~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Saturday, 19 January 2013

E-Novel ~ Bunga Terakhir (BAB 27)



                                                                       
                                                                      BAB 27
“MACAMANA? Apa doktor cakap?” tanya Kasih sebaik saja Amar keluar dan menuju ke arahnya.
Amar cuma menggeleng kepala. Kasih memberi reaksi terkejut dan terus menenangkannya.
“Sabar Amar, tuhan sentiasa bersama orang yang sabar..”
“Kakak saya kritikal, nak melawat kakak saya kejap kat wad.” 
Kasih mengangguk dan kemudian mengikut Amar.
Sampai di wad 605, Amar memandang Kasih, “Saya masuk dulu ya..”
Kasih faham dan menunggu di luar.

Tombol pintu dipusing, Amar masuk ke dalam wad kakaknya dengan berdebar-debar. Hanya bunyi mesin oksigen saja yang memenuhi ruang. Amar melangkah dan menyelak langsir lalu duduk di kerusi sebelah katil.
“Kakak cepat sedar ya...” Amar memandang kakaknya yang masih belum bangun.
Kemudiannya Amar memegang erat tangan kakaknya. Tangan yang selalu membelai rambutnya kala dia masih kecil dan tangan sama juga yang menahan apabila ayah memukulnya. Sungguh! Jasa-jasa kakaknya yang terlantar di depannya itu tidak sesekali mampu diganti dengan wang ringgit. Dia sangat-sangat sayangkan kakaknya itu.
“Kenapa tuhan hukum kakak macam ni? Kakak orang baik-baik... akak sedarlah cepat kak... Amar nak tengok senyuman kakak dan tawa kakak... Akak nak tahu, hari ni Amar nak kenalkan seseorang dengan kakak tapi tak sempat, kalau kakak nampak dia mesti kakak suka. Kakak kan selalu tanya bila Amar nak ada kawan kan.. bangunlah kak...” sambil bercakap, sambil itu mengalir air mata Amar, memang itu tujuannya berjumpa kakaknya kerana mereka telah berjanji untuk berjumpa di apartment kakaknya itu untuk makan malam.

Lama Amar di sana. Sementara itu, Adam dan Bazli datang ke tempat Kasih.
“Amar masih di dalam?” tanya Adam pada Kasih. Kasih mengangguk.
Kemudiannya Adam dan Bazli duduk di sebelah Kasih.  

“Apa doktor cakap Adam?” Bazli pula bertanya Adam.
“Buah pinggang isteri aku rosak teruk akibat tikaman tu dan memerlukan penderma yang sesuai.. buah pinggang yang sekarang tu mungkin bertahan 3 ke 4 bulan...” Adam memberitahu dalam nada perlahan tetapi mampu didengari dan Bazli.

Kasih nyata terkejut, rupanya itu yang dimaksudkan Amar tadi. 

“Sabar ya Adam. Aku percaya, selagi tuhan tu takdirkan kita masih bernyawa, selagi itulah kita masih hidup. Doktor bukan tuhan, kau kena yakin yang isteri kau tu selamat...” Bazli memberi perangsang.

Adam mengangguk. Kemudiannya dia rasa telefon bimbitnya bergetar. Baru dia perasaan ada 20 panggilan masuk yang dia tidak jawab dan semuanya daripada Dahlia. Mahu tidak mahu Adam ke satu tempat dan menghubungi kembali Dahlia yang belum tahu apa yang telah berlaku.
“Assalamualaikum Dahlia.”
“Waalaikumsalam, abang.. abang ke mana? Puas Dahlia call, ingatkan ada apa-apa berlaku, dah nak jam 12 malam dah ni..” Dahlia nyata kedengaran sangat risau.
“Dahlia tenang ya dengan apa yang abang nak beritahu ni..” Adam terlebih dahulu menyuruh isterinya tenang.
“Ya, ada apa ni? Abang dekat mana? Abang dengan Wani kan?” tanya Dahlia bertalu-talu.
“Dahlia, Wani kena tikam peragut tadi masa abang hantar kek batik tu, dia sekarang dekat HKL ni...” Adam memberitahu dengan nada yang perlahan tapi jelas.
“Astagafirullahalazim... Wani kena tikam? Macamana keadaan dia sekarang bang? Dahlia nak ke sanalah tengok dia..” Dahlia cemas!
“Tak payahlah datang, abang ada dengan adik Wani ni. Wani dah keluar ICU dan ditempatkan di wad. Dahlia tenang ya. Nanti bila abang balik abang ceritakan semua ya. Assalamualaikum...”
“Waalaikumsalam..” Dahlia menjawab salam itu perlahan.

Klak!
Pintu wad dibuka Amar. Amar keluar dan duduk di sebelah Kasih. Kemudiannya Adam terus menuju ke pintu untuk masuk.

“Siapa benarkan abang masuk?!” marah Amar tiba-tiba.
“Amar, abang nak tengok keadaan dia.. please..” Adam cuba mereda keadaan.
“Kalau bukan pasal abang! Kakak saya takkan terlantar macam tu! Abang memang tak malu kan! Abang masih berani nak tunjuk muka dekat sini!” marah Amar bertalu-talu.
Amar hanya bercakap di tempat duduknya dengan nada menyindir. Adam mengambil langkah tenang dan kemudian memegang bahu Amar perlahan.
“Amar, abang tahu abang salah. Abang tahu abang ni jahat dan tak bertanggungjawab. Tapi percayalah, semua orang nakkan kakak kamu tu selamat. Marah takkan membawa kamu ke mana-mana...”

“Abang!” Amar berdiri dan terus memeluk Adam!

“Amar sabarlah ya. Kita doakan agar semuanya kembali tenang... abang sayang kakak kamu tu, bukannya abang tak sayang dia.. dalam keadaan macam ni kita kena banyakkan berdoa supaya kakak kamu tabah...” Adam cuba mengambil langkah diplomasi dan menenangkan Amar yang berada dalam pelukannya.
“Amar takut... Amar takut kalau kakak... Amar takut... Amar tak nak ke.. kehilangan kakak...” Amar tersengguk menahan kesedihannya.
“Amar, percayalah.. tuhan timpakan sesuatu pada kita bersebab. Tuhan menguji kita bersebab dan kerana tuhan sayangkan hambanyalah dia berikan dugaan untuk lihat sejauhmana hambanya itu boleh bertahan... kamu sabar, kita serahkan semuanya pada tuhan... Abang percaya, kakak kamu tu orangnya kuat, dia takkan putus asa, kita kena berdoa untuk dia...”
Amar kemudian melepaskan pelukan dan duduk di sebelah Kasih.

“Abang masuk dulu ya..” Adam memegang bahu Amar sekali lagi.

Sungguh! Amar sangat takut, Amar takut jika dia kehilangan kakaknya. Dia sudah dididik oleh kakaknya itu untuk tidak berdendam dengan sesiapa. Apabila teringat kata-kata kakaknya itu, hatinya kembali lembut pada Adam. 

“Kasih, maaf ya.. saya teruk tadi..” Amar menekup tangannya di muka.
“Amar, Kasih faham perasaan kamu.. kamu sabar ya.. kita doa sama-sama supaya kakak kamu cepat sembuh...”
Kemudian Kasih pegang tangan Amar untuk beri dia semangat. Bazli tersentak melihat adegan tersebut. Entah! Ada sesuatu yang bergolak dalam hatinya.

“Terima kasih ya Kasih... kamu ada ketika Amar perlukan seseorang..” Amar berterima kasih.
“Kamu juga ada ketika arwah abang Sufian meninggal. Saya takkan lupa...” Kasih mengingatkan.

Sementara itu di dalam, Adam memandang Wani. Melihat Wani terlantar kaku begitu hatinya sebak. Tak pernah dia berkehendak mahu melihat Wani begitu. Selalunya dia lihat Wani yang ceria, tabah dan aktif. Adam senyum bila melihat Wani... sebenarnya sudah lama dia rasakan sesuatu pada Wani, cuma hati dan keadaan yang memaksa dia untuk tegar melawan.
“Abang harap kita akan bahagia lepas ni walau apapun berlaku. Maafkan abang Wani.. abang tak pernah nampak kamu... sampai jadi macam ni baru abang sedar yang kamu isteri abang yang sah.. Maafkan abang sebab abaikan kamu..”
Adam tak tahu mahu berkata apa-apa lagi. Dia cuma mampu lihat Wani, dia harap Wani cepat sembuh dan sihat seperti sediakala. Setengah jam kemudian dia keluar dari ruangan itu. Kemudiannya Kasih masuk dan diikuti Bazli.

“Abang balik dulu ya Amar. Esok abang datang lagi.” Adam meminta diri.
Amar hanya mengangguk.
“Amar nak tunggu dekat sini ke?” tanya Kasih.
“Haah, Amar nak tunggu sampai kakak Amar sedar. Kamu ada flight kan esok pagi? Kalau macam tu Amar hantar kamu balik dululah, then Amar balik hospital,” cadang Amar.
“Kalau tak menyusahkan, saya ajelah hantarkan Kasih. Nanti kamu berulang-alik payah. Lagipun saya satu jalan je dengan Kasih.” Bazli menyampuk.
“Kasih okey ke?” tanya Amar.
“Takpelah, saya naik cab aje,” jawab Kasih.
“Takpelah, kita kan satu jalan je. Saya ikhlas ni.” Bazli masih belum berputus asa.

Untuk tidak mahu menimbulkan konflik, Kasih terpaksa menurut. Amar pandang Kasih dan Bazli keluar dari ruangan tersebut. Ada juga terdetik sesuatu kerana melihat mereka agak janggal seolah-olah ada sesuatu, tetapi perasaan itu tidak dipedulikan, dia lebih risaukan keadaan kakaknya di dalam.

Keluar saja dari HKL, Kasih terus masuk ke dalam teksi yang kebetulan memang berada di situ.
“Kasih!” panggil Bazli tetapi teksi itu sudah berlalu pergi.
Bazli geleng kepala dan kemudian masuk ke dalam keretanya lalu memandu pulang seorang diri....

bersambung....

Thursday, 17 January 2013

E-Novel ~ Bunga Terakhir (BAB 26)



                                                                     
                                                                           BAB 26
“Nurse, di mana wad Nurul Shazwani Razak? Macamana keadaan dia nurse? Mana wad dia?!” tanya seorang lelaki di kaunter dengan cemas.
“Dia masih dalam wad kecemasan cik, sabar encik. Sila bawa bertenang. Semuanya dalam kawalan. Encik boleh duduk di sana menunggu.” Jururawat bertugas menenangkan lelaki tersebut dan menunjuk arah tempat duduk.
“Awak, tenanglah. Insya ALLAH semuanya selamat, mari,” pujuk seorang wanita.

Wanita itu membawa lelaki tersebut ke tempat duduk. Lelaki itu ternampak seseorang di sana dan terus mendapatkannya.

“Kau! Kalau tak pasal aku pergi apartment dia tadi, aku takkan dapat tahu dia dibawa ke sini. Manusia jenis apa kau ni hah? Dia jadi macam ni sebab kau, lelaki tak guna!” marah lelaki tersebut.
“Kau, kau ni lelaki yang bersama dengan isteri aku pagi tadi kan? Siapa kau nak cakap aku macam tu? Aku ni suami dia tahu tak? Apa kena mengena kau dalam hal ni? Dia tu isteri aku! Faham!” tanya Adam terkejut disergah begitu.
“Isteri kau cakap.... Kau tak pernah sekalipun pedulikan kakak aku tu. Kalau tak suka, ceraikan saja. Tengok apa yang dah jadi! Semuanya pasal kau tahu tak!” marah lelaki tersebut dan memberitahu identitinya yang sebenar. Adam juga terkesima, dia tak pernah tahu Wani ada adik lelaki.
“Amar, sabar ya Amar, tak baik gaduh dekat hospital ni....”
“Kasih, sebab dia nilah kakak aku menderita, lelaki macam dia ni tak layak jadi lelaki!” marah Amar dan hampir menumbuk Adam.

“Sudah!” tiba-tiba seorang lelaki datang dan menghentikan pertelingkahan tersebut.

Amar menghentikan layangan penumbuknya. Dia berundur dan duduk, Adam juga duduk dengan sesal. Kasih memandang lelaki yang berteriak tadi.
Bazli!
Tautan mata mereka bertemu tanpa sebarang kata-kata.

“Adam, apa yang dah jadi ni? Kenapa nak bertumbuk segala ni?” tanya Bazli serius.
“Bazli, isteri aku dalam ICU, dia kena tikam dengan peragut.” Adam memberitahu Bazli yang datang menghentikan pergaduhan.
“Kalau bukan sebab kau, kakak aku takkan kena tikam!” marah Amar sekali lagi.
“Encik. Ini semua sudah takdir tuhan, kalau dia berkehendakkan jadi, maka jadilah. Kita semua jangan pula bertelingkah dan menyalahkan orang lain. Tenang.” Bazli pandang Amar yang tengah marah.

Keadaan kembali tenang, Adam diam. Bazli pun diam. Amar pula seperti tak tahan menunggu dan mundar mandir di depan wad kecemasan sambil memandang Adam dengan perasaan tidak puas hati. 

Kasih kemudiannya menuju ke luar untuk mengambil angin. Kemudiannya Bazli mengikutinya.

“Lelaki tu boyfriend awak? Tak pernah nampak pun sebelum ni?” tanya Bazli serius, ala-ala polis pula lagaknya.

Kasih dalam dua, nak cakap betul atau nak cakap bohong. Amar pula mencari Kasih yang hilang dari penglihatannya, kemudiannya dia terpandang Kasih dan Bazli sedang berborak.
“Dia kawan saya, pilot baru di airlines kita,” jawab Kasih sambil memandang tempat lain.
“Oh, jadi bukan boyfriend awaklah?” tanya Bazli lagi.
“Kenapa awak tanya macam tu? Kalau dia tu boyfriend saya kenapa?” tanya Kasih lagi.
“Tak, saja tanya. Awak marah ke?” Bazli pandang Kasih.
“Tak, saya tak marahpun. Saya risaukan kakak kawan saya tu... Okeylah, kalau takde apa-apa saya masuk dalam dulu. Nanti jumpa di tempat kerja ya.” Kasih berpaling dan ternampak Amar memerhatikannya, dia sedikit terkejut dan kemudiannya menuju ke tempat Amar dan melemparkan senyuman.

Bazli pandang Kasih yang berlalu. Tiba-tiba Kasih pegang tangan Amar. Bazli tersentak. Kemudiannya Bazli memerhatikan  mereka berdua beriringan masuk ke dalam.

“Awak kenal dia ke?” tanya Amar.
“Oh, dia tu kan ketua pramugara kat airlines kita. Nama dia Bazli.” Kasih memberitahu.
Amar pandang wajah Kasih dan kemudiannya tidak menanyakan apa-apa soalan. Mereka kemudian mengambil tempat duduk. 

Hampir sejam kemudian, doktor yang merawat Wani keluar. Segera Adam dan Amar berdiri untuk bertanya keadaan Wani.
“Doktor, macamana keadaan isteri saya doktor?” tanya Adam bersungguh.
“Kami tak dapat jangkakan apa-apa, keadaannya agak kritikal. Saya minta encik bawa bersabar.” Doktor itu memegang bahu Adam dan berlalu.
“Doktor, kakak saya selamat kan doktor?” tanya Amar cemas.
“Kami tak dapat beri apa-apa maklumbalas sekarang,” jawab doktor itu dan berlalu.
Sakit rasanya hati Amar apabila mendengar kata-kata doktor tersebut, dia pandang Adam.
“Ini semua pasal kau! Kau memang lelaki tak guna! Kan baik kalau kau yang kena tikam dengan peragut tu!” marah Amar membuak-buak.
“Amar!” Kasih menarik tangan Amar apabila sekali lagi Amar cuba melayangkan penumbuknya.
“Adam, kau tak apa-apa? Apa kata doktor tadi?” tanya Bazli yang baru masuk.
“Isteri aku.. isteri aku kritikal..” Adam tergagap-gagap menjawab soalan Bazli.
“Kau bawalah bertenang Adam, Insya ALLAH, ini semua ujian tuhan buat kau. Mana anak kau? Siapa yang jaga dia?” Bazli tiba-tiba tertanya perihal anak Adam yang pernah diselamatkannya dulu.
“Kakak aku isteri kedua dia. Dia tu tahu nak berbini aje, jaganya tak...” Amar terus menjawab dalam nada menyindir memandang Bazli.

Bazli pandang Adam, dia nak senyum pun tak jadi. Iyalah, takkan nak senyum bila orang kena musibah kan. Dia pandang Adam dan tepuk bahunya perlahan. Dia tak sangka pula yang Adam itu beristeri dua.

“Kau sabar ya Adam.” Bazli memberi sokongan.
“Terima kasih Bazli, aku tak tahu kenapa kau selalu muncul bila aku ditimpa masalah. Sudahlah aku tak kenal kau pun. Terima kasih banyak-banyak ya...”
“Itu semua aturan tuhan. Aku di sini pun bersebab, isteri aku baru sedar dari koma beberapa minggu lalu.” Bazli menceritakan perihal Juwita.

Tiba-tiba Bazli merasakan telefon bimbitnya bergegar.
“Adam, aku keluar dulu, ada phone nak jawab ni.”
Adam angguk.

“Siapa ahli keluarga pesakit? Sila ikut saya sekejap.” Doktor tadi menuju ke arah mereka.
“Saya!” Adam dan Amar berkata serentak.
“Dua-dua boleh masuk,” arah doktor tersebut yang melihat dua lelaki itu seakan mahu bertelingkah.
“Kasih, tunggu sekejap ya.” Amar meninggalkan Kasih di sana.

Sampai saja di bilik doktor tersebut, Adam dan Amar terus masuk lalu duduk berhadapan dengan doktor tersebut.

“Bagaimana keadaan isteri saya tuan doktor?” tanya Adam.
“Seperti yang saya katakan tadi, keadaannya agak kritikal. Dia kehilangan banyak darah dan mungkin perlukan masa untuk sedarkan diri.” Doktor tersebut menjelaskan tapi dalam nada yang kurang menyenangkan, seperti ada sesuatu yang lebih serius mahu diberitahu.
“Kakak saya tak luka parah ke doktor? Takde kecederaan dalaman ke akibat tikaman tu?” tanya Amar pula.

Doktor tersebut diam. Amar memandang doktor tersebut serius, begitu juga Adam.

“Maaf jika saya katakan, Puan Shazwani memang memerlukan buah pinggang baru. Buah pinggangnya rosak teruk akibat tikaman tersebut. Untuk buah pinggang yang sekarang ni, dia mungkin boleh bertahan dalam 3 ke 4 bulan akan datang. Saya harap kamu berdua bersabar ya, itu yang saya mahu sampaikan di luar tadi... Kita boleh selamatkan dia jika mendapat penderma buah pinggang yang sesuai...” Doktor tersebut memandang mereka berdua.
“Astagafirullahalazim.. kakak..” Amar tak dapat berkata apa-apa, sedih, kecewa. Air matanya mengalir. 

Adam pula sudah sebak, sungguh! Dia merasa sangat-sangat bersalah. Kalaulah dia cepat menghantar kek batik yang dibuat Dahlia tadi, mungkin Wani masih selamat.
‘Ya ALLAH, kau berikanlah kesakitan isteriku itu kepadaku Ya ALLAH...’ Adam berdoa dalam hati...

“Saya sudi dermakan buah pinggang saya pada kakak saya.”
“Saya pun.” Adam memberitahu.
“Baik, kita akan lakukan beberapa ujian terlebih dahulu. Kita akan tunggu pesakit sedar terlebih dahulu untuk tahu samada pesakit ada sebarang komplikasi akibat buah pinggangnya yang ditikam tu. Nanti saya akan maklumkan prosedurnya.” 
“Boleh saya melawat dia tuan doktor?” tanya Adam.
“Dalam keadaan kakak aku macam tu, kau dah tak layak melawat dia. Ada kau ambil berat pasal dia masa dia sihat? Ada kau ambil tahu sakit pening dia masa dia sakit? Kakak tu banyak berkorban untuk keluarga kami.. tapi abang buat dia macam sampah.. kalau abang ada hati nurani, abang takkan buat dia macam tu...” Amar bercakap sambil memandang Adam.

 Air matanya mengalir ketika bercakap demikian. Sungguh dia kecewa dengan Adam, Amar sangat sayangkan kakaknya itu, meskipun ayah tak pernah menyayangi kakaknya atas sebab yang dia tak fahami. Sudah terlalu banyak yang kakaknya korbankan untuk dia, semua pembelajaran dia dan makan pakai selama ini kakak dia yang tanggung. Masih belum terbalas segala jasa kakaknya untuk dia dan tiba-tiba kakaknya ditimpa musibah.

“Amar, maafkan abang Amar...” Adam cuba meminta maaf.
“Encik, sila bawa bertenang encik..” doktor cuba meredakan suasana.

Amar berdiri dan terus keluar dari ruangan itu dengan hati yang kecewa, Adam hanya mampu pandang adik iparnya itu.. dia tahu, dirinya salah. Dia tahu sejauh dan seberat mana kesusahan Wani. Sungguh! Adam rasakan dia adalah lelaki yang paling teruk ketika itu! Adam kemudiannya keluar dari ruangan bilik doktor tersebut dengan langkah yang perlahan... ada sejuta rasa bersalah dalam diri, tapi dia tekad, andai kata tuhan beri peluang untuk Wani hidup dan kembali sihat, dia rela menjadi galang ganti untuk menebus kesalahannya....

bersambung.......

Tuesday, 15 January 2013

Mini Novella Online : AKU SUKA DIA (BAB 6)


                                                           BAB 6
BOB selamat hari tu sebab Amani tiada di rumah, khabarnya ibu angkatnya sakit. Maka hampir seminggu juga Amani mungkin tiada di kampung dan itu menandakan selamat jugalah Bob untuk seminggu daripada menunaikan syarat aku. Aish! Takpe Bob takpe, ada ubi ada batas, lain hari pasti balas. Malam tu kami lepak rumah aku, biasanya di kampung, meriahnya raya selama 7 hari. Oleh sebab hari itu hari yang ke-6, maka masih ramai lagi tetamu yang bertandang terutamanya budak-budak. Itupun muka budak-budak sama, tak Budin mesti Siti, takpun Awang budak yang baru bersunat tu punya geng, kadang-kadang geng budak kampung sebelah, selalunya tu motifnya sama je, nak kumpul duit rayalah. Takpelah kan setahun sekali, bila lagi nak happy-happy, hulur-hulur aje yang mampu.
“Lan, kau balik KL bila?” tanya Joe tetiba.
“Esok... apa boleh buat, mana boleh cuti lama. Ni pun aku ambil cuti tahunan ni nak balik. Kalau tak, 5 hari aje cuti aku. Kau?” tanya aku balik.
“Esok gak.”
“Kau Bob balik bila?” tanya aku.
“Ntah...” jawab Bob acuh tak acuh, entah ke manalah fikiran si Bob melayang-layang tu, teringat kat si Amani buah hati penerang jantung dialah tu.
“Bob, kau ni apasal? Lembik semacam je, kalau nak kata tak makan, kaulah yang paling kuat makan antara kita ni. Pagi tadi, kau juga yang habiskan rendang mak Lan kan,” tegur Joe sengaja ingin tahu.
“Tak adalah, aku nak nikmati hari-hari terakhir di kampung la ni. Ni aku nak tanya korang, apakata kita tinggal satu rumah kat KL tu? Nak tak?” Bob tetiba memberi cadangan.
Okey kejap. Aku nak buat calculate jap. Sewa rumah 700, air api cincai 150, line broadband 150, semua sekali 1000. Gaji aku tinggal 2k saja sebab nak bayar semua tu. Wah, cadangan baik juga si Bob ni. Kalau ada Bob dekat rumah aku, semua bayar half, so, dia 500, aku 500, lagi bagus ada Joe, hidup di bandar ni semuanya duit dan duit kot.
“Aku setuju, tapi korang kenalah masuk rumah aku,” cepat aku memberi cadangan. Iyalah, kami mesti nak pilih salah satu rumah antara kami bertiga kan.
“Aku bukan tak nak, tapi rumah tu aku yang beli. Macam sayang pula nak tinggal tempat lain,” aju Joe.
Kami berdua maklum, apartment tempat Joe tinggal tu memang rumah dia. Iyalah, gaji dia sebulan nak 7-8k, memang lebih dari mampu nak beli rumah. Itupun gaji dia setahun lalu, aku agak sebab dia naik pangkat hari tu, mesti dah naik 2, 3 k jugak tu.
“Ha, takpun korang berdua tinggal rumah aku. Tak payah bayar sewa apa semua. Okey?” tanya Joe pada kami.
Aku pandang Bob, segera Bob faham geleng kepala. Bukan kami tak nak, cuma memang tak suka jenis-jenis menumpang free ni. Takpelah kot kalau aku dan Bob je yang satu rumah dan Joe lain-lain.
“Takpelah Joe, bukan tak nak. Tapi apartment kau tu jauhlah. Aku dengan Bob tinggal berdua aje. Nanti senang kami singgah-singgahlah rumah kau macam selalu.” Aku cuba cakap sehabis-habis baik aku, iyalah takut pulak karang Joe terasa hati. Macam yang aku selalu cakap, lelaki yang usianya sudah melepas 30, hatinya lain macam sikit.. opss!
“Its okey, aku faham.”
Lega rasanya dengar Joe cakap macam tu.
“Joe, dengan muka kau yang boleh tahan ni, takkan takde yang terpaut?” tanya Bob tiba-tiba.
“Entah, jangan-jangan kau ni... suka.. le.. tak?” aku sampung tapi malas sambung.
Iyalah, biasanya, hanya kami berdua ni yang sibuk pasal perempuan dan cari jodoh. Joe pula selalu atas pagar, dia main iya-iya je, samada sudah berkahwin, sengaja buat tak kisah ataupun... ataupun dia ni 2 alam! Ish! Mintak simpang! Tak mungkinlah.. tak baik aku fikir macam tu dalam hati. Please jauh!
“Ada ke patut kau tuduh aku macam tu? Nasib baiklah aku dalam mood baik ni. Jadi, selama ni korang ingat aku ni gay ke? Sampai hati, aku sentap tahap nak belasah korang ni..” marah Joe.
“Ala Joe. Aku saja je. Kau tu buat aku confuse, kau jangan marah ya. Hari raya ni, tak baik marah-marah..” pujuk aku.
“Ya, dimaafkan. Tapi lagi sekali cakap macam tu, aku tak nak tegur kau orang berdua.”
“Jadi, takkan kau takde calon kot? Mustahil lah kan takde..” usik Bob.
“Bukannya takde, dalam pencarian lagi. Ada tu ada yang okey, tapi tak memenuhi kriteria.”
“Amboi Joe, ada kriteria lagi. Ni mesti taste kau tinggi sangat ni. Almaklumlah.. bakal suami gajinya pun boleh tahan..” sindir aku.
“Tak adalah, aku adalah suka dengan seseorang ni, tapi malulah nak cakap...” Joe segan-segan.
“Kau dengan aku ni rupanya 2 kali 5 je, aku ingat aku je yang fail bab-bab ni. Rupanya kau pun sama...” aku pandang Joe sambil geleng kepala perlahan.
“Apa boleh buat.. dah nasib kita ni kawan. Perangai sama aje. Agak-agaknya kena mandi bunga ni..” cadang Joe.
“Ha, kita tak beraya lagi dekat rumah Pak Mat bomoh tu, manalah tau boleh tanya apa dia boleh bantu kita,” cadang Bob.
“Hish! Tak payahlah. Kita buat solat hajat sudah. Khurafat tahu, 40 hari doa kita tak diterima....” aku tegah awal-awal, dulu ada juga rasa macam tu, tapi sejak aku berada di kampung mengaji dan ikut terawih, ada pula rasa keinsafan tu, iyalah.. baru lepas Ramadhan kot. Takkanlah rasa nur tu takde kan. Insya ALLAH.
“Alhamdulillah. Ya Ustaz Lan, kami faham.. faham sangat. Hihi..” Bob ketawa ala-ala macam nak menyindir pun ada.
“Apalah yang diborakkan tengah-tengah malam ni? Dari dapur ayah dengar... nak kahwin ke? Siapa nak kahwin?” tanya ayah.
Amboi ayah.. sensitif tau bab-bab tu. Sengaja je ayah pandang aku, iyalah, selaku anak sulung, sepatutnya aku dah mendirikan rumahtangga, ni akulah yang paling last, adik-adik aku semua dah selesai..
“Takdelah ayah. Saja borak-borak kosong..” jawab aku.
“Ermm.. baru ayah nak makan nasi minyak. Melepas..” sindir ayah.
Bob dan Joe senyum-senyum pandang aku. Amboi, memang nak kena seligi-seligi tul dorang dua ekor ni. Kalaulah bukan kawan, dah lama aku ikat dekat pokok rambutan sana bagi kerangga gigit. Padan muka!
“Ayah masuk dululah, pakcik masuk dululah.. dah lewat malam ni. Assalamualaikum..” ayah meminta diri.
“Waalaikumsalam,” jawab kami bertiga serentak, selaku JKKKK kampung, ayah memang sentiasa sibuk, mana tidaknya masa hari raya nilah nak buat kenduri, dekat situlah nak kahwin mahwin, dekat situlah nak cukur jambul dan lain-lainnya, manalah tenaga ayah aku tu tak penat. Pernah mak suarakan agar ayah letak jawatan, tapi dia sendiri tak mau sebab dia suka kerja tu.
“Lan, kami nak tidur sini boleh?” tanya Bob yang baring di sofa sebelah aku.
“Haahlah Lan, dah lama kami tak meniduri kau..” sampuk Joe, amboi ayat dia macam nak bagi makan penumbuk je.
“Iyalah.. ish korang ni, muka tak malu, menumpang tidur rumah orang,” sengaja aku marah.
“Along, apa marah-marah ni? Tak bagi Joe dengan Bob tidur sini ke?” tanya mak yang tetiba masuk ke ruang tamu sambil membawa racun nyamuk.
“Haah cikgu, dia siap nak halau kami balik cikgu,” adu Joe pada mama aku.
Amboi Joe, aku tahulah kau tu murid kesayangan mak aku samdol! Kang aku halau bebetul kang baru tau.
“Kalau dia halau, biar cikgu halau dia,” balas mak aku dan terus berlalu.
Joe dan Bob ketawa mengekeh-ngekeh. Aish! Aku yang kena. Terus aku tumbuk bahu Joe sekali, rasakan penangan aku.
“Sakitlah Lan.. kau ni..” marah Joe.
“Tadi pandai cakap dengan mak aku macam tu kan, amik kau,” aku jeling dia.
Memandangkan filem yang ditayangkan malam tu dah 10 kali kami tengok dekat pawagam, makanya tutup tv dan terus masuk bilik. Mangkuk dua ekor tu pun masuk bilik juga, menyempit kat katil kecik aku tuh.
“Tidurlah kat bawah, korang ni..” marah aku.
“Ish! Dulu muat je kita bertiga dekat katil ni, kaulah ni Bob makan banyak sangat,” sindir Joe.
“Ceh! Aku pula yang kena! Kita semua dah besar lah.. jangan nak feeling muda sangatlah..” marah Bob.
Memandangkan mangkuk dua ekor tu tak bawa apa-apa pun waima seluar kecik mereka. Maka, kami bertiga berkongsi satu selimut. Maka mulalah adegan tarik-tarik, kalau kecik dulu bolehlah muat, ni dah besar panjang berbulu, eh! Typo! Manalah nak muat kan...
“Korang tahu tak, aku rasa macam dejavu pulak. Dulu kita selalu macam ni kan?” aku membuka cerita.
“Iyalah, aku takut nak balik rumah lepas tuisyen dengan mak kau. Aku minta tidur rumah kau masa tu. Nasib baik mak kau bagi.” Joe juga mengingati kenangan kami.
“Lagipun mak kau baik, semua subjek dia ajar, percuma pula tu. Kalau korang nak tahu, aku ada juga cita-cita nak jadi cikgu, tapi tulah.. dah besar jadi ke lain pula..” Bob menyampuk.
“Ala, apa-apa kerja pun berkat asalkan kita ikhlas.” Aku senyum sendiri.
“Aku respectlah mak kau tu, sampai sekarang still jadi cikgu kan. Kaulah ni Lan, dulu kena suruh masuk maktab kau sembunyi rumah aku kan tak nak perhi interview.” Joe mengingatkan aku kenangan beberapa tahun dulu.. bukan beberapa tahun, 10 tahun yang lalu tu.
Masa tu mak isikan maktab lepas habis STPM. Aku masa tu dah berminat dengan bidang lain, tapi takdir Allah, aku dapat interview maktab tu. Tapi aku tak pergi, aku buat-buat lari rumah. Berbirat juga kaki ni kena pukul dengan tali pinggang ayah, tapi mak dan ayah sedar akhirnya, tak guna memaksa dan akhirnya aku teruskan dengan bidang yang aku minat tu. Ada juga rasa bersalah aku sehingga kini, tapi apa boleh buat, masa tak dapat diundur kembali kan.
“Itu kenangan dulu Joe, tak payahlah nak ingat lagi. Kalau ingatpun buat aku sedih pula.”
“Kau sedih apa pasal. Kau ni, tak faham aku,” balas Joe.
“Haahlah, aku ingat masa tu ada antara kita bertiga ni akan jadi cikgu, rupanya kau minat benda lain, Bob pun minta benda lain..” jawab aku.
“Takpelah Lan, dah takdir. Ada sebab tuhan letakkan kita dalam posisi sekarang ni.” Joe dah macam ustaz tetiba.
Buk!
Kami bertiga dengar ada batu kena humban dekat tingkap.
Awu.. awu..
Kedengaran lagi bunyi anjing melolong.
“Lan, aku ke tengah lah ya,” pinta Joe takut.
“Aku pun nak ke tengahlah..” Bob juga minta posisi aku.
Dah macam rebut-rebut tempat pula dengan aku jadi mangsa. Bila dah tak tahan, terus aku bingkas.
“Ha, kau orang tidurlah berdua kat katil tu, biar aku tidur kat luar, kan ke adil. Rimas tul aku.”
“Ala Lan.. kami saja je tu.” Joe pujuk aku, tahu takut... desis aku dalam hati.
Awu.. awu...
Aku rasa bunyi lolongan anjing tu makin kuat, terus aku lompat atas katil. Dah macam budak kecik pula, selimut dah naik sampai ke kepala.
“Eh! Apa yang bau semacam ni?” tanya Joe tetiba.
Aku pun rasa ada bau yang kurang menyenangkan tika itu. Bau itu sangat kukenal tetapi empunyanya tidak dikenal.
“Ni mesti kau kan Bob? Asal kau kentut hah? Samdol tul, aku seligi juga budak ni kang...” marah aku.
“Ala.. aku makan banyak tadi.. sorry korang..”
Aku dan Joe bangun dari katil dan bukak tingkap untuk hilangkan bau. Kurang asam punya Bob! Nasib baiklah pewangi febreze tu ada lagi.. Bob pula steady aje kat katil sengih-sengih, geram aje tengok. Rasa nak humban febreze ke muka dia.
“Kalau kau macam ni, baik aku ambil si Amani tu.” Aku sengaja gugah hati dia.
“Ala, tak kisah pun..” Bob jawab acuh tak acuh.
“Baik, esok juga aku suh mak aku pinang dia,” tegas aku.
“Eh Lan, kau jangan nak potong jalan pula..” Bob marahkan aku.
“Tahu takut...” sindir aku sambil ambil angin yang keluar dari tingkap.
“Eh Lan, apa benda kat jalan tu?” tanya Joe pada aku.
“Mana?” tanya aku.
“Tu...”
“Eh! Tu kan..”
Pap! Terus aku tutup tingkap rapat-rapat. Malam tu juga kami terus senyap.
“Korang nampak apa tadi?” tanya Bob tetiba.
“Esok jelah,” jawab aku.
Sebenarnya aku tak nampak apa-apapun, dan aku tak pasti apa yang Joe nampak. Aku saja buat macam tu supaya kami terus tidur. Korang kan tahu, kalau tidur dengan kawan-kawan ni, sah-sah sampai ke pagi tak habis cerita. Tricklah tu.. esok, pandai-pandailah aku taram cerita karut marut aku tu ngan dorang, huhu..

Bersambung...

 NOTE : E-NOVEL INI TELAH BERPINDAH KE LAMAN NOVEL MELAYU KREATIF DENGAN TAJUK BARU 'GILA! AKU SUKA DIA?' . BOLEH KLIK LINK INI UNTUK MENGIKUTI ----> http://novelmelayukreatif.com/index.php/karya-kreatif/novel/tema-cinta-komedi/item/212-gila-aku-suka-dia