~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Tuesday 30 October 2012

E-Novel ~ Bunga Terakhir (BAB 1)




BAB 1
BAZLI memandang cermin, tidak ada yang kurang pada wajahnya. Adalah juga sikit-sikit macam wajah pelakon Nazim Othman punya kembar lain mak lain bapak. Entah, apabila difikirkan soal cinta, dialah yang paling malang sekali. Balik-balik putus di tengah jalan. Ada juga dia terfikir, mungkinkah sebab dia tidak bekerjaya hebat seperti pilot ataupun doktor menyebabkan para-para bekas teman wanitanya itu beranggapan dia tidak mampu memberi kehidupan atau maintenance yang baik. Tapi, itupun bukan faktor penentu, kalau nak dibandingkan dia dengan pramugara muda yang lain tu, mereka lebih playboy dari dia, teman wanita keliling pinggang, malah yang kahwin dengan artis pun ada. So, dia pun tak tahu apa sebabnya. Dia bukanlah nakkan wanita yang hebat sempurna serba serbi. Cukuplah sekadar seorang wanita yang menerima dirinya seadanya. Entah, dah nasib kot. Umur sudah masuk 27 tahun , lagi 3 bulan nak masuk 28, kawan-kawannya yang lain semua sudah ada anak dua, yang nak ada cucu pun barangkali on the way. Dia sendiri pasrah kalau tak kahwin sampai tua. E’eh, pasrah saja tau, bukan redha. Nanti jadi betul, tak ke naya.

“Ah! Aku malas nak fikir soal cinta lagi, kalau ada, adalah...” Bazli nekad. Tapi bukannya bermaksud dia akan bertukar orientasi kepada lelaki pula, mintak simpang!
“Bazli, Bazli...”
Bazli terdengar namanya dipanggil di luar pintu biliknya
“Kejap, kejap...” sahutnya.
           
Bazli melangkah malas, bukannya apa, dia penat baru balik dari lapangan terbang tadi. Kebetulan pula dirumahnya takde air, ada renovation sikit, makanya straight sajalah dia pandu kereta ke rumah mak ayah dia.

Bazli memusing tombol pintu, “Ya mama, ada apa ni?” tanya Bazli sopan, memandang ibunya yang tidak makan dek usia itu, sekali pandang memang  ada iras-ira Cik Ta pelakon meletop tu, pernah kawan-kawannya yang tidak mengenali keluarganya mengatakan ibunya itu teman wanitanya semasa mereka keluar bersama, paling kurang pun dikatanya Bazli anak ikan kepada Mak Datin Jelita, Bazli pun satu, sudah besar pun nak berpimpin tangan kalau berjalan dengan mak. Biasalah lumrah hidup sebagai pramugara, macam-macam gosip. Bazli hanya mampu ketawa. Yang Bazli tahu ibunya itu keturunan Siam, so, no wonderlah kan kenapa ibunya itu cantik. Apalagi bila umur mamanya baru masuk 47 tahun, helo? Ella penyanyi rock yang umur 40-an tu pun masih cantik, apalagi wanita di luar sana kan? 
 “Turunlah makan, mama ada special guest hari ni,” lembut mamanya memberitahu.
Lain macam saja senyuman ibunya hari ini, Bazli mengerut dahi. Entah siapalah yang datang.
“Okey, jap lagi Bazli turun...”
 Puan Munira tersenyum simpul. Apakah? 
Bazli pula mengherot mulut sendiri. Entah-entah ada kejutan harijadinya barangkali. Tapi, harijadi Bazli 3 bulan lagi. Ke, ada rombongan meminang ke merisik, ish-ish, silap, Bazli bukan anak dara. Takkanlah Mira adik perempuannya itu pula yang kena risik, macam awal pula, dia baru masuk tahun kedua dalam ijazah undang-undang syariah di UM. Ke, dia nak kahwin awal, aish! Langkah bendul camni. Dan... akan menampakkan pula yang dia ni memang tak laku-laku. Bazli malas nak fikir, dia terus ambil towel dan masuk bilik mandi.

10 minit kemudian Bazli turun ke bawah, dia lihat ada seseorang yang dia kenal berada di sana.
“Ha Bazli, bersiap kalah anak dara. Salam aunty Julia ni,” arah Puan Munira pada anaknya, Bazli apalagi, menurut saja. Dia pandang aunty Julia yang masih macam dulu, biasalah kawan mama dia, pastilah seangkatan kan.
Kemudiannya Bazli menarik kerusi, duduk, sopan sungguh lagaknya, ala-ala lelaki Melayu terakhir gitu.
“Ha Juwita, jumpa bilik airnya?” tanya Puan Munira pada seorang perempuan muda yang baru datang dari belakang Bazli. Mahunya Bazli terkejut, dia kenal nama itu, kenal sangat!
 “A’ah,” jawab Juwita ringkas.
“Kenalkan, ini anak sulung aunty; Bazli, kamu pun dah kenal time kecik-kecik dulu kan. Bazli baru balik dari Bali petang tadi, ada flight ke sana. Ha, Bazli, ni Juwita, anak aunty Julia, takkanlah tak kenal kan, dulu selalu main sama-sama, main kahwin-kahwin gitu...” tu dia Puan Munira, macam ada apa-apa je sebut kahwin bagai, Bazli pula tetiba tunduk-tunduk macam kucing walaupun excited nak mampus lagi-lagi bila tengok Juwita yang cun tu.
            
Bazli melempar senyuman dan senyuman itu dibalas oleh Juwita lembut. Wajah Juwita yang putih melepak ala-ala pelakon sensasi Neelofa itu menggamit perhatian Bazli. Ah! Tadi sudah nekad tak nak jatuh cinta, ni sekali tengok perempuan dah cair macam coklat. Adoi!
“Assalamualaikum...” Encik Mansor; ayah Bazli memberi salam sebaik membuka pintu rumahnya.
“Waalaikumsalam...” jawab mereka yang ada di meja makan serentak.
 Encik Mansor melempar senyuman dan terus ke meja makan.
“Puan Julia, mana Encik Sallehudin?” tanya Encik Mansor.
 “Ada hal katanya, dia kirim salam tak dapat datang. Insya ALLAH lain kali dia datang.” Puan Julia menjawab sambil melempar senyuman.
 “Ni, anak ya? Dah besar... mesti tak ingat dengan uncle lagi kan. Yalah, kali terakhir jumpa 15 tahun lepas.” Encik Mansor memandang Juwita. Bazli tengok dari ekor mata, amboi papa, jangan tenung-tenung!

Hendak dipendekkan cerita, Puan Julia dan Puan Munira sebenarnya pernah membuka satu butik kecil-kecilan bersama-sama masa muda-muda dulu, sekadar cuba-cuba. Modal pun duit simpanan. Mereka bukanlah anak Dato’, Tan Sri, cuma anak kampung biasa yang datang ke bandar mencari rezeki, nasib baiklah masa tu mereka berdua bekerja secara sambilan sebagai peragawati di sebuah syarikat modeling. Kalau butik tak banyak untung bolehlah hasil modeling itu sekadar cukup-cukup makan.

Bila Puan Munira dan Encik Mansor berkenalan dan mahu berumahtangga, tidak sangka pula Puan Julia dan Encik Sallehudin kawan baik mereka tu pun jatuh cinta sama-sama. Apalagi, nikah serentaklah mereka, itupun nikah di pejabat agama sahaja. Masa itu zaman sukar mereka, butik bankrap, Encik Mansor dan Encik Sallehudin pula kena buang kerja sebab kegawatan ekonomi masa tu, mahu tak mahu untuk berjimat, mereka tinggal satu rumah sewa berniaga kecil-kecilan. Bila lebih 10 tahun tinggal bersama, ada rezeki sikit, anak-anak pun semakin membesar, mereka pun mengambil keputusan tinggal berasingan. Encik Sallehudin pula memohon kerja di utara tanah air, lalu membuatkan mereka terpisah. Itulah kisah pendek persahabatan empat sekawan itu. Dan kini Encik Mansor membuka syarikat perumahan manakala Encik Sallehudin membuka syarikat perabot

“Juwita kerja apa sekarang?” tanya Encik Mansor lagi.
“Saya buka butik fesyen uncle, bolehlah.. dulu dekat universiti ambil jurusan rekaan fesyen.” Juwita memberitahu.
“Hai Puan Julia, manalah tumpah nasi tu kalau tak ke kuah kan...” sindir Puan Munira pada kawan lamanya.
“Mama borek anak rintik gitu, penyambung delegasi waktu kita muda-muda dulu..” sambut Puan Julia sambil ketawa sesama mereka kerana teringat zaman muda-muda mereka.
Mata Puan Julia memandang Bazli yang asyik memandang Juwita dari tadi, tak berkedip.
Sengaja disapanya Bazli, “Bazli diam saja, macamana kerja? Mesti busy kan? Dah lama jadi FA? Mesti best kan dapat melancong seluruh dunia..” tanya Puan Julia mesra.
Bazli diam, Puan Munira memukul tangannya.
“Aunty Julia tanya tu.” Puan Munira memberitahu.
“Err... A’ah, Alhamdulillah aunty, okey saja, saya okey,” jawab Bazli penuh dengan rasa terketar-ketar, nasib baiklah dia cepat-cepat menyembunyikan rasa gemuruh tadi.
‘Nasib baik... jatuh saham yang memang tak laku ni.. ish, malunya.. malunya..’ gumam Bazli sendiri, mesti Puan Julia perasaan Bazli tenung anaknya tadi, manakan tidak mereka duduk berhadapan, kemudian dia minum jus orange perlahan-lahan.
Puan Julia dan Puan Munira angkat kening ada isyarat dan kemudian senyum sesama sendiri.

Usai makan, Juwita ke balkoni untuk ambil angin. Kemudiannya Bazli ke balkoni juga, sesaja menyapa Juwita. Dulu masa kecik-kecik, mereka berdua selalu main kahwin-kahwin, kadang-kadang main masak-masak, kadang-kadang lawan pedang dan banyaklah kadang-kadang lagi yang Bazli tak lupa. Juwita masa kecik dulu lasak sikit, semua benda dia main, baik main bola mahupun baling selipar termasuklah main mercun. Bila besar, tak sangka pula jadi rupawan gitu. Kalau nak dibandingkan dulu dan sekarang macam langit dan bumi.
“Hai Juwita, ingat saya lagi?” tanya Bazli yang tadinya serba salah menegur.
“Awak ni Bazli, takkanlah boleh lupa pula..” Juwita menjawab sambil mengelus rambutnya yang ikal mayang.
“Budak nakal yang selalu buat saya nangis, manalah saya boleh lupa pula kan...” sambung Juwita.
“Kuatnya memori awak, boleh pula ingat lagi. Hahaha..” Bazli ketawa sendiri.
Juwita memandang Bazli, “Awak ni, kenapa tak kahwin lagi? Dulu ramai betul orang minat awak kan?” tanya Juwita, cepu emasnya soalan.
“Belum sampai seru lagi, nak buat macamana... awak..” jawab Bazli perlahan. 
Kau.. sempurna bagiku..
Tak kurang sesuatu..
Kau terima apa adaku.. 
“Helo? Ya, jap ya.. Excuse ya...” Juwita memberi isyarat pada Bazli untuk mengangkat panggilan telefon dan meninggalkan Bazli di sana.

Sementara itu Puan Julia dan Puan Munira yang berada di dapur sibuk bercerita tentang Bazli dan Juwita.
“Nampak sesuai Bazli dan Juwita tu kan?” Puan Julia sengaja memulakan cerita.
“Awak pun perasaan ya Puan Julia. Anak saya tu okey saja, kalau saya cakap mesti dia nak punya. Lagipun dia tu hanya bercinta dengan kerja dia je. Anak awak pula macamana Puan Julia?” tanya Puan Munira.
“Anak saya pun sama, sibuk di butik dia tu mengalahkan menteri.”
“Kalau kita jodohkan mereka berdua tu mesti bagus. Kita berbesanlah ya..” Puan Munira sakan bercerita.
Juwita yang kebetulan lalu di situ mendengar kata-kata ibunya dan Puan Munira. Tiba-tiba saja dia risau. Ada sesuatu yang bermain-main dalam kepalanya. Tiba-tiba pandangannya berpinar-pinar.
Bazli yang kebetulan mahu ke dapur memandang Juwita dari jauh, dia melihat Juwita tiba-tiba terjatuh.
“Juwta!” teriaknya.
Puan Munira dan Puan Julia terkejut dengan teriakan Bazli yang agak kuat, mereka keluar dari dapur. Mereka terkejut melihat Juwita pengsan di sana.
“Juwita, bangun nak.. Juwita.. bangun nak.. bangun...” Puan Julia kelihatan risau, dia memandang Puan Munira.
Bazli sampai di sana, “Mama, ambil air masak dalam gelas,” arah Bazli.
Segera Puan Munira ke dapur dan membawa segelas air.
“BismillahIrahmanIrrahim.. wamai yattakillah.. ha yajallahumakraja...” Bazli membaca ayat seribu dinar dan kemudian merenjis air di wajah Juwita. Perlahan-lahan Juwita membuka matanya.
“Juwita tak apa-apa?” tanya Puan Julia yang masih risau.
“Tak ma, Juwita penat sikit je, kita balik ya ma,” pinta Juwita.
“Okey, okey, kami balik dulu ya Puan Munira, Bazli, terima kasih ya..” Puan Julia mengucapkan terima kasih, Bazli dan Puan Munira menemani mereka hingga ke kereta.

Dua Bulan Kemudian....
KINI sah Bazli dan Juwita bertunang, perkahwinannya dirancang berlangsung beberapa bulan lagi. Bukan main gembira lagi Bazli, benarlah kata orang, kalau kita tak dijodohkan dengan orang tu, janganlah dipaksa, lebih baik berserah. Walaupun Juwita jodoh aturan keluarga, tapi Bazli juga lega, lagipun dia kenal Juwita dari kecil lagi. Kalau dah jodoh tak ke mana.
“Awak selalu ke pantai ni?” tanya Bazli sebaik saja mereka sampai ke sebuah pantai.
“Tak juga,  selalu dengar Azwan yang cakap, katanya best."
 Mereka berdua kemudiannya keluar dari kereta menuju ke salah satu pondok. Berhampiran kawasan itu ada beberapa deretan gerai. Angin sepoi-sepoi dari arah pantai sangat menenangkan suasana.
“Nak apa-apa tak?” tanya Bazli.
“Takpelah, tak lapar lagi, tapi kalau ada keropok okey juga.”
Bazli mengangguk. Kemudian berlalu daripada situ menuju ke deretan gerai yang terletak kurang 10 meter dari pondok. Juwita memandang ke pantai, melihat ombak yang bergelumang, memikirkan sesuatu.

“Perkahwinan merupakan satu ikatan suci yang disulami keikhlasan, kejujuran. Perkahwinan mengajar kita menerima siapa pasangan kita,” kata-kata seorang ustaz di televisyen minggu lalu masih terngiang-ngiang di telinga Juwita.
Dalam pada hari perkahwinan yang semakin hari semakin dekat. Juwita bimbang sesuatu, dia memandang ombak yang memukul pantai seperti perasaannya juga kini.

“Awak, awak, awak...” Bazli menegur Juwita yang mengelamun.
“Eh, err.. awak, cepatnya...” Juwita terkejut, cepat sungguh Bazli bergerak, ke dia ada kuasa Power Rangers ke Boboiboy.
Bazli memandang Juwita, “Air jus tembikai kegemaran awak, ada lagi makanan lain saya beli ni.”
“Oh, okey. Thanks.” Juwita melempar senyuman, membiarkan apa yang difikirkannya tadi hanyut dilambung ombak di hadapannya.
“Mama... papa..!” kedengaran suara budak lelaki berumur lingkungan 4 tahun tidak jauh dari tempat Bazli dan Juwita duduk, mereka sama-sama menoleh ke arah budak lelaki itu.
“Aiman, jangan main jauh-jauh,” pesan Dahlia, ibu Aiman.
“Ala awak ni, biarlah dia, jarang dia keluar macam ni. Selalu terperap dekat rumah saja.” Adam; ayah Aiman menyampuk.
“Yalah, yalah..” Dahlia akur sambil menyapukan jem di roti bekal mereka. Adam pula sibuk membaca surat khabar.

Pasangan itu sudah 5 tahun mendirikan rumahtangga. Bercinta sejak zaman universiti lagi, mulanya sejarah percintaan mereka kadangkala putus, kemudian sambung semula. Mungkin kerana kedua-duanya tidak yakin hubungan mereka berdua itu mampu pergi jauh. Apatah lagi Adam yang pada masa itu dipanggil John bukanlah orang Islam. Hubungan itu tidak bersambung sejak itu kerana John adalah senior dan dia tamat belajar awal. Kemudiannya John membuka sebuah syarikat perniagaan sendiri bersama rakan kongsi.

Namun, tuhan lebih tahu segalanya. John Lee Yong itu datang ke majlis konvokesyen Dahlia setelah mereka mula berhubung melalui facebook sebulan sebelum itu. Mulanya Dahlia agak terkejut juga. Sebenarnya memang John sengaja datang ke situ untuk berjumpa Dahlia.
“Jom ambil gambar?” pelawa John. Dahlia mengangguk. Salah seorang kawan Dahlia disuruh John memegang kamera.
“Dahlia binti Ahmad, will you marry me?” John memberitahu hasratnya.
“John, awak jangan main-mainlah.” Dahlia pada masa itu merasakan John hanya bergurau, lagipun John memang suka membuat kejutan.
“Tak, saya serius, saya nak awak jadi isteri saya.”
Apabila John berkata demikian, Dahlia terkejut. Masih tidak yakin. Dia memandang John.
“Tapi agama awak?” tanya Dahlia.
“Saya sudah lama belajar tentang Islam. Percayalah, sudah lama saya mula jatuh cinta dengan agama Islam, bukanlah sebab kerana saya inginkan awak, tapi kerana saya rasa Islam itu mudah, Islam itu indah...”

Kata-kata John benar-benar menyentuh hati Dahlia, masa itu juga Dahlia menangis. Beberapa kawan-kawan Dahlia yang berada di situ ingatkan Dahlia sedih kerana mereka akan berpisah.
Sebulan selepas itu, John sudah bertukar nama kepada Adam Lee Yong, sepatutnya Adam Abdullah, tapi kerana undang-undang baru boleh mengekalkan nama keluarga maka itu tidak menjadikan Adam ralat.

Sebenarnya Adam mengambil masa untuk memberitahu yang dia telah memeluk agama Islam pada keluarganya. Ibunya yang datang dari Melaka ternampak Al-Quran di rumah John beserta sejadah. Mulanya dia ingat John mungkin ada kawan Islam yang tumpang serumah tapi apabila Aunty Mary Ann Yong, ibu John menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri anaknya itu bersembahyang dengan cara Islam di biliknya yang terbuka sedikit, ibu John sedar anaknya sudah berubah agama.
John, are you convert?” tanya ibunya inginkan kebenaran sebaik saja John keluar ke ruang tamu usai solat Isyak.
Adam memandang ibunya, dia cuba untuk menjadi berani. Berani menjadi lelaki. Berani menjadi Islam. Rasulullah SAW pernah menerima ujian getir daripada keluarga sendiri, kenapa pula dia tidak boleh.
“Ya mama, John sudah memeluk Islam enam bulan lalu. Nama baru John.. Adam, apapun berlaku, mama tetap mama John sampai bila-bila mama.” Adam mengaku.
“Cukup John! Mama nak balik Melaka hari ni juga!” bentak ibu Adam yang sudah menduga jawapan itu dari mulut Adam.
“Mama, let me explain..” Adam cuba merayu.
“Sudahlah John. John sudah tak sayangkan mama, tak sayangkan daddy! Tak sayang family kita!” Ibunya kemudian beredar dari rumah Adam.
 Adam hanya mampu terduduk. Ada juga air mata yang mengalir, tapi hatinya sudah pada Islam. Dia tidak tahu keluarganya akan bertindak sedemikian rupa. Adam faham, dia perlu memberikan masa untuk mamanya menerima.
Namun, semua itu bukanlah semudah difikirkan Adam. Pada hari perkahwinan Adam pun, seorang keluarganya pun tidak datang. Dan, kerana itu jugalah ibu Dahlia; Puan Sofia sampai sekarang tidak menyukai Adam. Bukan sedikit cabaran yang perlu dihadapi oleh Adam dan Dahlia. Apatah lagi bila mereka mengambil anak angkat 3 tahun yang lalu. Itu membuatkan kebencian Puan Sofia pada Adam bertambah-tambah, dia langsung tidak suka mereka mengambil anak angkat, seolah-olah menunjukkan pula anaknya itu tidak mampu mendapatkan zuriat sendiri.

“Abang fikir apa tu?” tanya Dahlia.
“Tak, tak ada apa-apa. Cuma ingat dekat mama abang,” jawab Adam memandang jauh, mungkin sedih. Dahlia diam memahami.
Setiap kali Tahun Baru Cina, Adam dan Dahlia tidak pernah lupa untuk datang ke rumah keluarga Adam. Tapi, setiap kali itu juga, pintu akan tertutup buat mereka. Dahlialah yang bertindak menenangkan Adam. Dahlia tahu, banyak kesukaran yang ditanggung Adam hanya kerananya. Dibuang keluarga, dibenci mertua. Kadang-kadang, Dahlia kasihan pada Adam, tapi nasib baiklah Adam mengangap semua itu ujian dari tuhan untuk hambanya.
Tiba-tiba...
“Mana Aiman? Tadi ada dekat situ,” tanya Adam apabila tidak melihat kelibat Aiman.
Dahlia menoleh melihat ke arah Aiman bermain tadi dan memanggil nama anaknya itu, “Aiman... Aiman... Aiman...!!” Dahlia memanggil nama anaknya cemas, dia menoleh ke kiri dan ke kanan, sasau!
“Aiman... Aiman..!!” Adam juga memanggil.

Bazli dan Juwita yang berada berhampiran terus memandang ke arah suami isteri yang memanggil anaknya cemas. Seketika kemudian Bazli terkejut apabila dia memandang tangan seorang budak terkapai-kapai di tengah laut, kemudian tenggelam di laut, tanpa berfikir panjang, segera Bazli berlari ke dalam laut tanpa sempat menanggalkan baju dan seluarnya. Juwita juga terkejut apa yang dilakukan Bazli.
“Bazli!” teriak Juwita terkejut apabila melihat Bazli menyelam ke dalam laut.

“Aiman... Aiman...!!” panggil Dahlia lagi, Adam sudah panik dan memandang ke tepi pantai.
“Ini.. ni.. selipar Aiman...” Adam memberitahu dan memandang Dahlia.
“Asatagafirullahalazim... Aimannnn!!!” Dahlia makin kuat berteriak ke arah pantai sehingga menarik perhatian orang ramai ke sana.

 Seminit kemudian.

Dahlia terpandang seorang lelaki merangkul Aiman dari laut menuju ke tepi pantai.
“Aiman...!!” laung Dahlia, kakinya seolah-olah kaku apabila melihat Aiman tidak sedarkan diri.
Adam segera menuju ke tempat Bazli dan membawa anaknya ke tepi pantai. Dahlia dan Juwita serta  orang ramai yang berada di situ mendekati mereka.
“Aiman bangun Aiman... bangun nak... bangun..” teriak Dahlia umpama hilang akal apabila melihat Aiman tidak bergerak.
Adam mengambil langkah bertenang. Dia memicit dada dan perut anaknya, kemudian dia melakukan CPR untuk menyelamatkan Aiman. Berkali-kali Adam bertindak sedemikian, namun Aiman masih tidak bergerak sehingga membuatkan Adam putus asa. Dahlia sudah menangis sendu tetapi ditenangkan Juwita.
“Aiman, papa ni Aiman.. papa... bangun nak... bangun..” Adam masih cuba membangunkan anaknya.
 “Encik, sabar cik, sabar...kita redha saja, ini ujian tuhan, istigfar.. cuba sekali lagi...” Bazli cuba menenangkan Adam.
Adam mengangguk, “BismillahirahmanIrahim...” sekali lagi dia cuba, ditekannya perut dan dada anaknya itu perlahan-lahan dengan bacaan Bismillah berulangkali dan bertawakkal kepada tuhan. Kemudian dia melakukan CPR.
“Uhuk! Uhuk!”
Tiba-tiba saja Aiman terbatuk, mengeluarkan air laut dari mulutnya.
“Bawa dia ke hospital cepat!” arah Bazli.
Segera Adam mengangkat anaknya ke kereta bersama Dahlia. Juwita dan Bazli  memandang mereka berlalu pergi. Bazli memandang ke awan memanjatkan kesyukuran kepada tuhan yang maha tahu segala-galanya.


Bersambung... ^___^

3 comments:

Fatrim Syah said...

Terima kasih buat semua yang baca dan LIKE. Love U alls.. ^___^

Regards,
Fatrim Syah

Anonymous said...

Best! Saya baru baca dari bab awal. Good job writer. Keep it up!

Fatrim Syah said...

Eh! Baru perasan ada komen. Terima kasih ya pada cik/incik Anon yang singgah. Insya ALLAH akan tulis banyak2 lagi.. semoga selesa membaca tulisan biasa saya. Moga sentiasa ceria bak buih di lautan & bintang di langit terang..

Salam manis,
Fatrim Syah