~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Thursday 30 August 2012

Mini Novella Online : AKU SUKA DIA (BAB 3)

BAB 3

SUDAH dua hari aku cuba untuk bertanya pada mak aku apa jawapan ibu Najwa, tapi langsung mak aku tak kompromi. Ish-ish mak, masih nak berahsia-rahsia lagi. Entahlah, sengaja mak rahsiakan sebab berita kurang baik ataupun sengaja mak rahsiakan sebab ia berita baik. Air muka mak aku bukan senang nak baca. Almaklumlah seorang cikgu, dia sudah biasa berhadapan dengan pelajar bermasalah? Opss! Bukan aku ya, aku hanya ada masalah, bukan bermasalah. Eh! Bukan sama ke? Ah! Abaikan.
“Along, nanti tolong ayah kau tu cari buluh lemang,” pesan mak aku semasa sahur tadi.

 Buk!
Aku dengar bunyi kelapa jatuh bersebelahan tingkap bilik aku, almaklumlah tidak jauh dari bilik aku tu ada pokok kelapa. Bukan main aku terkejut, aku buka mata. Dah pagi ke? Macam baru 10 minit aku tidur lepas sahur tadi. Kemudian aku ambil phone, aku agak-agak mesti baru jam 6 camtu. Sekali aku tengok. Jam 9 daa... apalagi, bergegas aku keluar.
“Mak.. o.. mak... ayah dah jalan ke?” Aku cari mak.
Aku tengok jam dekat ruang tamu. Baru aku ingat, mak masih mengajar dekat sekolah time-time macam tu. Almaklumlah, sekolah belum cuti lagi. Aku cari ayah, kot-kotlah masih ada lagi, itupun kalau ada memang aku nasib baik. Orang tua tu kalau ada kerja awal pagi lagi dah kerja. Aku buka pintu hadapan. Punyalah terik matahari. Manalah jodoh tak berat, bangun meninggi-ninggi hari.
“Budak bertuah, baru nak bangun..” Ayah aku yang baru sampai dengan motosikal dan buluh-buluh lemangnya menyapa.
Aku senyum pahit, “Err.. kenapalah ayah tak kejutkan along tadi?” sengaja aku ambil alasan.
“Amboi, amboi salahkan ayah pula. Dah, cepat tolong ayah, ambil semua buluh ni. Pakai sarung tangan tu, miang ni,” arah ayah aku.
Aku segera turun, kalau tidak memang habislah aku kena bebel. Aku ambil semua buluh lemang tu. Aku pindahkan ke tepi tangga untuk dibersihkan.
“Cukup ke ni ayah?” tanyaku.
“Amboi, banyak ni tak cukup lagi? Nak buat apa banyak-banyak, membazir nanti....”
“Bukan apa, murid-murid mak ramai yang balik kampung tahun ni. Joe dan Bob pun balik, takut tak cukup pula..”
“Ala... tak cukup bawak balik bandar nuu.. la tu kan??” pandai betul ayah aku meneka, aku senyum-senyum.
“Kalau nak banyak, pergi cari buluh dekat hutan sana, banyak lagi ayah tengok tadi. Ramai juga orang kampung dekat sana tadi tapi mungkin dah balik agaknya...”
“Okey, kejap. Along bawa masuk semua ni dulu, lepas tu along pi..”
“Ha, ayah nak masuk dulu, dah meringai badan nih.”
Ayah aku masuk ke dalam rumah, fuh! Tengok buluh-buluh lemang tu buat aku bersemangat. Raya tinggal lagi 2, 3 hari. Inilah best dekat kampung, semua buat sendiri. Takdenya yang beli. Mak dan ayah aku masih mengekalkan tradisi dulu-dulu, malam raya nanti sah-sah meriah dengan aku tukang bakar lemang. Tambah-tambah ada Bob dan Joe, lagi best. Lepas selesai kerja aku, aku pergi depan balik. Aku tengok motor ayah masih ada kunci, malas pula nak ambik kunci kereta dekat bilik.
 Racing time!!!” Aku ketawa sendiri bila naik motor ayah, motor kesayangan tuh. Kalaulah ayah tahu, sah-sah kena bebel macam dak kecik. Tapi, dah lama rasanya tak merempit, almaklumlah... dah lama tak naik motor.
Broom! Broom!
Cepat saja aku sampai ke hutan yang selalu aku pergi time kecik-kecik dulu. Masih sama macam biasa. Adalah sikit-sikit perubahan. Aku tengok beberapa orang kampung yang baru nak balik sambil membawa buluh lemang masing-masing. Sempat juga aku bertanya khabar, almaklumlah lama tak balik kampung. Aku tengok buluh lemang ada di sana-sini, ada jugalah beberapa orang yang aku kenal. Eh! Aku nampak seseorang di situ. Oh! Bakal tu bakal mertua belum pasti tu.... terus aku gerak mendekatinya.
“Assalamualaikum Pak Hussin,” sapa aku sambil melempar senyuman.
“Waalaikumsalam, kau ni Lan anak Tok Ketua kan?” tanya Pak Hussin yang masih mengenali aku. Nampaknya dia memang mark muka aku yang agak-agak hensem nilah kan? Wah, ada harapan tu.
“A’ah, pakcik sihat?” tanyaku lagi.
“Alhamdulillah sihat, kalau tak, tak gerak amik buluh lemang ni...” jawab Pak Hussin.
Aku  tengok banyak juga buluh lemang yang Pak Hussin tu dah kumpul. Ada juga malu, aku yang masih muda belia ni, muda ke? Baru nak datang cari buluh lemang.
“Pakcik balik dululah ya.” Pak Hussin meminta diri.
“Biar Lan tolong pakcik bawa ke keretalah buluh-buluh tu,” segera aku menawarkan diri membantu. Bakal ayah mertua tu, haruslah tunjuk baik. Oh! Najwa, demimu apa saja rela kulakukan. Ish-ish, nak melankolik bagai pula. Tolong ada makna tu..!
Pak Hussin mengangguk, aku bawa buluh-buluh tu dan letak dekat kereta invader Pak Hussin. Dulu, masa kecik-kecik Pak Hussin hanya ada ladang kambing je sampaikan orang kampung gelar dia Hussin Kambing. Tapi Alhamdulillah, berkat kesabaran Pak Hussin menanam kelapa sawit di tanah pusaka, Pak Hussin boleh dikatakan antara yang berduit dekat kampung tu. Malah, dia juga tukang bawa hasil kelapa sawit orang kampung ke kilang, lagilah bertambah pendapatan dia.
“Terima kasih Lan, pakcik pergi dulu, raya nanti datanglah rumah,” pesan Pak Hussin.
Memang aku nanti-nantikan nak datang beraya ke rumah Najwa tu walaupun tak dijemput. Aku perhati invader Pak Hussin berlalu sampaikan aku hampir terlupa tujuan aku ke situ.
“Najwa punya pasal sampai aku lupa nak ambil buluh lemang...” segera aku menebang beberapa batang buluh lemang. Lama jugalah aku buat benda tu semua, nasib baiklah aku masih ingat lagi cara-cara nak buang miang buluh. Manakan tidak, dulu pernah aku kena miang buluh tu, duk nak jadi hero sangat, kan dah kena, mahunya aku tergeliat-geliat kat mak time tu.
*********
MALAM tu aku terawih dekat surau macam biasa, sekali dengan Bob dan Joe. Kalau dekat kampung ni, nak tahu orang tu balik kampung atau tak, tak payah susah-susah, boleh jumpa time terawih. Itu yang aku jumpa semua kawan-kawan lama aku. Pian, Musa, Kyroll, Jemi, semua ada... dan semuanya sudah kahwin! Juga, semuanya bertanyalah bila aku pula naik pelamin, seperti biasa, si bujang terlajak ni akan menjawab.. relaks dulu, tak puas lagi bujang... padahal jawapan sebenarnya adalah.. aku takde calon, macamana nak kahwin.
“Kau nak kahwin umur 40 ke? Anak kau 10 tahun kau dah masuk 50..” sindir Jemi yang memang suka menyakat aku.
“Ala.. lelaki umur 50 pun masih okey kot..” jawabku.
“Kau kahwinlah cepat-cepat Lan. Bukannya kau tu tak laku, kau tu yang memilih sangat... ramai anak dara dekat kampung ni kalau kau berkenan..” Jemi duk promo dekat aku pula, macam tau-tau pula aku duk berkenan kan.
Lama juga perbualan aku dengan Jemi tu, almaklum, lama tak jumpa dia. Dia cikgu dekat Batu Pahat, Johor. Aku tengok Bob dan Joe pun sibuk bersembang dengan kengkawan lama. Tiba-tiba aku nampak Najwa, masa tu dia dengan Milah kawan lama dia. Cantiknya berbaju kurung, hari tu taklah cantik mana. Apalagi, macam cacing kepanasan aku pun follow mereka.
“Assalamulaikum Najwa, Milah..” Aku dengan tak tahu malu duk bagi salam.
“Waalakumsalam abang Lan..” Najwa dan Milah menjawab salam.
“Apa khabar Milah? Masih belajar lagi?” tiba-tiba mulut aku ni duk tanya khabar Milah pula. Janganlah bagi nampak sangat yang aku usha Najwa kan? Pandai makan, pandailah simpan an.
“A’ah, masih belajar lagi dekat KL, lagi setahun habislah...” jawab Milah. Najwa pula hanya diam.
“Najwa okey?” tanyaku pada Najwa pula.
“Okey.”
“Macamana puasa?” tanyaku lagi.
“Okey. So far okey.”
“Puasa dekat sini dengan puasa dengan sana sama ke?” ligat pula aku bertanya.
“Sama saja, tapi lagi seronoklah dekat sini.”
“Abang Lan, Najwa, rumah Milah dah sampai, Milah balik dulu tau. Assalamualaikum,” Milah meminta diri. Kebetulan rumah Milah tak jauh dari surau.
Alamak. Tiba-tiba aku jadi malu pula berjalan dengan Najwa berdua-duaan. Takkanlah hantar Najwa separuh jalan, tapi memang rumah Najwa tu boleh nampak. Ah, alang-alang aku hantar jelah.
“Abang baliklah dulu, rumah Najwa pun tak jauh lagi dekat depan tu.” Najwa pula segan.
“Tak apa, biarlah abang Lan hantarkan.”
Tak banyak yang kami berdua bicarakan, aku faham. Tak baik bukan muhrim berdua-duaan. Langkah Najwa pun laju macam tak selesa. Aku hantar Najwa sampai depan rumah, kemudian aku pun lalu ikut jalan tadi.
Tiba-tiba...
Angin agak kuat, seram sejuk pula aku. Kejap, bulan puasa mana ada Kak Pon, abang Cong semua tu kan? Entah, aku pun tak tahu. Langkah aku laju je nak sampai rumah.
“Hehehehe...”
Aku dengar bunyi orang ketawa di sebelah pokok, dahlah jalan tu gelap. Selalu aku dengan ayah dan mak jalan okey je. Bila sorang-sorang rasa seram sejuk semacam pula.
“Lan...”
Terbeliak bijik mata aku bila nama aku kena panggil. Macam mahu berlari pun ada, tapi aku agak itu perasaan aku saja. Aku toleh-toleh belakang, manalah tahu kan, teringat pula filem ‘Jangan Pandang Belakang’, seriau aku. Aku jalan cepat-cepat. Makin aku jalan, makin pula rasa seram.
“Hehehe....”
Tiba-tiba ada benda putih depan mata, aku terus pengsan!
“Lan.. Lan.. bangun Lan... bangun..”
“Apalah kau ni Joe, kan aku dah cakap dia ni lemah semangat... kau tak nak caya, camna ni? Kita nak buat apa?” Bob sudah bimbang.
“Macamana apa? Terpaksalah kita sedarkan dia ni. Sini, aku tahu macamana nak bagi dia sedar.”
Joe amik air yang dia bawa dan simbah kat muka Lan.
“Oh! Mak kau, hantuuuuuuuuuuuu!! Hantuuu!!” Aku terus terbangun, berteriak pula macam orang sasau.
“Hei Lan, takde makna nak hantu bagai-bagailah.” Joe menepuk bahu aku.
“Oh.. jadi kamu berdua yang buat tu ya? Kurang asam tul! Seligi baru tahu!” marah aku.
“Amboi, nak jadi hero konon hantar Najwa depan rumah, lepas tu balik sorang-sorang takut pula, dasar hero lembik!” Bob mengata aku, sindirlah tu.
“Itu lainlah...” bidasku.
“Iyalah tu, dah nak malam ni, karang ada lawan bola. Jom, malam ni kami stay rumah kau.” Joe mengingatkan Chelsea ada main bola jam 2 pagi nanti.
Aku berdiri dan kami mula gerak.
“Cepat, hujan dah nak lebat ni,” aku dapat rasakan hujan sudah mula rintik-rintik turun.
Kami jalan cepat-cepat, Joe dan Bob bukan main ketawakan aku. Nantilah korang, ada ubi ada batas, ada hari boleh aku balas. Sabo jelah.
“Hehehehe...”
Tiba-tiba kami bertiga terdiam.
“Eh, suara siapa pulak tu?” tanya Bob kepada kami berdua.
“Kau Bob kalau tak bising tak boleh ke?” marahku.
“Hehehe...”
Suara tu makin kuat dan makin mendekat.
“Larikkk...” teriakku.
Kami bertiga sudah jadi macam Usain Bolt, pelari 100 meter Olimpik tu. Kerana nak memudahkan pergerakan, masing-masing dah buka kain sarung yang dipakai, bukan main laju lagi kami lari, kalau benarlah ada hantu, hantu pun naik seriau pandang kami yang seksi-seksa time tu. (tak payah bayangkan ya, dilarang keras!)
Alkisah lepas tu kami bertiga demam sehari, bukan demam sebab hantu, tapi demam sebab kena air hujan yang lebat malam kami berlari tu. Manalah ada hantu time-time Ramadhan kan? Perasaan kami agaknya.
Apapun, aku masih ingat dapat jalan dengan Najwa malam tu. Seronoknya! Macam dunia ni aku yang punya pula...aish! Perasan!

Bersambung...

 NOTE : E-NOVEL INI TELAH BERPINDAH KE LAMAN NOVEL MELAYU KREATIF DENGAN TAJUK BARU 'GILA! AKU SUKA DIA?' . BOLEH KLIK LINK INI UNTUK MENGIKUTI ----> http://novelmelayukreatif.com/index.php/karya-kreatif/novel/tema-cinta-komedi/item/212-gila-aku-suka-dia

Lagu Tema E-Novel 'Aku Suka Dia'
berjudul
 'Aku Suka Dia' nyanyian Ainan Tasneem

1 comment:

Mr Hijack said...

hahahha... boleh tahan penakutnya jugak dowang tuh... adiehhh! buat jatuh saham aje...