dia maju ke depan.
“Assalamualaikum.” Darwish memberi salam.
“Waaalaikumsalam,” jawab Puan Zulaikha dan Indah serentak.
Darwish senyum, dia buka tali lehernya, “Mama dan adik bincang pasal apa ni? Borak-borak tak ajak Darwish pun,” tanya Darwish.
“Anak bertuah ni. Semua dia nak sibuk,” omel Puan Zulaikha.
“Iyalah mama..” Dawrsih herot mulutya.
Indah senyum melihat perlakuan Puan Zulaikha dan Darwish. Sekurang-kurangnya dengan adanya mereka hidupnya tidak sunyi, tidak terumbang ambing. Indah rasa sangat-sangat terhutang budi dengan keluarga itu.
Kemudiannya Puan Zulaikha masuk ke bilik air. Darwish mendekati Indah.
“Bincang apa dengan mama?” tanya Darwish mesra.
Indah senyum, “Indah nak belajar di Korea,” jawabnya ringkas.
“Jauhnya.. lepas ni susahlah nak jumpa ya,” tona suara Darwish berubah.
“Tak lama pun, cuma setahun cuma, pejam celik, pejam celik. Akhirnya nanti Indah balik sini juga,” balas Indah.
Darwish senyum, “Insya ALLAH, abang doakan moga-moga Indah berjaya ya.” Darwish berharap.
Darwish seakan tidak sangka, wanita yang dia jumpai saat pertama kali di tengah laut itu kini berada di hadapannya. Wanita yang hampir kehilangan nyawanya. Wanita yang kali pertama Darwish rasakan ingin diselamatkan. Darwish merasakan ada suatu ketenangan apabila memandang Indah,  cuma Darwish sedar semua itu takkan mungkin berlaku. Dia tahu di mana letaknya dirinya dan di mana letaknya diri Indah. Bagi Darwish melihat Indah baik-baik saja sudah cukup baginya.
Plak!
Pintu bilik air dibuka.
“Rancak berborak?” tanya Puan Zulaikha.
“Borak kosong saja mama,” Darwish senyum, dia pandang Indah.
Puan Zulaikha mengambil tempat duduknya, “Kalau tak ada hal, bulan depan Indah sudah boleh belajar, mama akan uruskan semuanya secepat mungkin.” cadang Puan Zulaikha.
Indah senyum, “Terima Kasih mama.” Indah rasa teruja pula.
“Sama-sama Indah. Yang penting janji kamu akan belajar bersungguh-sungguh dan jangan kecewakan mama,”  pesan Puan Zulaikha kepadanya.
“Insya ALLAH mama. Indah akan cuba sebaik mungkin.” Indah tekad.
                                             *********************
Kring! Kring!
Telefon pejabat Syura berbunyi. Segera diangkatnya.
“Helo?”
“Helo Syura. Masih ingat aku?” tanya pemanggil itu.
Suaranya memang sangat-sangat Syura kenali. Itu adalah Amir, bekas kekasihnya.
“Kau nak apa telefon aku?” tanya Syura tak mahu berputar belit.
“Kasarnya sayang. Tak rindukan sayang ke? Tahulah orang dah senang sekarang kan? Mana nak pedulikan sayang lagi...”
“Saya tak ada urusan lagi dengan awak. Jangan  telefon saya lagi.” Syura mengingatkan dan segera menghempas gagang telefon tersebut.
Teringatkan lelaki itu membuatkan hati Syura sakit. Dia perlu pertahankan apa yang dia dapat kini. Syura memandang jauh. Sekiranya Amir juga menjadi batu penghalang sama seperti Aisha, dia takkan teragak-agak untuk menghapuskannya!
                                      *******************
                                      Tiga minggu kemudian...
Indah duduk di balkoni apartment itu. Bumi Malaysia yang meninggalkan banyak memori dan kenangan pahit itu akan ditinggalkannya buat sementara. Indah merenung langit yang penuh dengan bintang. Saat melihat bintang itu, Indah sempat pula teringatkan Akram sekali lagi. Indah cuba memadam apa yang terpapar di memorinya tika itu, baginya mengingat Akram sudah tidak berguna dan bermakna lagi. Tiba-tiba saja seekor kelip-kelip muncul dan terbang di depan mata Indah. Indah teruja melihat kelip-kelip itu, dia teringatkan kampung halamannya.
“Kelip-kelip, sampaikan salamku pada orang tuaku...” pesan Indah meskipun dia sendiri tahu apa yang diperkatakannya tika itu tak masuk akal.
Indah perhatikan kelip-kelip itu berlalu. Dia pandang bintang semula, Indah tahu, hidupnya bakal bersinar kembali suatu hari nanti.
“Allahu Akbar.. Allah.. hu Akbar..”
Laungan azan membubarkan lamunan Indah. Segera dia masuk ke dalam mengambil wuduk dan menunaikan Solat Isya’, memohon agar perjalanannya nanti dipermudahkan. Usai semuanya, Indah bermuhasabah berharap agar rasa amarah yang ada dalam dirinya itu dapat dihilangkan. Indah tahu hidup dalam kebencian seperti itu umpama menanggung seksa yang tidak berkesudahan di bahunya. Indah mahukan hidupnya aman dan tenang, Indah tahu rasa amarah itu tak mungkin dapat hilang hanya dalam sekelip mata, tapi dia cuba dan cuba juga meskipun tahu semua itu takkan semudahnya berlaku kerana dia hanyalah seorang manusia biasa cuma...

bersambung...

p/s -- Terima Kasih singgah baca. Maaf atas kekurangan, akan diperbaiki nanti. Terima kasih kerana masih meneruskan pembacaan anda.  ^_^

3 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum.first menarik.mana pic darwish.becareful k ada kesalahan ejaan.trmasuk nama watak.pun ada yg slh.cek smla tau.

Fatrim Syah said...

Waalaikumsalam. Terima Kasih Weeda, nanti akan tepek pic untuk semua. Tengah cari pic yang sesuai. Thanks tegur bab kesalahan ejaan dan nama watak tu, akan diperbetulkan. :)

FATRIM SYAH

Unknown said...

best sgt abg ayim..hope lps ni ada lg tau..jgn lupa tag nama uni ^_^