BAB 9
Sebulan Kemudian
BAZLI masuk ke dalam
Mahkamah Tingi Syariah. Itulah kali pertama dia masuk ke dalam mahkamah.
Perasaannya seolah-olah dia telah melakukan jenayah yang sangat-sangat berat.
Dia memandang kerusi-kerusi yang dipenuhi orang. Pelik. Setahunya mahkamah
syariah bukanlah seramai itu. Siapa mereka semua? Ada yang pegang buku, pen,
kamera pun ada. Ke, wartawan, ish! Takkanlah dia pula masuk dalam berita, boleh
naya jadinya. Sudahlah hal itu disembunyikan dari pengetahuan keluarganya dan
keluarga Juwita.
‘Ya Allah, semoga
semuanya dipermudahkan. Ampunilah hambamu yang lemah ini...’ doa Bazli dalam
hati, dia sedar, perceraian itu sangat dibenci dalam Islam.
“Abang buat apa
dekat sini?” tanya seseorang semasa Bazli melangkah masuk. Orang itu bertanya
seakan berbisik perlahan agar tidak didengari yang lain.
Langkah kaki Bazli
terhenti, dia sangat-sangat kenal suara itu.
“Abang, abang buat
apa dekat sini?” tanya orang itu lagi sekali. Pertanyaan itu
membuatkan Bazli kaku dan kemudian menoleh kepada orang itu. Mulutnya
terkunci, mata mereka saling berpandangan. Kemudian Bazli membawa keluar orang
itu secepatnya.
“Mira, Mira kena
janji dengan abang tau. Mira jangan bagi tahu mak ayah pasal benda ni, abang
dan Kak Juwita nak bercerai.” Bazli menjelaskan pada adiknya Mira yang
kebetulan berada di situ, mungkin sedang ada tutorial prosiding mahkamah
syariah sebenar. Kini tahulah Bazli, orang yang ramai itu merupakan para
pelajar undang-undang syariah termasuk adiknya sendiri.
Mira terkejut,
mengangguk dan kemudian masuk semula kerana prosiding akan berjalan bila-bila
masa. Bazli melangkah masuk dan menuju ke tempat duduk yang tersedia
untuknya.
“Perbicaraan
bermula. Kes penceraian antara Encik Bazli bin Mansor dan Puan Juwita binti
Sallehudin.” Hakim memulakan bicara sambil memandang Bazli dan Juwita yang
diwakili oleh peguam masing-masing.
Bazli tiba-tiba
berasa sebak. Dengan kehadiran Mira di situ, dia merasa sangat bersalah
pada keluarganya. Bazli memandang Juwita, Juwita mengangguk pasrah.
“Encik Bazli bin
Mansor pada 25 September 2012, tepat jam 9 malam adakah kamu telah melafazkan
kata-kata yang menjurus kepada penceraian dengan waras?” Hakim bertugas
bertanya pada Bazli.
“Ya saya Yang
Arif.” Bazli menjawab.
“Boleh saya tahu
apa yang menyebabkan kamu bertindak sedemikian?” Tuan Hakim bertanya lagi.
Bazli tidak mahu
pula menjatuhkan air muka Juwita di depan semua, apalagi di depan Mira,
adiknya. Bazli berbincang dengan peguam, peguam mengangguk dan memberikan
sehelai kertas untuk Bazli tulis dan kemudian diserahkan kepada Hakim.
Para hakim
berbincang. Mereka memandang Bazli dan Juwita. Beberapa minit kemudian para hakim selesai
berbincang.
“Encik Bazli bin
Mansor adakah kamu dengan ini setuju bahawa kamu menyebut kamu akan menceraikan
isteri kamu Puan Juwita binti Sallehudin dengan talak satu apabila dia keluar
dari rumah kamu?” Hakim bertanya Bazli.
Lama Bazli
terdiam, mahkamah juga sunyi sepi, mungkin begitu agaknya reaksi apabila
seseorang itu dijatuhi hukuman.
“Encik Bazli?”
Hakim bertanya lagi.
Tiba-tiba saja
Bazli seakan terkunci mulut, entah. Dia terlalu sayangkan Juwita barangkali.
“Encik Osman, boleh
tangguh kejap. Saya nak tenangkan diri,” pinta Bazli kepada peguamnya.
Encik Osman selaku
peguam mengangguk. Kemudiannya dia menuju ke arah hakim dan memberitahu
permintaan anak guamnya.
“Baiklah, atas
permintaan defendan. Mahkamah akan berehat setengah jam.”
Bazli keluar terus
dari situ, diikuti dengan Juwita. Dan kemudiannya Mira juga membontoti mereka.
“Bazli!” Juwita
seakan marah.
Bazli menggeleng.
“Kak Juwita, apa
yang dah jadi ni? Abang?!” Mira mahukan penjelasan dan kehadiran Mira di situ
cukup-cukup membuatkan Juwita terkejut. Dia segera berlalu daripada situ.
“Abang buat hal
ya?” sengaja Mira bertanya sedemikian, pandai-pandailah dia memancing.
“Tak Mira, ini
keputusan bersama, kami dah tak serasi, kami tak boleh bersama lagi... walaupun
abang sayangkan Kak Juwita kamu tu sangat-sangat.” Bazli menjawab.
“Jadi, kalau abang
sayang Kak Juwita tu, kenapa nak cerai. Come
on bang, abang baru kahwin tak sampai tiga bulan dah end up jadi macam ni. Abang, jujur dengan Mira apa sebabnya. Pokok
takkan bergoyang kalau takde angin. Ke, abang ni gay?” Mira bertanya
bertalu-talu, almaklumlah bakal peguam juga.
“Apalah Mira ni,
abang tengah sedih ni. Cakap itu pula. Abang tak macam tulah. Sudahlah Mira,
janganlah ditanya sebabnya kenapa abang bercerai dengan Kak Juwita kamu tu.
Biarlah Allah swt saja yang tahu. Dah nak habis setengah jam ni, abang ke bilik
air dulu.” Bazli meminta diri, Mira membiarkan abangnya pergi.
Bazli
terkocoh-kocoh melangkah masuk ke dalam bilik air. Dia memandang wajahnya dalam
cermin. Teruk sungguh rupanya hari itu. Tiba-tiba saja fikirannya menerawang
semasa majlis pernikahannya, dia juga memandang cermin pada hari indah itu tapi
dengan senyuman, dengan air mata gembira. Cepat sungguh bahagia yang diharapkan
itu musnah. Yang lebih menyedihkan, Juwita seolah-olah tidak ada rasa bersalah
dan malu, padahal Bazli sudah menyerahkan seluruh hatinya pada Juwita. Sungguh
dia masih mencintainya. Lama Bazli di dalam bilik air, dia cuba bertenang.
Beberapa ketika kemudian dia keluar jua.
‘Ya Allah, hapuskanlah
rasa cintaku ini pada dirinya... tunjukkanlah aku jalanMU...’ sekali lagi Bazli
berdoa dalam hati, kemudiannya dia terus saja masuk ke dalam mahkamah.
“Encik Bazli, kita
kena selesaikan hari ini juga. Kalau minta tangguh kes ni akan lambat selesai,
nanti tunggu sebutan semula lambat.” Encik Osman selaku hakim memberi nasihat
pada Bazli, sebenarnya dia juga mahu kerjanya selesai.
Apabila sudah
dinasihati begitu, Bazli mengambil sikap bertenang. Dia berserah sepenuhnya
pada Allah swt, dia kemudian mengingat apa yang telah berlaku. Dia tahu Allah swt
menyayanginya kerana Bazli tahu kecurangan Juwita itu sangat cepat, ada hikmah
atas sesuatu perkara itu. Lagi satu jika Juwita bersalin nanti, pastilah dia
menanggung dosa kerana membin atau membintikan orang yang bukan anaknya.
Bazli redha.
Sempat Bazli pandang Mira di belakang seolah-olah memandang ibu dan ayahnya
yang langsung tidak tahu mengenai kes mereka, dari jauh itu juga Bazli dapat
lihat Mira menitiskan air matanya. Sungguh, hanya pada Mira selalu dia
bercerita hal peribadinya dan seperti ditakdirkan tuhan, hanya Mira juga yang
mengetahui hal itu.
“Baiklah, Encik
Bazli. Sudah bersedia?” Hakim bertanya dan memandang Bazli.
Bazli berdiri,
tenang.
“Dengan ini, saya
Bazli bin Mansor menceraikan isteri saya Juwita binti Sallehudin dengan talak
satu.”
Bazli tak duduk
lepas tu. Dia pandang hakim, dia seolah-olah kaku, seolah-olah apa yang
diucapkan itu tadi sangat-sangat memberi kesan kepadanya. Benar, tidak pernah
terlintas dalam hatinya untuk berpisah dengan cara yang sangat dibenci tuhan
itu. Hancur lebur hatinya kala itu, siapa yang mahukan perkara sebegini
berlaku. Siapa antara manusia yang sangat senang melafazkan perkara yang
menyebabkan tiang arasy bergegar. Tiada siapa!
Bazli terduduk.
Akur. Semua itu berlaku dengan sangat cepat. Selepas saja disahkan oleh pihak
hakim, Bazli terus keluar.
“Kes selesai.
Mahkamah bersurai.” Hakim memutuskan.
Semua orang
beredar keluar perlahan-lahan. Bazli berjalan laju ke satu arah. Mira
mengejarnya.
“Abang!” Mira
segera memeluk abangnya erat. Bazli menitiskan air matanya lagi. Tak pernah
Mira peluk abangnya erat macam tu, tak pernah Mira rasa sedih sangat. Dia tidak
sangka, selama ini dia hanya buat tak kisah bila ke mahkamah untuk melihat
prosiding perceraian orang lain, tapi kali ini abangnya sendiri, satu-satunya
abangnya! Sungguh! hatinya sangat sakit.
“Mira janji pada
abang rahsiakan hal ni ya. Tolong ya Mira,” pinta Bazli pada adiknya itu sekali
lagi sambil mengusap air mata di pipi adiknya. Kalau orang salah sangka, mesti
anggap mereka berdua pasangan kekasih pula.
“Mira janji. Abang
sabar ya, tuhan dah tetapkan semua perkara ni sejak kita di Loh Mahfuz lagi.
Saya percaya abang kuat.”
“Terima kasih
Mira.” Bazli usap kepala adiknya, walaupun umur Mira sudah masuk 22 tahun tapi
Bazli tetap rasa Mira budak 12 tahun.
“Mira masuk dulu
ya bang. Assalamualaikum.” Mira meminta diri.
“Waalaikumsalam...”
Bazli jawab salam itu perlahan, kemudian mereka berpisah. Bazli tak nampak lagi
bayangan Juwita lepas tu, mungkin sudah awal-awal balik. Mungkin sudah puas
hati agaknya!
Apa yang perlu
Bazli buat sekarang ialah dia harus dan kena menerima perpisahan itu dengan
redha. Bila sudah buat apa yang sepatutnya Bazli rasa tenang. Dia kemudian
melangkah ke cafe, kalau dia terus ke kereta nanti dia takut fikirannya
menerawang pula.
*************
TIDAK jauh dari situ, Adam Lee baru keluar
dari keretanya untuk masuk ke dalam Mahkamah Tinggi Syariah. Hari itu kes
sebutan khalwatnya dibicarakan. Adam Lee masih berfikir-fikir, mungkinkah itu
semua rencana Wani. Mungkinkah dia sengaja memberikan fail itu ke rumahnya dan
apabila tahu Dahlia tidak berada di rumah dia mengambil kesempatan itu. Tapi, Adam
Lee tahu, Wani bukanlah orang seperti itu. Banyak perkara bermain dalam
fikirannya.
Namun,
satu-satunya hal yang dia harap tidak akan berlaku ialah Dahlia mengetahui
bahawa dirinya ditangkap khalwat. Jika itu Dahlia ketahui, mungkin Dahlia ada
alasan kukuh untuk meminta cerai daripadanya. Ya, tidak semua wanita suka
mendengar suami sendiri ditangkap khalwat atau seumpamanya itu. Walaupun hal
mereka berdua boleh dibawa berbincang tapi teruk akibatnya bila Dahlia
mengetahui dia ditangkap khalwat dirumahnya sendiri. Rumah yang dia dan Dahlia
diami selama 5 tahun, malah perkara itu terjadi semasa ketiadaannya! Itu boleh
disabitkan sebagai satu kecurangan yang nyata.
“Tok!
Tok! Tok!”
Kedengaran bunyi
daripada tukul kayu yang dipukul hakim. Suasana mahkamah sunyi. Wani duduk di
sebelah kanan manakala Adam Lee di sebelah kiri.
“Encik Adam Lee. Pada
malam 20 September 2012, adakah kamu mengaku salah berdua-duaan dengan
Cik Syazwani binti Rashid yang bukan muhrim kamu dalam sebuah rumah di
Damansara milik kamu sehingga menimbulkan syak?” tanya Tuan Hakim pada Adam Lee.
“Tidak Tuan
Hakim!” tegas jawapan Adam Lee.
Kemudian Tuan
Hakim memandang Wani, “Cik Syazwani binti Rashid. Pada malam 20 September 2012,
adakah kamu mengaku salah berdua-duaan dengan Encik Adam Lee Lee yang
bukan muhrim kamu dalam sebuah rumah di Damansara milik beliau sehingga menimbulkan
syak?” tanya Tuan Hakim pada Wani.
Kedua-duanya diam,
Adam Lee pandang Wani. Wani pandang Adam Lee.
“Saya mengaku
salah tuan hakim,” tiba-tiba Wani bersuara.
“Wani! Kita tak
salah,” marah Adam Lee menoleh ke arahnya.
Wani menggeleng
kepala dan sebenarnya cuba memudahkan kes mereka setelah berbincang dengan
peguam. Jika mereka tidak mengaku salah, kes itu akan berpanjangan dan
diketahui umum nanti. Wani mahu kes itu biar selesai hari itu juga.
“Encik Adam Lee,
adakah kamu mengaku salah dengan pertuduhan ke atas kamu?” tanya tuan hakim
kepadanya.
Berat sungguh
untuk Adam Lee bersuara. Sungguh! Dia malu, dia menyesal dan dia terkilan!
“Ya, saya mengaku
bersalah tuan hakim,” perlahan suaranya.
Para hakim
berbincang sesama sendiri, kemudian menetapkan hukuman.
“Encik Adam Lee dan
Cik Syazwani binti Rashid, dengan ini mahkamah mendapati kamu berdua bersalah
atas tuduhan khalwat kerana berdua-duan dalam sebuah rumah tanpa sebarang ikatan
yang sah pada malam 20 September 2012. Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman
bahawa kamu Encik Adam Lee Lee didenda membayar RM 3000 atau dipenjara selama 3
bulan jika gagal membayar denda itu dan kamu Cik Syazwani binti Rashid didenda
RM 2900 atau dipenjara 30 hari jika gagal membayar denda itu.” Tuan Hakim
membacakan pertuduhan dan hukuman yang dikenakan kepada mereka.
“Saya setuju
membayar denda itu.” Adam Lee memberitahu.
“Saya juga setuju
membayar denda itu.” Wani juga berbuat demikian.
“Dengan
ini mahkamah bersurai.”
Adam Lee dan Wani
kemudiannya keluar mahkamah.
“Kenapa awak
mengaku salah? Kita tak bersalahlah Wani,” marah Adam Lee kepadanya.
“Kita memang salah
Adam. Meskipun kita tak lakukan apa-apa yang di luar batasan dalam rumah awak
tapi kita berdua-duaan dalam sebuah rumah, hal itu boleh menimbulkan syak. Wani
terpaksa pilih mengaku salah, nanti ramai yang akan tahu, kita bayar saja denda
yang dikenakan tu dan lupakan semua ini.” Wani memberitahu.
Adam Lee masih tak
puas hati, “Tapi...” Adam Lee masih tidak setuju.
“Tapi saya Dahlia
binti Ahmad membenarkan awak suami saya Adam Lee berkahwin dengan awak Syazwani
binti Rashid...”
Tiba-tiba Dahlia
sudah berada di depan mereka.
Adam Lee terkesima
dan menoleh ke arahnya, “Dahlia, biar Adam jelaskan semua ni.. please,” rayu Adam Lee seolah
mengharapkan sesuatu.
“Abang, nikahi
Wani secepat mungkin. Jika abang nikahi Wani, Dahlia akan balik ke rumah
bersama Aiman. Abang, Wani tu perempuan dan saya seorang perempuan, Islam
adalah agama yang mengangkat martabat kaum wanita. Angkatlah martabatnya sebab
dia juga seorang perempuan seperti saya...” Dahlia memberitahu hasratnya dalam
tangisan.
“Dahlia,
saya minta maaf... bukan salah Adam..” Wani meminta maaf dan memeluknya.
“It’s okay Wani. Perkara sudah berlaku,
ini semua takdir. Abang..” Dahlia memandang Adam Lee dengan satu pengharapan.
Adam Lee mati
kata. Kemudian meninggalkan mereka di sana. Dia tak tahu apa perlu dilakukan.
Dia tak sanggup untuk menuruti kehendak gila Dahlia. Tiba-tiba Adam Lee
merasakan dia umpama barang yang boleh ditukar ganti. Sungguh, dia tidak ada rasa
apa-apa pada Wani, mana mungkin dia akan menikahi wanita itu. Tapi, kalau benar
itu dapat mengembalikan Dahlia dan Aiman dalam hidupnya, dia tiada pilihan
lain.
Sungguh! Dia tidak
tahu apa sebenarnya yang difikirkan Dahlia. Adam Lee habis fikir. Dia menuju ke
keretanya dan terus duduk di dalam kereta itu untuk menenangkan fikirannya
sebentar.
Sementara itu
Bazli menuju ke keretanya. Dianggapnya semua yang berlaku tadi adalah satu
dugaan hidup. Dia tidak mahu terlalu memikirkan hal yang telah berlaku.
Melepaskan itu lebih baik daripada memaksa dan jalan itu diambil Bazli dengan
redha. Mungkin itu jalan yang terbaik buat mereka berdua. Cuma Bazli terkilan
kerana Mira mengetahui hal itu.
Sebaik sampai ke
parkir, “Adoi!” Bazli mengeluh apabila ternampak tayar kereta depannya pancit
dari jauh, dia sudah agak perkara itu, tayarnya macam lain macam sebelum dia ke
mahkamah tadi, dia pun satu, tak periksa masa nak gerak tadi. Bazli menekan
penggera kereta dan membuka bonet. Tayar gantinya tertinggal pula. Bazli
menoleh ke kiri dan ke kanan. Takkan nak tunggu Mira, lagipun mesti Mira tak
bawa kereta, mesti guna bas UM.
“Takkan nak jalan
kaki. Nak panggil teksi lambat ni.” Bazli berkata seorang diri.
Adam Lee masih di
dalam keretanya. Walaupun hatinya sedih atas permintaan Dahlia tadi tapi
kehidupan harus diteruskan. Kini dia harus berfikir dengan sebaik-baiknya. Jika
dia terima syarat Dahlia bermakna dia akan dapat kembali Dahlia dan Aiman. Ya!
Aiman yang sangat dirinduinya itu. Itulah yang difikirkan oleh Adam Lee. Jika
mereka bercerai, Aiman pasti merasa kehilangan. Tapi jauh di sudut hatinya,
sebuah perkahwinan itu adalah satu ikatan, mana mungkin sesuatu seperti itu
boleh dipaksa-paksa.
Usai membuka
songkok yang dipakainya, dia menghidupkan enjin kereta dan keluar dari parkir
tersebut. Semasa sedang menuju ke pintu keluar, dia melihat seorang lelaki
seperti ada masalah. Segera Adam Lee berhenti, manalah tahu dapat membantu. Dia
menurunkan cermin tingkapnya dan bertanya.
“Kenapa ni encik?
Ada masalah kereta ke?” tanya Adam Lee kepadanya.
Bazli buat muka
bengang, “Tayar kereta pancitlah, tak ada tayar ganti pula..” jawab lelaki itu.
Adam Lee
terkesima, apabila diamatinya lelaki itu amat-amat dikenalinya.
“Hei, Bazli!”
“Adam. Anak kau
hari tu macamana? Okey ke? Kau buat apa dekat sini?” Bazli bertalu-talu memberi
soalan.
“Banyaknya soalan
kau Bazli. Dah-dah, kereta kau pun rosak. Naik kereta aku cepat.” Adam Lee
menjemput.
“Jap, jap. Aku
ambil barang jap.”
Bazli tidak punya
pilihan dan terus naik ke dalam kereta Adam Lee selepas mengambil barang yang
dikehendakinya.
Bazli duduk di
dalam kereta Adam Lee, lega perasaannya, apatah lagi pendingin udara yang
sedang berputar itu mengeluarkan angin yang cukup tenang, “Terima kasih bro
tumpangkan.” Bazli bersuara sambil mengenakan tali keleder keselamatan.
Adam Lee
tersenyum, “Sama-sama.” Adam Lee membalas.
“Panas betul
tempat ni, kalau tak ada kau, tak tahulah sampai bila aku kat situ, dahlah
orang tak ramai dekat situ.” Bazli mengeluh dan menghalakan air cond ke arahnya, rasa lega seluruh
badan.
“Kau buat apa
dekat sini, mahkamah syariah ni. Baru daftar nikah ke? Dengan perempuan cantik
hari tu kan?” Adam Lee bertanya, sibuk pula dia macam Makcik Kiah, Makcik Siah
dan Makcik Tipah yang selalu gosip tepi ampaian tu, e’eh tercakap pula, maaf
kalau sama nama.
Soalan
itu sememangnya pahit untuk dijawab, Bazli diam.
“Cerai...”
perlahan Bazli jawab soalan Adam Lee sambil pandang ke arah lain.
“Bila masa yang
kau kahwin lagi? Tak jemput aku pun. Kata kawan. Fine.” Adam Lee sengaja
bergurau.
“Ala, aku buat
kecik-kecik je. Kau tu buat apa dekat sini?” Bazli pula tanya.
“Aku baru habis
kes kena tangkap khalwat.” Adam Lee memberitahu sambil memandu keretanya
berhati-hati.
“Hmm... ingatkan
kahwin lagi satu,” sindir Bazli.
“Itulah yang aku
fikirkan sekarang. Dahlia dapat tahu kes ni dan minta aku nikah dengan
perempuan yang aku kena tangkap khalwat tu, satu-satu masalah menimpa kami,”
keluh Adam Lee.
“Jap, kau kena
tangkap khalwat dengan siapa Adam?” tanya Bazli.
“Wani.”
“Laa... Wani tu.
Lama tak jumpa dia. Mesti makin lawa sekarang kan?”
“Ish kau ni Bazli.
Ke situ pula, bagi juga siku ni kang.”
“Aku memain jelah.
Nak entertain hati kau tu. Aku faham.”
“Kau tak faham
Bazli.”
Bazli menyandar di
kerusi dengan selesa dan menarik nafas, “Semua ni ketentuan tuhan. Tapi aku
kesal sangat, isteri aku ada kekasih lain. Hati dia bukan pada aku,
daripada paksa, aku lepaskan sajalah. Dua kalilah aku menduda jawabnya. Kahwin
dengan aku ni dah tak sesuai dah kut. Aku lebih dari faham perihal rumahtangga
ni Adam, orang sekarang fikir kahwin tu senang. Susah nak mempertahankannya.”
Bazli memberitahu kisahnya walaupun tak seratus peratus, tahulah dia menjaga
aib bekas isterinya itu.
“Kadang-kadang
kita tak tahu apa yang berlaku di masa hadapan. Masa kahwin, ingatkan
bahagialah sampai bila-bila kan. Hidup berumahtangga ni banyak cabarannya.
Kalau tak kuat, boleh hanyut dilambung ombak, jadi, sebagai lelaki kena
sentiasa bersedia dengan banyak kemungkinan...” Adam Lee menyambung, nampaknya
lelaki itu nampak sangat positif dalam sesuatu perhubungan.
Mereka berdua
langsung diam, Bazli memandang ke luar jendela. Untuk menghilangkan bosan, Adam
Lee menekan punat radio. Mereka mendengar juruhebah bertugas berbicara dengan
seorang pakar motivasi iaitu Dato’ Fadhilah Kamsah.
“Dato’, sebagai
perunding motivasi, apa sebenarnya punca perceraian pasangan yang semakin hari
semakin meningkat di negara kita?” tanya si juruhebah yang bertugas.
“Masya Allah,
sebetulnya mereka yang bercerai itu tidak bersedia. Mereka mengalah sebelum
waktunya. Jika mereka...”
Adam Lee lantas
mengubah siaran radio tersebut. Dia tidak mahu mengguris hati Bazli, wrong timing tu.. Nanti, mendengar pula
pasal perceraian di radio hanya akan membuatkan mereka tertekan. Kedengaran
lagu menusuk jiwa diputarkan oleh stesen radio itu umpama menggambarkan keadaan
yang dilalui mereka.
Tinggal segala cinta.. Tiada kembalinya
Abadi kasih kita.. Kau bawa bersama
Mimpi indah mekar.. Saat cinta bersemi..
Sedetik asmara syurga selamanya
Pergilah rinduku..
Hilangkan dirimu..
Saat mendengar
lagu itu, Bazli membayangkan saat-saat indah dia bersama Juwita, dari saat
mereka bercinta sampailah kemudian ke jinjing pelamin, saat dia melamar Juwita
di Singapura, saat pernikahan dan juga saat-saat bulan madu bersama isterinya
di Bali. Namun kini semuanya sudah berakhir dengan mudah sekali. Bazli
menggengam erat tangannya, tanpa sedar mengalirkan air mata. Tapi dia
tahan-tahan, agar Adam Lee tak nampak. Apapun, dia ada jiwa dan perasaan, dia
sudah cuba sehabis baik untuk mempertahankan perkahwinan itu, tapi bumi mana
yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak berombak. Dia redha dengan
semua itu. Dia tahu, tuhan menguji hambanya itu seberat yang mampu
ditanggung olehnya. Bazli pasrah.
Adam Lee pula memandang
jauh, masih memikirkan permintaan Dahlia yang pelik itu. Menikahi wanita lain
tidak termasuk dalam kamus hidupnya. Adam Lee tidak pernah memikirkan yang dia
akan terperangkap seperti itu. Sungguh! Cintanya hanya pada Dahlia. Dahlia
cinta pertama dan terakhirnya. Menikahi wanita lain samalah maksudnya dengan
melukai cinta yang selama ini mereka bina. Adam Lee habis fikir. Jika ini
ketentuan yang perlu dia turuti, dia redha.
Mereka merenung
diri masing-masing. Adam Lee mengenangkan rumahtangganya yang berada di hujung
tanduk manakala Bazli pula mengenangkan rumahtangganya yang sudah hancur
berderai dan berkecai. Adam Lee memandu kereta, fikirannya melayang-layang,
gambar Aiman yang diletak di tengah-tengah cermin juga meliuk ke kiri dan
kanan, hatinya merintih. Benar.. semua ini untuk Aiman. Jika dia tidak menuruti
permintaan Dahlia bermakna dia akan kehilangan Aiman. Kini, Adam Lee sudah
tidak peduli, biar saja hatinya itu hancur lebur berkecai sekalipun asalkan
dapat bersama Aiman dan Dahlia kembali.. dilihatnya gambar Aiman berkali-kali..
“Eh, eh, Adam.
Kereta depan tu. Keretaa.. Tidakkk!!!” Bazli berteriak kuat sambil menekup
wajahnya.
Adam Lee dengan
sedaya upaya memusing stereng kereta dan akhirnya kereta itu berhenti di tepi
jalan secara mengejut!
“WaaaAAAaaaaaa!!!”
Adam Lee tiba-tiba melepaskan geram dengan menjerit.
Bazli memandang Adam
Lee dengan rasa terkejut. Walau tadinya Adam Lee mampu mengawal emosi malah
memberikan kata-kata nasihat, namun sekali itu, dia gugar, dia juga manusia
biasa yang mempunyai perasaan dan hati, apatah lagi apabila dia teringatkan
Aiman anaknya. Gambar Aiman diusapnya. Bazli terdiam membiarkan Adam Lee dan
emosinya. Dia faham sahabatnya itu telah banyak menderita.
“Maafkan aku
Bazli.”
“Adam, let it go.
Kau kena kuat.” Bazli beri kata semangat, dia pegang bahu Adam. Kali pertama
itu dia lihat air mata Adam mengalir, Bazli biarkan. Lelaki bukan diperbuat
daripada besi, boleh nangis dan boleh kecewa.